Oleh Muhamad Firdaus Rahim (HelloDoktor)
Disleksia bukan sejenis penyakit mental. Ia adalah kesukaran yang berlaku dalam proses pembelajaran. Mereka yang mengalami disleksia mengambil masa lebih lama untuk bercakap, membaca dan menulis. Walau bagaimanapun, tahap kecerdasan dan IQ tidak terjejas. Bahkan, ada juga dalam kalangan mereka yang mempunyai kecerdasan yang lebih tinggi.
Ia juga bukan disebabkan teknik pengajaran, arahan atau didikan yang lemah tetapi merupakan masalah neurologi dan genetik.
Apa yang berlaku pada kanak-kanak disleksia?
Setiap manusia mempunyai otak yang berbeza meskipun secara fizikalnya mungkin dilihat serupa. Penghidap disleksia adalah sangat unik dan istimewa. Cara otak mereka memproses maklumat yang dilihat dan didengar adalah berbeza berbanding orang lain.
Mereka menghadapi kesukaran dalam menghubungkan antara huruf tertentu dengan bunyinya. Contohnya, huruf ‘g’ dan ‘j’ dilihat seolah-olah serupa dan sering tertukar. Huruf ‘b’ dan ‘d’ juga mungkin mengelirukan bagi mereka.
Dalam mengeja perkataan pula, kadangkala ejaan menjadi tunggang langgang dan tidak konsisten. ‘Sawah padi’ tertukar menjadi ‘padi sawah’. ‘Kawan’ ditulis ‘wakan’. Mereka juga mempunyai kesukaran menyebut perkataan yang mempunyai suku kata yang banyak seperti ‘hospital’, ‘kebangsaan’ dan ‘pengangkutan’.
Anda mungkin dapati mereka selalu tersesat jalan kerana sukar membezakan antara kiri dan kanan. Apabila menerima arahan yang banyak, mereka akan pening dan sukar menghafal mengikut turutan.
Namun, setiap kanak-kanak disleksia adalah berbeza. Ada yang mengalami semua karakter yang disebutkan, ada juga yang mengalami sebahagiannya pada tahap yang berbeza.
Berfikir secara berbeza bukanlah satu kesalahan
Hanya kerana kanak-kanak disleksik berfikir dengan cara yang berlainan berbanding kebanyakan orang, ia tidak bermakna mereka melakukan kesalahan. Malah, ia adalah sesuatu yang unik dan memberikan mereka banyak kelebihan tertentu.
Mereka sangat mahir dalam mengenal pasti corak dan pola sesuatu perkara. Pelbagai persoalan dan masalah boleh dilihat dari sudut pandang yang lebih luas dan mereka juga mahir dalam menyelesaikan masalah. Ini adalah kerana imaginasi yang ada di dalam otak mereka membolehkan mereka membayangkan kebarangkalian dan solusi yang sesuai.
Kemahiran mereka cipta, melukis, mewarna dan memasang sesuatu juga dilihat wujud dalam diri kanak-kanak disleksia.
Ibu bapa perlu peka dengan keadaan anak-anak. Jika terdapat tanda-tanda lambat membaca, menulis dan bercakap berbanding kanak-kanak sebaya yang lain, sila dapatkan nasihat perubatan dengan segera. Intervensi awal mampu membantu mereka menangani halangan yang ada.
Video diambil daripada halaman Facebook Public Health Malaysia
Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh MajalahSains atas keizinan.