NOTA – Artikel ini adalah surat penulis di dalam Bahasa Inggeris berjudul ‘English Not Only Language of Science’ untuk terbitan akhbar The Star. Ia telah diterjemahkan kembali oleh Muhammad Musoddiq Jaafar dengan izin penulis asal.
Oleh- Prof Ir Dato’ Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud.
Oleh kerana nama saya telah dipetik di dalam surat yang bertajuk “A common medium” (The Star, Feb 18), oleh Datin Noor Azimah berkenaan Program Dwi Bahasa atau Dual Language Programme (DLP), saya ingin membalas beberapa isu yang dibangkitkan oleh beliau berkenaan mengapa kita perlu meneruskan DLP.
Sebagai pendahuluan, saya memohon untuk berbeza pendapat dengan tanggapan Noor Azimah bahawa Bahasa Inggeris adalah satu-satunya bahasa sains. Semua hujah beliau mengenai dominasi Bahasa Inggeris dalam komunikasi saintifik sebenarnya menunjukkan bahawa Bahasa Inggeris sudah sebati sebagai bahasa komunikasi untuk sains, tetapi sebenarnya ianya bukanlah satu-satunya bahasa yang digunakan untuk mengajar mahupun bahasa yang digunakan untuk penemuan sains yang terbaru dapat ditemui.
Banyak penemuan saintifik yang utama pada abad ke-20, seperti Teori Relativiti Einstein yang telah membuka banyak ruang baru dalam pemahaman yang lebih jelas mengenai ruang angkasa yang besar di alam semesta dan teori kuantum Heisenberg dan Bohr membolehkan kita untuk memahami sifat dan struktur bahan yang bersaiz nano dan atom, juga pengetahuan tersebut ditemui dan diterbitkan di dalam Bahasa Jerman, dan bukannya Bahasa Inggeris.
Kedua-dua teori tersebut menjadi tunjang untuk penemuan sains pada masa hadapan, seperti penemuan terbaru mengenai gelombang kegravitian (gravitational waves) oleh LIGO yang membuktikan kewajaran Teori Relativiti Einstein.
Mengikut Prof Michael Godin, ahli sejarah sains daripada Princeton ada menulis dalam buku terbarunya yang berjudul “Scientific Babel”. Buku tersebut menerangkan bahawa dominasi Bahasa Inggeris dalam komunikasi sains cuma berkisar dalam 60 tahun yang lalu setelah mengorbankan tiga bahasa serangkai yang pernah menjadi keutamaan sebagai bahasa komunikasi saintifik, iaitu Bahasa Inggeris, Perancis, dan Jerman.
Kumpulan saintifik komuniti yang cenderung menukar istilah bahasa lain kepada Bahasa Inggeris, di mana rata-ratanya daripada saintis Eropah dan Amerika telah lebih awal memulaukan saintis Jerman dan mereka cuma menerbitkan di dalam Bahasa Perancis dan Inggeris sahaja sewaktu perang dunia. Malah, kekalahan dalam perang dunia kedua telah menyebabkan Bahasa Jerman sebagai bahasa komunikasi saintifik telah hancur. Ini diikuti dengan kemasukkan ramai saintis Jerman ke Amerika untuk bekerja, lantas menggunakan Bahasa Inggeris di dalam kerja mereka seterusnya.
Penguasaan penerbit daripada United Kingdom dan Amerika di dalam penerbitan saintifik selepas perang telah menyebabkan Bahasa Perancis terpinggir sebagai bahasa komunikasi saintifik. Keadaan ini secara harfiahnya telah memaksa banyak komuniti saintifik untuk menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium perantaraan, dan masih terdapat juga saintis yang meneruskan penerbitan sama ada dalam Bahasa Jerman, Perancis, atau Bahasa Inggeris seperti amalan sebelum perang dunia. Sebagai seorang saintis dan teratas di dalam bidang yang saya ceburi seperti yang diperkatakan di dalam Thomson Reuters’ World’s Most Influential Scientific Minds 2016 (Minda Saintifik Paling Berpengaruh di Dunia 2016), dan sebagai profesor dalam bidang kejuruteraan kimia selama 36 tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya telah mendidik banyak generasi jurutera kimia di Malaysia dalam Bahasa Melayu dan telah menyelia ramai pelajar peringkat Ijazah Sarjana Sains (MSc) dan Doktor Falsafah (Ph.D) dengan jayanya, di mana mereka menggunakan Bahasa Melayu dalam mempraktiskan sains bertaraf dunia di dalam makmal di UKM dan melaporkan keputusan hasil penyelidikan sains tersebut di dalam tesis mereka.

[Baca – Tiga Saintis Malaysia tersenarai ‘Minda Paling Berpengaruh’ di Dunia]
Pemeriksa luar daripada universiti di Malaysia juga kagum dan teruja dengan kemampuan laporan kajian sains bertaraf dunia boleh dilakukan dan dilaporkan dalam Bahasa Melayu dengan baik. Pelajar kemudiannya menulis semula hasil penyelidikan mereka dalam Bahasa Inggeris untuk penerbitan dalam jurnal-jurnal yang terkemuka di dunia.
Oleh itu, dalam kes Bahasa Inggeris tidak menyumbang kepada sains, tetapi semata-mata sebagai terjemahan atau penulisan semula. Oleh kerana pelajar MSc dan Ph.D di antara yang menyerlah, mereka tidak mempunyai masalah dalam berkomunikasi dalam membentangkan keputusan saintifik mereka di dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris di persidangan antarabangsa dengan yakin, kerana hasil kerja mereka adalah kerja saintifik yang bertaraf dunia.
Saintis yang termasyur mencari ilmu sains dan bukannya bahasa yang digunakan dalam pembentangan dan penerbitan jurnal, kerana bakat saintifik adalah unik dan melangkui bahasa. Sedangkan bahasa komunikasi boleh mudah dipelajari sewaktu melakukan kerja tersebut.
Pendidikan saintifik di dalam Bahasa Melayu tidak menghalang ramai pelajar saya untuk berjaya sebagai jurutera profesional di industri dan saintis berkelas dunia, kerana kebanyakan mereka menjadi profesor serta menjadi pelopor berkelas dunia di dalam bidang penyelidikan mereka.
Salah seorang daripada mereka khususnya adalah Prof Dr Siti Kartom Kamarudin, alumni UKM yang bergraduasi daripada UKM dengan BEng, MSc, dan Phd yang semuanya ditulis dalam Bahasa Melayu. Beliau juga berkongsi anugerah yang sama sebagai salah seorang Minda Saintifik Paling Berpengaruh di Dunia 2016.
Calon Ph.D Malaysia di Universiti Glasgow dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Hafizah Noor Isa yang juga terlihat dalam kerja pengesanan gelombang kegravitian baru-baru ini, juga diajar sains dalam Bahasa Melayu ketika sekolah rendah dan menengah. Latar belakang Bahasa Melayu di dalam pengajaran sains tidak menjejaskan keupayaan beliau untuk melakukan sains bertaraf dunia sama sekali.
[Baca- UKM Lancar kereta Sel Fuel Pertama di Malaysia]
Saya pasti yang ini juga benar bagi ramai guru sains dan matematik di seluruh negara yang mengajar mata pelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu kepada puluhan ribu pelajar, dan pelajar yang menjadi sangat berjaya dalam bidang yang dipilih.
Hakikatnya, kita telah menghasilkan begitu banyak profesor, jurutera, doktor perubatan, dan ahli sains yang berbeza-beza umur dari 25-55 tahun, dimana mereka diajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu sebelum pelaksanaan PPSMI. Logik yang mengatakan pengajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris akan menjadikan seseorang itu akan menjadi lebih berjaya adalah sesuatu anggapan yang salah.
Jika ianya adalah benar, maka tidak ada usahawan teknologi daripada Jepun, Korea, dan China yang akan berjaya, tetapi apa yang berlaku adalah mereka mempunyai jenama bertaraf dunia tanpa belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah dan universiti mereka.
Bagi pembelajaran Bahasa Inggeris melalui sains dan matematik, saya sangat pasti yang pendidik akan bersetuju bahawa ianya adalah cara yang paling tidak berkaitan untuk belajar bahasa. Tiada bukti yang menunjukkan kefasihan Bahasa Inggeris akan meningkat sekiranya Bahasa Inggeris diajar dalam subjek sains dan matematik.
Sebaliknya, terdapat banyak bukti yang berlawanan. Bencana dalam keputusan PISA dan TIMMS pada tahun 2012 menunjukkan Malaysia berada di belakang negara-negara bukan berbahasa Inggeris, dan ini jelas menunjukkan kegagalan PPSMI kerana pelajar-pelajar yang mengambil ujian adalah yang diajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris di bawah PPSMI.
Pelajar Vietnam yang lebih lemah dalam Bahasa Inggeris menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada pelajar Malaysia yang lebih baik dalam Bahasa Inggeris. Mengapa kita mahu membangkitkan suatu program yang telah jelas menunjukkan kegagalan yang nyata? Jika objekifnya untuk lebih fasih dalam Bahasa Inggeris, maka cara untuk mencapai objektif itu adalah dengan memantapkan pengajaran Bahasa Inggeris sedia ada dengan mengimplimentasikan cara pengajaran yang lebih efektif di sekolah.
Kementerian Pelajaran perlu mengkaji semula cara Bahasa Inggeris diajar dan mencari cara dan kaedah untuk memperbaikinya, dan bukannya dengan memperkenalkan semula PPSMI.
Saya rasa ramai orang seperti Noor Azimah yang ghairah menulis mengenai isu DLP, mengabaikan untuk memberitahu orang awam atau sebenarnya tidak mengetahui mengenai konsep pengajaran sains dan matematik yang dipelajari oleh kanak-kanak di sekolah seluruh dunia. Sains dan matematik diajar di sekolah adalah ilmu pengetahuan yang diterima dan dipersetujui oleh kebanyakan ahli sains dan ahli matematik dalam perspektif sejarah. Ianya tidak boleh dikelirukan dengan sains canggih terbaru dan teknologi yang saintis dan profesor seperti saya guna setiap hari dalam kerja saintifik.
[PPSMI – Hidupkan Budaya Menyelidik Sebelum Buat Keputusan]
Prinsip sains dan matematik yang dipegangi ramai dalam dunia sains dan matematik akan berubah dengan perlahan-lahan kerana penemuan saintifik yang terbaru. Penemuan saintifik yang baru akan menjadi ilmu pengetahuan yang dipegangi dalam dunia sains dan matematik adalah sesuatu yang jarang berlaku dan mengambil masa yang lama untuk dicapai.
Malah, sains terkini berubah dengan pesat kerana banyak pengandaian teori baru dibina untuk menjelaskan fenomena yang baru ditemui. Andaian teori tersebut sama ada akan diterima atau dibuang setelah menjalani pemeriksaan yang ketat oleh masyarakat saintifik. Tidak ada keperluan untuk anak-anak kita di sekolah untuk mempelajari sains terkini kerana pemahaman peringkat profesor diperlukan.
Tidak ramai yang tahu bawah setiap istilah sains dan matematik yang dipegangi ramai sudah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dalam banyak buku-buku teks sekolah rendah dan menengah serta universiti yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan universiti terkemuka, seperti Universiti Malaya, UKM, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia sejak 40 tahun yang lalu.
Serta, semua terma saintifik di dalam Bahasa Melayu untuk semua bidang telah sedia ada dilaman web Persuratan Melayu yang disediakan oleh DBP. Ini memudahkan anak-anak kita untuk mendapatkan pengetahuan saintifik dengan membacanya.
Juga, ramai yang kurang tahu bahawa penemuan sains dan matematik baru yang canggih dan terkini dalam Bahasa Melayu semakin meningkat di peringkat antarabangsa sejak beberapa tahun yang lalu dengan pengindeksan dwi-bahasa Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris saintifik jurnal seperti Sains Malaysiana. Pengindeksan jurnal tersebut dilakukan oleh perkhidmatan pengindeksan jurnal saintifik utama antarabangsa seperti ISI dan SCOPUS. Sekarang saintis dari seluruh dunia boleh mengakses pengetahuan santifik yang terkini dan canggih dalam Bahasa Melayu.
Idea keseluruhan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda bukan semata-mata mengenai patriotisma sahaja seperti yang didakwa oleh Noor Azimah. Isu utamanya terletak lebih dalam daripada isu patriotisma. Ianya lebih kepada dapat mewujudkan pengetahuan saintifik yang baru dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai sains dan matematik, dan ianya hanya boleh dicapai dengan belajar dalam bahasa ibunda.
Saya pasti dan yakin kita semua biasa dengan sejarah tentang kedua-dua ilmu besar Islam dan tamadun Eropah pada mulanya menterjemah ilmu bahasa lain dan mereka bebas mencipta sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri.
Tiada negara di dunia ini yang mendahului dalam bidang sains dan teknologi pernah mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.
PROF DATUK IR DR WAN RAMLI WAN DAUD
Presiden Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI),
Former Founder Director & Principal Research Fellow,
Fuel Cell Institute, UKM,
Profesor of Chemical Engineering, UKM
SUMBER – UKMwebTV