Oleh : Prof. Madya. Dr. Wan Iryani Wan Ismail
Cell Signalling and Biotechnology Research Group (CeSBTech)
Universiti Malaysia Terengganu
Pengenalan
Sehingga 17 Ogos 2020, seramai 21,516,760 pesakit yang melibatkan jangkitan coronavirus 19 (COVID-19) telah dilaporkan di seluruh dunia. Manakala terdapat 766,663 kematian yang telah dicatatkan. Disebabkan belum ada vaksin atau antivirus yang berkesan untuk menyembuhkan jangkitan COVID-19, pandemik ini dilihat akan terus mengancam dunia untuk beberapa ketika. Pelbagai aspek lain terutamanya ekonomi dan rutin hidup seharian telah terjejas dengan teruknya. Ini telah memaksa pelbagai pihak termasuk di Malaysia untuk mengambil tindakan yang drastik untuk memastikan ekonomi negara dan kehidupan rakyat terus bertahan dan terbela.
Kepentingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam Memerangi COVID-19
Tanpa disedari, saat ini telah menonjolkan kepentingan sains dan teknologi dalam mencari jalan penyelesaian. Antaranya, kefahaman mengenai ilmu asas Sains berkaitan virus, struktur, kitar hidup dan cara jangkitannya memudahkan proses pendidikan diterapkan di kalangan masyarakat. Sebagai contoh, virus hanya dapat bertindak balas apabila berada di dalam perumah (seperti dalam badan manusia), maka pencegahan jangkitan COVID-19 dapat dilakukan dengan mengamalkan normal baru seperti memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan kebersihan diri. Selain daripada itu, kefahaman dalam mekanisma jangkitan dan tindak balas dalam badan yang disebabkan COVID-19 boleh memberi idea dalam membangunkan vaksin, menguji keberkesanan ubat antivirus dan juga menghasilkan rawatan alternatif penjagaan kesihatan diri berasaskan alam semulajadi.
Manakala ketidakfahaman ilmu Sains boleh menyebabkan penularan wabak ini yang lebih serius. Bahkan ia turut mencetus beberapa insiden kematian meminum cecair sanitasi yang beralkohol dan suntikan disinfeksi bagi merawat jangkitan COVID-19 di beberapa tempat di dunia.
Isu pandemik COVID-19 ini diharap dapat membuka mata ramai pihak supaya dapat melihat kelebihan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan budaya Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam menghadapi realiti kehidupan dengan lebih baik. Pelajar sekolah sepatutnya diberi galakan dan motivasi pada saat ini bagi menceburi bidang pengajian STEM di peringkat universiti dan mengamalkan STI dalam kerjaya masing-masing serta pengamalan ilmu Sains seumur hidup pada masa hadapan.
Potensi Rawatan dan Ujian Klinikal COVID-19
Secara umumnya, sesuatu rawatan perlu melalui ujian klinikal dan mendapat keputusan yang meyakinkan sebelum dapat diguna pakai secara meluas di hospital. Sehingga kini, vaksin untuk mencegah jangkitan COVID-19 masih lagi dalam fasa pengujian klinikal. Rawatan menggunakan ubat antivirus seperti hydroxychloroquine dan remdesivir serta rawatan menggunakan convalescent plasma tidak dapat menjaminkan kesembuhan sepenuhnya. Justeru, saintis memainkan peranan penting untuk melakukan penyelidikan mencari rawatan yang terbaik ke atas jangkitan COVID-19 daripada pelbagai sumber alamiah. Sehingga saat artikel ini ditulis (10 Ogos 2020), sebanyak 2935 kajian klinikal telah didaftarkan di bawah organisasi National Institutes of Health (NIH), Amerika Syarikat melalui ClinicalTrials.gov. Kajian tersebut termasuk menggunakan rawatan alternatif daripada bahan semula jadi termasuk madu.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Nutraingredients-asia.com, senarai ujian klinikal ke atas manusia untuk merawat jangkitan COVID-19 adalah seperti berikut:
- Mesir: Madu Asli oleh Misr University for Science and Technology
- Arab Saudi: Ubat anti-radang dan antioksida sebagai makanan tambahan nutrisi secara oral yang mengandungi mikronutrien dan diperkayakan dengan omega-3 seperti eicosapentaenoic acid (EPA) dan gamma-linolenic acid (GLA). Ia akan diuji oleh King Saud University.
- India: Formula Nutraseutikal oleh syarikat Shreepad Shree Vallabh (SSV) Phytopharmaceuticals.
- China: Formula Traditional Chinese Medicine (TCM) seperti granul Jinhua Qinggan, kapsul Lianhuan Qingwen dan suntikan Xuebijing oleh Jiangsu Famous Medical Technology
- Australia: Suntikan kepekatan tinggi intravena Zink sebagai rawatan adjuvant di Austin Health Hospital
- Amerika Syarikat dan Eropah: mengkaji mikronutrisi seperti resistant potato starch melalui kerjasama Yale University, University of Michigan dan University of Minnesota. Pengambilan vitamin C dan D juga turut dikaji.
Berdasarkan senarai di atas, bahan penyelidikan sebagai potensi rawatan COVID-19 tidak terhad kepada rawatan ubat moden. Pelbagai bahan semula jadi telah dijadikan bahan kajian kerana dalam dunia penyelidikan, tidak ada yang mustahil (anything is possible) dan Sains itu selalu berkembang (data kajian hari ini betul tetapi mungkin di masa hadapan menggunakan teknologi terkini data tersebut tidak lagi tepat dan sebaliknya). Ini bagi membuka minda masyarakat supaya tidak memandang rendah power of nature dalam penyelidikan berkaitan perubatan termasuk COVID-19.
Potensi Madu dalam Penjagaan Kesihatan dan Rawatan COVID-19
Malaysia dianugerahkan dengan pelbagai jenis madu seperti madu lebah dan madu kelulut. Ia dihasilkan oleh spesis lebah dan kelulut yang pelbagai daripada sumber bunga yang turut bervariasi. Ini menghasilkan madu lebah dan madu kelulut Malaysia yang unik seperti madu Tualang, madu Gelam, madu Akasia dan madu kelulut pelbagai spesis seperti Heterotrigona itama, Geniotrigona thoracica dan sebagainya. Khasiat perubatan madu telah diketahui umum sejak berkurun lamanya termasuk sebagai antibakteria, antivirus, antifungi, anti-radang, meningkatkan sistem imun dan untuk rawatan luka. Sehingga kini, belum ada kajian khusus ke atas pesakit COVID-19 telah dilakukan bagi menunjukkan keberkesanan madu lebah atau madu kelulut yang boleh menyembuh jangkitan COVID-19. Biarpun ada beberapa dakwaan termasuk seorang bekas pesakit COVID-19, Angle Flanagan dari England. Walau bagaimanapun, satu kajian klinikal ke atas manusia menggunakan madu asli sedang diusahakan oleh Misr University for Science and Technology. Ini bagi melihat keberkesanan madu asli secara saintifik dalam melawan jangkitan COVID-19.
Potensi madu dalam merawat jangkitan COVID-19 dilihat berasaskan beberapa kajian saintifik yang telah dilakukan sebelum ini. Antaranya, ujian antivirus madu menggunakan komputer (in silico) telah menunjukkan methylglyoxal (MGO) dalam madu Manuka dapat merencat enzim protease virus penyebab COVID-19 iaitu SARS-CoV-2. Selain daripada itu, kandungan asid askorbik, antioksida flavonoid, asid nitrik dan hidrogen peroksida yang boleh didapati dalam kebanyakan madu asli dilaporkan dapat merencat proses replikasi virus dan memberi kesan virusid (memusnah virus). Bahan antioksida di dalam madu seperti flavonoids (quercitin) telah dilaporkan dapat merangsang sel-sel yang telah dijangkiti virus SARS-CoV-2, penyebab COVID-19, untuk memusnah diri sendiri melalui proses autofagi (memecah dan mengitar semula sel tubuh yang bermasalah atau yang dijangkiti).
Selain daripada kesan langsung sebagai antivirus dan merangsang proses autofagi, madu juga telah dilaporkan meningkatkan sistem imun dan mempunyai kesan anti-radang. Sistem imun merupakan antara bentuk pertahanan badan daripada sebarang jangkitan. Ia melibatkan keimunan inat (innate immunity) dan penyesuaian (adaptive immunity) yang memainkan peranan penting dalam melawan jangkitan COVID-19. Antigen-presenting cells (APS) yang merupakan sebahagian daripada keimunan inat akan membantu keimunan penyesuaian dengan menghasilkan sel B dan T melalui human leucocyte antigen (HLA). Ia akan bertindak balas dengan virus di peringkat awal jangkitan. Seterusnya beberapa bahan kimia seperti sitokin (cytokines), kimokin (chemokines) dan neutrofil dikeluarkan oleh makrofaj bagi menghasilkan protein reaktif C yang mempunyai aktiviti antivirus. Menariknya, madu didapati dapat merangsang penghasilan sel B, sel T dan bahan-bahan kimia sitokin, kimokin dan neutrofil. Walau bagaimanapun, peningkatan sistem imun melalui penghasilan yang banyak bahan-bahan kimia di atas akan menyebabkan kesan sampingan iaitu keradangan kepada sel-sel di dalam badan. Kesan antiradang daripada madu yang telah dikaji sebelum ini melalui ujian ke atas kultur sel, haiwan makmal dan ujian klinikal mungkin dapat mengurangkan kesan sampingan dari peningkatan sistem imun terbabit. Di samping itu, madu juga telah dilaporkan dapat merangsang pembentukan sel-sel baru dalam rawatan luka. Kebaikan madu ini dilihat mungkin juga dapat membantu memulihkan sel-sel yang telah rosak atau luka semasa proses di atas.
Potensi madu dalam merawat jangkitan COVID-19 juga boleh dihipotesiskan berdasarkan kandungan bahan-bahan kimia yang ada di dalam madu asli seperti gula (kebanyakannya gula ringkas), protein, asid organik, asid amino, enzim, hormon, mineral, vitamin dan bahan antioksida termasuk flavonoid dan asid fenolik. Pengambilan madu sebanyak 1.2g/kg dilaporkan dapat meningkatkan kandungan bahan antioksida seperti beta-karotin, vitamin C dan glutathione reduktas di kalangan subjek yang sihat dalam satu kajian klinikal. Kesemua bahan-bahan ini bertindak secara sinergistik iaitu dalam proses bertindak sebagai antivirus, merangsang aktiviti autofagi, meningkatkan sistem imun, memberi kesan anti-radang, merawat sel-sel luka dan memberi tenaga, mineral serta nutrisi supaya sel-sel terus mendapat tenaga untuk bertindak balas dengan berkesan. Ia dapat membantu mengurangkan risiko ribut sitokin (cytokine storm) yang disebabkan oleh penghasilan yang tinggi dan berterusan sel-sel imun dan bahan-bahan kimia termasuk sitokin. Walau bagaimanapun, penyelidikan secara sistematik perlu dilakukan untuk mengesahkan hipotesis di atas.
Penutup
Menggunakan pengetahuan dan pendekatan terkini dalam STEM dan STI, potensi madu dalam merawat jangkitan COVID-19 perlu diberi peluang untuk dikaji secara saintifik. Kelebihan madu sebagai makanan kesihatan dan mempunyai pelbagai khasiat perubatan telah diakui sejak zaman berzaman oleh pelbagai bangsa dan budaya. Tambahan ia tercatat secara jelas sebagai penawar di dalam al-Quran, ayat 68-69, surah An-Nahl (Lebah). Walau bagaimanapun, ianya bukan semudah itu. Di akhir ayat 69, dinyatakan bahawa khasiat penawar tersebut hanya dapat dikenal pasti oleh ‘orang-orang yang berfikir’ iaitu mereka yang mengkaji melalui disiplin kepakaran ilmu yang terlatih seumpama saintis. Para saintis perlu menjalankan uji kaji khas untuk mendapat kaedah pengamalan madu yang paling sesuai bagi mendapat kesan yang terbaik dalam sesuatu rawatan.
Selain daripada itu, beberapa isu penting yang perlu diberi perhatian di sini juga adalah keaslian madu yang diguna. Bagi melihat potensi sebenar madu lebah dan kelulut dalam melawan dan merawat jangkitan COVID-19, pastikan madu yang digunakan adalah madu yang asli. Sebagai contoh, penemuan gula trehalulosa yang hanya didapati di dalam madu kelulut yang asli dapat mengurangkan gula darah, ianya adalah satu penemuan yang signifikan yang dapat merawat pesakit COVID-19. Di mana kebanyakan pesakit-pesakit tersebut mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk diabetes. Manakala penggunaan madu tidak asli yang mempunyai kandungan gula yang tinggi tanpa sebarang nutrisi seperti madu asli, bukan sahaja tidak memberi kesan kebaikan madu yang sebenar, bahkan boleh memudharatkan lagi pesakit tersebut.
Tambahan, madu seperti bahan-bahan semulajadi yang lain termasuk herba, mengambil masa yang lama untuk menunjukkan kesan yang diharapkan berbanding dengan jangkitan COVID-19 yang lebih cepat. Pengambilan madu di peringkat jangkitan kronik mungkin tidak dapat memberi kesan yang optima. Justeru, pengamalan madu sebagai makanan untuk penjagaan kesihatan secara konsisten adalah merupakan strategi yang paling sesuai ketika ini. Penyelidikan secara sistematik, menyeluruh dan khusus ke atas jangkitan COVID-19, virusnya SARS-CoV-2 dan madu asli lebah serta kelulut perlu dilakukan segera untuk mengesahkan potensi di atas. Akhir sekali, doa kita semua, moga wabak COVID-19 ini dapat dihapuskan dengan segera dan masyarakat dunia dapat kembali hidup aman dan lebih baik selepas ini, insyaAllah.
Pengakuan: Perkongsian ini adalah berdasarkan pembacaan jurnal-jurnal saintifik hasil kajian terdahulu ke atas spesis virus yang lain, yang mungkin mempunyai potensi yang sama ke atas rawatan COVID-19. Walau bagaimanapun, keberkesanan madu sebagai rawatan COVID-19 belum lagi terbukti dan memerlukan penyelidikan yang teliti.
Rujukan
- WHO (2020). WHO Coronavirus Disease (COVID-19) Dashboard. Capaian pada 17 Ogos 2020 di link: https://covid19.who.int/?gclid=CjwKCAjw1ej5BRBhEiwAfHyh1K1xyQEvBJpPTCI59aAGKLaFxZnKsCQuOZ5p1opjc_jHIXWVYUl_RxoCmHgQAvD_BwE
- Huang, C. et al. (2020). Clinical features of patients infected with 2019 novel coronavirus in Wuhan, China. Lancet, 395, 497–506.
- Sohaq, A. A. et al. (2020). Revisiting potential druggable targets against SARS-CoV-2 and repurposing therapeutics under preclinical study and Clinical Trials: A Comprehensive Review. Drug Dev. Res. 1-23.
- Koehn, F. E. et al. (2005). The evolving role of natural products in drug discovery. Nature Reviews Drug Discovery. 4, 206–220.
- Ahmed, S. et al. (2013). Honey as a potential natural anticancer agent: A review of its mechanisms. Evidence-based Complementary and Alternative Medicine. 829070.
- Tantawy, M. (2020). Efficacy of Natural Honey Treatment in Patients With Novel Coronavirus. ClinicalTrials.gov. Capaian pada 17 Ogos 2020 di link: https://clinicaltrials.gov/ct2/show/NCT04323345
- Koe, T. (2020). Can honey, omega-3, resistant potato starch help fight COVID-19? Researchers to examine via clinical trials. Nutraingredients-asia.com. Capaian pada 17 Ogos di link: https://www.nutraingredients-asia.com/Article/2020/04/20/Can-honey-omega-3-resistant-potato-starch-help-fight-COVID-19-Researchers-to-examine-via-clinical-trials
- Klappan, A. K. et al. (2012). Proteasome inhibition by quercetin triggers macroautophagy and blocks mTOR activity. Histochem. Cell Biol. 137, 25–36.
- Watanabe, K. et al. (2014). Anti-influenza Viral Effects of Honey In Vitro: Potent High Activity of Manuka Honey. Arch. Med. Res. 45, 359–365.
- Sulaiman, S. A. et al. (2011). The Benefit of Tualang Honey in Reducing Acute Respiratory Symptons Among Malaysian Hajj Pilgrims: A Preliminary Study. J. ApiProduct ApiMedical Sci. 3, 38–44.
- Shahzad, A. (2012). In vitro antiviral activity of honey against varicella zoster virus (VZV): A translational medicine study for potential remedy for shingles. Transl. Biomed. 3, 2.
- Erejuwa, O. et al., (2012). Honey: A novel antioxidant. Molecules, 17, 4400–4423.
- Hashem, H. E. (2020). In Silico Approach of Some Selected Honey Constituents as SARS-CoV-2 Main Protease (COVID-19) Inhibitors. Eurasian J. Med. Oncol. 4, 196–200.
- Liu, M. et al. (2017). The role of oxidative stress in influenza virus infection, Microbes and Infection, 19, 580–586.
- Liu, Q. et al. (2016). The cytokine storm of severe influenza and development of immunomodulatory therapy. Cellular and Molecular Immunology.
- Al-Waili, N. S. (2003). Effects of daily consumption of honey solution on hematological indices and blood levels of minerals and enzymes in normal individuals. J. Med. Food, 6, 135–140.
- Al-Waili, N. S. et al. (2003). Natural honey lowers plasma prostaglandin concentrations in normal individuals. J. Med. Food, 6, 129–133.
- Hussein, S. Z. et al (2012). Gelam honey inhibits the production of proinflammatory, mediators NO, PGE 2, TNF-α, and IL-6 in carrageenan-induced acute paw edema in rats. Evidence-based Complement. Altern. Med.
- Gupta, S. et al. (2011). Honey dressing versus silver sulfadiazene dressing for wound healing in burn patients: A retrospective study. J. Cutan. Aesthet. Surg, 4, 183.
- Musa, M. et al. (2019). Effectiveness of Extension Agent Services in Influencing the Adoption of Modern Hive in Sustainable Stingless Beekeeping. Journal of Sustainability Science and Management, 14(4), 14-24.
- T-Johari, S. A. T. et al. (2019). Combinatorial Cytotoxic Effects of Gelam Honey and 5-Fluorouracil against Human Adenocarcinoma Colon Cancer HT-29 Cells In Vitro. International Journal of Cell Biology.
- Gassen, N. C. et al. (2020). Analysis of SARS-CoV-2-controlled autophagy reveals spermidine, MK-2206, and niclosamide as putative antiviral therapeutics. bioRxiv.
- Al-Waili, N. S. (2004). Topical honey application vs. acyclovir for the treatment of recurrent herpes simplex lesions. Med. Sci. Monit. 10, MT94-98.
- Wan Yusuf, W. N. et al. (2019). Tualang honey ameliorates viral load, CD4 counts and improves quality of life in asymptomatic human immunodeficiency virus infected patients. J. Tradit. Complement. Med, 9, 249–256.
- Samat, S. et al. (2018). Adulterated Honey Consumption can Induce Obesity, Increase Blood Glucose Level and Demonstrate Toxicity Effects. Sains Malaysiana, 45(5); 363-377.
- Ismail, W. I. W. (2016). A Review on Beekeeping in Malaysia: History, Importance and Future Directions. Journal of Sustainability and Science Management. 11(2), 70-80.
- Mat Isa, N. et al. (2017). Silica Microfiber Sensor for the Detection of Honey Adulteration. Advanced Science Letter. 3:6, 1-5.
Kredit Foto : medicircle