Oleh: Dr. Mohd Bakri Bakar
http://science.utm.my/featured-academics/
“Dalam langkah ke hadapan, penggubalan Akta Sains Negara yang telah lama di cadangkan, ataupun sekurang-kurangnya mewujudkan Kaukus Parlimen Sains seharusnya berupaya menyediakan kerangka penting penyerapan sains dalam pembentukan polisi dan penetapan keputusan strategik negara.
Pendahuluan
Barangkali sudah sampai masanya untuk kita meneroka sains melalui beberapa dimensi baru yang semakin penting, tetapi belum di bincangkan dengan meluas. Sememangnya sains perlu terus diperkayakan dengan nilai yang dapat memastikan ianya terus kekal relevan dan tidak statik. Malah, pengupayaan nilai sains melalui tujahan-tujahan baru seharusnya membantu dalam pelbagai keutamaan negara-daripada pendidikan sehinggalah melibatkan perekonomian. Tentunya pelbagai isu serta cabaran sekitar sains yang sering dibangkitkan memerlukan suluhan baru penyelesaian secara bersama. Lagi-lagi dengan kehadiran suara anti-sains pasca kemenangan Donald Trump sehingga telah menatijahkan cadangan program ‘March for Science’ untuk melakukan arakan protes ke Washington DC.
Salah satu dimensi sains baru adalah mengangkat sains sebagai medium diplomasi. Diplomasi sains secara lebih tepatnya adalah merujuk kepada hubungan dan interaksi merentas negara yang berteraskan sains. Secara umumnya, antara hasil diplomasi sains adalah kewujudan pelbagai penyelidikan saintifik secara bersama di peringkat antarabangsa untuk menyelesaikan pelbagai pemasalahan global. Mengikut rujukan terbitan Pusat Diplomasi Sains AAAS, diplomasi sains boleh dibahagikan kepada 3 perspektif utama iaitu diplomasi untuk sains, sains untuk diplomasi dan sains dalam diplomasi.
Meneroka Diplomasi untuk Sains
Perspektif pertama iaitu diplomasi untuk sains memberikan penekanan kepada inisiatif dan jalinan program sains yang dibangunkan di antara negara yang telah mempunyai hubungan diplomatik. Ia merupakan aturan yang paling mudah dilakukan berbanding yang lain berikutan kewujudan jalinan diplomatik sedia ada yang membolehkan kerjasama sains terus direncanakan. Tambahan pula, kewujudan pertubuhan gabungan pelbagai negara seperti PBB, OIC serta ASEAN yang mempunyai pengkhususan bahagian sains dan teknologi akan dapat dimanfaatkan bagi faedah negara terlibat.
Dalam hal ini, Malaysia telah berperanan secara aktif dalam memanfaat serta mempromosikan diplomasi sains sehingga ke peringkat antarabangsa. Sebagai contohnya, lawatan ke Biro Pendidikan Antarabangsa Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) PBB telah berlangsung bagi berkongsi pengalaman negara dalam memajukan bidang pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Lawatan ini kemudiannya di susuli dengan perlantikan Malaysia untuk memegang kerusi ahli Lembaga Eksekutif UNESCO. Sebelum itu, negara kita berbangga apabila Penasihat Sains Perdana Menteri telah dilantik sebagai ahli penasihat sains Setiausaha Agung PBB.
Malaysia juga telah memperkenalkan Anugerah Sains Mahathir bagi memberikan pengiktirafan kepada saintis yang dapat menyelesaikan pemasalahan negara tropika. Sehingga kini, penerima anugerah tersebut datang dari pelbagai negara seperti Australia, United Kingdom, China dan Amerika Syarikat. Melalui anugerah tersebut, negara kita dapat mewujudkan ikatan bersama saintis terkemuka dari seluruh dunia di mana hasil penyelidikan saintifik mereka dapat dimanfaatkan untuk kepentingan negara.
Harus di akui, perkembangan kajian sains telah berlaku dengan pantas dengan penanda aras hasil saintifik sentiasa ditingkatkan. Seterusnya, penemuan saintifik tersebut akan menyumbang kepada pembangunan teknologi terkini bagi memacu kemajuan sesebuah negara. Sehubungan dengan itu, Malaysia telah mengambil langkah strategik dengan menubuhkan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) yang bersidang setiap tahun bagi memastikan landskap sains dan inovasi negara sentiasa terkehadapan. Selain itu pada skala yang lebih kecil, institusi sains tempatan sentiasa menganjurkan pelbagai persidangan saintifik antarabangsa bagi memastikan negara dan komuniti sains tempatan sentiasa memperolehi pengetahuan saintifik yang terkini.
Inisiatif-inisiatif yang dinyatakan tersebut melibatkan diplomasi sains di antara negara kita dengan pihak luar. Manakala hubungan diplomasi sains pihak luar dengan Malaysia juga telah berlangsung dengan seiring. Misalnya, hubungan saintifik di antara Malaysia dengan UNESCO telah di bina sekian lama. Umum mengetahui Malaysia merupakan negara yang kaya dengan pelbagai sumber biodiversiti. Namun, kesukaran untuk melakukan penyelidikan saintifik di dalam negara kita pada suatu ketika menyebabkan hasil semulajadi tersebut tidak dapat di manfaatkan. Pada tahun 1987, UNESCO telah melantik Jack Cannon, seorang warga Australia sebagai duta khas bagi membantu kajian saintifik hasil semulajadi tempatan dan negara sekitarnya seperti Indonesia dan Thailand. Inisiatif tersebut telah memacu perkembangan penyelidikan hasil semulajadi negara sehingga dapat dikomersilkan ke peringkat antarabangsa.
Selain itu, geran penyelidikan sains daripada institusi luar juga di sediakan bagi membuka peluang kolaborasi di antara penyelidik tempatan dan penyelidik luar dalam menyelesaikan pemasalahan bersama. Pelbagai persatuan saintifik antarabangsa juga telah dibangunkan bagi merancang aktiviti saintifik untuk kepentingan bersama komuniti sains antara negara. Justeru, interaksi sains di antara komuniti saintifik antarabangsa yang sebegini dilihat sangat bermanfaat dan perlu terus di sokong Kerjasama seumpamanya juga akan menambah nilai sains kepada hubungan diplomatik sedia ada di antara negara terlibat.
Mengangkat Sains untuk Diplomasi
Perspektif kedua iaitu sains untuk diplomasi melibatkan penggunaan sains dalam menjalinkan hubungan geopolitik merentas negara. Konflik antarabangsa telah banyak merencatkan kancah hubungan diplomatik di antara pelbagai negara terbabit. Dalam hal ini, sains dapat memainkan peranan melalui insiatif dan kerjasama saintifik tertentu tanpa mengira ideologi sesebuah negara. Ini kerana sekiranya berlaku sesuatu pemasalahan seperti penyebaran penyakit berjangkit atau pemanasan global, kesan negatifnya pasti tidak terhad mengikut sempadan sesebuah negara. Pada kebiasaannya, saintis akan bertindak melangkau sempadan negara melalui penganjuran pelbagai aktiviti saintifik bersama atau program sains berteras keamanan walaupun negara masing-masing sedang bertelingkah. Malah, perhubungan sains mampu membuka jalan kepada penyelesaian konflik antara negara terutamanya yang melibatkan isu sensitif sepertimana nuklear dengan mengambil kira kajian saintifik yang dibincangkan bersama. Manakala dalam hal terdekat seperti berkaitan isu jerebu, Akademi Sains Malaysia telah menyarankan penggunaan diplomasi sains di mana input-input saintifik dapat digunakan sebagai wadah komunikasi penyelesaian di antara negara terlibat.
Atas kesedaran inilah, hubungan dan interaksi melalui sains perlu diberikan kebenaran dan digalakkan. Untuk rekod, persidangan Malta telah dianjurkan sejak 10 tahun lepas bagi menemukan saintis yang berpusat di negara Timur Tengah. Tidak sekadar berkongsi penemuan saintifik terbaru, persidangan ini juga bertujuan menarik perhatian kerajaan terbabit berkenaan sumbangan kerjasama aktiviti saintifik yang dapat membantu kelestarian pembangunan ekonomi di rantau terlibat, seterusnya mempromosikan keamanan dan politik damai. Begitu juga dalam isu ketidaktentuan politik melibatkan kerajaan Mesir sebelum ini. Nobel Laureate Kimia Ahmed Zewail telah dilantik sebagai duta pendamaian khas bagi meredakan sebarang ketegangan yang berlaku terutamanya di kalangan anak muda. Menariknya, Ahmed Zewail juga pernah diwacanakan sebagai salah seorang calon Presiden Mesir ketika itu!
Terjemahan Sains dalam Diplomasi dan Akta Sains
Perspektif ketiga iaitu sains dalam diplomasi merupakan libatsama input sains dalam pembentukan polisi sesuatu negara. Kepentingan sains terhadap pembangunan sesebuah negara perlu diakui berdasarkan manfaatnya terhadap kesejahteraan hidup masyarakat dan kemajuan negara. Dalam pengkhususan polisi melibatkan sains dan teknologi, Malaysia telah melancarkan Dasar Sains dan Teknologi Negara pada tahun 1986 dengan penambahbaikian pada sela tahun berikutnya sehingga sekarang. Ini bertujuan untuk menjadikan sains dan teknologi sebagai sumber untuk pembangunan dan pembentukan negara serta masyarakat.
Sehingga kini, elemen sains dan teknologi telah banyak dilibatkan dalam pelan perancangan pembangunan negara dan model ekonomi baru Malaysia. Selain itu, integrasi sains telah diserapkan ke dalam pelbagai bahagian kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi serta sektor swasta terutamanya melibatkan pembangunan teknologi. Di peringkat antarabangsa, perjanjian antarabangsa yang ditandatangani bersama oleh Malaysia seperti Protokol Kyoto dan Protokol Montreal telah memberikan kesan kepada polisi negara dalam usaha menangani perubahan klimat dan pemanasan global. Malaysia juga telah menyatakan komitmen untuk mengurangkan tahap pelepasan karbon negara sebanyak empat puluh peratus menjelang tahun 2020.
Dalam langkah ke hadapan, penggubalan Akta Sains Negara yang telah lama di cadangkan, ataupun sekurang-kurangnya mewujudkan Kaukus Parlimen Sains seharusnya berupaya menyediakan kerangka penting penyerapan sains dalam pembentukan polisi dan penetapan keputusan strategik negara. Kita tidak mahu isu kepolitikan seperti berlakunya BREXIT tidak diberikan suluhan daripada segi impak mendatang terhadap masa depan, kerjasama global dan pelaburan R&D negara berkaitan bidang sains.
Penutup
Saintis dan advokator sains harus mempunyai kekuatan suara dalam menyuarakan pendapat dan kebimbangan jika aspirasi negara didapati berlawanan dengan kenyataan dan kepentingan sains ataupun input saintifik. Misalnya dalam sesi awal kepresidenan Donald Trump, Arahan Eksekutif berkaitan imigresen menyebabkan saintis terkemuka dunia telah bergabung menyuarakan petisyen bantahan secara bersama. Sehingga catatan ini di buat, seramai 37 orang pemenang Nobel Laureate, 35 pemenang anugerah terkemuka sains global dan 178 ahli Akademi Sains, Kejuruteraan dan Seni Amerika Syarikat telah bersetuju menandatangani petisyen tersebut.
Selain itu, saintis berupaya menjadi diplomat negara dengan berperanan penting dalam menjambatkan negara masing-masing dalam menyediakan penyelesaian bersama kepada cabaran sedunia yang dikongsi seperti perubahan klimat, keselamatan makanan dan kelestarian hidup. Dalam konteks ini, sains tentunya mampu menjadi wahana penyatu yang melangkau sempadan negara dan ideologi kepolitikan serta menjadi sumber kuasa diplomasi lunak untuk kepentingan sesebuah negara.
Rujukan:
[1]. https://www.aaas.org/program/center-science-diplomacy
[2[. Sains Wahana Penyatu Langkaui Sempadan Ideologi, Berita Harian, 18 Mac 2016
[3[. https://notoimmigrationban.com/
[4]. Feature photo – Bilik Aktiviti Kimia
Catatan:// Penulis merupakan Ahli Bersekutu Young Scientist Network-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM) dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia
Berikan Komen Anda Di Sini