Oleh: Nur Sakinah Binti Baharudin
Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam
Bulan April disambut setiap tahun sebagai bulan terapi cara kerja dan mengiktiraf semua faedah yang disediakan oleh professional kesihatan ini. Bulan terapi cara kerja bermula pada tahun 1980. Acara ini berlangsung setiap tahun pada bulan april untuk menyamai persidangan tahunan Persatuan Terapi Cara Kerja Amerika. Bulan terapi cara kerja membantu meningkatkan kesedaran tentang peranan tersendiri yang dimainkan oleh ahli terapi cara kerja dalam membantu orang yang cedera atau kurang upaya menjalani kehidupan yang menyeluruh.
Ahli terapi cara kerja adalah salah satu daripada profesional kesihatan atau kerjaya yang memberi rawatan pemulihan ke atas individu yang mengalami kecacatan anggota, gangguan mental, dan berpenyakit termasuk kanak-kanak berkeperluan khas serta warga emas untuk menjalani kehidupan berdikari, produktif dan bermakna.
Apabila berlaku kecederaan sendi dan otot yang memerlukan pemulihan, ahli terapi cara kerja (juga dikenali sebagai occupational therapist, OT) menyediakan latihan yang diperlukan untuk mengembalikan kefungsian harian. Rutin yang dahulunya mudah seperti bangun dari katil atau mengubah posisi kedudukan mungkin menjadi cabaran baharu apabila menghadapi sebarang kecederaan. Di sinilah peranan ahli terapi cara kerja membantu pesakit membuat penilaian dan rawatan pemulihan bagi membolehkan pesakit dapat melakukan kerja dengan selamat dalam keadaan yang belum sembuh sepenuhnya.
Ahli terapi cara kerja membantu memperlahankan perkembangan penyakit melalui latihan fizikal dan pengubahsuaian. Melalui kepakaran mereka, pelbagai halangan dalam melaksanakan tugas harian seperti mandi, makan, minum dan menggunakan tandas dapat dikenalpasti dan diberi rawatan pemulihan. Selain itu, ahli terapi cara kerja akan menilai risiko kecederaan di tempat kerja serta mengesyorkan pengubahsuaian ergonomik terhadap ruang kerja bagi pekerja yang berisiko mendapat kecederaan di tempat kerja. Nasihat bagi perubahan dalam rutin kerja, peralatan atau senaman untuk mengurangkan risiko kecederaan pada pekerja juga boleh diberikan.
Untuk setiap umur dan keupayaan, ahli terapi cara kerja menyediakan rawatan pemulihan untuk meningkatkan kualiti hidup bagi setiap pesakit. Pelbagai cabang perkhidmatan untuk semua peringkat umur boleh diteroka sekiranya memasuki bidang kerjaya ini, termasuk pemulihan cara kerja di bidang pencegahan kecederaan dan ergonomik, kesihatan dan kesejahteraan, penginapan dan penyesuaian, ortopedik, medikal neurologi, pediatrik, psikitari dan kesihatan mental, pemulihan dan return-to-work, dan sebagainya (S.Y. Loh, et al. 2021).
Deskripsi kerja seorang ahli terapi cara kerja adalah seperti berikut:
- Menyediakan dan mengendalikan program rawatan yang disesuaikan dengan keperluan pesakit bagi mempertingkatkan keupayaan pesakit dalam menjalankan aktiviti harian.
- Mengendalikan penilaian dan mencadangkan pengubahsuaian yang perlu pada kediaman, persekitaran dan tempat bekerja untuk membolehkan pesakit hidup berdikari.
- Memberi preskripsi dan latihan menggunakan alat-alat bantuan sementara/kekal berdasarkan keperluan pesakit.
- Memberi pendidikan, nasihat serta cara penjagaan yang berkesan dan selamat kepada pesakit, ahli keluarga dan penjaga.
Bagi yang berminat untuk memasuki kerjaya ini, permohonan untuk program sepenuh masa bagi pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau program Pra-Diploma di UiTM hendaklah dikemukakan melalui permohonan dalam talian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia di laman web KPT iaitu http://upu.mohe.gov.my/. Permohonan pengajian dalam semua program yang ditawarkan disiarkan di akhbar tempatan antara bulan Disember dan Februari setiap tahun.
Kelayakan
Secara amnya, pelajar yang diterima masuk ke universiti mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
- Mesti memperoleh pendidikan menengah dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengan sekurang-kurangnya 5 kredit dalam semua matapelajaran yang diambil.
- Kredit dalam Bahasa Melayu / Malaysia.
- Mempunyai kecergasan fizikal dan kesihatan yang baik.
Dari segi akademik, syarat kemasukan dan proses kemasukan pelajar ke program Terapi Carakerja universiti adalah mendapat SPM atau yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan Malaysia dengan mendapat TIGA (3) kepujian termasuk Bahasa Melayu / Malaysia dan lulus matapelajaran sejarah. Untuk keperluan am universiti, pelajar mesti memperoleh kredit dalam Biologi / Fizik dan Matermatik / Matematik Tambahan, dan gred minimum B dalam Bahasa Inggeris. Bagi kemasukan dari program Pra-Diploma Sains UiTM, pelajar perlu memperoleh sekurang-kurangnya 3.00 dalam PNGK. Pemohon perlu mengemukakan permohonan melalui Unit Pengurusan Universiti (UPU). UPU akan memajukan permohonan kepada universiti masing-masing (Syarat Kelayakan Program Pengajian, 2020).
Para graduan dari program terapi cara kerja boleh menceburkan diri dalam sektor swasta iaitu Pusat rehabilitasi Perkeso dan rumah perlindungan warga emas, industri termasuk Ronald McDonald House Charities, serta bekerja sendiri dengan membuka pusat rehabilitasi selain mendapatkan peluang pekerjaan dalam agensi kerajaan seperti hospital, dan klinik kesihatan.
Di Malaysia, bilangan ahli terapi cara kerja adalah sangat rendah dengan nisbah terendah bagi setiap 10,000 penduduk pada 0.20 pada tahun 2010 berdasarkan bancian oleh Kementerian Kesihatan (National Healthcare Establishment Workforce, 2010). Pada tahun 2021, bilangan ahli terapi cara kerja yang berkhidmat untuk 33 juta penduduk di Malaysia hanyalah 1893 orang sahaja (S.Y. Loh et al. 2021). Pada masa ini, hanya 17 orang tenaga kerja pendidik terlatih atau berkelayakan dalam bidang terapi carakerja. Terdapat keperluan mendesak untuk menangani hegemoni perubatan yang menindas dan memulakan peluang untuk meningkatkan autonomi tenaga kerja terapi cara kerja dalam bidang klinikal, pendidikan dan penyelidikan. Berbanding negara lain pula, jumlah ahli terapi cara kerja di Malaysia cuma pada nisbah 0.5 untuk populasi 10,000 penduduk pada Oktober 2021. (S.Y. Loh, et al. 2021).
Kesimpulannya, kesedaran orang ramai untuk mencari peluang kerjaya sebagai ahli terapi cara kerja adalah bertepatan dengan keperluan semasa sekiranya berminat untuk memasuki sektor kesihatan awam dan swasta selain kerjaya professional kesihatan yang lain seperti jururawat dan ahli farmasi.
Rujukan:
- Michel Moninger (n.d). A brief history of occupational therapy. Retrieved from https://www.myotspot.com/history-of-occupational-therapy/
- Loh, S.Y., Boniface, G. and Brintnell, S. (2021) An Occupational Perspective of Occupational Therapy and the Medical Hegemony System in Malaysia—Exploration for Further Research. Health, 13, 1285-1302. https://doi.org/10.4236/health.2021.1311094,
- NHEW (2010) National Healthcare Establishment Workforce Statistic.
- https://www.crc.gov.my/wp-content/uploads/documents/report/NHEWS_Hospitals
- https://www.crc.gov.my/wp-content/uploads/documents/report/NHEWS_Hospitals_2010_FullReport.pdf
- NHEW (2010) National Healthcare Establishment Workforce Statistic. Retrived from https://www.crc.gov.my/wp-content/uploads/documents/report/NHEWS_Hospitals_2010_FullReport.pdf
- Syarat kelayakan program pengajian 2020 (2020). Universiti Teknologi MARA, UiTM. Retrieved from, https://pppt.uitm.edu.my/images/Aisyah/Document/PDSains/BPP_Buku_Syarat_Kelayakan_UiTM_2020pdf.pdf