2 Februari 1962 – 8 Oktober 2006
Gambar ehsan dari blog : http://farahhani-ar.blogspot.com/2006/10/assoc-prof-dr-zainol-abidin-abdul.html
Oleh : Mohd Faizal Aziz
[ Catatan ini ditulis empat tahun yang lalu dan diterbitkan dalam Buletin SENADA, UKM bagi mengenang pemergian Allahyarham Prof. Madya Dr. Zainul Abidin Abdul Rashid. Ia disiarkan kembali di MajalahSains.Com bertujuan untuk mengenang kembali sumbangan beliau dalam akademik serta masyarakat umum tentang dunia sains & teknologi yang digelutinya sepanjang kehidupan beliau. Kepada yang mengikuti artikel ini, sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada allahyarham ]
Ketika belasungkawa ini ditulis, masih lagi tengiang-ngiang di telinga penulis, pertemuan terakhir secara kebetulan di kafetaria Fakulti Kejuruteraan, UKM sewaktu makan tengah hari bersama Allahyarham pertengahan bulan Julai tahun 2006. Pada waktu itu jerebu tebal sedang melanda Malaysia dan beliau galak bercerita mengenai idea untuk menjalankan projek pembenihan awan (cloud seeding) bagi mengurangkan jerebu .Namun dengan nada sedikit kesal beliau menyatakan bahawa permohonan mendapatkan dana untuk menjalankan projek tersebut tertangguh atas beberapa sebab. Beliau yang dimaksudkan ialah Allahyarham Prof. Madya. Dr. Zainol Abidin Abdul Rashid, mantan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem (JKEES) Fakulti Kejuruteraan UKM yang meninggal dunia pada 8 Oktober 2006 bersamaan 15 Ramadhan 1427H akibat satu kemalangan di rumah.
Saintis kelahiran Pulau Mutiara pada tahun 1962 ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (elektronik) dari UKM pada tahun 1985. Beliau kemudiannya menyambung pengajian di University of Bradford, United Kingdom untuk memperolehi Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah pada tahun 1987 dan 1997 dengan penyelidikan bertajuk ”Microprocessor Engineering” dan ”Earth-Space Radiowave Propagation”.
Sepanjang penglibatan dalam kerjaya akademik, beliau pernah menjadi tutor pada tahun 1985-1988 dan pensyarah sambilan di UPM pada tahun 1989 sebelum menjawat jawatan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem di Fakulti Kejuruteraan UKM pada 2 Mei 1989 sehingga tahun 2006.
Di sisi lain dalam sejarah kerjaya beliau sebagai ahli akademik dan penyelidik, Dr. Zainol merupakan Ketua Kumpulan Penyelidikan Satelit Pertama Malaysia, TiungSAT-1 Mirosatellite Technology Transfer and Training Programme bertempat di Surrey Satellite Technology, University of Surrey, Guildford United Kingdom pada Jun 1997-Julai 1998). Selain itu beliau juga dilantik sebagai felo kanan, Institut Sains Angkasa, UKM ( Oktober 2004- 2006).
Di sebalik kesibukan beliau sebagai seorang tenaga pengajar, allahyarham telah mencatatkan sejarah dalam karier beliau apabila terpilih untuk menjalankan penyelidikan di benua paling sejuk di dunia iaitu antartika buat kali pertama pada tahun 2002. Kemudiannya beliau meneruskan kajian tersebut di sana beberapa kali pada tahun 2003 hingga 2004
Dalam satu temubual ekslusif bersama Prof Dr. Fauzi Yusoff untuk dimuatkan dalam buletin Resonance UKM edisi 4, julai 2004 suatu masa dahulu, PM Dr Zainol Abidin Abd Rashid menyatakan bahawa beliau tidak pernah membayangkan untuk menjejakkan kaki ke benua ais terbesar di dunia di antartika. Sewaktu kecil, cita-cita beliau ialah untuk menjadi seorang angkasawan selepas menonton satu siri program televisyen pada waktu itu yang berjudul Lost in Space lebih 25 tahun dahulu yang memberi inspirasi kepada beliau untuk cemerlang dalam kerjaya sebagai seorang pensyarah dan penyelidik. Namun begitu, Dr Zainol yang gemar berjenaka menyatakan, berada di antartika juga boleh menghilangkan ’kegilaan’ beliau untuk menjejak angkasa.
Kemuncak kejayaan beliau yang paling membanggakan Malaysia dan UKM khususnya ialah saat di mana beliau yang merupakan anak melayu pertama yang menjejakkan kaki ke daerah sejuk paling ekstrim di dunia di benua antartika. Penglibatan Dr Zainol dalam projek ke antartika yang juga dikenali sebagai Terra Austalis Nondum Cognita atau The Unknown Southern Land bermula pada bulan Mei tahun 2000 apabila beliau menghadiri satu seminar berjudul Antartica Research:Challenge and Experience yang dianjurkan oleh Akademik Sains Malaysia (ASM). Dalam seminar tersebut beliau telah membentangkan kertas kerja penyelidikan berhubung “earth-space radio propagation using satellite beacon signal and global positioning system (GPS) sensing technique“.
Pada tahun 2002, dalam salah satu ekspedisi penyelidikan ke antartika, beliau berasa bertuah apabila terpilih untuk mengiringi delegasi Menteri Kabinet seramai hampir 60 orang yang diketuai oleh mantan Perdana Menteri pada waktu itu iaitu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed (Tun). Dalam ekspedisi itu jugalah, beliau dapat mengenali dengan lebih rapat bekas PM Malaysia yang terkenal dengan kata-kata semangat ‘Malaysia Boleh’ sejak mengambil tampuk pemerintahan negara dari tahun 1981 sehingga 2003.
Kenalan rapat dan bekas pensyarah beliau suatu ketika dahulu di UKM, yang juga Pengarah Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanolektronik, IMEN, Prof. Dr. Burhanuddin Yeop Majlis sewaktu diminta mengimbau kenangan bersama beliau menyifatkan Dr. Zainol merupakan seorang saintis melayu yang mempunyai keistimewaan tersendiri.
Beliau seorang yang mudah didekati, ’gila bekerja’, fokus, teliti, cekap dalam membuat keputusan, humor dan penuh dengan idea-idea yang bernas. Sikap sedemikian telah melonjakkan diri beliau berjaya dalam kerjayanya. Bagaimanapun, dalam apa jua keadaan allahyarham akan tetap diingati sebagai seorang insan yang amat baik hati serta memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Dalam kehidupan seharian sebagai seorang muslim, beliau juga sentiasa berada di masjid UKM untuk bersolat Jumaat kira-kira sejam lebih awal beriktikaf di saf paling hadapan sebelum masuknya waktu solat. Hal ini diperhatikan sendiri oleh penulis. Di surau fakulti pula, beliau juga seringkali diangkat menjadi imam memakmumkan jemaah solat zuhur dan asar. Suatu ketika dahulu, rangkaian televisyen nasional TV3 dalam satu program Ilmuan Islam telah beberapa kali menemubual allahyarham berkenaan projek penyelidikan beliau yang berjudul ”Muslims in Space”. Projek ini telah melayakkan beliau menerima pelbagai anugerah diperingkat nasional dan antarabangsa. Seluruh warga Malaysia yang menonton rancangan terbitan TV3 tersebut mengenali beliau sebagai seorang saintis dan pemikir yang hebat dalam mengetengahkan isu-isu penyelidikan sains dan teknologi berkaitan dengan hal ehwal semasa umat islam.
Dr. Zainol sangat gembira dengan apa yang beliau lakukan. Beliau tidak pernah menyesal dengan apa sahaja yang beliau ceburi. Minat dan kesungguhan yang mendalam itu katanya datang dari seluruh jiwa raga dan perasaan beliau. Di akhir perbualan Dr. Zainol dengan Prof. Madya Dr. Fauzi, beliau menyatakan bahawa cabaran seterusnya yang beliau ingin terokai sekiranya diberikan peluang ialah menjejakkan kaki ke angkasa dan menerokai misteri dan ciptaan Tuhan di sana. Namun impian dan harapan beliau kini hanya tinggal kenangan.
Pemergian allahyarham ke rahmatullah secara tiba-tiba merupakan suatu ketetapan ilahi yang tidak sesiapa pun dapat menyangkal. Allahyarham meninggalkan isteri Nor Kamariah binti Noordin, 42 dengan tiga anak, iaitu Nadiah Husseini, 15, Hilal Husseini, 14 dan Hafez Husseini,10. Berwajah serius, tutur kata yang bernas berlapik humor, susun langkah yang pantas serta kelibat beliau di makmal dan sekitar bangunan Fakulti Kejuruteraan Universiti Kebangsaan Malaysia kini sudah tidak kelihatan buat selama-lamanya. Semoga jejak kejayaan dan kesungguhan yang beliau abadikan sepanjang berkhidmat, terus dituruti dan dicontohi oleh generasi pelapis yang beliau tinggalkan. Selamat tinggal dan semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarham Prof Madya. Dr.Zainol Abidin Abdul Rashid. Amin!
Catatan :// Tersiar di Buletin SENADA UKM, 2007
Berikan Komen Anda Di Sini