Oleh: Tina Carmillia
Mesyuarat Persidangan Pihak-Pihak Ke-13 (COP13) Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) mengumpulkan wakil-wakil negara dan industri untuk berbincang dan melaksanakan perjanjian-perjanjian untuk membangunkan strategi kebangsaan bagi pemuliharaan dan penggunaan kepelbagaian biologi secara lestari. Sejak Disember 1993, persidangan ini telah berhimpun sebanyak 12 kali.
Untuk edisi ke-13, Mexico menjadi tuan rumah CBD COP13, yang turut melibatkan mesyuarat sampingan Protokol Cartagena Kelapan (COP-MOP 8) dan Protokol Nagoya Kedua (COP-MOP 2). Acara tersebut berlangsung dari 4 Disember sehingga 17 Disember 2016 di Cancun, Quintana Roo.
Dikritik
Namun lokasi COP13 kali ini mendapat kritikan segelintir pihak kerana Cancun sendiri merupakan mangsa kemusnahan kepelbagaian biologi akibat pembangunan secara tidak mapan, khususnya dalam sektor pelancongan – bercanggah dengan matlamat persidangan ini.
Secara ringkas, isu-isu yang dibangkitkan termasuk penurapan kawasan paya bakau untuk memajukan kawasan pantai, pencemaran terhadap air minimum dan terumbu karang Mesoamerika akibat kebocoran air kumbahan hasil daripada pembinaan gopoh dan pencabulan hak asasi orang asli di tanah mereka sendiri.
Adakah pegawai-pegawai berperingkat tinggi bersifat hipokrit untuk berkumpul di Cancun tetapi menutup mata kepada isu-isu yang kononnya mereka mahu tangani sedangkan ianya terbentang di depan mata mereka sendiri? Tepuk dada, tanya selera.
Berikut adalah kenyataan penuh dari Helena Paul, wakil EcoNexus, mengenai isu ini:
“Ia adalah ironik bahawa kita berada di Cancun untuk COP13, kerana biodiversiti di tempat ini mewakili sebahagian daripada kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas akibat pembangunan aktiviti pelancongan. Hotel-hotel di Cancun yang berjumlah lebih 500 buah dibina di sepanjang Mesoamerika Barrier Reef, terumbu karang kedua terpanjang di dunia. Sebelum berlaku pembangunan bermula 1970-an, kawasan ini merupakan kawasan hutan dan paya bakau, dan juga pantai berpasir putih — yang pemaju-pemaju tahu akan menarik kunjungan orang ramai. Pembangunan yang kemudiannya dilakukan semata-mata menurap dan mengebumikan paya bakau di sepanjang garis pantai. Malah pasirnya yang cantik telah digandakan dengan berjuta-juta meter padu pasir yang dibawa masuk dari beting pasir marin tempatan, tanpa mengendah bantahan orang tempatan.
Pembinaan kompleks hotel, padang golf, sistem jalanraya, sistem pembentungan dan selebihnya secara terburu-buru telah menyebabkan pencemaran pelbagai jenis. “Setiap tahun lebih daripada 14,000 tan najis ditapis ke dalam tanah, manakala lebih daripada 11.2 juta meter padu air kumbahan mencemarkan air bawah tanah akibat daripada kebocoran dalam pengurusan jaringan Aguakan di kawasan perbandaran Benito Juarez.” (Riviera Maya News, 2015). Aguakan ialah syarikat yang bertanggungjawab ke atas air minuman di kawasan itu. Kebanyakan kumbahan tidak dirawat dengan betul dan ada yang dikesan di lagun. Tidak mengejutkan, kumbahan Cancun juga mempunyai kesan negatif ke atas terumbu karang Mesoamerika.
Cancun juga menghasilkan sampah dalam jumlah yang besar. Sebahagian daripada ini didakwa dibuang di tapak pelupusan berhampiran dengan masyarakat terpinggir yang terdiri daripada penduduk yang datang dari seluruh rantau ini, tertarik oleh kemungkinan pekerjaan di hotel-hotel. Toksin dari pembuangan sampah ini meresap ke dalam hutan bakau dan lagun.
Tetapi mungkin penyalahgunaan paling teruk adalah yang ditanggung oleh masyarakat orang asli. Tapak-tapak arkeologi yang terkenal seperti Tulum dan Chichen Itza menerima lebih daripada satu juta lawatan pelancong setahun. Ia adalah ciri utama program kebangsaan Mundo Maya, yang menggalakkan konsep pelancongan yang mapan, dan menonjolkan penglibatan masyarakat setempat. Walau bagaimanapun, tampak bahawa orang tempatan yang mempunyai hak-hak tanah komunal, berdasarkan sistem lama penggunaan tanah kongsi dipanggil ejidos, terdedah kepada pengusiran kejam atas nama pembangunan.
Konflik
Sebagai contoh, dalam konflik tanah di Tulum, menurut seorang ahli masyarakat Maya:
Walaupun mahkamah pertanian mengeluarkan penghakiman yang memihak kepada rakyat yang mempunyai hak-hak bersama ke atas tanah (ejidatarios) dan membatalkan hak milik hartanah bagi usahawan, namun begitu pengusiran, penyelewengan dan rasuah berterusan di Tulum. Ini telah menyebabkan kematian seorang peguam yang mempertahankan ejidatarios, 19 daripada mereka telah dipenjarakan secara tidak adil. Terdapat juga ancaman pembunuhan, kelesapan, penderaan wanita dan bukti yang jelas mengenai pakatan sulit dengan pihak berkuasa, termasuk gabenor-gabenor negeri dan hakim-hakim. Sementara itu, tanah-tanah milik mereka yang kehilangan tempat tinggal pula dikawal oleh polis perbandaran dan negeri.
Dengan itu Cancun adalah lokasi yang tepat untuk konfrontasi dengan percanggahan-percanggahan dunia kita, menerusi kemusnahan biodiversiti atas nama pembangunan pelancongan, dan keganasan yang ditunjukkan kepada masyarakat orang asli dan komuniti tempatan yang mahu menegakkan hak-hak mereka di situ, terutama apabila dunia ini sedang menghadapi cabaran perubahan iklim.
Bacaan tambahan:
- Cancún: From mangrove paradise to polluted megasprawl
- Contaminated groundwater big problem for Cancun
- Developing pollution problems due to tourism in Cancun, Mexico
- Ending a touristic destination in four decades: Cancun’s creation, peak and agony
Catatan : Tina Carmillia kini berada di Cancun, Mexico untuk membuat liputan persidangan COP13 di bawah biayaan Earth Journalism Network.