Oleh: Prof. Madya Dr. Masli Irwan Rosli
Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
Universiti Kebangsaan Malaysia
Faiz Rahmani Md Zaid
Institut Sel Fuel
Universiti Kebangsaan Malaysia
Biogas merupakan sejenis gas yang dijana melalui pencernaan bahan-bahan organik dan boleh digunakan sebagai bahan bakar kenderaan atau sebagai pengganti gas asli bagi proses penjanaan tenaga elektrik. Biogas dihasilkan apabila bahan organik dicerna oleh mikrob dalam tangki pencernaan dan kebanyakan komposisinya terdiri daripada gas metana, gas karbon dioksida dan gas hidrogen sulfida.
Di Malaysia, teknologi penjanaan biogas telah mula diaplikasikan di loji rawatan air sisa seperti air sisa loji minyak kelapa sawit atau air sisa kumbahan. Tenaga elektrik yang dihasilkan daripada biogas ini boleh digunakan sama ada untuk kegunaan loji sendiri ataupun untuk dibekalkan ke grid elektrik bagi menjana pendapatan sampingan.
Pada tahun 2020, Malaysia telah berjaya menjana sekitar 48 MW tenaga elektrik melalui sumber biogas dan ini dianggarkan sama dengan penghindaran pembebasan 981 kilotan gas karbon dioksida ke atmosfera. Kadar yang telah dilaporkan pada tahun 2020 ini merupakan peningkatan hampir sepuluh kali ganda berbanding kadar yang telah dilaporkan pada tahun 2015. Hal Ini menunjukkan bahawa terdapat permintaan dan keperluan dalam penggunaan biogas di Malaysia sebagai salah satu sumber tenaga boleh baharu, justeru menyokong hasrat kerajaan Malaysia untuk menjana sekitar 18,000 MW tenaga boleh baharu pada tahun 2035, iaitu sekitar 40% daripada jumlah penjanaan tenaga di Malaysia.
Walaupun biogas menawarkan manfaat, terdapat juga bahaya dan risiko yang perlu diambil perhatian. Pertama sekali, loji biogas terdedah kepada kebakaran dan letupan. Hal ini kerana biogas merangkumi gas metana iaitu gas yang sangat mudah terbakar. Apabila gas ini terdedah kepada sebarang sumber pencucuhan dari peralatan berdekatan atau rokok misalnya, kebakaran dan letupan boleh terjadi. Contohnya, di Thailand pada tahun 2011, seramai 31 pekerja telah cedera akibat letupan biogas. Sumber pencucuhan adalah rumput liar terbakar yang terbang ditiup angin ke loji biogas. Seterusnya, di India pada tahun 2014, seorang maut dan 3 orang telah cedera akibat letupan biogas. Kemalangan ini berpunca dari kecuaian seorang pekerja yang menyalakan mancis berdekatan tangki pencernaan biogas yang menyebabkan kebakaran dan kemudiannya letupan.
Selain kebakaran dan letupan, biogas yang mengandungi gas beracun seperti hidrogen sulfida turut mengundang bahaya. Di Jerman pada tahun 2005, seorang pekerja telah maut dan seorang lagi mengalami kecederaan akibat terhidu gas hidrogen sulfida. Kecelakaan ini disebabkan oleh kebocoran gas melalui tangki sisa buangan yang tidak ditutup sempurna. Kemalangan yang hampir sama turut berlaku di negara maju seperti di Amerika Syarikat, pada tahun 2021, yang mana seorang pekerja maut akibat terhidu biogas ketika melakukan penyelenggaraan di dalam tangki pencernaan yang berkemungkinan besar mengandungi kepekatan hidrogen sulfida yang tinggi.
Di samping itu, terdapat juga risiko penyebaran wabak penyakit di pusat penyimpanan dan penjanaan biogas. Hal ini kerana sisa buangan boleh mengandungi bakteria, virus atau parasit. Pekerja yang tidak mengamalkan prosedur kebersihan yang betul mampu menyebarkan penyakit ke kawasan berdekatan ataupun ketika pulang ke kediaman masing-masing.
Namun demikian, risiko keselamatan yang terdapat di loji biogas boleh dielakkan atau dikurangkan dengan menguatkuasakan prosedur dan kawalan yang ketat. Pada peringkat awal, loji biogas perlu direka bentuk dengan teliti, termasuk mengenal pasti potensi sumber bahaya dan menilai risiko yang ada. Seterusnya sumber-sumber bahaya boleh dielakkan atau dikurangkan risikonya sama ada dengan menggantikan reka bentuk dengan reka bentuk yang lebih selamat ataupun dengan menggunakan alatan keselamatan tambahan seperti sensor gas bagi mengesan sebarang kebocoran gas. Analisis keselamatan proses juga boleh dijalankan untuk meramalkan impak tertentu sekiranya berlaku kebakaran, letupan atau penyebaran gas beracun. Hal ini bertujuan untuk menambah baik reka bentuk loji biogas, termasuk penempatan loji biogas di lokasi yang sesuai, misalnya jauh dari kawasan perumahan. Selain itu, prosedur pengoperasian standard yang ketat perlu diamalkan sebelum dan semasa pengoperasian loji biogas. Turut perlu diberi perhatian adalah langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi ketika proses penyelenggaraan dijalankan, sebagai contoh, memakai alat pelindung diri ketika mengendalikan sisa buangan serta kerap membersihkan diri.
Kerjasama daripada semua pihak yang terlibat amat diperlukan bagi membentuk sebuah loji biogas yang lebih selamat bersama prosedur pengoperasian standard yang lebih terperinci agar kemalangan di loji biogas dapat dijauhkan. Perkara ini mesti dititikberatkan agar potensi biogas tidak disia-siakan dan keperluan Malaysia dalam usaha penjanaan tenaga boleh baharu dapat disokong, tetapi, dalam masa yang sama, isu-isu keselamatan yang melibatkan kebajikan para pekerja dan masyarakat sekitar tidak diabaikan.