Oleh : Dr Nooratiny binti Ishak
Pusat Analisis Industri dan Tarif Kastam
Jabatan Kimia Malaysia
Pengspesisan haiwan adalah suatu proses evolusi yang mana populasi berkembang menjadi spesies yang berbeza. Semasa proses evolusi (peralihan masa) ini, spesies baru akan muncul dan spesis ini saling berkait rapat antara satu sama lain dan terus berinteraksi selama-lamanya. Bagi meneruskan kesinambungan generasi, spesies-spesies ini akan terus berkomunikasi dengan spesis yang terdekat dan berkembang biak lantas membentuk kacukan dan ini dinamakan sebagai ZON HIBRID. Spesies haiwan berevolusi ini mempunyai ciri-ciri genetiknya tersendiri yang mewakili diri mereka sendiri dan perbezaan genetik bagi spesies baru dengan nenek moyang mereka dari konteks pengspesisan haiwan tidak dapat dibeza dibezakan secara fizikal atau dengan mata kasar.
Secara tradisinya, kita telah ketahui bahawa pengspesisan haiwan dilakukan melalui kaedah perbandingan morfologi secara azalinya dengan menggunakan kunci pengenalan dikotomi. Tetapi dengan peralihan masa yang berkembang pesat, masalah pengspesisan haiwan dapat diatasi dengan lebih tepat dan cepat melalui kaedah DNA yang terkini berbanding dengan menggunakan kaedah tradisi iaitu morfologi dan dikotomi. Penggunaan teknik DNA dalam pengspesisan haiwan amat penting kerana bidang DNA atau pun lebih dikenali sebagai molekular adalah suatu bidang ilmu pengetahuan berteknologi tinggi bagi mengkaji benda hidup persekitaran dan interaksi antara makhluk hidup dan alam sekitar.
Bidang DNA pengspesisan haiwan ini sangat luas dan merangkumi pelbagai sub-bidang yang mana bidang ini memainkan peranan yang sangat penting dalam sistem keadilan kerana dapat membantu pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dalam penyiasatan jenayah, terutama kes-kes yang melibatkan haiwan dan untuk membantu melindungi kepelbagaian biologi serta menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia.
Kemajuan teknologi DNA dalam analisis pengenalpastian spesies haiwan telah menjadi elemen penting bagi menguji keaslian makanan untuk tujuan keselamatan makanan, pemilihan sumber makanan (makanan sihat dan vegetarian) dan amalan keagamaan (halal / tidak halal). Sebagai contoh di dalam kes penipuan produk makanan, analisis DNA pengspesisan haiwan adalah sangat penting untuk diaplikasi bagi menentukan kesahihan sumber sebenar makanan supaya keputusan analisis yang tepat dan cepat diperolehi. Rentetan itu, ia jua dapat membantu pihak penguatkuasaan undang-undang menyelesaikan isu yang membelengu rakyat Malaysia khususnya serta dapat menjamin keselamatan makanan yang dimakan oleh rakyat Malaysia. Pendekatan penggunaan teknologi DNA yang diguna pakai dalam pengspesisan haiwan ini juga dilihat dapat meningkatkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang dapat memulihara dan memelihara kepelbagaian biodiversiti negara amnya.
Dalam memastikan kesinambungan generasi spesis haiwan adalah berterusan, aplikasi penggunaan DNA pengspesisan haiwan adalah yang terbaik bagi menentukan hubungan intraspesies haiwan adalah berasal dari genus, family, spesies dan sub-spesies yang sama atau berbeza dan ini hanya dapat dicapai dengan mengkaji jujukan DNA spesies haiwan tersebut. Contoh penggunaan analisis DNA dalam pengspesisan haiwan adalah seperti kes pemerdagangan haiwan, kes yang melibatkan serangan haiwan ke atas manusia, serangan haiwan terhadap haiwan, perdagangan pasaran gelap produk hasilan haiwan (batu landak) dan kemalangan yang disebabkan oleh haiwan.
Selain daripada kes penyeludupan haiwan, antara kes-kes yang mengguna pakai teknik DNA pengspesisan haiwan adalah seperti kes pemalsuan makanan yang mana kes-kes seperti ini memberi impak cukup besar terhadap ekonomi dan keselamatan negara jika tidak dibendung. Khususnya, isu mencampurkan daging halal dengan daging haiwan yang dilarang dalam Islam seperti daging Khinzir juga telah dilaporkan berada di pasaran. Kes percampuran daging lembu dan kerbau dalam masakan yang mana menimbulkan kegusaran di kalangan peminat nasi kandar dan juga kepada penganut Hindu yang melarang memakan daging lembu.
Artikel berkaitan – DNA:Penyelesaian Kepada Penentuan Spesies Haiwan
Adaptasi analisis DNA pengspesisan haiwan dalam isu coklat Cadburry juga telah meredakan keresahan rakyat Malaysia mengenai kesahihan status halal coklat tersebut. Pada akhir tahun 2020, kes hangat diperkatakan yakni KARTEL DAGING telah membuatkan industri daging di Malaysia dalam keadaan yang ‘panas’ disertai dengan pelbagai spekulasi yang mengoyahkan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang diragui kesahihan sijil halalnya. Secara amnya, KIMIA Malaysia terlibat secara langsung dalam mengendali kes-kes yang disebut di atas, ini adalah antara tanggungjawab yang dipikul oleh KIMIA Malaysia dalam menjadi sebahagian daripada task force yang menaikkan imej Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan analisis DNA pengspesisan haiwan kepada agensi penguatkuasaan dan negara secara khusus.
Keaslian makanan adalah kualiti makanan yang asli dan tidak dapat dipertikaikan dari segi sifat, asal, identiti dan untuk memenuhi sifat yang diharapkan. Penipuan makanan adalah tindakan perniagaan atau individu yang disengaja untuk menipu orang lain berkenaan dengan integriti makanan untuk mendapatkan keuntungan yang tidak semestinya. Ini adalah penggantian atau penambahan zat dalam produk yang disengajakan dengan tujuan untuk meningkatkan nilai jelas produk atau mengurangkan kos pengeluarannya untuk keuntungan ekonomi. Kepesatan penipuan teknologi dalam bidang industri makanan ini telah memberi manfaat kepada sektor pengeluaran makanan dan pendedahan mengenai teknologi ini amat penting untuk perkembangan pesat industri makanan dalam memenuhi permintaan pengguna.
Walau bagaimanapun, perkembangan penipuan teknologi industri makanan ini telah memberikan cabaran yang besar kepada para saintis dalam menerokai teknologi terkini yang lebih efisien bagi mengesan kehadiran unsur atau zat terlarang yang ditambah dalam produk makanan. Oleh itu dalam menangani senario ini, penggunaan teknik DNA pengspesisan haiwan adalah yang terbaik dalam mengenal pasti penipuan dan bahan terlarang terutamanya sumber haiwan (khinzir) yang telah ditambah semasa proses pembuatan produk makanan serta dapat mengekang lambakan makanan mengandungi percampuran daging atau mengandungi bahan terlarang seperti khinzir.
Kesimpulan
Pengenalpastian DNA haiwan bukanlah tugas yang mudah tetapi dengan menggunakan teknologi yang sesuai dan terkini bagi mengesan jenis spesies haiwan tertentu sangat membantu dan harus dilakukan dengan teliti. Faktor seperti pengetahuan mengenai struktur dan komposisi tisu otot dan struktur molekul mesti selari dengan teknologi tersedia untuk memenuhi keperluan analisis DNA yang akan dilakukan.
Info Penulis
Dr Nooratiny Binti Ishak adalah Ketua Seksyen Identifikasi Spesies Bahagian Analisis Halal, Jabatan Kimia Malaysia. Beliau telah berkhidmat selama 17 tahun di Jabatan Kimia Malaysia, Ibu Pejabat, Selangor. Sepanjang tempoh perkhidmatan di Jabatan Kimia Malaysia, beliau telah menjalankan R&D dalam bidang molekul, forensik dan entomologi.
Beliau telah memperolehi PhD dalam bidang Sains (Forensik Entomotoksikologi) dari Universiti Sains Malaysia dan sekarang menerajui Seksyen Identifikasi Spesies bagi skop analisis DNA pengspesisan haiwan.
Kredit Foto : Washington daily news