Oleh : Ms Dr Afizah Salleh
Pakar Perunding Pembedahan Am, Hospital Pakar An-Nur
Kelenjar thyroid adalah sejenis kelenjar yang terdapat di bahagian hadapan leher manusia manusia. Dalam keadaan normal, kelenjar ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Apabila kelenjar ini membengkak, akan terlihat ketulan atau bentuk kelenjar itu sendiri ( berbentuk rama-rama ) di bahagian leher dan bergerak apabila seseorang menelan sesuatu. Keadaan ini dinamakan goiter.
Secara anatominya bahagian tengah kelenjar thyroid ( isthmus ) terletak di hadapan cincin trakea 2-4 dan bahagian kiri dan kanan lobusnya memanjang ke atas sehingga ke thyroid cartilage. Terdapat 2 jenis saraf yang penting berdekatan dengan kelenjar ini iaitu 1. Saraf recurrent laryngeal yang berfungsi untuk pergerakan otot yang mengawal peti suara ( vocal cord ). Saraf ini terdapat di bahagian belakang kelenjar yang melekat kepada cincin trakea ( Berry’s ligament ) yang mana salur darah penting ( Inferior thyroid artery ) juga lalu di situ. 2. Saraf superior laryngeal yang juga berfungsi mengawal peti suara ( menjadikan vocal cord tegang dan meninggikan nada suara ). Saraf ini terletak di antara perlekatan lobus bahagian atas dan trakea. Terdapat juga kelenjar parathyroid yang berfungsi mengawal kandungan kalsium dalam darah, terbenam di bahagian belakang kelenjar thyroid, di kedua-dua belah lobus, atas dan bawah. Ianya kelihatan seperti tisu lemak dan bersaiz sangat kecil. Selain itu salur darah utama di leher – salur darah carotid juga terletak di belakang kelenjar thyroid di dalam kantungnya sendiri ( carotid sheath ).
Artikel Berkaitan – Sukar Membuang Air Besar: Sebab dan Puncanya
Artikel Berkaitan – Uluran Atau Angin Pasang Pada Kanak-Kanak
Artikel Berkaitan – Batu Hempedu : Komplikasi & Rawatan
Goiter boleh berlaku sama ada berbentuk ketulan ( nodular goiter ) atau bengkak sekata ( diffuse goiter ). Jika satu ketulan sahaja mungkin disebakan oleh adenoma atau mungkin petanda kanser thyroid sebanyak 30% daripada kes. Adenoma biasanya akan menyebabkan hormon thyroid dirembeskan secara berlebihan ( hyperthyroidism ). Jika ketulan banyak, ia dinamakan multinodular goiter yang mana saiznya boleh jadi sangat besar hingga melanjut ke bawah leher sama ada kelihatan di luar atau di bahagian dalam ( mediastinum ) hingga meyebabkan tekanan di saluran pernafasan, tekanan pada salur makanan, tekanan pada salur darah atau tekanan pada saraf. Multinodular goiter boleh menyebabkan hyperthyroidism juga dan ada risiko kanser sebanyak 5 %. Penyebab diffuse goiter adalah sama ada bengkak fisiologi seperti semasa mengandung, thyroiditis ( radang pada kelenjar disebabkan oleh jangkitan virus ), Graves’s disease – sejenis autoimmune disease yang mana terdapat protein di dalam badan pesakit yang memusnahkan sel-sel thyroid. Kedua-dua penyakit ini juga menyebabkan masalah hyperthyroidism.
Kanser thyroid merebak agak lambat . kanser yang paling kerap berlaku adalah jenis papillary diikuti dengan follicular. Kedua-dua kanser ini mempunya prognosis yang sangat baik walaupun ada sebahagian kecil yang merebak agak pantas. Terdapat juga kanser medullary yang berkaitan dengan sejenis sindrom iaitu Multiple endocrine neoplasia ( MEN ) syndrome dimana pesakit juga akan ada tumor di organ yang lain seperti pancreas, pituitary,parathyroid. Kesemua kanser perlukan pembedahan sama ada sebahagian (hemithyroidectomy – membuang hanya sebelah bahagian kelenjar) atau total thyroidectomy – membuang keseluruhan kelenjar thyroid. Selepas itu pesakit akan diberikan radioterapi khas untuk kelenjar thyroid iaitu radioiodine ablation ( RAI ) – menggunakan isotop yang akan memusnahkan sel-sel thyroid. Terdapat satu lagi jenis kanser yang lebih cepat merebak dan mempunyai prognosis yang buruk iaitu kanser anaplastic. Kanser ini akan merebak sangat cepat ke seluruh bahagian leher termasuk saluran prenafasan dan peti suara lalu meyebabkan pesakit tidak boleh bernafas dan bersuara.Pembedahan mungkin tidak dapat dilakukan dan pesakit hanya diberikan bantuan oksigen dan tebukan di trakea untuk pernafasan. Selain itu kanser jenis lymphoma juga boleh berlaku pada kelenjar thyroid dan sangat sensitif dengan rawatan kimoterapi.
Selain kanser, indikasi pembuangan kelenjar thyroid adalah Grave’s disease yang terjadi semula selepas dirawat dengan ubat anti-thyroid. Selain itu multinodular goiter dan thyroid adenoma juga adalah indikasi untuk pembedahan membuang kelenjar thyroid jika menyebabkan hyperthyroidism.
Indikasi dan jenis pembedahan adalah dipengaruhi oleh diagnosis, kesanggupan pesakit untuk mengambil ubat gantian hormon thyroid dan risiko pembedahan. Jika dilihat kedudukan anatomi kelenjar ini, terdapat banyak struktur penting dan boleh tercedera semasa pembedahan. Kecederaan saraf yang berlaku sebanyak 1% akan meyebabkan sama ada pesakit mempunyai suara yang garau atau tidak boleh bernada tinggi dan cepat penat atau lebih teruk lagi jika berlaku di kedua-dua belah dan menyebabkan peti suara tidak boleh dibuka yang kesannya adalah pesakit tidak boleh bernafas. Dalam situasi ini trakea akan ditebuk dan tiub dimasukkan untuk membantu pernafasan ( tracheostomy ). Satu lagi risiko pembedahan yang akan mengganggu kehidupan pesakit adalah hypocalcemia – kekurangan kalsium di dalam darah kerana kesemua kelenjar parathyroid yang mengawal kalsium telah dibuang semasa pembedahan. Ini boleh berlaku sementara atau selama-lamanya. Pesakit perlu mengambil ubat kalsium dan vitamin D, jika tidak akan menyebabkan rasa kebas pada kaki dan tangan atau sekeliling bibir, kekejangan otot dan ganguan rentak jantung. Komplikasi yang lain adalah seperti jangkitan kuman ( kurang dari 2.5% ), pendarahan – sangat jarang berlaku.
Bagi pesakit dengan thyroiditis walaupun pada mulanya pesakit datang dengan hyperthyroidism, tetapi selepas itu apabila semua sel-sel thyroid telah musnah, pesakit akan mengalamai masalah kekurangan hormon ( hypothyroidism). Tiada pembedahan diperlukan tetapi untuk jangka masa panjang pesakit perlu dipantau untuk melihat risiko thyroid lymphoma. Pesakit akan memerlukan gantian hormon thyroid seumur hidupnya. Grave’s disease pula selain pembedahan, boleh juga dilakukan rawatan radioiodine ablation ( RAI ) tetapi pesakit berisiko untuk mendapat hypothyroidism. Begitu juga dengan bengkak goiter secara fisiologi, pesakit akan sembuh sendiri selepas pemantauan dan penyebabnya tiada. Ubat anti-thyroid mungkin diberikan untuk sementara waktu jika terdapat hyperthyroidism.
Pengambilan ubat anti-thyroid adalah sangat penting kerana hyperthyroidism boleh menyebabkan masalah rentak jantung yang akhirnya menyebabkan jantung bengkak dan lemah. Begitu juga dengan pengambilan ubat gantian homon kerana masalah kekurangan hormon thyroid akan menyebabkan seseorang menjadi lemah,lembab,tidak berdaya dan rentak jantung menjadi lambat (bradycardia). Rawatan untuk masalah thyroid adalah untuk memastikan hormon thyroid cukup ( tidak lebih atau kurang ).
Kredit Foto : JohnsHopkins