Oleh: Prof. Madya Dr. Nazlina Ibrahim
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Tenologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
Setakat rencana ini ditulis, peratus populasi Malaysia yang lengkap divaksin iaitu yang telah menerima dua dos vaksin COVID-19 adalah 75.4%. Kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia pada 13 Oktober 2021 memaklumkan bahawa pemberian dos penggalak akan diberikan kepada individu yang telah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac (CoronaVac) sekurang-kurangnya selepas 3 bulan. Dos penggalak yang diberikan adalah vaksin COMIRNATY iaitu daripada jenis berbeza daripada jenis sebelumnya (heterologus). Keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas.
Dos penggalak
Pemberian vaksin adalah proses mendedahkan tubuh penerima kepada sebahagian komponen atau keseluruhan virus (virus yang dilemahkan iaitu tidak berupaya menjangkiti penerima) supaya sistem keimunan dapat mengenal dan membina pertahanan terhadap virus sebenar.
Apakah sebenarnya dos penggalak dan kenapa ia perlu diberikan kepada penerima yang telah lengkap divaksin?
Dos penggalak atau “booster dose’ merujuk kepada dos vaksin tambahan yang diberikan selepas seseorang menerima vaksin asal atau awal secara lengkap mengikut aturan yang ditetapkan. Dos penggalak boleh diberikan dalam tempoh beberapa minggu, bulan atau tahun bergantung kepada saranan yang ditetapkan. Saranan tersebut adalah berdasarkan kajian klinikal yang dilakukan terhadap subjek penerima vaksin lengkap sama ada masih lagi mempunyai ingatan imun (kehadiran sel B memori) terhadap persediaan vaksin yang dberikan dan juga sama ada antibodi khusus yang dihasilkan dapat mengenal virus yang disasarkan.
Kenapa perlu dos penggalak
Malaysia hampir mencapai objektif utama dalam program pemvaksinan pandemik COVID-19 iaitu menurunkan bilangan mereka yang perlu dirawat di hospital, mengelak penyakit yang teruk serta kematian. Tetapi kenapa dos penggalak perlu diberikan walaupun buat masa ini kes-kes COVID-19 yang teruk masih lagi dalam keadaan terkawal. Keputusan pemberian dos penggalak dibuat berdasarkan saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendapat nasihat daripada kumpulan pakar penasihat strategik (SAGE) berkaitan Imunisasi dan Vaksin COVID-19 (WHO 2021). Berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan oleh para penyelidik dan perubatan dalam penerbitan.
Pemberian vaksin COVID-19 telah mencapai tempoh hampir setahun. Pemantauan kepada mereka yang menerima vaksin melalui percubaan klinikal atau pemvaksinan sukarela telah dilaksanakan dengan melihat kepada tempoh kehadiran antibodi. Kajian terhadap beberapa jenis vaksin mendapati antibodi masih hadir sekurang-kurangnya selama enam bulan dalam penerima vaksin (Emary et al. 2021, Gaebler et al. 2021). Dengan kata lain selepas enam bulan, keupayaan antibodi untuk dihasilkan akan menurun jika berlaku jangkitan sebenar virus,. Bagi mengatasi masalah ini, tubuh perlu diingatkan semula kepada virus SARS-CoV2. Ini dilaksanakan melalui pemberian dos penggalak agar antibodi dapat dihasilkan begitu juga komponen imun lain.
Kemerosotan gerak balas imun dalam penerima vaksin
Kenapa boleh berlaku jangkitan teruk kepada mereka yang divaksin? Salah satu sebab adalah keimunan dalam individu yang telah divaksin mengalami kemerosotan. Ini menyebabkan apabila terdapat pendedahan kepada virus sebenar yang masih berlegar sekarang, tidak dapat ditandingi oleh gerak balas imun yang pernah dijana oleh sesetengah vaksin. Maka langkah mengatasi masalah ini adalah melalui pemberian dos penggalak daripada jenis berbeza. Mereka yang mengalami masalah imunokompromi iaitu kekurangan upaya menghasilkan antibodi dan lain-lain komponen keimunan juga tergolong dalam kalangan mereka yang berisiko mendapat jangkitan teruk oleh virus sebenar. Lebih-lebih lagi ketika ini, virus yang berlegar adalah dalam kumpulan varian yang dibimbangi (varian of concern, VOC) seperti varian delta. Varian ini lebih patogenik daripada varian asal dan menyebabkan COVID-19 yang lebih teruk.

Kemerosotan gerak balas imun terhadap vaksin berbeza antara produk vaksin telahpun diperhatikan (Jara et al. 2021; Vacharathit et al. 2021; Widge et al. 2021) . Untuk Malaysia, sebanyak 3 bentuk produk vaksin telah diluluskan pendaftaranny a iaitu vaksin mRNA (COMIRNATY), virus dilemahkan (CoronaVac/Sinovac, COVILO), vaksin virus rekombinan (AstraZeneca, JANSSEN, Convidecia). Setakat ini, mereka yang menerima vaksin mRNA dan virus dilemahkan telah dicadangkan untuk menerima dos penggalak.
Kemerosotan gerak balas imun melalui kehilangan antibodi selepas pemvaksinan bukanlah sesuatu yang perkara yang belum pernah dialami dalam dunia program vaksinasi. Fenomenon ini pernah dilihat dalam pemberian vaksin yang lain dengan keperluan pemberian dos kedua dan penggalak seperti vaksin Hepatitis B, Haemophilus influenzae jenis B (Hib), Measles–mumps–rubella (MMR), Tetanus, diphtheria, dan pertussis (Tdap). Malah, jika jangkitan dengan SARS CoV-2 iaitu coronavirus sebenar berlaku, kehilangan ingatan keimunan juga boleh menurun selepas tempoh tertentu dan pernah dilaporkan (Self et al. 2020).
Kehilangan keberkesanan antibodi peneutralan
Keperluan memberi dos penggalak juga didasari oleh kebolehan antibodi yang terhasil selepas pemvaksinan untuk meneutralkan virus (neutralising antibodies). Kebolehan antibodi tersebut mengikat virus dan menghentikan peluangnya menjangkiti sel didapati menurun. Ini adalah berdasarkan kajian di makmal, namun perlindungan imun pesakit terhadap penyakit yang teruk sebenarnya masih dikekalkan melalui komponen keimunan tubuh yang lain serta keimunan perantaraan-sel (Khoury et al. 2021). Cabaran kehadiran virus dengan virus varian yang membimbangkan (variants of concern, VoC) atau varian baru juga boleh mengurangkan keberkesanan aktiviti peneutralan virus tersebut. Dos penggalak diperlukan bagi membolehkan antibodi dihasilkan semula sebagai langkah pencegahan paling selamat daripada jangkitan sebenar tanpa mengira pendedahan kepada jenis varian serta banyaknya dos virus.
Keberkesanan vaksin yang berkurangan di kalangan pesakit COVID-19 tanpa simptom dan jenis kurang teruk telah mula dikesan dan ditambah buruk oleh faktor seperti kehadiran VoC (Jara et al. 2021; Vacharathit et al. 2021) . Namun, objektif pemvaksinan masih kekal tercapai iaitu untuk mengelak penyakit teruk yang memerlukan kemasukan ke hospital bergantung kepada kumpulan umur pesakit, populasi dan jenis vaksin. Walaubagaimanapun, keberkesanan program pemvaksinan masih kekal iaitu perlindungan terhadap golongan yang divaksin dan kebanyakan jangkitan lebih teruk berlaku dalam golongan yang tidak divaksin. Program pemvaksinan telah dapat memastikan populasi kekal berada dalam kebolehan menghasilkan gerak balas imun terhadap jangkitan sebenar namun dalam penerima vaksin tertentu pengambilan dos penggalak diperlukan.
Malaysia sangat bertuah kerana pencapaian pemvaksinan lengkap telah mencapai peratus yang tinggi di kalangan individu dewasa. Pemberian vaksin dos penggalak bukanlah kegagalan kepada program pemvaksinan yang sedang dijalankan. Ianya juga bukan untuk mendapatkan keuntungan kewangan atau bersifat politik. Ianya adalah fenomenon yang boleh terjadi kerana ciri vaksin atau virus itu sendiri dan bagaimana gerak balas keimunan bertindak terhadap kedua-duanya. Perlu diingat bahawa vaksin penggalak perlu diberikan secara bersasar iaitu kepada kumpulan yang paling memerlukan perlindungan terhadap jangkitan sebenar SARS-CoV2 seperti mereka yang berumur 60 tahun dengan penyakit serta mereka yang berada dibarisan hadapan yang masih berhadapan dengan ancaman SARS-CoV2 di tempat kerja masing-masing.

Kesimpulan
Vaksin COVID-19 telah dapat dihasilkan dan digunakan kepada umum dalam waktu yang singkat iaitu tidak sampai setahun dalam kemelut pandemik ini. Data di Malaysia telah membuktikan penurunan drastik dalam bilangan kematian dan kes penyakit teruk melalui program pemvaksinan yang dijalankan. Kesimpulannya, dos penggalak diperlukan untuk pengekalan status keimunan individu ke tahap yang mampu melawan jangkitan sebenar virus. Semua jenis vaksin yang tersedia adalah berkesan, selamat dan telah berjaya menyelamatkan nyawa. Dos penggalak adalah keperluan kepada beberapa kumpulan yang telah lengkap divaksin. Namun mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 juga amat penting kepada semua golongan yang masih belum mendapatkannya. Buatlah pertimbangan bijak untuk segera mendapatkan vaksin bagi mengelak daripada jangkitan yang teruk selain melindungi mereka yang tidak boleh menerima vaksin serta kanak-kanak dibawah umur 12 tahun.
Rujukan:
- Emary KRW, et al. 2021. Efficacy of ChAdOx1 nCoV-19 (AZD1222) vaccine against SARS-CoV-2 variant of concern 202012/01 (B.1.1.7): an exploratory analysis of a randomised controlled trial. Lancet.;397:1351-62.
- Gaebler C, et al. 2021. Evolution of antibody immunity to SARS-CoV-2. 2021; 591(7851):639-644. doi: 10.1038/s41586-021-03207-w.
- Khoury DS et al. 2021. Neutralizing antibody levels are highly predictive of immune protection from symptomatic SARS-CoV-2 infection. Nature Medicine. 2021;27:1205-11. doi: 10.1038/s41591-021-01377-8.
- Self WH, Tenforde MW, Stubblefield WB, et al. 2020;. Decline in SARS-CoV-2 Antibodies After Mild Infection Among Frontline Health Care Personnel in a Multistate Hospital Network — 12 States, April–August 2020. MMWR Morb Mortal Wkly Rep 69:1762–1766. http://dx.doi.org/10.15585/mmwr.mm6947a2external icon.
- Vacharathit, V. et al. (2021). CoronaVac induces lower neutralising activity against variants of concern than natural infection. The Lancet Infectious Diseases. https://doi.org/10.1016/S1473-3099(21)00568-5, https://www.thelancet.com/journals/laninf/article/PIIS1473-3099(21)00568-5/fulltext.
- Widge AT. et al. 2021. Durability of Responses after SARS-CoV-2 mRNA-1273 Vaccination. New England Journal of Medicine 384(1):80. doi: 10.1056/NEJMc2032195.
- WHO 2021. Interim statement on booster doses for COVID-19 vaccination. https://www.who.int/news/item/04-10-2021-interim-statement-on-booster-doses-for-covid-19-vaccination