Penulis: Dr. Nur Farah Ain Zainee & Dr. Nik Norhazrina Nik Mohd Kamil
Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Pernahkah anda melihat dinding bangunan lama dan/atau dinding akuarium yang berwarna hijau cerah dan hijau gelap? Dinding yang berwarna hijau dan kelihatan kotor ini sering dikaitkan dengan istilah lumut pada permukaan tersebut. Namun, tahukah anda bahawa warna hijau tersebut sebenarnya adalah alga. Alga dan lumut kedua-duanya merupakan tumbuhan peringkat rendah bersama-sama dengan paku pakis, yang mana ketiga-tiga tumbuhan ini membiak melalui penyebaran spora. Namun, lumut dan alga tidak mempunyai tisu vaskular, berbeza dengan paku pakis yang mempunyai struktur vaskular yang lengkap. Alga tidak mempunyai akar, batang dan daun yang jelas seperti tumbuhan peringkat tinggi yang lain. Lumut pula tidak mempunyai akar sebenar tetapi mempunyai struktur seakan-akannya dikenali sebagai rizoid yang berfungsi untuk perlekatan pada substrat. Walaupun lumut tidak mempunyai struktur akar seperti tumbuhan bervaskular, namun ia berupaya untuk tumbuh di atas substrat yang keras seperti atas permukaan batu dan batang pokok, yang mana tidak mampu ditembusi oleh akar tumbuhan bervaskular.
Alga
Alga adalah kumpulan Talofit (thallophyte) iaitu organisma unisel yang memerlukan persekitaran lembap dan cahaya matahari yang cukup untuk menjalankan proses fotosintesis. Keadaan lembap dan berair pada permukaan dinding menyebabkan alga hidup dan tumbuh dengan baik. Warna hijau pada permukaan lembap tersebut disebabkan oleh kehadiran pigmen klorofil yang menyerap cahaya matahari untuk menjalankan proses fotosintesis. Namun, kadangkala terdapat juga dinding yang kelihatan seperti warna jingga dan keperangan. Ini juga adalah alga daripada kumpulan yang berlainan yang memiliki pigmen yang berlainan.
Kebiasaannya alga ditemui di persekitaran akuatik seperti tasik, sungai, lopak air, longkang, dan lain-lain. Alga yang hidup di habitat tersebut tergolong dalam alga akuatik. Berbeza dengan alga terrestrial (daratan), alga ini kebiasaannya mudah ditemui pada permukaan pokok, dinding, longkang, pasu dan batu. Faktor yang menyebabkan kehadiran alga tersebut adalah tekstur permukaan, yang mana semakin kasar tekstur semakin mudah alga tumbuh pada permukaan tersebut. Ini boleh dikaitkan dengan kehadiran air yang terkumpul pada lekukan dan rekahan permukaan tersebut. Terdapat beberapa spesies alga yang hidup sebagai alga terrestrial, antaranya ialah Botryococcus, Nostoc, Oscillatoria dan lain-lain.
Lumut
Jika diperhatikan dengan mata kasar, alga dan lumut kelihatan seakan-akan sama. Namun, jika diteliti dengan lebih jelas menggunakan kanta pembesar, permukaan koloni alga agak licin, manakala koloni lumut pula mempunyai permukaan yang agak kasar. Hal ini kerana alga menghasilkan mukus dan lendiran yang menyebabkan permukaan tersebut menjadi licin. Manakala, lumut diibaratkan seperti pokok yang mini, koloninya pula kelihatan seperti hutan mini. Sebagai contoh, situasi ini boleh diperhatikan di sekitar longkang yang terdedah kepada cahaya matahari. Tumbuhan yang terdapat di atas permukaan longkang yang tidak terkena air ialah lumut (Hyophyla involuta), manakala tumbuhan yang ada dalam air longkang tersebut pula ialah alga hijau (Chlorophyceae).
Istilah lumut berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud tumbuhan hijau yang kecil. Walaupun begitu, lumut juga boleh dijumpai dalam pelbagai warna tetapi masih berasaskan warna hijau seperti hijau-keputihan, hijau-keperangan, hijau-kekuningan dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, Leucobryum dikenali sebagai lumut putih yang banyak ditemui di hutan tanah rendah dan juga tanah tinggi di Malaysia. Warnanya yang agak keputihan disebabkan oleh lapisan sel leukosisnya yang lebih banyak berbanding sel klorosis. “Leuco” bermaksud putih, manakala “Chloro” bermaksud hijau. Kebiasaannya lumut boleh dijumpai di semua habitat di dunia kecuali di dalam laut, hal ini disebabkan oleh kemampuannya untuk menyerap air dan menahan kekeringan, namun ia tidak rintang kepada kemasinan air laut. Ia mampu hidup subur di kawasan lembap, teduh, serta berhampiran dengan sumber air seperti air terjun dan sungai. Ia juga lebih banyak ditemui di hutan tanah tinggi berbanding hutan tanah rendah disebabkan oleh suhu yang rendah yang turut mempengaruhi pertumbuhan lumut.
Jadi, hasil daripada perkongsian ini diharapkan agar para pembaca yang bijaksana lebih cakna dan tidak keliru lagi dengan istilah alga dan lumut pada masa akan datang.
Kredit imej-Innovation News Network
Rujukan:
Fabio R. 2011. Terrestrial green algae: Systematics, biogeography and expected responses to climate change. Publisher: Cambridge University Press.
Manuel, M.G. 1981. A generic moss flora of Peninsular Malaysia and Singapore. Federation Museums Journal, New Series 48: 175-188.
Terlova E.F., Holzinger A., Lewis L.A.. Terrestrial green algae show higher tolerance to dehydration than do their aquatic sister-species. Microb Ecol. 2021 Oct;82(3):770-782.
Vashita, B.R. 1979. Bryophyta. New Delhi: S. Chand & Company LTD.