Oleh: Amelia Adam
Tanggal 19 Februari 2021, kira-kira jam 4.55 pagi waktu tempatan, menjadi saksi terhadap satu lagi sejarah yang dicipta dalam penerokaan planet Marikh. Sebuah perayau yang dikenali sebagai ‘Perseverance’ telah mendarat di planet merah itu setelah mengharungi perjalanan selama hampir tujuh bulan selepas dilancarkan pada 30 Julai 2020 dari Florida Space Coast. Ciapan terawal oleh perayau itu melalui platform digital Twitter berbunyi: “Dan lihatlah di belakang saya. Selamat datang ke kawah Jezero” dengan sekeping gambar yang dikongsikan. Menerima lebih 100,000 tanda suka dan 20,000 ulang kicau, ketibaan perayau itu di planet yang paling kerap diterokai dalam Sistem Suria telah membangkitkan keterujaan krew di pusat kawalan misi bertempat di California khasnya, dan menjadi buah mulut di seluruh dunia secara amnya.
Bukan Misi Pertama, Mengapa Masih Teruja?
Perseverance bukanlah buah tangan sulung NASA yang dihantar ke planet keempat dari Matahari itu. Hakikatnya, pada hujung tahun 1997, ‘Sojourner’ telah melakar sejarah sebagai perayau pertama yang berjaya mendarat di Marikh dan berupaya untuk beroperasi selama 85 hari. Kemudiannya, perayau berkembar popular ‘Spirit’ dan ‘Opportunity’ pula dilancarkan untuk meneroka Marikh hampir dua dekad yang lalu. Pendaratan dua perayau itu (Spirit di kawah Gusev, manakala Opportunity di kawah Eagle) pada Januari 2004 menjadi perlambangan yang penting dalam persejarahan penjelajahan angkasa lepas. Misi Spirit dan Opportunity berhasil mengumpulkan dapatan-dapatan saintifik yang signifikan, termasuklah menguatkan keyakinan tentang pencarian tanda-tanda yang boleh menyokong kehidupan mikrob di sana. Malangnya, Spirit telah dikesan memberikan isyarat terakhir pada Mac 2010, menjadikan pengoperasiannya bertahan hanya selama enam tahun. Riwayat kembarnya yang berusia lebih panjang, Opportunity pula telah ditamatkan secara rasmi oleh NASA pada Februari 2019, iaitu 15 tahun selepas pendaratannya. Cabaran utama yang dihadapi kedua-dua perayau ini ialah ribut dan permukaan berdebu di Marikh, namun misi penjelajahan planet itu masih diteruskan oleh ‘Curiosity’, perayau keempat dalam Misi Penerokaan Marikh. Curiosity yang masih aktif meneroka kawah Gale ialah sebuah robot perayau bersaiz sebuah kereta yang menerima sentuhan Boeing dalam proses reka cipta. Robot perayau ‘InSight’ yang dilengkapi dengan fungsi ‘seismometer’ pula telah mula meneroka struktur dalaman tanah planet itu sejak 2018, meskipun pelancarannya mengalami sedikit kelewatan. Masih beroperasi sehingga kini, hal ini bermakna Curiosity dan InSight baru sahaja menerima ketibaan Perseverance tempoh hari, teman baru untuk merungkai misteri kehidupan lampau di Marikh!
Justeru, Perseverance hanyalah pendaratan keenam yang berjaya direkodkan NASA di Marikh, bukan pendaratan kali pertama. Namun, keterujaan para pengkaji dan peminat penerokaan angkasa lepas ternyata tidak mampu dinafikan. Krew di pusat kawalan misi pendaratan Perseverance bersorak kegembiraan setelah mendengar ungkapan “Touchdown confirmed!” oleh Dr. Swati Mohan yang menerajui proses kawalan operasi. Perseverance melambangkan ketekalan manusia untuk mengumpulkan bukti-bukti kehidupan purba di Marikh. Perseverance akan meneruskan legasi Sojourner, Spirit dan Opportunity untuk mengirimkan berita baik kepada kita di Bumi. Bersama-sama Curiosity dan InSight, Perseverance menjadi bukti bahawa kemajuan dalam penerokaan angkasa lepas dapat terus dicapai berbekalkan dua ‘senjata’—iaitu kecanggihan teknologi yang diiringi sikap saintifik para pengkaji tanpa mengenal perbezaan kaum, negara yang terlibat serta budaya. Bersesuaian dengan namanya, ‘Perseverance’— bermaksud kegigihan, Perseverance atau singkatannya ‘Percy’ mempunyai keistimewaan tersendiri yang bakal menjadikannya ‘mata-mata’ yang hebat. Nama ‘Perseverance’ ini dicadangkan oleh Alex Mather, seorang murid berusia 14 tahun dari Lake Braddock Secondary School. Ideanya telah diterima sekali gus menewaskan 28,000 cadangan lain di Amerika.
‘Curiosity’ Yang Ditambah Baik
Saiz Perseverance boleh dibayangkan umpama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang kecil—dengan panjang 3m, lebar 2.7m dan ketinggian 2.2m. Ukuran ini juga terpakai bagi Curiosity, selain kedua-dua perayau turut dilengkapi permukaan pelindung yang kukuh bagi memastikan keselamatan sistem elektronik serta membolehkan proses kawalan suhu perayau. Satu perbezaan Perseverance dan Curiosity ialah jisim kedua-duanya: Perseverance berukuran 1050 kg, manakala jisim Curiosity pula bersamaan 899 kg. Perbezaan kira-kira 151 kg ini adalah berkaitan dengan penambahan beberapa spesifikasi terhadap Perseverance. Perayau ini direka khas untuk mengumpulkan sampel tanah dan batuan, dengan 43 bahagian penyimpanan serta lima tiub penangkap. Perayau ini turut dilengkapi oleh keupayaan spektrometer dengan resolusi tinggi demi memudahkan proses pencarian sampel. Walau bagaimanapun, setakat ini tiada perancangan untuk membawa sampel itu ke Bumi, sebaliknya, akan disimpan oleh perayau itu terlebih dahulu. Satu bayangan yang tidak mustahil ialah ada pihak (seperti angkasawan) akan mengambil sampel itu pada masa hadapan bagi meneruskan penerokaaan tanda-tanda kehidupan lampau di Marikh. Perseverance bertindak sebagai pengumpul sampel yang menyingkirkan bahan beracun yang mungkin terkandung dalam komposisi sampel, bertujuan melancarkan pengoperasian serta tugas krew atau perayau pada masa hadapan. Nampaknya, Perseverance juga bekerja untuk masa hadapan penggantinya, bukan?
Ahli Geologi Robot di Kawah Jezero
Dr. Lori Glaze, seorang saintis yang berperanan penting dalam menjayakan misi pelancaran Perseverance menyifatkan perayau itu ialah ‘ahli geologi robot’ yang akan merancakkan penemuan bukti saintifik bagi memperkukuh keyakinan terhadap kewujudan kehidupan purba di sana. Saintis percaya bahawa permukaan yang sinonim dilihat sebagai gurun atau padang pasir berwarna kemerah-merahan dan sunyi itu pernah menampung ‘hidupan’—pengesanan molekul air akan menguatkan justifikasi yang terkenal dalam sains iaitu “Apabila ada air, maka adalah jua hidupan.”
Perjuangan Perseverance bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi tidak mustahil. Pemilihan kawah Jezero sebagai lokasi pendaratannya bukanlah satu tindakan rawak, sebaliknya disokong pandangan saintis yang mempercayai kawah itu boleh dikaitkan dengan kewujudan air serta kehidupan purba. Lokasi-lokasi pendaratan bagi setiap perayau yang dirancang oleh NASA mempunyai signifikan dan fokus tersendiri. Namun, tidak lain dan tidak bukan, dapatan yang diperoleh akan menyokong kemajuan di arena astrobiologi—pencarian kehidupan di alam semesta, tertumpu terhadap pencarian di luar atmosfera bumi. Tentunya, kemajuan ini turut menuntut pemahaman tentang persekitaran seperti struktur geologi sesebuah planet yang diterokai.
Selamat Meneroka, Percy dan Ingenuity!
Berbeza dengan perayau-perayau sebelumnya, Perseverance didatangkan ke Marikh bersama-sama helikopter ‘Ingenuity’ yang hanya berukuran seberat 1.8 kg (mempertimbangkan atmosfera planet itu yang jauh lebih nipis berbanding Bumi). Helikopter mini ini ialah satu percubaan berani NASA untuk memahami dan menguji keperluan-keperluan yang mesti dipenuhi bagi membolehkan suatu objek terbang di planet merah itu. Dilengkapi dengan komponen yang diubah suai termasuklah bateri dan sel suria, perjalanannya ke Marikh bersama-sama Perseverance adalah melalui pelancaran roket Atlas V. Perseverance kemudiannya diturunkan secara perlahan-lahan dari kren sehingga mendarat. Pemeriksaan awal dilakukan terhadap kedua-dua perayau dan helikopter sejurus pendaratan, sebelum dibenarkan untuk mula beroperasi.
Sesungguhnya, Perseverance ialah keterujaan yang telah dirancang betahun-tahun lamanya dan siapa sangka perayau ini berjaya tiba di kediaman tetapnya pada satu bulan yang cukup bersejarah di Marikh? Februari 2021 menyaksikan pendaratan Perseverance, mata-mata terbaru di planet yang paling diminati dalam Sistem Suria (selepas Bumi), setelah kemasukan prob angkasa ‘Tianwen-1’ dari China dan ‘Hope’ dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke orbit planet itu. Marikh ialah lambang cita-cita yang unggul, serta satu penanda aras mencabar dalam perlumbaan penjelajahan angkasa abad ke-21!
ARTIKEL BERKAITAN – Sejarah dan Perkembangan Penerokaan Marikh
ARTIKEL BERKAITAN – Bolehkah Manusia Mendiami Planet Marikh
ARTIKEL BERKAITAN -NASA; Ulangtahun ke-50 Misi Penjelajahan Marikh
ARTIKEL BERKAITAN – Tanya Saintis; Bolehkah Kita Menanam Tumbuhan di Planet Marikh
Rujukan:
- https://www.space.com/mars-jezero-crater-perseverance-photos
- https://www.newsweek.com/swati-mohan-nasa-scientist-mars-rover-landing-1570485
- https://www.bing.com/images/search?q=ingenuity+helicopter&form=HDRSC2&first=1&tsc=ImageHoverTitle
- https://www.scientificamerican.com/article/perseverance-has-landed-mars-rover-begins-a-new-era-of-exploration/
- https://mars.nasa.gov/mer/mission/overview/
- https://everydayastronaut.com/perseverance-vs-curiosity/
- https://www.bbc.com/news/science-environment-56119931
- https://www.space.com/mars-rover-perseverance-landing-explained
- https://www.wired.com/story/februarys-gonna-be-a-big-month-for-mars/
- https://www.space.com/perseverance-mars-rover-landing-next-steps