Artikel ke-17 kerjasama antara MajalahSains dan Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM).
____________________________________
Oleh: Dr. Puan Chong Leong, Ahli YSN-ASM
Pensyarah Kanan, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia
“Adakah kita dibenarkan membela burung hantu?”
Ini adalah soalan yang sering ditanya setiap kali saya memberi ceramah tentang burung hantu kepada umum. Minat terhadap burung hantu semakin meningkat di kalangan masyarakat kita dan ini sedikit sebanyak adalah disebabkan oleh pengaruh filem Harry Potter.
Namun begitu, minat manusia tidak semestinya mendatangkan kebaikan kepada burung hantu. Malahan, situasi menjadi semakin meruncing apabila tersebar iklan penjualan burung hantu bersama hidupan liar melalui laman media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Tindakan menjual binatang terlindung ini adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di Malaysia. Di Malaysia, kesemua 17 spesies burung tempatan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Ini bermaksud sebarang tindakan penangkapan, penyimpanan dan penjualan burung hantu adalah salah di sisi undang-undang Malaysia dan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jampuk dan pungguk adalah antara istilah Bahasa Melayu yang digunakan untuk burung hantu, iaitu sekumpulan burung pemangsa di bawah keluarga Strigidae (jampuk) dan Tytonidae (pungguk) yang mempunyai sepasang mata yang besar, pendengaran yang sensitif serta aktif pada waktu malam. Antara semua spesies burung hantu tempatan yang dijumpai di Malaysia, lebih separuh daripadanya hidup di kawasan hutan. Dengan kata lain, hutan merupakan habitat utama kepada burung hantu, di mana lubang pokok merupakan sarang mereka. Biasanya, pokok besar yang berlubang boleh dijumpai di hutan yang tua, yang menunjukkan burung hantu berpotensi tinggi untuk menjadi penanda aras (indicator) kelestarian sesebuah hutan, terutamanya spesies bersaiz besar yang memerlukan lubang pokok besar di dalam hutan tua yang tidak terganggu.
Di Malaysia, majoriti daripada spesies burung hantu kurang dikaji menyebabkan maklumat mengenai ekologi burung hantu adalah sangat terhad. Pada masa yang sama, kehilangan habitat, pemburuan haram serta penggunaan racun di dalam kawasan pertanian telah mengancam banyak spesies burung hantu di Malaysia. Pada tahun 2007, saya telah memulakan penyelidikan tentang hubungan antara Jampuk Putih (Tyto alba) dan bilangan tikus serta kesannya ke atas corak pemakanan serta pembiakan spesies burung hantu tersebut. Jampuk Putih adalah spesies burung hantu yang memainkan peranan sebagai agen pengawal perosak, seperti tikus di kawasan pertanian seperti sawah padi dan ladang kelapa sawit. Penggunaan racun tikus dan kemungkinan pemburuan haram adalah ancaman utama kepada spesies burung hantu ini.
Pada tahun 2011, saya telah mula mengalihkan tumpuan penyelidikan saya kepada spesies burung hantu di hutan dari segi perilaku, bunyi, kepelbagaian spesies, keperluan habitat dan interaksi antara spesies. Kajian saya mendapati setiap Jampuk Kubur (Otus lempiji) dengan saiz lebih kurang 110g mempunyai bunyi dengan frekuensi tersendiri. Perbezaan ini boleh membantu kita untuk membezakan setiap Jampuk Kubur serta memantau populasi spesies ini di sesebuah kawasan. Penyelidikan melalui radio telemetri pula mendapati setiap burung jantan spesies ini terbang berkeliaran seluas 2.4 hingga 4.0 hektar dan mereka tidak bertindih dengan burung hantu yang lain dari segi perayauan kawasan.
Hasil kajian saya di peringkat komuniti juga menunjukkan bahawa kepelbagaian spesies burung hantu adalah lebih tinggi di hutan primer berbanding dengan hutan sekunder dan kawasan ladang. Ini menunjukkan bahawa terdapat spesies burung hantu tertentu yang bergantung sepenuhnya kepada hutan primer manakala sesetengah spesies burung hantu yang lain dapat menyesuaikan diri di habitat yang terganggu. Namun begitu, kami masih belum menemui bukti kukuh yang mengaitkan pembiakan burung hantu hutan terjejas disebabkan kesukaran menjumpai lubang pokok besar di habitat terganggu.
Kajian saya mendapati spesies burung hantu yang berbeza memerlukan struktur habitat dan faktor landskap yang tertentu untuk hidup. Contohnya, spesies yang besar memerlukan pokok tinggi sebagai tempat bertenggek untuk memburu manakala spesies kecil memerlukan tumbuhan rendah untuk perlindungan dan pencarian makanan. Maklumat mengenai struktur habitat dan faktor landskap adalah penting untuk tujuan pemuliharaan. Tambahan pula struktur buatan manusia seperti jalanraya dan rumah telah mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada spesies burung hantu oleh kerana kesan daripada penarahan hutan untuk tujuan pembangunan.
Kesemua 17 spesies burung hantu tempatan di Malaysia (tidak termasuk spesies berhijrah) mempunyai saiz badan serta pemakanan serta nic (niche) yang berbeza. Ini bermakna setiap spesies burung hantu memainkan peranan yang tersendiri dalam memastikan keseimbangan ekosistem.
Kesimpulannya, keterlibatan saya di dalam penyelidikan burung hantu menunjukkan bahawa spesies burung hantu merupakan pemain utama dalam ekosistem. Maka, mereka tidak sesuai sebagai haiwan peliharaan yang boleh kita bela di rumah, apatah lagi diperdagangkan di laman media sosial oleh kerana sifat semulajadi mereka yang memerlukan habitat spesifik. Tambahan pula, alam semulajadi masih memerlukan burung hantu untuk melengkapkan ekosistem yang bebas daripada ancaman manusia.