Oleh: Nur Syazwani Mohamad Basir¹, Nur Aliah Mohamad Khaduwi², Danial Hariz Zainal Abidin³,
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi¹’²’³,
Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Pendahuluan
Debunga rumput merupakan salah satu penyebab utama alergi yang dihadapi oleh kebanyakkan individu di seluruh dunia, khususnya pada musim bunga dan musim panas. Debunga rumput adalah penyebab biasa kepada keradangan alahan rhinitis dan asma, yang membawa kepada gejala seperti bersin, kesesakan dan kesukaran pernafasan. Alahan debunga rumput menjadi kebimbangan yang semakin meningkat di Malaysia, yang memberi kesan ketara kepada kualiti hidup bagi mereka yang terjejas. Dalam iklim tropika Malaysia, pelbagai spesies rumput mengeluarkan debunga sepanjang tahun yang memburukkan lagi keadaan bagi individu yang sensitif kepada alergen ini. Dalam konteks ini, pemahaman yang lebih mendalam tentang debunga rumput, cara ia mempengaruhi tubuh manusia, dan langkah-langkah pencegahan serta pengurusan menjadi sangat penting.
Apa itu Debunga Rumput?
Debunga rumput adalah bijian halus yang dihasilkan oleh tumbuhan rumput sebagai sebahagian daripada proses pembiakan seksual. Debunga ini adalah sel jantan yang diperlukan untuk persenyawaan, dan pengeluaran debunga biasanya berlaku pada musim yang panas dan kering. Terdapat pelbagai jenis rumput yang menghasilkan debunga, termasuk Paspalum notatum (bahia grass), Cynodon dactylon (bermuda grass), and Amaranthus retroflexus (rough pigweed) yang kesemuanya boleh menyumbang kepada masalah alergi. Pengeluaran dan penyebaran debunga yang dihasilkan oleh rumput boleh mencapai jutaan bijian setiap hari. Debunga ini tidak hanya terhad kepada kawasan yang ditumbuhi rumput, ia juga mudah disebarkan melalui angin hingga menjangkau puluhan kilometer. Keadaan cuaca, seperti suhu, kelembapan, dan angin, memainkan peranan penting dalam penyebaran debunga ini. Sebagai contoh, cuaca yang kering dan berangin meningkatkan kemungkinan debunga memasuki saluran pernafasan individu dan menyebabkan ketidakselesaan.
Gejala Alergi Terhadap Debunga Rumput
Gejala alergi debunga rumput biasanya muncul secara tiba-tiba dan akan mengganggu kehidupan seharian. Seseorang yang terdedah kepada debunga mungkin mengalami hidung tersumbat, Dimana saluran hidung menjadi bengkak dan tersumbat, menyukarkan pernafasan. Ini menyebabkan individu berasa tidak selesa dan boleh mengganggu tumpuan dan aktiviti harian. Selain itu, gejala bersin yang mana, tindakan bersin adalah refleks semula jadi untuk mengeluarkan alergen dari saluran pernafasan. Bersin yang berterusan boleh menjadi sangat meletihkan dan mengehadkan aktiviti harian. Alergi debunga juga boleh memberi kesan gatal pada hidung dan mata, di mana, ketidakselesaan ini boleh menyebabkan individu menggosok hidung dan mata, yang boleh memburukkan lagi keadaan. Mata boleh menjadi merah dan berair, menambah rasa ketidak selesaan. Selain itu, alergi boleh memberi kesan keletihan yang menyebabkan tidur terganggu yang boleh memberi kesan kepada produktiviti harian individu yang dijangkiti. Kesan yang lebih serius alergi debunga adalah kesesakan pernafasan, terutamanya bagi individu yang mempunyai asma, debunga rumput boleh mengakibatkan serangan asma yang berbahaya dan menimbulkan kebimbangan terhadap pesakit asma.
Diagnosis Alergi Debunga Rumput
Diagnosis alergi terhadap debunga rumput boleh dilakukan melalui beberapa cara antaranya melalui ujian kulit. Ujian kulit adalah kaedah yang paling biasa, di mana sedikit sampel debunga akan disapu ke atas kulit untuk melihat sama ada terdapat reaksi alergi. Ujian ini biasanya cepat dan memberikan keputusan dalam masa yang singkat. Selain itu, terdapat juga ujian darah yang boleh mengukur tahap antibodi (Immunoglobulin E) yang dihasilkan oleh sistem imun untuk melawan alergen. Ujian ini lebih tepat dalam mengesan kehadiran alergen dalam sistem badan dan mungkin lebih sesuai untuk mereka yang mempunyai reaksi kulit yang lebih teruk.
Faktor Risiko Alergi
Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan kemungkinan seseorang menghadapi alergi debunga, termasuklah faktor genetik, persekitaran dan pendedahan awal terhadap alergen. Faktor genetik, jika terdapat sejarah alergi dalam keluarga, risiko untuk individu tersebut mendapat alergi adalah lebih tinggi. Kajian menunjukkan bahawa genetik memainkan peranan utama dalam kecenderungan seseorang terhadap pelbagai jenis alergi. Faktor persekitaran, jika tinggal di kawasan dengan pencemaran udara yang tinggi atau pendedahan kepada bahan kimia tertentu juga dapat meningkatkan risiko menghadapi alergi, ini kerana, pencemaran boleh memberi rangsangan kepada sistem imun dan meningkatkan reaksi terhadap alergen. Faktor pendedahan awal kepada alergen di usia muda boleh mempengaruhi sistem imun. Kanak-kanak khususnya, yang terdedah kepada debunga pada peringkat awal mungkin akan mengembangkan sensitiviti yang lebih tinggi terhadap alergen di masa hadapan.
Strategi Mengurus Alergi Debunga Rumput
Bagi individu yang mengalami alergi debunga, terdapat beberapa langkah pengurusan yang boleh diambil:
- Mengelakkan Pendedahan: Individu yang terjejas dengan alahan debunga rumput ini, boleh mengurangkan aktiviti luar dengan mengetahui musim dan waktu puncak pendebungaan spesies rumput yang memberi alahan tersebut.
- Penggunaan Ubat: Antihistamin dan semburan hidung steroid merupakan beberapa jenis ubat yang boleh membantu melegakan gejala alahan.
- Penyaringan Udara: Menggunakan penapis udara di rumah boleh membantu mengurangkan jumlah debunga yang masuk dan mengelakkan terkena jangkitan alahan.
- Imunoterapi: Ini adalah rawatan yang melibatkan pendedahan beransur-ansur kepada alergen, yang dapat membantu sesetengah individu mengurangkan gejala.
Kesedaran dan Pendidikan
Meningkatkan kesedaran dan maklumat tentang alergi debunga rumput dan kesannya adalah penting. Pendidikan tentang cara mengenali gejala dan mengambil langkah pencegahan dapat membantu individu menguruskan keadaan mereka dengan lebih baik. Penyelidikan lanjut tentang hubungan antara perubahan iklim dan pengeluaran debunga diperlukan. Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa peningkatan kadar karbon dioksida dapat menyebabkan peningkatan dalam pengeluaran debunga oleh rumput. Ini menunjukkan keperluan untuk strategi yang lebih baik dalam menangani isu alergi di masa hadapan.
Kesimpulan
Debunga rumput merupakan salah satu penyebab utama alergi yang memberi kesan kepada individu. Dengan langkah pencegahan yang betul dan kesedaran, individu yang mengalami alergik boleh menguruskan gejala mereka dengan lebih berkesan. Penyelidikan yang berterusan adalah penting untuk memahami dan menangani isu ini, terutama dalam konteks perubahan iklim yang mungkin menambah beban alergi di masa depan.
Rujukan:
[1]Hoek, W. (2020). Seasonal allergic rhinitis triggered by pollen in the northern cape. Current Allergy & Clinical Immunology, 33(2), 83-89.
[2]Schmidt, C. W. (2016). Pollen overload: seasonal allergies in a changing climate. https://doi.org/10.1289/ehp.124-A70
[3]Bergmann, K. C., Berger, M., Klimek, L., Pfaar, O., Werchan, B., Werchan, M., & Zuberbier, T. (2021). Nonpharmacological measures to prevent allergic symptoms in pollen allergy: A critical review. Allergologie select, 5, 349. doi: 10.5414/ALX02294EEsch, R. E. (2020). Grass pollen allergens. Allergens and allergen immunotherapy, 155-172.
Catatan : Penulis merupakan Pensyarah Kanan yang bertugas di Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi UKM, 43600, Selangor, Malaysia