Oleh: Yasir Mohd Mustafah,
Kulliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Pembangunan Teknologi dan Kemusnahan
Manusia kini hidup di era yang luar biasa dimana sains dan teknologi membolehkan kita membangun dengan pesat dan hidup dengan selesa mengikut keperluan dan kemahuan masing-masing. Namun, tanpa kita sedari, harga yang perlu dibayar untuk pembangunan kita yang luar biasa ini adalah sangat tinggi nilainya dan ianya pasti tidak akan berkekalan. Wabak Covid-19 yang sedang melanda serta bencana-bencana alam lain yang terjadi sebenarnya adalah antara petanda dari alam tentang kemusnahan yang dialaminya akibat pembangunan manusia yang tidak lestari semenjak revolusi industri pertama dipermulakan lagi.
Manusia telah maju membangun secara drastik hasil dari revolusi industri yang tercetus pada kurun ke-18. Penciptaan mesin oleh saintis dan jurutera telah meningkatkan keupayaan pembuatan yang membolehkan manusia menghasilkan produk-produk seperti makanan, pakaian, alatan, ubatan dan banyak lagi secara besar-besaran. Melalui usaha penciptaan dan kejuruteraan yang berterusan, industri terus berevolusi dan kini dikatakan sedang mengalami revolusinya yang ke-4 (seperti Rajah 1 di bawah). Revolusi industri yang ke-4 ini juga, akan terus meningkatkan lagi keupayaan produktiviti manusia demi pembangunan ekonomi.
Malangnya, penciptaan teknologi dan keupayaan produktiviti yang tinggi dan hanya mementingkan pembangunan ekonomi telah menyebabkan peningkatan mendadak keatas penggunaan sumber alam yang terhad. Dalam kerakusan kita mengorek sumber alam untuk keuntungan ekonomi, kita memusnahkan flora dan fauna, melepaskan gas-gas rumah hijau, membuang sisa-sisa toksik dan menyebabkan banyak lagi kerosakan alam. Akibatnya, kini bumi dilanda pemanasan global, kepupusan spesis, pencemaran udara and air, pengurangan sumber alam dan juga penularan wabak merbahaya seperti Covid-19. Jika aktiviti-aktiviti yang melampaui batasan ini berterusan, suatu hari nanti, bumi ini tidak akan dapat kita diami lagi.
Batasan Planet
Sekumpulan saintis yang diketuai oleh Johan Rockstrom telah mengkaji dan memperkenalkan konsep “Batasan Planet” pada tahun 2009. Konsep “Batasan Planet” telah mengenal pasti 9 parameter alam sekitar dan batasannya untuk menjamin kelestarian kehidupan manusia dan planet bumi. 9 batasan planet tersebut adalah:
- Penipisan Ozon – dinilai mengikut kepekatan gas ozon di stratosfera.
- Kehilangan Integriti Biosfera – dinilai mengikut kepupusan spesis.
- Pencemaran Kimia dan Bendasing Baru – dinilai mengikut kepekatan bahan pencemaran di alam sekitar.
- Perubahan Iklim – dinilai mengikut kepekatan gas carbon dioksida di atmosfera dan daya radioaktif dari sinaran matahari.
- Pengasidan Laut – dinilai mengikut tingkatan pH air laut.
- Penggunaan Air Tawar – dinilai mengikut penggunaan air global.
- Penggunaan Tanah – dinilai mengikut peratusan tanah yang digunapakai untuk pembangunan dan pertanian.
- Penghasilan Nitrogen and Fosforus – dinilai mengikut kepekatan Nitrogen dan Fosforus yang dihasilkan dan dilepaskan ke alam sekitar.
- Pelepasan Aerosol – dinilai mengikut kepekatan pepejal atau cecair micro di udara.
Menurut laporan penilaian batasan planet terbaharu yang dibuat pada tahun (seperti di dalam Rajah 2), bumi ini sebenarnya sedang berada dalam keadaan yang sangat tenat. Walaupun laporan tersebut berdasarkan lima tahun lepas, namun ia boleh digunakan sebagai anggaran untuk realiti pada waktu ini. Aktiviti pembangunan oleh manusia telah mengakibatkan 4 daripada 9 batasan dilampaui iaitu dalam penggunaan tanah, penghasilan nitrogen and fosforus, kehilangan integriti biosfera, dan perubahan iklim. Dua batasan lagi, iaitu pencemaran kimia dan bendasing baru dan pelepasan aerosol masih belum dapat dinilai secara global tetapi dianggarkan berada pada tahap membimbangkan. Tambahan lagi, jika dilihat dari konteks tempatan, terutamanya di kawasan-kawasan perindustrian, banyak batasan telah dilampaui.
Teknologi telah menyumbang kepada aktiviti penggunaan tanah dan eksploitasi sumber alam yang melampaui batasan. Mesin-mesin yang canggih membolehkan manusia meneroka hutan dan perairan, membina infrastuktur dan menjalankan proses urbanisasi secara drastik. Aktiviti-aktiviti ini, selain memusnahkan alam sekitar, turut membuatkan manusia lebih terdedah kepada persekitaran baru yang sebenarnya asing buat manusia. Lebih teruk lagi, apabila aktiviti kemusnahan ini didorong oleh sifat rakus manusia untuk meneroka dan merasai sesuatu yang baru dan unik, seperti contoh, memburu dan menjual-beli haiwan-haiwan eksotik secara besar-besaran. Akibatnya, virus merbahaya, seperti Covid-19, yang dahulunya tersembunyi di kalangan haiwan liar seperti kelawar dan tenggiling , kini telah mula berpindah menjangkiti dan membunuh manusia.
Matlamat Pembangunan Lestari
Bagi mengawal pembangunan manusia yang telah melampaui batasan planet dan demi menjaga kemaslahatan manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memperkenalkan satu agenda dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG). SDG mengariskan 17 matlamat yang harus dicapai oleh semua bagi memastikan kita dapat membangun untuk memenuhi keperluan hidup dan pada masa yang sama menjamin kebolehan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan hidup mereka. Matlamat-matlamat ini mengambil kira faktor sosio-ekonomi dan juga alam sekitar bagi mengawal pembangunan manusia supaya tidak terus memusnahkan bumi ini. Dalam masa dunia dilanda wabak Covid-19 sekarang, SDG berperanan sebagai panduan bagi kita menangani wabak ini secara lestari.
17 matlamat SDG yang digariskan oleh PBB (merujuk kepada Rajah 3) adalah: (1) Tiada Kemiskinan, (2) Kelaparan Sifar, (3) Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, (4) Pendidikan Berkualiti, (5) Kesaksamaan Gender, (6) Air Bersih dan Sanitasi, (7) Tenaga Berpatutan dan Bersih, (8) Pekerjaan Bersesuaian dan Pembangunan Ekonomi, (9) Industri, Inovasi dan Infrastruktur, (10) Mengurangkan Ketidaksamaan, (11) Bandar dan Masyarakat Mampan, (12) Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, (13) Tindakan Terhadap Iklim, (14) Kehidupan dalam Air, (15) Kehidupan di Darat, (16) Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan Kukuh, dan (17) Kerjasama demi Matlamat.
Teknologi dan Pembangunan Lestari
Salah satu cara untuk mengatur strategi untuk mencapai SDG dan memahami konsep pembangunan lestari adalah melalui formula IPAT. Formula IPAT telah diperkenalkan oleh dua orang saintis iaitu Paul R. Ehrlich and John Holdren pada tahun 1970 bagi mengukur impak daripada aktiviti manusia terhadap alam sekitar. IPAT merupakan singkatan kepada I (impak kepada alam sekitar), P (populasi manusia), A (kekayaan individu) dan T (teknologi). Formula IPAT mengatakan:
I = P x A x T
bermaksud bahawa I (impak kepada alam sekitar) adalah berkadar langsung dengan P (populasi manusia), A (kekayaan individu) dan T (teknologi).
Dalam keadaan dimana perkembangan populasi dan kekayaan individu merupakan pekali luar kawalan, faktor teknologi memainkan peranan yang penting sekali dalam formula ini bagi mengimbangi impak daripada aktiviti manusia terhadap alam sekitar. Formula IPAT menunjukkan bahawa teknologi, yang ironinya, telah mencetuskan revolusi industri dan membawa kepada kemusnahan dan bencana seperti Covid-19, sebenarnya juga adalah komponen penting yang boleh membawa kepada pembangunan yang lestari.
Mengambil ikhtibar dari Covid-19, para saintis dan jurutera masa kini sepatutnya, bertanggung jawab menghasilkan teknologi yang tidak hanya mementingkan keuntungan dari segi ekonomi, tetapi teknologi yang memberi impak positif terhadap alam sekitar mengikut prinsip-prinsip penciptaan dan kejuruteraan yang lestari (sustainable engineering). Kejuruteraan yang lestari memperkenalkan metodologi yang dipanggil kejuruteraan kitaran-hidup (life-cycle engineering) yang menggariskan bahawa impak terhadap alam sekitar perlu dikurangkan di setiap kitaran hidup sesuatu produk atau teknologi.
Menurut metodologi kejuruteraan kitaran-hidup, semasa dikitaran pembuatan, proses pembuatan perlu dirancang supaya bersih dan menggunakan bahan mentah secara minima. Kemudian, semasa dikitaran penggunaan, produk atau teknologi perlu direka bentuk supaya beroperasi secara mesra alam dan kekal lama. Akhir sekali, dikitaran penghapusan, produk atau teknologi seharusnya mudah untuk dilupuskan secara bersih dan mudah untuk dikitar semula. Dengan memastikan pengurangan impak di setiap kitaran-hidup teknologi ini, impak terhadap alam sekitar oleh aktiviti manusia akan dapat dikurangkan secara efisien lantas dapat menjamin pembangunan yang lestari.
Kesejahteraan Alam melalui Pendidikan
Walaupun begitu, pembangunan lestari memerlukan penerimaan dan sokongan oleh semua pihak. Setiap individu dan setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing, bekerjasama dan bertolak ansur untuk memastikan kelestarian dan kesejahteraan bumi ini. Antara strategi terbaik bagi membentuk masyarakat dunia yang menyokong pembangunan yang lestari adalah menerusi pendidikan seperti yang dicadangkan oleh UNESCO melalui inisiatif Pendidikan untuk Pembangunan Lestari atau Education for Sustainable Development (ESD). ESD menyarankan supaya pendidikan menerapkan kesedaran dan ilmu berkaitan cabaran yang sedang manusia dihadapi disebabkan kemusnahan akibat pembangunan dan memupuk rasa tanggung jawab untuk memulihara bumi ini melalui pendekatan lestari. Pendidikan perlu meletakkan nilai yang sangat tinggi terhadap alam sekitar dan memberi penekanan bahawa bumi ini dikongsi bersama oleh semua.
Di Malaysia, langkah menerapkan kesedaran tentang pembangunan yang lestari seperti yang disarankan ESD telah dilaksanakan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Menurut FPK, pendidikan adalah suatu usaha untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dan berupaya mencapai kesejahteraan diri. Kesejahteraan didalam FPK tidak boleh lagi hanya dilihat dari aspek sosio-ekonomi sahaja, tetapi perlu dilihat secara lebih holistik yang turut merangkumi nilai diri, dan rasa tanggung jawab terhadap nyawa dan alam sekitar.
Pendidikan masa kini bertanggung jawab melahirkan saintis dan jurutera yang tidak hanya mengimpikan revolusi industri untuk keuntungan ekonomi semata-mata, tetapi yang bercita-cita untuk menjadi pemangkin kepada teknologi hijau demi menjamin pembangunan yang lestari. Melalui pembangunan yang lestari, kemusnahan nyawa akibat bencana seperti wabak Covid-19 mungkin dapat kita kekangi pada masa-masa hadapan. Covid-19 seharusnya dijadikan ikhtibar untuk kita semua dan seharusnya menjadi pencetus revolusi demi kesejahteraan alam.