Oleh: Dr Saifollah Abdullah & Dr. Mohamad Rusop
Blue Ocean Strategy (BOS) atau strategi laut biru telah dioperkenalkan oleh W.Chan Kim dan ReNee Mauborgne melalui bukunya berjudul The Blue Ocean Strategy yang mendapat sambutan hangat dan terjual berjuta-juta unit di seluruh dunia.
Blue Ocean Strategy dan nanoteknologi adalah dua entiti baru bagi kita rakyat Malaysia.
Strategi lautan biru banyak bertumpu kepada strategi pemasaran dan perniagaan iaitu yang melibatkan suasana persaingan yang sihat melalui konsep inovasi produk pemasaran dan pengurusan.
Nanoteknologi adalah kajian dan pemfabrikasian peranti pada saiz nanometer iaitu satu perbilion meter atau setara dengan 50,000 kali kecil rambut kita. Idea nanoteknologi telah diutarakan oleh seorang ahli fizik Richard Feynman pada tahun 1956 tetapi idea ini telah direalisasikan pada awal tahun 1990-an.
Dengan kekuatan kedua-dua entiti baru ini pasti kita boleh manfaatkan bagi memajukan Malaysia.
Dalam penyelidikan nanoteknologi, penggunaan konsep BOS boleh digunakan dalam perspektif inovasi, keutamaan dan tumpuan dalam penyelidikan ini, yang akan membawa persaingan sihat.
Dengan kepakaran, infrastruktur, peralatan dan geran-geran penyelidikan yang baru mula diberikan perhatian, kita haruslah inovatif di dalam menjalankan penyelidikan dalam bidang nanoteknologi.
Penyelidikan nanoteknologi memerlukan bajet yang amat tinggi dari segi infrastruktur dan peralatan. Oleh itu keutamaan haruslah diberi dalam beberapa bidang penyelidikan nanoteknologi agar penggunaan dana dan sumber penyelidikan dapat dimaksimumkan.
Tumpuan atau fokus kepada projek-projek penyelidikan nanoteknologi harus dikenalpasti agar dapat menjenamakan Malaysia dalam bidang nanoteknologi.
Konsep BOS melalui inovasi dalam penyelidikan amatlah penting bagi mendapatkan sesuatu hasilan penyelidikan terbaru dan mempunyai nilai novelti, begitulah yang diharapkan dalam bidang nanoteknologi.
Penyelidiakn nanoteknologi merupakan satu bidang yang mendapat perhatian di seluruh dunia yang dijangka penggunaannya secara menyeluruh menjelang 2015.
Bidang penyelidikan nanoteknologi terbuka luas, masih banyak lagi peluang penyelidikan yang belum diterokai.
Malaysia yang mempunyai banyak peluang penyelidikan yang berkaitan nanoteknologi untuk diterokai seperti bidang pertanian, penghasilan makanan, herba, pembinaan, perkhidmatan (rawatan air,pencemaran) dan lain-lain.
Mengenalpasti tumpuan dalam penyelidikan nanoteknologi adalah satu faktor yang amat penting agar kita tidak bersaing dengan negara-negara yang lebih maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Jepun dan Korea selaras dengan BOS. Kita mestilah mengenalpasti kekuatan yang kita miliki agar dapt menonjolkan bidang-bidang yang akan menjenamakan bidang nanoteknologi kita sendiri.
Kita mesti mengenalpasti halatuju kita sendiri yang mana dapat memberi manfaat kepada negara terlebih dahulu sebelum dikembangkan ke arena global. Bagaimanapun bukanlah bermaksud tidak langsung menjalankan penyelidikan nanoteknologi yang berstrategi tinggi seperti mana yang dilakukan oleh negara-negara ayang lebih terkehadapan dalam bidang penyelidikan bagi tujuan pertahanan, angkasalepas, nanoelektronik dan komunikasi.
Penyelidikan berstrategi tinggi memerlukan bajet yang amat besar dan tahap persaingan juga amat tinggi di samping kepakaran dalam negara yang mencukupi dan lebih fokus.
Misalnya dalam bidang pemfabrikasian nanosensor yang merupakan satu bidang penyelidikan berstrategi tinggi untuk kegunaan dalam pelbagai bidang.
Ini termasuk pertahanan dan ketenteraan seperti sistem pengintipan nanoteknologi yang melibatkan zarah nano boleh-pandu yang dilengkapi dengan sistem kamera-nano, pemancar-penerima-nano, sumber tenaga tinggi bersaiz-nano malahan dilengkapi dengan sistem penghapus musuh.
Penyelidikan ini mungkin melibatkan peralatan dan infrastruktur yang sangat mahal dan kepakaran dalam bidang sains dan teknologi yang tinggi. Misalnya penyelidik dari fakulti sains gunaan, UiTM yang setakat ini berjaya menghasilkan silikon zarah-nano berkuanta yang berpotensi, namun banyak lagi penyelidikan yang perlu dilakukan untuk aplikasi nanosensor berstrategi tinggi.
Bagaimanapun kita masih boleh menjalankan penyelidikan dalam nanosensor tetapi mungkin fokus kegunaan kita dalam bidang pertanian dan pemantauan penjagaan alam sekitar.
Sektor pembinaan dan perkhidmatan merupakan sektor yang sentiasa berkembang dan menjadi tumpuan di Malaysia. Penyelidikan dan inovasi dalam sektor ini mungkin boleh diberi tumpuan misalnya dalam penggunaan cat mengandungi zarah nano yang boleh mengurangkan tahap kepanasan dalam bangunan dan mengelakkan pembiakan bakteria serta kulat. Tingkap atau dinding kaca bersalut bahan berasaskan zarah nano boleh bersih sendiri (self-cleaning). Penggunaan bahan pencuci dan perlindungan kebersihan berasaskan bahan nano, sistem rawatan air dan udara dan lain-lain.
Penyelidikan nanoteknologi berasaskan sumber tempatan merupakan bidang yang patut diberi fokus yang melibatkan penggunaan getah asli, kelapa sawit, kelapa, hasil pertanian yang lain dan hasil petroleum. Sebagai contoh, penyelidik dari UiTM berjaya menghasilkan karbon bertiub nano dari kelapa sawit.
Komposit nano berasaskan getah haruslah dijadikan tumpuan kerana bahan tersebut akan memberi sifat mekanik, elektrik dan optik yang amat bermakna dalam aplikasi. Penghasilan serat-nano dari bahan buangan kelapa sawit dan kelapa, nilai tambah kepada penggunaan kelapa sawit dan kelapa melalui penyelidikan nanoteknologi juga merupakan kekuatan kepada negara kita.
Sebagai sebuah negara yang memiliki hasil petroleum dan industri sampingannya seperti penghasilan bahan-bahan polimer, ia memberi ruang yang luas bagi penyelidikan dalam bidang nanoteknologi.
Industri poenghasilan makanan dan industri yang berkaitan seperti pembungkusan, penyimpanan dan keselamatan merupakan industri yang sentiasa menyumbang permintaan tertinggi di Malaysia dan seluruh dunia.
Malaysia yang berhasrat menjadi hub-halal makanan sedunia harus memandang ke hadapan dalam teknologi makanan yang mana harus memberi tumpuan dalam nanoteknologi dalam industri makanan. Rasa yang lebih enak, berzat dan kesan kesihatan yang makin baik adalah antara ciri-ciri makanan masa depan yang mungkin boleh dihasilkan melalui nanoteknologi. Menjamin kesegaran, bebas dari pencemaran, berkualiti, tempoh masa penggunaan yang lebih panjang dan ketahanan bagi proses penghantaran yang jauh adalah antara penyelidikan nanoteknologi dalam industri makanan yang giat dijalankan di seluruh dunia. Malaysia mesti memberi tumpuan mengikuat keutamaan dan kekuatan yang ada pada kita.
Bidang kosmetik, farmasi dan perubatan juga membuka peluang yang amat luas dalam dalam penyelidikan nanoteknologi, industri kosmetik dan farmasi merupakan pengguna nanoteknologi paling ramai. Malaysia boleh memanfaatkan penghasilan bahan kosmetik dan hasil pertanian tempatan atau sumber asli tempatan manakala dalam bidang perubatan dan farmasi, keadaan semasa haruslah menjadi penyelidikan tumpuan misalnya dalam masalah demam denggi, obesiti, darah tinggi dan kencing manis.
Penumpuan penyelidikan juga haruslah diberikan dalam bidang penghasilan bahan-bahan nano berbanding penyelidikan pembangunan peralatan atau peranti. Penghasilan bahan-nano amat berkait rapat dengan penyelidikan bahan-bahan terkini yang telah tersenarai sebagai penyelidikan keutamaan negara. Penghasilan bahan nano boleh dilakukan melalui pelbagai kaedah dan akan menghasilkan produk yang terbaru dan berkeupayaan tinggi, mendapat permintaan dari negara-negara maju dalam penyelidikan nanoteknologi.
Malaysia diharap dapat menerokai penyelidikan dan penghasilan produk nanoteknologi mengikut keutamaannya sendiri agar dapat memaksimumkan bajet penyelidikan yang diperuntukkan. Malaysia mampu menjenamakan nanoteknologinya dalam rangkanya tersendiri tetapi dapat diterima secara global dengan berasaskan konsep Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy)berbanding menggunakan strategi lautan merah (Red Ocean Strategy)
Catatatan Editor,
Dr Saifollah Abdullah & Dr. Mohamad Rusop merupakan penyelidik nanoteknologi di UiTM, Shah Alam
Rencana ini terbit di sisipan Estidotmy terbitan Utusan-MOSTI pada 28 Februari 2008. Ia disiarkan semula di MajalahSains.Com dengan kebenaran penulis artikel