Oleh: Azian Azami
Jabatan Kebajikan Masyarakat
“Duit mak hilang, tidak tahu sapa ambil. Mak simpan bawah bantal ni.”
“Mak, hari ni dah lebih 10 kali mak tanya pasal duit tu. Hari-hari mak tanya. Sudahlah mak!” Kali ini nada suaraku agak tinggi. Makin hari makin menjadi-jadi nyanyuk mak.
Sepanjang aku bekerja di sini, pelbagai cerita aku temui. Kali ini, aku ingin berkongsi mengenai satu penyakit yang biasa dialami oleh warga emas. Hampir 5-10% warga emas mengalami dementia atau lebih dikenali sebagai ‘nyanyuk’. Dan bilangan ini dijangka meningkat dengan peningkatan bilangan populasi warga emas.
Penyakit dementia ini terjadi kerana peningkatan kehilangan sel saraf. Selepas umur 40 tahun, pengurangan isipadu dan berat otak sebanyak 5% setiap 10 tahun. Jadi, inilah yang akan mengakibatkan kehilangan fungsi kognitif dan dementia terjadi.
Anggaran pesakit dementia di Malaysia sebanyak 6% warga emas yang berumur 65 tahun ke atas mengalami penyakit dementia dan sebanyak 14% warga emas yang berumur 75 tahun ke atas pula mengalami penyakit ini. Ini menunjukkan setiap 10 tahun pesakit dementia ini akan bertambah. Ini bermaksud, makin panjang umur seseorang makin bertambah risiko mengalami penyakit dementia ini.
Penyakit dementia ini juga berkait rapat dengan penyakit hipertensi dan penyakit kardiovaskular. Penyakit hipertensi adalah lebih dikenali sebagai penyakit yang melibatkan tekanan darah, yang mana adalah penyakit yang biasa bagi hampir setiap warga emas. Dan penyakit kardiovaskular adalah penyakit yang melibatkan kecergasan aktiviti fizikal.
Pengesanan dementia boleh dilakukan atau boleh dilihat melalui pengamatan kita sendiri. Seperti yang saya sendiri dapat lihat di sini, tanda-tanda yang jelas ditunjukkan oleh pesakit Dementia ini adalah kurangnya daya ingatan dan keupayaan kognitif seseorang warga emas tersebut.
Terdapat dua jenis dementia iaitu kronik dan progesif. Kronik ialah penyakit yang mengalami daya ingatan yang teruk. Contohnya, pesakit akan lupa siapa orang sekeliling, diri sendiri dan sebagainya. Penyakit Dementia akan menjejaskan kefungsian kehidupan. Bermaksud pesakit tidak dapat mengurus diri dengan sempurna dan tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Seolah-olah pesakit kembali ke zaman kanak-kanak.
Penyebab Dementia adalah daripada pelbagai penyakit lain. Antaranya penyakit alzheimer, dementia vaskular, Diffuse Lewy Body Disease, frontial lobe dementia dan mixed. Ini diperolehi menerusi sejarah menyeluruh daripada keluarga, pasangan dan penjaga dementia itu sendiri., serta pengamatan saya sepanjang bekerja di institusi warga emas ini sendiri.
Masalah-masalah jangka pendek dapat dilihat oleh penjaga pesakit dementia adalah seperti kegunaan bahasa komunikasi. Pesakit sukar untuk mencari sesuatu perkataan atau sukar untuk meluahkan rasa hati.
Pesakit juga akan mengalami satu simptom iaitu ‘Visuospatial’. ‘Visuospatial’ adalah seperti lupa di mana rumahnya dan lupa kaum keluarga. Tidak dapat mengenali ahli keluarganya. Terkadang kita ada terjumpa mana-mana pesakit dementia di jalan dan kita pasti akan bertanya mengenai di mana rumahnya dan siapa anak-anaknya. Dia akan menjawab lupa atau langsung tidak mengendahkan pertanyaan kita. Ataupun dia akan terkial-kial cuba mengingati sesuatu. Itu adalah salah satu simptom penyakit dementia.
Di samping itu, pesakit dementia ini akan mengalami penurunan fungsi eksekutif (executive function decline) seperti tidak dapat membuat pengiraan, merancang dan melakukan tugas-tugas yang memerlukan dia berfikir. Contohnya, jika diberi wang untuk dibelanjakan, dia akan lupa berapa yang perlu dibayar dan berapa yang perlu diterima semula. Ini akan menimbulkan pergaduhan atau perselisihan faham antara penjual dengannya.
Selain itu, pesakit ini juga akan mengalami apraxia, iaitu hilang atau kurangnya fungsi fizikal seseorang. Pesakit tidak dapat menjalankan aktiviti menggunakan tangan dan kaki disebabkan pengaruh saraf otak atau hilangnya ransangan otak dalam melakukan pergerakkan fizikal.
Pesakit juga akan mengalami ‘perubahan personaliti’ dan kelakuan. Pesakit akan cepat marah dan terjadi perubahan mood yang sangat ketara. Ada sesetengah pesakit pula, akan mengalami kemurungan dan keresahan. Emosi mereka akan cepat terganggu dan terkesan tanpa kita sedari sedikit demi sedikit.
Tanda-tanda psikotik seseorang yang mengalami Dementia ini ialah ‘delusi’ seperti takut kepada sesuatu yang tidak pasti. Contohnya;
“Ayah takut ni, ada orang nak racun ayah. Tidak mahu makanlah. Nasi tu ada racun.”
Ini adalah salah satu simptom yang menunjukkan seseorang mula mengalami ‘delusi’. Kita sebagai anak atau penjaga terkadang perlu peka jika ayah, ibu atau seseorang di bawah jagaan kita mula menunjukkan tanda-tanda ini. Jika pesakit dibiarkan tanpa sebarang rawatan khusus daripada pakar, pesakit akan bertambah agresif.
Terkadang kita sebagai penjaga dapat melihat pesakit dementia ini akan mengalami psikotik yang tinggi. Seperti, pesakit mengalami ‘halusinasi’ iaitu dapat melihat benda yang tidak ada. Pesakit seolah-olah bersembang dengan seseorang yang kita tidak nampak. Ada sesetengah pesakit mengais-ngais atau menyapu-nyapu di tilam atau sesuatu tempat seolah-olah ada habuk yang banyak atau semut yang banyak. Tapi hakikatnya, tiada habuk atau semut. Itu adalah hanya halusinasinya sahaja.
Pelbagai lagi perubahan psikotik pesakit dementia ini. Pesakit juga akan mengalami satu perasaan yang dipanggil ‘halusinasi’ iaitu mendengar cakap-cakap orang bercakap tidak baik mengenai dirinya. Dia akan mula menangis atau dengan tiba-tiba sahaja menjerit, umpama dirasuk makhluk halus. Ini adalah disebabkan bisikan-bisikan yang hanya didengar olehnya sahaja. Terdapat banyak lagi kesan daripada pesakit dementia ini.
Di sini, pesakit memerlukan sokongan daripada ahli keluarga. Penjaga pesakit dementia juga harus bersabar dalam menjaga warga emas yang mengalami penyakit dementia ini. Pelbagai kaedah dapat dijalankan untuk membantu pesakit dementia ini. Rawatan susulan juga perlu diberikan kepada pesakit dementia ini. Penjagaan yang rapi perlu diberikan bagi mengelak pesakit ini mengalami kecelakaan atau kesan lebih buruk lagi ke atas pesakit.
Penjaga pesakit dementia ini juga akan mengalami tekanan sewaktu menguruskan pesakit. Jadi penjaga juga perlu mencari inisiatif untuk mendapatkan sokongan ataupun bantuan daripada pihak-pihak yang berkenaan bagi memudahkan penjaga menjaga pesakit-pesakit dementia ini.
Terkadang penjaga hanya mengambil jalan mudah untuk meninggalkan pesakit di mana-mana hospital kerana tidak mampu untuk menjaga pesakit ini. Jalan mudah, tinggalkan di pusat-pusat kebajikan. Tinggalkan tanggungjawab yang seharusnya dipikul oleh penjaga kepada institusi kebajikan. Ini akan membuatkan keadaan pesakit dementia ini bertambah serius.
“Pesakit dementia bukan untuk ditinggalkan tapi untuk disayang”.
Kredit Foto : express