Oleh: Dr Mahirah Kamaludin
Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu
Ketika kerajaan dan agensi alam sekitar berusaha untuk mengukur nilai ekonomi alam semula jadi, para pendokong alam sekitar semakin diasak soalan yang tampak mudah, “Berapakah nilai penyu?” Ahli ekonomi mengukur nilai dari sudut yang berbeza kepada manusia.
Manusia memperoleh pelbagai manfaat dan nilai dari penyu, yang berbeza dari segi geografi, budaya, dan individu. Penyu mempunyai nilai ekonomi dan intrinsik serta menjadi penunjuk kepada tahap kestabilan ekosistem marin. Dari sudut ekonomi, penyu menjana nilai tambah kepada sektor pelancongan domestik dengan meningkatkan nilai rekreasi dan secara tidak langsung turut menyediakan sumber pendapatan kepada komuniti setempat. Walau bagaimanapun, aktiviti-aktiviti di lautan, dan pembangunan pesat komuniti di sepanjang persisiran pantai tanpa rancangan pembangunan bersepadu telah memberikan impak yang besar kepada kelestarian penyu di lautan. Kajian empirikal telah membuktikan bahawa pembangunan pantai yang tidak terkawal dan aktiviti-aktiviti manusia yang berleluasa secara langsung telah memusnahkan atau mengganggu habitat dan pantai tempat penyu naik bertelur di seluruh dunia.
Spesis penyu agar (Chelonia Mydas) banyak ditemui bersarang di pantai dan pulau di negeri Terengganu dengan mempunyai kepadatan tertinggi di Semenanjung Malaysia. Pada tahun 2010, lebih kurang 400,000 telur telah dieramkan, dan sebanyak 270,000 anak penyu menetas telah dilepaskan ke habitat mereka.
Terengganu pernah menjadi tempat penyu naik bertelur bagi spesis penyu belimbing (Dermochelys Coriacea). Malangnya, populasi ini kini dianggap pupus secara fungsi (functionally extinct) kerana ancaman manusia (Chan, 2006). Ini bermaksud, bilangan penyu belimbing yang mungkin ditemui di perairan negara tidak mampu untuk menjalankan fungsi ekologinya sekaligus naik untuk bertelur kembali. Menurut WWF Malaysia (2009), terdapat kira-kira 10,000 sarang penyu belimbing di Rantau Abang, Terengganu, setiap tahun sekitar tahun 1950-an. Sebaliknya, statistik semasa menunjukkan bahawa bilangan mereka kini kurang daripada 10. Salah satu faktor penyumbang kepada kehilangan penyu belimbing dari pantai adalah disebabkan pengkomersilan telur penyu di negeri Terengganu sendiri. Ini jelas menunjukkan bagaimana aktiviti manusia menjurus kepada “perniagaan penyu” seperti menjual dan memakan daging, cengkerang, dan telur telah menyebabkan kepupusan haiwan prasejarah ini.
Jumlah Nilai Ekonomi Penyu
Jumlah nilai ekonomi merujuk kepada nilai yang diperolehi manusia daripada sumber semula jadi. Nilai ekonomi spesis penyu meliputi pelbagai sudut dan menyumbang pelbagai manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada manusia, alam sekitar dan ekosistem. Spesies penyu mempunyai fungsi tersendiri dalam memastikan keseimbangan ekosistem marin di pesisir pantai, kepulauan dan lautan. Penyu diiktiraf sebagai haiwan warisan Malaysia kerana pengaruhnya yang amat besar bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem habitat semula jadi mereka.
Nilai Gunaan Langsung
Nilai gunaan langsung meliputi penggunaan spesis penyu i) secara konsumtpif dan ii) bukan konsumptif. Penggunaan secara konsumptif melibatkan pengambilan sumber (penyu) dari komponen ekosistem untuk tujuan konsumptif/penggunaan. Daging dan telur penyu merupakan sumber makanan dan pendapatan bagi ramai orang di seluruh dunia. Budaya memakan telur penyu dan penjualan telur penyu telah berleluasa di Terengganu sebelum penguatkuasaan pengharaman pengkomersialan pada Jun 2022 lalu.
Penyu juga turut dijadikan sumber perubatan dan cengkerang penyu diambil bagi tujuan perhiasan. Tindakan manusia yang bergantung kepada spesis penyu bagi tujuan pendapatan dan kepentingan diri akan menyebabkan populasi penyu berkurang dan terancam. Dari sudut ekonomi, penawaran sumber akan terjejas.
Penggunaan secara bukan konsumptif melibatkan perkhidmatan ekosistem tanpa pengekstrakan sebenar penggunaan langsung alam sekitar atau pengambilan sumber seperti penyu. Nilai penggunaan langsung bukan konsumptif ialah nilai bagi aktiviti bukan konsumptif. Nilai ini tidak melibatkan mengambilan terus spesis penyu dan bilangan populasi tidak terjejas. Dari sudut ekonomi, penawaran sumber tidak terjejas. Sebagai contoh, aktiviti pendidikan dan penyelidikan berkaitan penyu tidak mengganggu bilangan populasi penyu.
Manakala, aktiviti turtle-watching ecotourism melibatkan pemerhatian terhadap spesis penyu sebagai tarikan pelancongan. Penyu turut mempunyai nilai spiritual berdasarkan kelajuan penyu yang unik, cengkerang, dan umur yang panjang menyebabkan penyu dikaitkan dengan emosi, mental dan fizikal yang dikaitkan dengan manusia. Di kalangan peribumi Amerika, penyu melambangkan kestabilan dan perkaitan dengan Bumi.
Nilai Gunaan Tidak Langsung
Nilai gunaan tidak langsung merujuk faedah yang diperoleh daripada barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh ekosistem dan digunakan secara tidak langsung oleh agen ekonomi. Sebagai contohnya, secara tidak langsung penyu membantu mengekalkan kesejahteraan ekosistem marin dengan memastikan rumpai laut dan terumbu karang dalam keadaan sihat. Penyu belimbing memakan ubur-ubur dan bertindak aktif dalam mengawal populasinya apabila berlaku ledakan populasi. Ubur-ubur yang banyak akan memakan telur dan larva ikan dan mengakibatkan populasi ikan berkurangan.
Nilai Bukan Gunaan
Nilai bukan gunaan terutamanya nilai kewujudan yang terhasil dari mengetahui ciri persekitaran akan terus wujud pada masa hadapan, tanpa mengira sebarang jangkaan penggunaan sebenar. Sebagai contoh, nilai kewujudan penyu di Semporna digunakan untuk mewakili nilai bukan gunaan dan terdiri daripada tiga komponen; 1) Bayaran ex-gratia; 2) pelaburan dalam pemuliharaan penyu; dan 3) kesanggupan membayar bagi pemuliharaan dan mencegah kepupusan penyu.
Sekiranya penyu pupus, keseluruhan ekosistem marin akan terjejas dan memberikan kesan yang besar kepada seluruh dunia. Spesies penyu secara unik mempengaruhi kepelbagaian, habitat, dan kefungsian persekitarannya. Kesan luaran negatif wujud apabila terdapat individu yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan kepupusan spesis penyu. Langkah pemuliharaan yang lebih proaktif amat diperlukan bagi melindungi penyu dan meningkatkan semula populasi ke tahap yang seimbang. Tambahan pula, penyu dapat membantu memulihkan lautan dan menjadikannya lebih berdaya tahan terhadap ancaman di masa hadapan. Maka, adalah sangat penting untuk memahami nilai gunaan dan bukan gunaan serta siapakah penerima manfaat dari nilai tersebut.
Nota: Penulis merupakan pensyarah Program Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) di Universiti Malaysia Terengganu yang terlibat aktif dengan kajian penilaian ekonomi alam sekitar. Penulis boleh dihubungi melalui mahirah.k@umt.edu.my
Kredit Foto : freepik