Oleh: Aliaa Athirah Adam Malek & Rafidah Abdul Rahman,
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
Tahun 2021, merupakan sambutan Tahun Batu Kapur dan Kars Antarabangsa 2021 (IYCK2021) anjuran Kesatuan Speleologi Antarabangsa yang berpusat di Slovenia. Sambutan ini bertujuan untuk meraikan dan memaklumkan kepada dunia mengenai topik-topik penting berkaitan batu kapur dan kars, yang kebanyakannya tidak diketahui oleh masyarakat umum. Gua dan kars merupakan ekosistem yang penting dan habitat terancam pada masa kini. Di Semenanjung Malaysia, dianggarkan 450 bukit batu kapur telah direkodkan. Tidak terhad sebagai sumber ekonomi (kuari, sarang burung, guano), batu kapur turut digunakan bagi tujuan pusat keagamaan seperti di Ipoh dan Batu Caves, aktiviti pelancongan dan rekreasi, tapak warisan arkeologi serta habitat kepada flora dan fauna. Selain itu, batu kapur juga menjadi tumpuan bagi aktiviti penyelidikan daripada pelbagai bidang kajian.
Batu Caves merupakan batuan batu kapur yang terbentuk daripada kalsium karbonat, dianggarkan berusia 430 juta tahun dan terdapat kira-kira 25 gua direkodkan di Batu Caves. Setiap kali mendengar atau membaca mengenai Batu Caves, pasti ramai akan teringat akan kemeriahan perhimpunan penganut Hindu menyertai warna warni upacara keagamaan Thaipusam yang diadakan setiap tahun. Bukan sahaja terkenal sebagai pusat keagamaan, Batu Caves juga menjadi destinasi tumpuan pelancongan dan terkenal dengan aktiviti ekstrem dan eko-rekreasi kerana lokasi berhampiran dengan Kuala Lumpur. Hasil penyelidikan yang telah dilakukan sejak sekian lama, membuktikan kawasan ini kaya dengan biodiversiti flora dan fauna selain dari menjadi tapak kajian arkeologi dan paleontologi.
Biodiversiti Batu Caves
Ekspedisi Saintifik Batu Caves anjuran Persatuan Pemuliharaan Gua dan Kars Malaysia (MCKC) telah diadakan sepanjang tahun 2019 bertujuan untuk mendokumentasi dengan lebih terperinci biodiversiti yang ada di Batu Caves. Ekspedisi ini telah disertai oleh para penyelidik daripada pelbagai agensi seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. Hasil kajian ekspedisi ini mendapati pelbagai biodiversiti menarik dan unik telah diterokai di Batu Caves serta terdapat spesies flora dan fauna terancam di dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN (IUCN Red List of Threatened Species). Penemuan-penemuan ini membantu penyelidik dalam memahami ekosistem Batu Caves sebagai sebuah kepulauan batu kapur terasing dan menyuntik kesedaran masyarakat berhubung dengan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan keseluruhan kawasan.
Sehingga kini, lebih 300 spesies tumbuhan direkodkan di Batu Caves dalam pelbagai mikrohabitat. Berbeza dengan jenis hutan lain yang ada di Malaysia, tumbuhan batu kapur mampu hidup di kawasan sempit celahan batu, dibawah teduhan kanopi, lembah sehinggalah dipuncak batu kapur yang panas dan lebih terbuka. Tumbuhan batu kapur dikategorikan sebagai tahan lasak kerana mampu beradapatasi di habitat yang mencabar, kawasan berbatu keras, kekurangan air dan cuaca yang panas. Sekurang-kurangnya 59 spesies tumbuhan adalah endemik Semenanjung Malaysia dan 4 daripadanya hanya terdapat di Batu Caves iaitu Epithema parvibracteatum, Polyalthia guabatuensis, Rhaphidophora burkilliana, dan Schismatoglottis guabatuensis. Schismatoglottis guabatuensis merupakan spesies keladi baharu yang telah dijumpai pada 2019. Kebanyakan biji benih spesies tumbuhan batu kapur beradaptasi dengan situasi ekstrem ini dengan mengalami fasa dorman didalam tanah dan menunggu masa sesuai untuk bercambah pada musim hujan. Fenomena ini dapat dilihat pada tumbuhan satu daun, Monophyllaea hirticalyx dan Monophyllaea horsfieldii mempunyai jangka hayat pendek menyukai kawasan batuan lembap dibawah teduhan. Pokok renek Impatiens ridleyi (balsam) menyebarkan biji benih dengan kaedah meletupkan buah turut direkodkan.

Gua sering dikaitkan dengan penempatan pra-sejarah dan aktiviti paleontologi (kajian saintifik haiwan dan fosil). Menariknya, fosil gigi orang utan (Pongo sp.) yang dianggarkan berusia 66 hingga 33 ribu tahun telah ditemui oleh pasukan penyelidik dari Universiti Malaya membuktikan kewujudan mamalia ini di Batu Caves pada masa lalu. Selain itu, fosil haiwan lain seperti babi hutan bodoh (Sus barbatus), harimau (Panthera tigris) dan kambing gurun (Capricornis sumatraensis) turut ditemui. Walaupun tiada lagi haiwan besar dilihat di Batu Caves dek kerana arus pemodenan Kuala Lumpur, kemusnahan hutan akibat daripada pembukaan ladang kopi dan getah suatu ketika dahulu, juga pembukaan kuil-kuil di dalam gua yang mengganggu ekosistem gua, namun begitu masih terdapat pelbagai fauna gua boleh ditemui di Batu Caves.
Kajian fauna Batu Caves dijalankan seawal tahun 1898 oleh H.N. Ridley dan Gua Gelap (Dark Cave) merupakan antara contoh penyelidikan gua terbaik di Asia Tenggara. Terdapat kira-kira 21 spesies kelawar dan keluang dan 50 spesies siput darat yang begitu sinonim dengan ekosistem batu kapur turut direkodkan. Manakala pelbagai jenis serangga, katak seperti Asian Giant Toad, cicak tokek, ular berbisa seperti Tropidolaemus wagleri (Wagler’s pit viper) dan labah-labah endemik Batu Caves seperti Liphistius batuensis ada hidup di lantai dan dinding gua.


Ancaman: Dulu, masa kini dan akan datang
Tahukah anda bahawa aktiviti perlombongan kuari pernah dijalankan di Batu Caves seawal tahun 1950-an. Perlombongan batu kapur telah memberi impak buruk kerana permukaan dinding tidak akan kembali kepada bentuk asal dan tiada tumbuhan yang mampu tumbuh di dinding yang telah dikuari. Selain itu, terdapat beberapa modifikasi yang dilakukan atas nama pelancongan seperti laluan tangga bersimen dan dicat dengan pelbagai warna, lampu terang benderang menyumbang kepada impak negatif kepada ekosistem flora dan fauna serta pembinaan saluran air tambahan yang mengganggu habitat asal. Sekitar tahun 2016, berlakunya kebakaran besar di kawasan hutan Batu Caves yang jaraknya hanya 1 km dari Kuil Sri Subramaniar akibat daripada kecuaian manusia. Penempatan terlalu berdekatan dengan dinding gua bukan sahaja memberi risiko kebakaran, malahan turut berisiko sekiranya berlaku kejadian batuan longgar jatuh ke kediaman mereka.


Pada masa kini, kawasan sekeliling Batu Caves padat dengan kawasan perumahan dan perindustrian sehingga tiada lagi zon penampan yang selamat wujud. Zon penampan adalah penting dalam aspek keselamatan dan juga mengurangkan risiko pencemaran. Disamping itu, kehadiran spesies penceroboh seperti Piper aduncum iaitu sejenis lada yang berasal daripada Amerika Selatan, dijumpai tumbuh melata terutama dihabitat yang terbuka, memberi gangguan kepada tumbuhan asal Batu Caves. Manakala, lipas yang kebiasaannya ditemui di rumah iaitu Periplaneta americana turut memberi tekanan kepada Pycnoscelus striatus yang merupakan spesies asal Batu Caves. Kehadiran spesies-spesies penceroboh akan mewujudkan persaingan keperluan sumber kelangsungan hidup antara spesies sedia ada dan menganggu ekosistem semulajadi. Impak pulau haba akan meningkatkan suhu, akibat daripada kewujudan hutan konkrit sekitar Batu Caves, dan menyebabkan habitat ini tidak sesuai didiami oleh flora dan fauna pada masa akan datang.
Kesimpulan
Secara amnya, Batu Caves bukan sekadar hanya dipandang sebagai kawasan beribadat, pelancongan dan rekreasi, sebaliknya perlu dilihat sebagai sebuah “muzium hidup” yang istimewa dan masih wujud di ibu kota Kuala Lumpur. Sebarang bentuk modifikasi dan pengubahsuaian di kawasan Batu Caves perlu di pandang serius bagi mengurangkan kesan aktiviti antropogenik yang sedia ada. Pelbagai usaha perlu dilaksanakan dalam memastikan khazanah alam Batu Caves sentiasa terjaga sebagai contoh menjadikan Batu Caves sebagai sebuah Rizab Alam Semulajadi, mewartakan dibawah Taman Negeri atau sebarang bentuk perwartaan yang sesuai dengan hala tuju Zon Hijau Kerajaan Negeri. Ini sejajar dengan sasaran Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016–2025 yang menekankan pemeliharaan dan pemuliharaan habitat terancam negara. Kefahaman berkait dengan batu kapur tidak sepatutnya terhad sebagai sebuah kawasan untuk pengambilan sarang burung atau penempatan awal manusia seperti yang dipelajari melalui buku teks sekolah, malah perlu diperluaskan akan kepentingannya kepada ekosistem sejagat. Penemuan spesies baharu di Batu Caves menunjukkan akan keperluan dan kepentingan kajian penyelidikan biodiversiti masih lagi releven dan perlu sentiasa diterokai. Kesedaran dan hebahan kepentingan ekosistem batu kapur perlu dilaksanakan kepada masyarakat khususnya bagi mengekalkan khazanah biodiversiti sebelum lenyap selamanya.
Nota: Aliaa Athirah Adam Malek danRafidah Abdul Rahman berkhidmat di Herbarium Kebangsaan (KEP) yang terletak di kampus Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.
Bacaan lanjut:
Kiew R, Zubaid Akbar MA, Ros Fatihah HM, Suksuwan S, Nur Atiqah AR, Lim TW [Eds] (2020) Batu Caves: Malaysia’s Majestic Limestone Icon. Malaysian Caves and Karst Conservancy (2nd ed.). Kuala Lumpur, 116 pp
Kiew R, Rafidah AR (2021) Plant diversity assessment of karst limestone, a case study of Malaysia’s Batu Caves. Nature Conservation 44: 21–49. https://doi.org/10.3897/natureconservation.44.60175
Moseley M, Lim TW and Lim TT (2012) Fauna reported from Batu Caves, Selangor, Malaysia: annotated checklist and bibiliography. Caves and Karst Science 39, 2: 77–92.
Wong, Sin Yeng and Boyce, Peter C. (2020) Studies on Schismatoglottideae (Araceae) of Peninsular Malaysia II: Schismatoglottis guabatuensis [Calyptrata clade], a new locally endemic limestone-obligated species. Nordic Journal of Botany. pp. 1–5.