Profesor Dr.Shaharir Mohamad Zain
[ http://shaharirbmz.blogspot.com ]
Oleh : Aqil Fitri http://selak.blogspot.com
Wawancara AQIL FITHRI bersama dengan DR. SHAHARIR MOHAMAD ZAIN, mantan professor matematik-fizik di UKM dan UMT, jelas memperlihatkan bahawa Tamadun Melayu wajar dikaji ekoran beberapa sumbangannya dalam kemajuan ilmu dunia. Sebagai seorang pejuang bahasa juga, Dr. Shaharir turut mengungkapkan beberapa keistimewaan bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang punya sebab untuk dituntut.
Pertama, apa yang istimewanya bahasa Melayu? Misalnya, ramai yang mahu membaca Discourse de la Methode maka memotivasikan seseorang mempelajari Perancis. Malah, kalau dalam bidang anda sendiri, fizik kuantum, anda sendiri menyatakan terpanggil mempelajari bahasa Jerman kerana banyaknya teks-teks awal asli bidang ini dalam bahasa Jerman. Bagaimana dengan bahasa Melayu, apa keistimewaannya mempelajari bahasa Melayu?
Itu adalah persoalan yang relevan dengan bangsa lain. Anggapannya bagi rakyat Malaysia mereka sudah tentu sudah menguasai bahasa Melayu pada tahap yang munasabah. Apa pun relevannya bahasa Melayu sama seperti dengan bahasa-bahasa-bahasa yang sdr. bayangkan di dalam pengenalan soalan yang ditujukan kepada saya ini. Bahasa Melayu amat relevan dengan mereka yang berminat kepada tamadun di Alam Melayu ini (secara amnya bangsa pribumi di Asia Tenggara ini yang bertamadun besar sejak abad ke-2M). Sarjana-sarjana China dalam abad ke-7M hingga ke-11M (Zaman Kerajaan Melayu Sriwijaya) berminat pada bahasa Melayu yang dikenalinya sebagai bahasa Kunlun (hampir sama dengan panggilan Yunani, Kolan/Colan), kerana mereka mendapati banyaknya karya ilmu dalam bahasa Melayu pada masa itu. Mereka pun menguasai bahasa Melayu sehingga mampu menterjemah ratusan buku ilmu dalam bahasa Melayu itu dan sekaligus membuat kamus Melayu-China bukan sahaja untuk keperluan sarjana tetapi juga untuk para pedagang dan diplomatnya. Para penjajah Eropah yang datang ke Alam Melayu ini mulanya berminat kpd penyebaran Kristian dan pelenyapan kerajaan Islam Asia Tenggara (sambungan kemenangannya di Eropah), diikuti dengan perdagangan dan pemahaman pemikiran bangsa yang mereka ingin jajahi (bangsa rumpun Melayu). Mereka dapati banyak sekali prasasti (batu bersurat) dan manuskrip Melayu (berjumlah puluh ribuan) yang mengandungi ilmu yang perlu rasa mereka telaah hingga sekarang pun. Semua ini memerlukan mereka meguasai bahasa dan kebudayaan rumpun Melayu lalu mereka membuat Kamus bahasa Melayu-Sepanyol umpamanya dan menterjemah prasasti dan manuskrip yang bagus-bagus itu ke dalam bahasa-bahasa mereka (Perancis, Sepanyol, Feringgi/Pertugis, Belanda dan Inggeris), di samping mereka menterjemah Bible ke dalam bahasa Melayu dan bahasa-bahasa rumpun Melayu. Bahasa Melayu memang menjadi bahasa antarabangsa sejak abad ke 5 M hinggalah abad ke-18M. Yang kurang diketahui umum ialah betapa gigihnya sarjana Perancis (di samping Hindia) mentelaah dan menterjemah prasasti Melayu Campa (abad ke-5M hingga ke-15M) yang banyak mengandungi ilmu yang nampaknya lebih daripada yang di prasasti Melayu Sriwijaya itu (dipercayai kerana hilangnya prasasti Sriwijaya). Hanyalah mulai abad ke-19 hingga kini sahaja bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa antarabangsa kerana orang Melayu sendiri meninggalkan bahasanya sehingga tidak lagi berkarya dalam bahasanya sendiri. Kemerosotan tahap bahasa Melayu ini nampaknya terhenti mulai munculnya negara-bangsa rumpun Melayu merdeka khususnya Indonesia 1945 dan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Malaysia 1963 yang cuba bangun kembali daripada runtuhannya tetapi nampaknya masih belum bingkas. Pun begitu bahasa Melayu masih dipelajari oleh bakal para sarjana Pengajian Melayu atau Tamadun Melayu sepanjang zaman kerana karya-karya agung Melayu ciptaan sebelum abad ke-19 masih belum tuntas dikaji terutamanya dalam aspek sains dan teknologi yang dahulunya terabai, di samping minat bangsa-bangsa moden terhadap novel dan puisi Melayu moden yang memang bertaraf dunia, cuma disebabkan pengaryanya berada di sudut politik yang tidak tepat sahaja yang menjadikan novel-novel itu tidak mendapat Hadiah Nobel walaupun sudah dicalonkan beberapa kali (khususnya novel karya Pramoedya Ananta Toer yang banyak berkarya sebelum wujudnya Indonesia lagi). Usaha untuk menjadi bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa rasmi Asean dan/atau bahasa rasmi di PBB, apabila berjaya kelak akan menambahkan lagi istimewanya bahasa Melayu dipelajari/dikuasai. Tentunya bahasa Melayu akan lebih diminati bangsa lain lagi apabila orang rumpun Melayu ini kembali berkarya dalam bahasanya sendiri dalam sains dan teknologi. Jadi, pada zaman para penjajah Eropah datang ke Alam Melayu, mereka kagum melihat perkara-perkara yang ditulis di prasasti dan manuskrip, serta teknologi Melayu (seni bina, perkapalan dan persenjataan Melayu) yang mereka merasakan bangsanya pun tidak sehebat itu. Yang keduanya, kemudiannya soal diplomasi. Mereka mahu menjajah Alam Melayu memang kena tahu kebudayaan Melayu. apabila mereka mahu tahu kebudayaan Melayu, maka bahasa menjadi alat yang paling penting. Mereka mahu tahu bagaimana Melayu bertindak, atau bagaimananya
lojik/mantik Melayu itu.
Contoh teks besar itu dalam tamadun Melayunya?
Adapun karya besar dalam bahasa Melayu (dalam huruf Jawi) yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa besar dunia ialah seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai, Sulalaht al-Salatdin, Taj al-Salatdin, Bustdan al-Salatdin dll. Kalau tulisan di prasasti paling banyaknya ialah terjemahan ke dalam Perancis dan Belanda tetapi karya-karya itu tanpa judul dan oleh itu sukar dinyatakan di sini. Yang boleh saya ingat sekarang ialah prasasti abad ke-11M yang dijumpai oleh sarjana Perancis di Vietnam (Melayu Campa) dalam awal abad ke-20M dahulu dan biasa disebut prasasti Cakeravantin (yang boleh dikenali susuk bahasa Melayunya yang bermaksud Tok Batin Alam Semesta) kerana kandungan mengandungi ilmu kepemimpinan dan kepengurusan yang luar biasa dan mendahulu zamannya di seluruh dunia ini. Jadi itu boleh dianggap karya agung Melayu juga. Karya ini sudah diterjemah ke dalam bahasa Perancis dan Inggeris dan baru saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu sekarang (drp bahasa Inggeris itu!). Kami jangka banyak prasasti yang seperti ini yang belum dicungkil lagi dan itulah sebahagian drp kegiatan kami sejak beberapa tahun ini. Berhubung dengan hal ini, rancangan Institut Terjemahan Negara untuk menterjemah karya-karya agung Melayu ke dalam baahsa Inggeris yang pernah digembar-gemburkan beberapa ketika dahulu itu, bolehlah dikatakan sebagai satu rancangan yang tidak berfaedah kerana tiadalah karya agung kita yang belum diterjemah kepada pelbagai bahasa! Sepatutnya Institut itu menumpukan kepada penerbitan terjemahan karya-karya agung bangsa lain kepada bahasa Melayu sahaja, sebagaimana yang diimpikan semasa penubuhannya dahulu itu.
Bukankah, teks-teks itu hanya boleh golongkan dalam karya-karya sastera semata-mata? Bagaimana pula kalau kita melihat dalam bidang sains dan teknologi?
Ya betul, walaupun dalam buku-buku itu juga ada tersirat kisah-kisah tahap ilmu sains dan teknologi Melayu yang tinggi. Umpamanya dalam Sulalaht al-Salatdin itu ada perihal bahtera Sultan Mahmud Shah ke Majapahit (abad ke-15M) yang cukup besar yang bernama Mendam Berahi yang jika seorang arkitek kini membacanya nescaya akan dapat melahirkan sebuah bahtera Melayu yang cukup bitara (unik) lebih daripada kapal Alfonso de Albuqarque (Feringgi/Pertugis), Flor de la Mar, yang dengan tanpa bijaksananya dibina semula dan dilabuhkan di Melaka sekarang entah untuk apa selain daripada menginferiorkan jiwa-jiwa Melayu kini! Sepatutnya kerjaan Melaka membina semula kapal Mendam Berahi itu atau lebih baik lagi kapal yang ditinta di dinding candi Borubudur yang dibina pada abad ke-8M itu. Begitulah terjajahnya minda para pemimpin Melayu moden. Dalam Hikayat Raja Pasai itu pula terdapat perihal kehebatan orang-orang Melayu dahulu (abad ke-14M) yang pakar dalam membuat racun yang cukup hebat dan pakar-pakar ini dinamai “orang seri”. Pendeknya, bidang senibina rumpun Melayu memang lebih hebat daripada tamadun dunia lain di Asia ini (Hanya Tamadun Timur Tengah yang mengatasinya). Bahkan, berbanding dengan Eropah pada waktu tersebut, Tamadun Melayu jauh lebih baik. Eropah barangkali langsung tidak ada senibinanya ketika itu, sedangkan dalam abad ke-5 hingga ke-8, senibina Melayu memang diakui kehebatannya oleh para sarjana kajian tamadun seluruh dunia, khususnya Eropah. Terutamanya kalau kita perhatikan senibina yang terpancar daripada binaan candi-candi atau wat-wat Melayu Campa di Vietnam dan Melayu Funan di Kemboja, dan candi Melayu Sriwijaya-Sailendra di Jawa Tengah, iaitu candi Borobudur itu beberapa abadlebih lama dan lebih hebat daripada Wat Angkor itu [Wat Angkor yang dianggap senibina Kemboja purba itu pun boleh dibahaskan tentang adanya hubungan dengan senibina Melayu Funan]. Catatan Yunani, Feringgi/Pertugis, Belanda, Sepanyol, Jepun dan China menunjukan tamadun Melayu hebat dengan teknologi perkapalan dan persenjataan mengatasi bangsa-bangsa lain pada zaman abad ke-2M hingga abad ke-16M. Kalau zaman Feringgi/Pertugis itu memang tercatat dalam tulisan Pertugis yang menyatakan tukang-tukang Melayu dalam membuat kapal yang dibawa ke negaranya untuk dipelajari teknologi perkapalan itu. Cerita kehebatan Melayu dalam pelayaran terbukti dengan kisah rakaman Sepanyol terhadap seorang ahli pelayaran Melayu yang bernama yang digelarnya Henry Hitam yang dijadikan pembantu penting Magellan mengelilingi dunia. Catatan Belanda menyebut teknologi meriam Melayu Petani (Patani sekarang, warisan kerajaan Melayu Langkasuka] pada abad ke-17 lebih hebat daripada meriam Belanda apatah lagi Siam (Thailand sekarang) yang pernah berpakat menyerang Petani beberapa kali tetapi gagal itu. Catatan Feringgi/Pertugis menyatakan kapal perang dan Meriam tentera Melaka lebih canggih daripada ciptaan mereka dan bangsa Eropah lain tetapi kerana Melaka tetap dapat dikalahkan menerusi strategi perang, maka jiwa-jiwa Melayu hingga sekarang pun merasakan bangsanya memang inferior dalam teknologi ini, malah dalam buku baru (2006) karya seorang sarjana (bukan ahli sejarah) UKM, Kamaruddin Said, tentang Melayu cukup membantu menguatkan psikologi inferior Melayu ini kerana ada lukisan karikatur kapal perang Feringgi yang amat besar yang sedang melanda perahu-perahu kecil pahlawan-pahlawan Melaka! Jelas sarjana ikhtisas (= sarjana upahan) ini tidak cukup menyelami fakta yang lebih tepat tentang Tamadun Melayu). Memang malang sekali kerana ahli-ahli sejarah kita tidak menonjolkan perkara ini semata-mata kerana “jiwa hamba” mereka itu. Walaupun cerita ini telah pun dijadikan bahan novel sejarah berjudul Penglima Awang oleh Harun Aminurrashid pada tahun 1960-an dahulu tetapi orang Melayu (termasuk sarjana relevannya) menganggapnya cerita khayalan sahaja! Apa pun memang benarlah setakat ini tiadalah ditemui prasasti atau manuskrip lama rumpun Melayu yang khusus mengandungi ilmu sains dan teknologi Melayu yang termanifestasi hebat itu sehingga orang awam merasakan tamadun Melayu bukannya tamadun sains dan teknologi. Inilah yang sedang dikaji oleh kumpulan kami KuPELEMA (Kumpulan Penyelidikan Etnomatematik Melayu) di INSPEM UPM untuk menghakiskan citra negatif Melayu ini.
Soal senibina benar juga. Macam candi di Jepun pada kurun ke-8 itu, rupa-rupanya pembina candi di Jawa turut sama membina candi di Jepun. Begitu, bukan?
Ya itu sedikit sahaja di Jepun. Di China lagi banyak. Bukti secara bertulis (di China) mencatatkan banyaknya dan seringnya kerajaan China sendiri mengundang tukang-tukang di Alam Melayu membina atau membaiki candi-candi di merata tempat di sana dalam zaman kerajaan Melayu Sriwijaya-Sailendra.
Memang teks-teks klasik kita dalam bidang sains dan teknologi seperti tidak ada, dan yang masih termanifestasi wujud dengan gagahnya dan hebatnya hanyalah senibina sahaja.Akan tetapi, apakah dalam konteks falsafah yang terdapat dalam tamadun Melayu ini ada keperluan untuk bangsa-bangsa lain belajar bahasa Melayu?
Pastinya! Sebelum Islam tiba, Islam di Alam Melayu pun ternyata Alam Melayu ini menjadi pusat pengembangan Buddhaisme di Asia Timur ini (Indochina/Hindia-Tiongkok, Tiongkok/China dan Jepun). Misalnya falsafah Buddha-Melayu zaman Melayu Funan, Campa dan Sriwijaya atau falsafah Hindu-Jawa (Hindu-Shiva) pada zaman Majapahit. Falsafah Buddhaisme itu memang ditulis dalam bahasa Melayu yang disebut oleh China sebagai Kunlun itu, atau dalam bahasa Jawa, satu bahasa rumpun Melayu yang terbesar dan kaya dengan ilmu terutama pada zaman Majapahit (kemuncaknya abad ke-12M). Apabila rumpun Melayu memeluk Islam, falsafah Islam-Melayu dan Islam-Jawa (Kejawin) menggantikan falsafah-falsafah tersebut di atas tetapi falsafah ini diminati oleh para pengkaji Tamadun Melayu sahaja, kerana ternyata Alam Melayu tidak menjadi pusat pengembangan Islam ke Asia. Oleh itu, agak benarlah juga rasanya bahawa falsafah sebagai ilmu yang menjadi pendorong bangsa-bangsa lain mempelajari bahasa Melayu bolehlah dikatakan tidaklah sehebat pada zaman sebelum rumpun Melayu memeluk Islam. Namun, falsafah Melayu sebagai ilmunya sebelum mereka terjajah tetap menjadi pendorong bangsa-bangsa lain mempelajari bahasa Melayu.
Apa idea baru yang terbit dari falsafah di Alam Melayu?
Tamadun Melayu pernah melakukan inovasi dalam falsafah Buddhaisme dan Hinduisme yang menjadi bahan kajian dan perbahasan tiga penjuru alam pada abad-abad sebelum kedatangan Islam di Alam Melayu: Alam Melayu-Tibet-Jepun. Umpamanya Hinduisme Jawa itu memang diakui dunia berbeza sama sekali dengan Hinduisme di mana-mana pun termasuk di India: Falsafah Hindu-Jawa berasaskan mazhab Hindu baru yang dikenali sebagai Hindu-Shiva. Semua ini memang memotivasi sarjana di “rantau tiga penjuru alam” yang disebut itu menguasai bahasa Melayu. Falsafah Islam di Alam Melayu juga rasanya ada inovasinya atau penambah-baikannya apabila mengenangkan Syeikh Daud Fathani mengarang kitab feqahnya yang mengandungi hukum-hukum yang tiada dalam kitab-kitab feqah dari Timur Tengah, al-Palembangi menterjemah kitab Ihya ‘Ulum al-Din karya agung Imam Ghazaly itu bukan secara lurus tetapi beliau dikatakan banyak menambah buah fikirannya sendiri dalam sesuatu isu yang dibicarakan oleh Imam al-Ghazaly itu, dan yang agak kontroversi dan lebih kefalsafahan lagi ialah sumbangan sarjana-sarjana Melayu sejak Hamzah Fansuri (abad ke-16) dalam pembinaan falsafah Martabat Tujuh itu.
Itu mungkin dorongan dalam pengalaman lama bangsa Melayu. Namun ada pengalaman berbeza dewasa ini. Kita boleh semak, sama ada di Korea, atau Jepun ataupun di negara-negara kecil di Eropah seperti Belanda, Sweden dan Czech—yang kita tahu merupakan antara bahasa-bahasa yang kecil di Eropah—jumlah penutur bahasa-bahasa ini adalah amat sedikit berbanding dengan bahasa Melayu (yang berada di tangga ke-4 terbesar di dunia) yang belum mengambil kira rumpun Melayu Polenesia yang amat luas itu. Namun, perpustakaan bahasa-bahasa kecil ini, atau kedai-kedai bukunya jauh lebih banyak buku-buku dalam bahasa mereka berbanding dengan yang dalam bahasa Melayu. Nyatalah pengalaman kita sehingga kini gagal untuk meletakkan bahasa kita sebaris dengan bahasa-bahasa kecil di dunia itu pun, meskipun jumlah penutur kita jauh lebih besar. Mengapa perkara ini boleh berlaku?
Ada pihak yang berpendapat orang Melayu kini lebih mementingkan lisan. Maksud saya warisan budaya sastera lisan. Sebab, tampaknya orang Melayu memang mewarisi sesuatu menerusi lisan seperti pantun dan peri bahasa itu. Mereka tidak suka menulis; tak suka mencatat apa-apa yang mereka alami atau khayali. Namun ini hanya spekulasi mudah sahaja kerana bangsa rumpun Melayu ini ternyata suka menulis pada batu-batu, kulit-kulit kayu, daun tar/lontar (simbol DBP itu) dan sebagainya (sebelum kertas ada) dan setelah kertas ada, orang Melayulah yang paling banyak menghasilkan manuskrip dalam dunia ini (kini dikatakan berjumlah belasan ribu). Cuma pada zaman moden ini sahaja nampaknya orang Melayu tidak suka menulis kerana mereka terjajah hebat, iaitu mereka fikir semuanya sudah ada dalam bahasa Inggeris… kuasai bahasa Inggeris dan baca sahaja… itu pun dah tak habis dibaca kononnya; dan yang mahu menulis terus sahaja menulis dalam bahasa Inggeris terutamanya dalam sains dan teknologi kerana mahu bersama terus di sisi bangsa berbudaya Inggeris itu. Yang menyebabkan masih ada buku-buku Melayu ini ialah kerana adanya sasterawan (yang menulis novel dan puisi), adanya ustaz-ustaz yang mahu mengulang-ngulang tulisan warisan Islamnya, dan adanya tuntutan buku-buku teks sains dan teknologi Melayu di sekolah dan di universiti sehingga 2003. Kini dengan dasar pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris keadaan ini telah pun terasa perubahan besarnya. Dalam masa yang sama, para sarjana yang mendapat anugerah Saintis Muda atau Ahli Sains Negara setakat ini boleh dikatakan tiada yang berkarya dalam bahasa Melayu! Mujur juga UKM mewajibkan para profesornya menulis kuliah pengukuhan keprofesorannya dalam bahasa Melayu dan sehingga kini itulah sahaja yang adanya karya sains dan teknologi tertinggi mutunya dalam bahasa Melayu. Institusi lain masih menulis dalam bahasa Inggeris dengan bangganya!
Ataupun mungkin kerana tamadun kita tidak mencipta kertas? Sebab itu kita tidak terbudaya dengan menulis kerana susahnya berbuat demikian. Apakah itu analisis yang boleh diterima tentang tamadun Melayu?
Tidak berapa tepat seperti yang telah dihuraikan di atas. Orang Melayu pernah biak dan subur dalam penulisan (di prasasti, kulit kayu, daun tar, dsbnya dan di kertas pun). Cuma pada abad-abad kebelakangan ini sahaja tampak muflisnya kegiatan itu. Ini tidaklah juga khusus berlaku pada bangsa rumpun Melayu ini sahaja. Kertas dicipta di China tetapi penulisan di China juga amat ketinggalan berbanding dengan Eropah. Tamadun Islam dahulu amat banyak penulisannya tetapi dalam abad ke belakangan ini nasibnya sama dengan penulisan di Alam Melayu. Ini ciri keruntuhan sesebuah tamadun sahaja. Namun satu yang aneh yang nampaknya memang berlaku ialah tentang budaya penterjemahan. Negara-negara di Eropah dan sebelum itu Tamadun Islam, setiap satunya mengalami Zaman Penterjemahannya tersendiri sebelum mereka berkarya sendiri. Namun bagi Tamadun Melayu, Zaman Penterjemahan ini seolah-olah masih belum berlaku. Zaman ini tidak pernah berlaku dalam era sebelum Islamnya umat di Alam Melayu ini, ataupun era mereka memeluk Islam. Bahkan,al-Qur’aan baru saja diterjemah ke dalam bahasa Melayu, iaitu pertengahan abad ke-17 oleh Abdul Rauf Singkel, sedangkan Barat menterjemah al-Qur’aan ke dalam bahasa Latin pada abad ke-13M lagi dan ke dalam bahasa Inggeris pun sedikit terawal daripada yang ke dalam bahasa Melayu itu. Ada pandangan bahawa Tamadun Melayu pra-Islam tidak mencipta zaman penterjemahannya (penterjemahan karya-karya agung tamadun Hindia dan Tamadun China) kerana tamadun-tamadun itu sendiri tidak mencipta sains dan teknologinya mendahului ciptaan dalam tamadun Melayu itu, malah mereka ini mempelajari daripada tamadun Melayu. Ini Nampak ada kebenarannya!
Ya, Malah kitab Injil dan Taurat rupa-rupanya lebih awal diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Malah terjemahan awal Injil ke dalam bahasa Melayu adalah pada tahun 1613 . Apakah pengajarannya daripada episod ini?
Itu yang diusahakan oleh orang luar, ataupun khususnya diusahakan oleh pihak Belanda kerana usahanya mengembangkan Kristian di Alam Melayu. Namun memanglah mereka ambil (upah?) orang tempatan untuk membantunya. Taurat/Persaksian Lama (Old Testament) pun diterjemah ke dalam bahasa Melayu lebih awal daripada al-Qur’aan. Al-Qur’aan pada 1680, manakala Taurat pada 1640 (di Indonesia sekarang). Jadi, memang kegiatan menulis tidak sepatutnya menjadi macam hari ini kalau kita melihat kepada pencapaian penulisan dalam tamadun kita yang lepas. Oleh itu, kita pun tidak tahu untuk menjawab dengan lebih tepat lagi kenapa perkara ini boleh berlaku begini. Ramai yang bertanggapan, orang Melayu lebih condong kepada sastera, kerana banyak terjemahan sastera Hindia tetapi tiada sebuah pun karya sains Hindia yang diterjemah ke bahasa Melayu. Ini mudah disangkal juga kerana sudah dijelas sebelum ini tamadun Melayu memang hebat dengan sains dan teknologinya. Pendeknya, yang jelas penyelidikan tamadun Melayu amat masih perlu dilakukan dan penekanannya kepada SAKTI (Sains, Kesihatan, Kejuruteraan dan Teknlogi).
Nota editor :// Terima kasih diucapkan kepada saudara Aqil Fitri, (Editor www.ummahonline.com dan juga pemilik blog www.selak.blogspot.com) kerana membenarkan wawancara ini dimuatkan kembali ke MajalahSains.Com. Semoga ia memberi manfaat kepada umat yang dahagakan ilmu pengetahuan. p/s: gambar-gambar adalah ihsan dari laman flickr UmmahOnline