Oleh : Siti Nur Aimi Binti Saharudin & Prof Madya Dr. Zahara Binti Abdul Manaf
Fakulti Sains Kesihatan UKM
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, 1 daripada 2 orang dewasa di Malaysia menghadapi masalah obesiti dan berlebihan berat badan. Bukan itu sahaja, Malaysia juga mencatatkan kadar tertinggi masalah berat badan di kalangan negara-negara Asia. Keadaan bertambah teruk apabila berat badan berlebihan sering berkait rapat dengan permasalahan penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, diabetis dan juga penyakit tekanan darah tinggi. Hasil dapatan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang terkini mendapati 1 daripada 6 rakyat Malaysia mempunyai salah satu daripada masalah kesihatan ini iaitu obesiti, tekanan darah tinggi dan kadar gula serta kolesterol yang tinggi.
Hasil perkembangan teknologi dan penularan isu-isu kesihatan berkaitan berat badan di internet pada hari ini, sedikit sebanyak telah membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun begitu, rata-rata rakyat yang menghadapi masalah berat badan berlebihan cenderung untuk memilih jalan pantas untuk mengurangkan berat badan seperti mengurangkan pengambilan makanan secara melampau. Pelbagai diet ekstrim telah diperkenalkan dan ditularkan melalui media sosial dengan pelbagai testimoni yang menarik minat pengguna yang menginginkan jalan mudah dan singkat. Salah satu daripadanya adalah diet ketogenik atau lebih dikenali sebagai diet keto.
Bagaimana Diet Ketogenik Diamalkan ?
Diet ketogenik memerlukan pengamalnya mengurangkan pengambilan karbohidrat secara ekstrim kepada kurang daripada 50g dalam sehari. Pada masa yang sama, pengamal diet ini juga perlu meningkatkan pengambilan protein dan lemak bagi menampung kekurangan karbohidrat. Lemak sering digunakan sebagai bahan utama dan penambah perisa dalam kebanyakan masakan disamping padat dengan kalori dan ianya dibolehkan untuk diambil dengan kuantiti yang banyak dalam diet ketogenik. Hal ini menjadikan ramai pengamal teruja untuk cuba mengamalkan diet ini walaupun terpaksa mengurangkan pengambilan sumber karbohidrat seperti nasi, pasta dan roti serta makanan manis. Isu ini akan diulas dengan lebih lanjut di dalam artikel ini.
Apa Yang Terjadi Kepada Tubuh Badan Ketika Diet Keto Dijalankan ?
Jadi bagaimana sebenarnya mekanisma diet ketogenik berlaku sehingga boleh mengurangkan berat badan dalam masa yang singkat ? Seperti yang diketahui umum, karbohidrat membekalkan glukosa sebagai sumber tenaga untuk fungsi penuh tubuh badan manusia. Badan manusia pula akan menghasilkan insulin untuk membawa dan menukarkan glukosa kepada glikogen untuk disimpan sebagai sumber tenaga apabila diperlukan.
Apabila pengambilan karbohidrat dikurangkan, kadar glukosa dalam badan juga akan berkurangan sehingga semua simpanan glikogen habis digunakan. Situasi ini akan memaksa tubuh badan untuk mencari sumber tenaga alternatif seperti lemak dan protein. Bagaimanapun, sifat protein yang memerlukan tenaga yang tinggi untuk dibakar berbanding lemak menjadikannya sumber tenaga alternatif yang kurang sesuai. Lantas, sistem tubuh akan memilih untuk menggunakan lemak sebagai sumber tenaga alternatif dan inilah yang menyebabkan berat badan turun dengan pantas. Hal ini kerana pada ketika ini akan berlaku satu keadaan yang dipanggil ketosis, yang mana bahan keton dihasilkan daripada proses penguraian lemak bagi menggantikan glukosa sebagai sumber tenaga alternatif. Bahan keton memiliki kelebihan yang sama dengan glukosa iaitu dapat membantu membekalkan tenaga untuk otak bagi memastikan segala sistem tubuh dapat berfungsi seperti biasa.
Benarkah diet ini berkesan ?
Pada awalnya, diet ketogenik digunakan untuk merawat penyakit sawan dalam kalangan kanak-kanak. Walaubagaimanapun, diet ini kemudiannya mula terkenal sebagai diet berkesan untuk menurunkan berat badan apabila telah mencatatkan penurunan berat badan yang signifikan oleh pengamalnya. Oleh itu, pelbagai kajian telah dijalankan bagi membuktikan keberkesanan diet ini dalam menurunkan berat badan. Hasil dapatan beberapa kajian antaranya telah mencadangkan bahawa sebab utama penurunan berat badan pengamal diet ini adalah disebabkan pengurangan kadar pengambilan kalori yang berlaku secara tidak langsung apabila pengamal terpaksa menghadkan pilihan makanan mereka. Hal ini kerana pengamal diet keto akan mengurangkan kadar pengambilan kalori sekurang-kurangnya 600 kilokalori kurang daripada kebiasaan apabila mereka mengurangkan pengambilan karbohidrat. Oleh itu, kesan pengurangan berat badan oleh diet ini hakikatnya dihasilkan oleh pengurangan kadar kalori sehari. Selain itu, kajian juga menunjukkan kondisi tubuh ketika mengamalkan diet ketogenik akan menyebabkan pengurangan selera makan sekaligus menyumbang kepada penurunan berat badan. Kajian mendapati bahawa peningkatan bahan keton dalam badan akan menyebabkan berkurangnya penghasilan hormon ghrelin, iaitu hormon yang mengaktifkan rasa lapar apabila kadar glukosa dalam darah berkurangan. Fenomena ini akhirnya membawa kepada pengurangan selera makan dalam kalangan pengamal diet keto dan akhirnya turut menyumbang kepada pengurangan berat badan.
Adakah diet ini selamat diamalkan ?
Pelbagai manfaat diet ketogenik telah dikenalpasti sejak bertahun yang lalu dalam penurunan berat badan. Bagaimanapun, beberapa kajian telah menjumpai beberapa kesan negatif diet ini apabila diamalkan untuk tempoh tertentu. Pertama, dalam tempoh beberapa minggu awal diet, pengamal berisiko mengalami beberapa simptom seperti keletihan, sakit kepala, loya dan muntah. Ini merupakan gejala normal apabila pengambilan karbohidrat dikurangkan secara ekstrim kerana ini bermakna aras glukosa dalam darah juga turut berkurangan. Gejala ini juga menandakan bahawa tubuh badan sudah mula menggunakan sumber tenaga alternatif iaitu lemak.
Selain daripada itu, terdapat kajian yang melaporkan pengamalan diet ketogenik dalam tempoh setahun dan ke atas telah merekodkan beberapa kesan terhadap kesihatan pengamal seperti tahap kolesterol tinggi dan penyakit batu karang. Fakta ini disokong oleh beberapa kajian yang mencatatkan insiden yang sama yang dialami beberapa pengamal masa panjang diet ketogenik. Hal ini kerana ramai pengamal diet ini menyangka bahawa memandangkan mereka perlu meningkatkan pengambilan lemak, mereka boleh memilih makanan tinggi lemak dengan sesuka hati tanpa mengira lemak tidak tepu, lemak tepu dan lemak trans. Adalah penting untuk diingatkan bahawa makanan yang mengandungi lemak tepu dan lemak trans akan mengundang kepada kenaikan kadar kolesterol dan seterusnya membawa kepada pelbagai penyakit kardiovaskular jika tidak dikawal.
Di samping itu, diet ini juga sebenarnya sukar diamalkan atas beberapa faktor seperti pilihan makanan yang terhad, bahan makanan yang lebih mahal berbanding diet biasa dan juga kurang menepati citarasa sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya. Hal ini kerana makanan ruji rakyat Malaysia adalah nasi dan ini menyukarkan pengamal untuk berdisiplin dalam mengikuti diet ketogenik. Malah, diet ini dikatakan tidak akan berkesan selagi sumber karbohidrat tidak berjaya dikurangkan menepati syarat 10% daripada jumlah kalori sehari. Bukan itu sahaja, berat badan pengamal juga akan meningkat secara mendadak apabila pengamal menghentikan diet ketogenik dan mula mengambil karbohidrat seperti biasa tanpa mengurangkan jumlah pengambilan kalori harian.
Bukan itu sahaja, walaupun diet ini kadangkala dicadangkan kepada pesakit diabetis, adalah penting untuk mereka mengamalkan diet ini di bawah pengawasan ketat pakar dietetik dan doktor. Ini kerana pada kebiasaannya tubuh pesakit diabetis akan melalui proses ketosis walaupun tidak mengamalkan diet keto. Hal ini berlaku apabila tubuh mereka gagal menghasilkan hormon insulin yang cukup untuk mengagihkan glukosa dalam darah ke sel-sel tubuh untuk digunakan sebagai tenaga. Oleh itu, sistem tubuh terpaksa mencari jalan alternatif untuk mendapatkan tenaga dan mula membakar lemak dan melalui proses ketosis. Ini akan menyebabkan kadar bahan keton dalam darah meningkat dan gabungan diet keto pada ketika ini akan menambahkan bebanan bahan keton dalam darah.
Adalah penting untuk diketahui bahawa bahan keton bersifat asidik dan apabila arasnya menjadi terlalu tinggi dalam darah, seseorang itu akan menghadapi satu keadaan yang dipanggil ketoasidosis, yang mana pH darah menjadi terlalu berasid. Ini akan mengganggu kesimbangan dan kawal atur elektrolit dalam darah seperti natrium dan kalium dan akhirnya jika dibiarkan, akan memberi kesan buruk kepada fungsi organ dalaman seperti hati dan buah pinggang serta mampu membawa kepada kematian.
Apakah langkah yang perlu diambil jika hendak mengamalkan diet ini ?
Berdasarkan beberapa risiko kesan berbahaya diet ketogenik ini, adalah amat digalakkan untuk merujuk dan berbincang dengan pakar dietetik atau pakar pemakanan diiktiraf sebelum memulakan diet ini. Kebiasaannya, diet ketogenik digalakkan untuk diamalkan oleh mereka yang mempunyai tahap obesiti yang tinggi kerana mereka perlu mengurangkan berat badan dengan cepat untuk mengurangkan risiko kesihatan lain.
Bagi mereka yang mempunyai masalah berat badan tetapi belum mencapai tahap obesiti yang tinggi, pengamalan diet rendah kalori dan seimbang, disamping meningkatkan tahap aktiviti fizikal adalah pilihan yang lebih baik dan disyorkan. Hal ini kerana, diet yang berjaya adalah diet yang mampu mengubah corak pemakanan kepada yang lebih baik dan mampu mengekalkan berat badan yang sihat yang berpanjangan. Diet ekstrim boleh menghasilkan penurunan berat badan dalam tempoh singkat tetapi tidak menjamin pengekalan berat badan yang sihat kerana punca utama masalah berat badan iaitu corak pemakanan yang tidak sihat masih belum berjaya diubah.
Kesimpulannya, walaupun diet ketogenik sinonim dengan penurunan berat badan yang pantas, diet ekstrim adalah berbahaya jika pengamalannya tidak dipantau oleh pakar dietetik atau pakar pemakanan serta doktor perubatan bertauliah. Oleh itu, adalah amat disyorkan untuk bertemu dan berbincang bersama ahli profesional kesihatan ini dan memilih diet yang sesuai dengan kondisi dan status kesihatan tubuh sebelum memulakan diet.
Rujukan
Bazzano, L. A., Hu, T., Reynolds, K., Yao, L., Bunol, C., Liu, Y., Chen, C.-S., Klag, M. J., Whelton, P. K. & He, J. 2014. Effects of Low-Carbohydrate and Low-Fat Diets: A Randomized Trial. Annals of internal medicine 161(5): 309-318.
Gardner, C. D., Trepanowski, J. F., Del Gobbo, L. C., Hauser, M. E., Rigdon, J., Ioannidis, J. P. A., Desai, M. & King, A. C. 2018. Effect of Low-Fat Vs Low-Carbohydrate Diet on 12-Month Weight Loss in Overweight Adults and the Association with Genotype Pattern or Insulin Secretion: The Dietfits Randomized Clinical Trial. Jama 319(7): 667-679.
Gibson, A. A., Seimon, R. V., Lee, C. M., Ayre, J., Franklin, J., Markovic, T., Caterson, I. & Sainsbury, A. 2015. Do Ketogenic Diets Really Suppress Appetite? A Systematic Review and Meta‐Analysis. Obesity reviews 16(1): 64-76.
Institute for Public Health. 2019. National Health and Morbidity Survey-Non-communicable Diseases, Healthcare Demands and Health Literacy. National Institutes of Health, Ministry of Health Malaysia.
Johnstone, A. M., Horgan, G. W., Murison, S. D., Bremner, D. M. & Lobley, G. E. 2008. Effects of a High-Protein Ketogenic Diet on Hunger, Appetite, and Weight Loss in Obese Men Feeding Ad Libitum. The American journal of clinical nutrition 87(1): 44-55.
Mansoor, N., Vinknes, K. J., Veierød, M. B., & Retterstøl, K. 2016. Effects of low-carbohydrate diets v. low-fat diets on body weight and cardiovascular risk factors: a meta-analysis of randomised controlled trials. British Journal of Nutrition, 115(3), 466-479.
Nyenwe, E. A., & Kitabchi, A. E. (2016). The evolution of diabetic ketoacidosis: an update of its etiology, pathogenesis and management. Metabolism, 65(4), 507-521.
Paoli, A. 2014. Ketogenic Diet for Obesity: Friend or Foe? International Journal of Environmental Research and Public Health 11(2): 2092-2107.
Paoli, A., Rubini, A., Volek, J. & Grimaldi, K. 2014. Beyond Weight Loss: A Review of the Therapeutic Uses of Very-Low-Carbohydrate (Ketogenic) Diets. European journal of clinical nutrition 68(5): 641.
Qiu, H., Novikov, A., & Vallon, V. (2017). Ketosis and diabetic ketoacidosis in response to SGLT2 inhibitors: basic mechanisms and therapeutic perspectives. Diabetes/metabolism research and reviews, 33(5), e2886.
Yancy, W. S., Olsen, M. K., Guyton, J. R., Bakst, R. P. & Westman, E. C. 2004. A Low-Carbohydrate, Ketogenic Diet Versus a Low-Fat Diet to Treat Obesity and Hyperlipidemia: A Randomized, Controlled Trial. Annals of internal medicine 140(10): 769-777.
Kredit Foto : health.detik