Oleh: Zafirah Zapri
Kebelakangan ini, ada sahaja taufan yang menghuru-harakan bandar-bandar sehingga menjadi padang jarak padang tekukur dan meragut nyawa. Nama-nama seperti Katrina, Jeanne dan Debbie bukanlah nama artis Hollywood terkenal tetapi nama yang diberi kepada taufan yang pernah terkenal kerana ‘mengganas’ di sesuatu tempat. Persoalannya, bagaimana kejadian alam ini berlaku?
Taufan dan puting beliung adalah perkara yang sama iaitu sejenis ribut yang ganas. Nama lain bagi taufan adalah ‘hurikan’ dan ‘siklon’, bergantung kepada kawasan di mana kejadian ini berlaku. Nama ‘hurikan’ adalah merujuk kepada puting beliung yang berlaku di Lautan Atlantik. Di sebelah barat laut Lautan Pasifik pula dirujuk sebagai taufan, manakala di Lautan Hindi disebut sebagai ‘siklon’. Terma saintifik bagi ribut ini pula adalah Siklon Tropika.
Bagaimana taufan terjadi?
Walau apapun nama yang dipanggil, proses pembentukan siklon tropika ini adalah sama.
Kejadian siklon tropika ini bermula di tengah lautan. Berdasarkan pembacaan dan pencarian penulis, air laut yang panas penting dalam pembentukan siklon tropika. Fenomena ini biasanya berlaku di kawasan perairan tropika. Suhu air laut di kawasan perairan tropika ini dipercayai tinggi kerana terletak berhampiran dengan garis khatulistiwa, di mana kedudukan matahari berdiri tegak di atasnya. Di samping itu, kawasan perairan ini juga cetek, berjarak sekitar 50 meter dari permukaan laut dan cahaya matahari boleh menembusinya. Hal ini demikian menjelaskan mengapa air laut di perairan tropika dipercayai lebih panas berbanding tempat lain.
Secara teorinya, apabila paras suhu permukaan air laut meningkat melebihi 26.5 ºC, taufan akan terbentuk. Suhu air laut yang tinggi menjana haba di permukaan laut sekali gus memberi tenaga kepadanya. Penyejatan yang berlaku menyebabkan wap air akan naik ke udara dalam kadar yang tinggi. Kemudian ia melalui proses kondensasi yang membawa kepada pembentukan kepulan awan besar dan ribut petir. Bagaimanapun, awan besar dan ribut ini hanyalah sebagai satu permulaan.
Menurut laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, proses pembentukan taufan dikelaskan kepada tiga bahagian iaitu:
- Lekukan Tropika – Satu sistem yang terdiri daripada awan dan ribut petir yang berputar dengan kelajuan angin maksimum 63 km/j atau kurang.
- Ribut Tropika – Satu sistem ribut petir kuat yang berputar dengan kelajuan angin maksimum antara 64 – 117 km/j.
- Taufan – Satu sistem cuaca tropika hebat yang berputar dengan kelajuan angin maksimum 118 km/j atau lebih.
Apabila siklon tropika mencapai kematangan, wujud satu kawasan di pusatnya yang dipanggil ‘mata taufan’. Kawasan ini merupakan kawasan yang paling rendah tekanan udara. Mengikut teori sains, udara daripada tekanan tinggi akan bergerak menuju ke tekanan yang rendah. Justeru itu, ia menjadi tumpuan bagi udara dan angin kencang di sekelilingnya. Kawasan ini juga tenang dan bebas daripada awan. Bagaimanapun, ‘dinding mata’ iaitu jaluran awan tebal yang mengelilingi mata taufan merupakan tempat berlakunya aktiviti paling ganas iaitu hujan turun dengan lebat serta kekerapan ribut petir. Udara juga berputar ke arah atas dengan kelajuan yang tinggi di sini.
Oleh kerana bumi berputar di atas paksinya, taufan ini turut berputar dan dipengaruhi oleh kesan Coriolis yang memesongkan arah pergerakan angin. Hal ini demikian menyebabkan taufan berputar melawan jam di hemisfera utara dan mengikut arah jam di hemisfera selatan. Kekuatan taufan pula dibahagikan kepada lima kategori seperti berikut:
Skala Hurikan Saffir-Simpson
Selagi taufan ini berada di atas permukaan air laut yang panas, selagi itulah ia akan terus membadai kerana haba yang disimpan memberi kekuatan kepadanya. Apabila ia bergerak ke arah kawasan perairan yang sejuk dan berlaku geseran di daratan, kekuatan taufan ini akan semakin lemah kerana kehilangan sumber tenaga yang dibekalkan oleh air panas.Skala Hurikan Saffir-Simpson
Kesan-kesan taufan
Taufan amat berbahaya terutama bagi penduduk pesisir pantai kerana ia membawa hujan lebat, angin kencang dan ombak besar. Fenomena ini boleh menjejaskan aktiviti di lautan seperti perkapalan manakala di darat pula, umum mengetahui bahawa taufan telah mengakibatkan kemusnahan harta benda, kematian dan puluhan ribu manusia terkandas. Paling diingati dalam lipatan sejarah adalah taufan Katrina, yang mendapat liputan media di seluruh dunia pada tahun 2005. Manusia bertempiaran lari mencari tempat berteduh, kemusnahan bangunan dan rumah, kawasan ditenggelami air adalah antara kesan bencana alam yang sering dihidangkan kepada kita menerusi televisyen dan paparan di akhbar ketika itu.
Menurut saintis, kejadian taufan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini turut dikaitkan dengan pemanasan global akibat daripada aktiviti manusia. Suhu bumi yang meningkat turut menyebabkan suhu lautan meningkat. Semakin tinggi isi padu air yang bersuhu tinggi, semakin tinggi haba yang disimpan, maka kekuatan taufan ini juga akan bertambah dan semakin kerap terjadi. Menurut laporan portal Kosmo!, kejadian ribut kategori 4 dan 5 telah berlaku peningkatan yang serius di seluruh dunia sepanjang sedekad lalu. Kategori tersebut merupakan taufan yang terkuat dan membawa kemusnahan yang teruk.
Kesimpulan
Begitulah serba sedikit tentang bagaimana kejadian taufan berlaku dan kesannya yang cukup meruntun jiwa. Setakat ini negara kita masih terlindung daripada ancaman taufan. Alhamdulillah. Namun begitu, ia bukanlah petanda kita berada di zon selamat kerana kita turut merasai tempiasnya apabila taufan ‘menghempas’ negara jiran kita. Contohnya taufan yang berlaku di Filipina bergerak menuju ke Laut China Selatan. Oleh itu, beberapa kawasan di pantai timur mengalami ribut dengan angin yang kuat sehingga menyebabkan beberapa rumah di Terengganu mengalami kerosakan. Jabatan Meteorologi Malaysia menyimpulkan kejadian ini sebagai kesan ekor (tail effect) susulan daripada taufan Ketsana.
Rujukan
- Mohd Fadzil Akhir. (2012). Pemanasan Global. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
- Houze Jr, R. A. (2010). Clouds in tropical cyclones. Monthly Weather Review, 138(2), 293-344.
- Garrison, T. (2013). Oceanography: An Invitation to Marine Science, 8th Edition. Orange Coast College, University of Southern California. 608p
- Jabatan Meteorologi Malaysia. (2017). Siklon Tropika. Dicapai daripada laman web rasmi Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) http://www.met.gov.my/web/metmalaysia/education/weather/weatherphenomena/tropicalcyclones
- NASA Space Place. (2016). How do hurricanes form? Dicapai https://spaceplace.nasa.gov/hurricanes/en/
- NOAA Ocean Explorer. (2013). Hurricanes. Dicapai http://oceanexplorer.noaa.gov/facts/hurricanes.html
- Kosmo!. (2017). Taufan adalah ribut tropika. Dicapai http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
- Wikipedia. (2013). Kesan Coriolis. Dicapai https://ms.wikipedia.org/wiki/Kesan_Coriolis