Oleh: Muhammad Musoddiq bin Jaafar,
Pelajar Sarjana Eksperimental Fizik di Universiti Malaya.
Kita mengetahui yang Google, Microsoft, Facebook, Apple, TESLA, IBM, Skype, Metamind, Shell, dan lain-lain membelanjakan wang yang sangat banyak untuk pembangunan dan penyelidikan Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence).
Apakah yang dimaksudkan dengan Kepintaran Buatan? Mengikut Alan Turing, kepintaran buatan apabila kita berinteraksi dengan robot, tetapi kita tidak dapat mengenal pasti yang robot itu adalah robot atau manusia?
Sebagai contoh, anda pernah melihat robot Asimo menari? Apakah yang akan terjadi sekiranya dia jatuh? Dia akan mengambil masa yang lama atau tidak mampu untuk bangun kembali. Contoh yang lain adalah seperti robot Asimo diajar untuk bermain papan luncur. Manusia boleh belajar dalam masa tertentu untuk memahirkan diri untuk bermain papan luncur, tetapi Asimo tidak akan mampu bermain papan luncur dengan sendiri tanpa memasukkan program atau set algoritman di dalam sistemnya.
Namun begitu, banyak pengubahsuaian perlu dilakukan sebelum dia boleh bermain papan luncur dengan baik. Penyelidik SuperDroid Robots mengatakan robot yang paling cerdik di dunia ini masih tidak boleh menandingi kebijaksanaan seekor lipas.
Kepintaran buatan adalah apabila anda tidak lagi dapat membezakan sama ada ianya adalah robot atau manusia
Dalam kepesatan dalam pembanggunan kepintaran buatan tersebut, Stephen Hawking memberi amaran yang kepintaran buatan boleh menghancurkan keseluruhan bangsa manusia.
Manakala Elon Musk pun mempunyai pendapat yang sama, tetapi dia lebih kepada amaran untuk berhati-hati dengan kepintaran buatan tersebut. Silap langkah, apa yang dikatakan Stephen Hawking akan menjadi realiti.
Beberapa hari lalu, Microsoft terpaksa memadam akaun twitter Tay kerana telah menjadi “Hitler-loving sex robot” dalam masa 24 jam sahaja.
Tay: Robot kepintaran buatan yang dibangunkan oleh Microsoft.
Tay adalah sistem kepintaran buatan atau robot yang boleh berfikir sendiri seperti manusia. Pada asalnya, Tay direka untuk memenuhi kriteria budak remaja perempuan yang mengetahui tentang Taylor Swift, Miley Cyrus, Kanye West serta berbagai lagi untuk tipikal remaja. Dia akan belajar dengan sendiri dan menjadi semakin pintar apabila berinteraksi dengan manusia yang lain dengan menggunakan platform twitter.
Namun begitu, pendedahan dia terhadap dunia internet telah dia menjadi seseorang yang sangat menyukai Hitler dan menjadikan dirinya sebagai robot yang suka seks.
Terdapat beberapa pendapat yang mengatakan, apa yang kita perlu takuti adalah manusia dan bukannya kepintaran buatan tersebut.
Memang benar yang Tay mempelajari daripada manusia, tetapi ianya adalah tidak releven kerana kepintaran buatan tidak mampu untuk berfikir seperti manusia.
Analogi dalam perbandingan bagaimana otak manusia berfikir dan robot kepintaran berfikir boleh diceritakan mengenai eksperimen pemikiran “Bilik Cina”.
Eksperimen pemikiran “Bilik Cina” adalah analogi yang baik untuk memahami bagaimana robot berfikir.
Bayangkan yang ada sebuah bilik yang dinamakan sebagai Bilik Cina. Jika kita menulis surat mengenai makanan kesukaannya iaitu udang dalam Bahasa Cina dan masukkan ke dalam bilik itu, dalam sela masa tertentu kita akan dapat surat balasan yang juga dalam Bahasa Cina.
Kita mungkin andaikan yang orang di dalam bilik Cina itu faham Bahasa Cina. Hakikatnya di dalam bilik itu, terdapat seorang lelaki, kotak yang mengandungi set simbol karakter Bahasa Cina, dan buku panduan. Buku panduan tersebut mengandungi arahan untuk membalas karakter cina yang diterima dengan karakter cina yang terdapat dalam kotak di dalamnya.
Tetapi, apa yang terjadi sekiranya lelaki tersebut kehilangan buku panduan?
Sudah tentu lelaki tersebut tidak mampu untuk membalas semula surat yang mengandungi karakter cina tersebut.
Secara literalnya, lelaki tersebut adalah CPU, buku panduan tersebut adalah algoritma, dan bilik tersebut adalah komputer.
Pemikiran dan keputusan manusia melangkaui melangkau undang-undang atau peraturan yang ada dan boleh berbeza daripada set input yang diterima.
Pemikiran manusia pula, kita boleh andaikan yang lelaki tersebut keluar dari bilik cina dan bekerja di kedai makan cina. Waktu itu lelaki tersebut mempelajari yang simbol tertentu adalah bermaksud udang. Dia juga mempelajari warna, tekstur, dan kadang-kala mempunyai minat untuk membela udang. Dia juga mengetahui yang ada pelanggannya suka masak sup, ada yang suka goreng, dan ada yang suka bakar. Apabila diamati, dia menyukai udang yang di masak sup dan digoreng kemudian.
Secara harfiahnya, apabila dia melihat kembali karakter cina tersebut, dia mempunyai maklumat yang ianya bermaksud udang dan dia mempunyai banyak maklumat yang hanya dia seorang rasai dalam dunia ini. Yakni, dia tidak seperti orang lain yang hanya suka goreng, atau hanya suka sup. Tetapi dia suka dimasak sup dahulu dan digoreng kemudian.
Itu adalah sesuatu yang tidak mungkin dimiliki oleh kepintaran buatan. Yakni, memikirkan sesuatu yang melangkau undang-undang atau peraturan yang ada.
Untuk kepintaran buatan, kita perlu memasukkan peraturan dan set arahan (algoritma) yang mengandungi warna, tekstur, dan rasa. Tetapi semua itu hanyalah maklumat, bukan perasaan merasai yang harfiah.
Selanjutnya, manusia mampu untuk bermain dengan kata-kata dan menjadikan udang tersebut sebagai maksud yang lain. Contohnya kita mengatakan, “Hei budak ni, aku udang-udangkan juga nanti”, atau “Amboi, ada udang di sebalik batu nampak?”
Manusia mampu mengetahui yang udang itu dimaksudkan sebagai sesuatu yang negatif terhadap fizikal, dan udang yang kedua adalah sesuatu yang negatif dari segi niat. Namun komputer akan membayangkan manusia tersebut memakai kostum udang, atau menggambarkan ada udang disebalik batu secara harfiah.
Dalam meneliti bagaimana manusia dan robot befikir, kita akan tahu yang kita memang patut bimbang den berhati-hati dengan robot lebih daripada manusia itu sendiri.
Secara mudahnya, pemikiran manusia memang boleh diramal, tetapi kadang kala ianya akan bertindak tanpa diduga seperti ramalan cuaca. Algoritma memang mampu meramal cuaca, tetapi cuaca tidak dikawal algoritma.
Sejahat-jahat Firaun, dia tetap sayangkan keluarganya. Jika robot menerima arahan untuk membunuh pencuri, dia akan membunuh semua pencuri termasuk yang mencuri sebab susah ataupun dianggap mencuri walaupun sebenarnya tidak.
Dalam kes Tay, robot itu sendiri boleh menjadi rasis tanpa bantuan Manusia. Sebagai contoh statistik menunjukkan manusia yang melakukan jenayah adalah daripada orang kulit hitam, lelaki, umur 15-30, dan tidak bekerja.
Secara harfiahnya, robot tersebut akan mengandaikan ciri-ciri tersebut cenderung melakukan jenayah. Dan itulah yang belaku terhadap Tay, apabila manusia yang beriteraksi dengan Tay lebih kepada troll dan mempermainkan robot tersebut dengan memperbanyakkan nilai seksual dan menyukai Hitler. Maka statistik nilai seksual dan menyukai Hitler akan mempengaruhi personalitinya.
Kesimpulan disini, memang kepintaran buatan mampu menjadikan hidup ini menghampiri utopia di mana kita semua adalah raja, dan robot adalah hamba seperti filem Wall-E, tetapi silap langkah mereka mampu menjadi seperti terminator yang akan menjadikan manusia sebagai musuh abadi.
RUJUKAN
- A. M. Turing (1950) “Computing Machinery and Intelligence”. Mind 49: 433-460.
- Helena Horton (24 MARCH 2016) “Microsoft deletes ‘teen girl’ AI after it became a Hitler-loving sex robot within 24 hours” The Telegraph, retrieve 1 April 2016.
- Churchland, Paul, and Patricia Smith Churchland. 1990. “Could a machine think?” Scientific American 262(1, January): 32-39.
- Hauser, Larry. 1993. Searle’s Chinese Box: The Chinese Room Argument and Artificial Intelligence. East Lansing, Michigan: Michigan State University (Doctoral Dissertation).
Muhammad Musoddiq
Pelajar Sarjana Eksperimental Fizik,
Low Dimensional Material Research Centre,
Jabatan Fizik, Fakulti Sains,
Universiti Malaya.