Oleh : Prof Madya Dr Salmah Yaakop & Mohd Fuat Salbi
Pusat Sistematik Serangga, Universiti Kebangsaan Malaysia
Parasitoid utama dan parasitoid hiper merupakan dua kumpulan spesies serangga yang saling berhubungan. Dari sudut apakah hubungan antara mereka ini terjalin? Pastinya, hubungan rapat antara mereka ini dapat dilihat dan difahami dengan merujuk ke atas jaringan dan hubungan di antara mereka di aras tropik makanan atau piramid makanan. Sebagai contoh pada Rajah 1, ia menerangkan hubungan dua spesies parasitoids utama dengan parasitoid hiper yang memparasit spesies ulat bungkus, Metisa plana iaitu serangga perosak utama pokok kelapa sawit. Parasitoid hiper merujuk kepada spesies parasitoid atau pemangsa yang memparasit parasitoid utama. Walaubagaimana pun masih terdapat banyak lagi rekod yang melibatkan spesies serangga lain yang menjalinkan hubungan yang melibatkan kedua-dua kumpulan parasitoid ini.
Jika kita lihat, hubungan di antara dua kumpulan ini amat jelas dan ianya amat menarik untuk diketahui dengan lebih lanjut. Dimulakan dengan parasitoid utama yang berada di aras trofik ketiga, manakala spesies serangga perosak yang menginfestasi pokok tanaman pula terletak di aras trofik kedua. Diteruskan pula dengan parasitoid hiper yang terletak pada aras trofik keempat yang berperanan memparasit parasitoid utama. Wujudnya persaingan di antara parasitoid hiper ini, di mana ia dapat dinilai dengan merujuk kepada bilangan spesiesnya yang hadir dan memparasit parasitoid utama ini. Kepada parasitoid hiper yang memparasit hanya satu spesies perumah (parasitoid utama), ia dipanggil dengan parasitoid hebat (superparasitoid), manakala parasitoid pelbagai (multiparasitoid) dikenalpasti memparasit beberapa spesies perumah, iaitu lebih dari satu.
Mari kita kenali kedua-dua parasitoid ini. Umumnya, parasitoid utama adalah parasitoid asas atau umum yang bertindak memparasit perosak tanaman atau pemangsanya. Manakala, parasitoid hiper ini bertindak sebagai perosak (musuh) kepada parasitoid utama ini. Umumnya, kehadiran parasitoid hiper amat tidak digemari. Ini kerana ia akan membunuh parasitoid utama yang mampu bertindak sebagai agen kawalan biologi yang membantu membunuh perosak secara semulajadi. Proses tersebut akan dijalankan dengan cara meletakkan telurnya di badan perumah seperti yang pernah dijelaskan dan diperincikan di dalam artikel sebelum ini yang bertajuk, Penyengat Parasitoid: Serangga Pembunuh Serangga.https://www.majalahsains.com/penyengat-parasitoid-serangga-pembunuh-serangga/.
Dalam konteks parasitoid utama dan parasitoid hiper ke atas ulat bungkus, M. plana, sejumlah 16 spesies parasitoid telah berjaya direkodkan, di mana spesies penyengat, Dolichogenidea metesae dan Brachymeria carinata merupakan antara spesies parasitoid utama (Rajah 2), manakala spesies penyengat, Eupelmus cotoxanthae dan Pediobius anomalus dikategorikan sebagai parasitod hiper (Rajah 3) oleh kajian PhD penulis kedua. Dalam kajian yang dijalankan beliau, didapati nisbah parasitoid utama dan hiper yang berjaya dikumpulkan
dari ladang sawit adalah sekitar 70: 30. Selain dari itu juga, kajian beliau mendapati terdapat korelasi negatif yang kuat di antara kelimpahan parasitoid utama dan hiper yang dibuktikan melalui analisis saintifik. Hasil menunjukkan kelimpahan spesies utama adalah berkadar songsang dengan spesies hiper, di mana didapati tinggi kelimpahan parasitoids utama akan menyebabkan rendahnya kelimpahan parasitoid hiper.
Selain itu, antara contoh lain ialah yang melibatkan hubungan unik di antara spesies parasitoid utama-parasitoid hiper ke atas Plutella xylostella, Rama-rama Belakang Intan (Diamond Back Moth) yang menginfestasi dan merosakkan pokok kubis. Sejumlah lapan spesies parasitoid utama direkodkan, manakala tujuh spesies parasitoid hiper direkodkan ke atas P. xylostella ini. Terdapat banyak lagi hubungan parasitoid utama-hiper yang rata-ratanya melibatkan peringkat telur dan ulat atau larva spesies perosak dari spesies rama-rama, afid, kumbang dan lain-lain yang menjadi perosak kepada pokok sayuran dan tanaman lain.
Untuk makluman semua, parasitoid hiper ini tidak mendatangkan apa-apa faedah, walaubagaiaman pun didapati kehadirannya adalah tinggi di sekitaran. Jumlahnya yang banyak didapati akan membunuh parasitod utama yang sudah terbukti berkesan membantu membunuh perosak tanaman. Secara asasnya, serangga perosak akan hilang dan berkurang jika tiada direkodkan kehadiran dan kewujudan parasitoid hiper ini. Kajian yang dijalankan oleh Schooler et al. (2011) di dalam rumah kaca mendapati parasitoid utama iaitu spesies penyengat, Aphidius ervi (Hymenoptera: Aphidiidae) yang memparasit spesies perosak, afid kacang (Acyrthosiphon pisum) akan berkurang sebanyak 50% kerana wujudnya kehadiran parasitoid hiper iaitu penyengat, Asaphes suspensus (Hymenoptera: Pteromalidae). Walaubagaimanapun, secara semulajadi parasitoids hiper ini tidak akan mampu membunuh 100% parasitoid utama kerana spesies hiper ini mempunyai tempoh masa atau kitar hidup untuk melengkapkan generasinya yang pendek dalam keadaan semulajadi.
Kelimpahan serangga parasitoid hiper di dalam ekosistem pertanian adalah tinggi disebabkan mereka mempunyai pelbagai perumah yang menyebabkan populasi mereka kekal dan stabil di dalam sesuatu ekosistem (Cao et al. 2017). Kehadiran parasitoid hiper ini secara tidak langsung juga mempengaruhi nisbah jantina parasitoid utama, di mana kajian mendapati kadar populasi betina bagi parasitoid utama penyengat, Lysphlebus hirticonis dan Binodoxys angelica adalah kurang. Ini disebabkan parasitoids hiper lebih cenderung terhadap aphid yang bersaiz besar, yang mana di dalamnya mengandungi spesies betina parasitoid utama (Gómez-Marco et al. 2015).
Kahadiran parasitoid hiper ini juga mampu mengagalkan usaha program kawalan biologi di ekosistem pertanian. Pelbagai usaha dilakukan bagi mengurangkan atau menolak kehadiran serangga ini, namun, sehingga kini masih tiada lagi kajian yang berjaya diaplikasikan di lapangan. Pemahaman mengenai ekologi kimia perlu dikaji secara mendalam agar parasitoids hiper ini dapat dihalau atau dikurangkan, sekaligus dapat menyelamatkan keberadaan parasitoids utama (Cusumano et al. 2020). Di dalam ekosistem sawit, parasitoid hiper ini masih lagi diperlukan kerana terdapat kajian membuktikan spesies ini juga mampu membunuh perosak M. plana walaupun tiada parasitoids utama di dalamnya (Basri et al. 1995). Contohnya, dua spesies penyengat Pediobius anomalus dan Pediobius imbreus telah dikenalpasti sebagai parasitoid hiper ke atas M. plana. Walaubagaimana pun kedua-dua spesies direkodkan sebagai parasitoids utama ke atas spesies lain seperti ulat bungkus, Pteroma pendula dan rama-rama, Artona catoxantha (Basri et al. 1995). Beberapa kajian juga telah dijalankan dalam usaha mengaplikasi parasitoid utama ini dalam Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB) ke atas pengawalan M. plana bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti penghasilan minyak sawit negara (Halim et al. 2017, 2018, 2019).
Terdapat banyak debat yang membincangkan isu ke atas keperluan dan kewujudan parasitoid hiper ini. Utamanya, kehadiran parasitoid hiper ini dapat dilihat dan membantu bagi tujuan kestabilan sesuatu ekosistem. Sudah pasti setiap makhluk ciptaan yang Maha Esa ada fungsi sebenar di ekosistem yang mendatangkan manfaat sejagat. Justeru itu, kajian lebih mendalam amat diperlukan bagi memahami hubungan kedua-dua kumpulan parasitoid ini di ekosistem. Ini kerana sehingga kini masih lagi tiada bukti bahawa parasitod hiper secara penuh memberi kesan negatif dalam jangka masa yang panjang.
ARTIKEL LAIN
Dia Tidak Bersalah; Kumbang Ladybird pemangsa disalah Erti
Membongkar Rahsia Makhluk Bertubuh Kecil, Perosak Beras
Penyengat Parasitoid; Serangga Pembunuh Serangga
Rujukan
Basri, M. W., Norman, K. & Hamdan, A. B. 1995. Natural enemies of the bagworm, Metisa plana Walker (Lepidoptera: Psychidae) and their impact on host population regulation. Crop Prot. 14(8): 637–645.
Cao, H. X., La Salle, J. & Zhu, C. D. 2017. Zootaxa: Chinese species of Pediobius Walker (Hymenoptera: Eulophidae). Auckland, New Zealand: Magnolia Press.
Cusumano, A., Harvey, J. A., Bourne, M. E., Poelman, E. H. & G de Boer, J. 2020. Exploiting chemical ecology to manage hyperparasitoids in biological control of arthropod pests. Pest Management Science 76(2): 432–443.
Gómez-Marco, F., Urbaneja, A., Jaques, J. A., Rugman-Jones, P. F., Stouthamer, R. & Tena, A. 2015. Untangling the aphid-parasitoid food web in citrus: Can hyperparasitoids disrupt biological control? Biological Control 81: 111–121.
Halim, M, Aman-Zuki, A., Syarifah Zulaikha, S.A., Muhaimin, A.M.D., Atikah, A.R., Masri, M.M.M., Md-Zain, B.M. & Yaakop, S. 2018. Exploring the abundance and DNA barcode information of eight parasitoid wasps species (Hymenoptera), the natural enemies of the important pest of oil palm, bagworm, Metisa plana (Lepidoptera: Psychidae) toward the biocontrol approach and it’s application. J. Asia. Pac. Entomol. 21: 1359–1365.
Halim, M., Muhaimin, A.M.D., Syarifah Zulaikha, S.A., Nor Atikah, A.R., Masri, M.M.M. & Yaakop, S. 2017. Evaluation of infestation in parasitoids on Metisa plana Walker (Lepidoptera: Psychidae) in three oil palm plantations in peninsular Malaysia. Serangga. 22: 135–149.
Halim, M., Syarifah Zulaikha, S.A., Muhaimin, A.M.D., & Yaakop, S. 2019. The diversity and abundance of potential hymenopteran parasitoids assemblage associated with Metisa plana (Lepidoptera: Psychidae) in three infested oil palm plantations in Peninsular Malaysia. AIP Conf Proc . 2111: 060024.
Feature photo credit-https://phys.org/news/2011-11-parasitoid-larvae-caterpillars-affect-behaviour.html
Prof. Madya Dr. Salmah Yaakop
salmah78@ukm.edu.my
Salmah Yaakop merupakan pensyarah kanan di Pusat Sistematik Serangga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bidang kepakarannya adalah dalam Sistematik Serangga, Kepelbagaian Serangga dan Taksonomi Braconidae (Hymenoptera). Beliau telah menerima Ijazah Doktor Falsafah dari State Universiti of Groningen, The Netherlands dalam bidang Biologi Evolusi, manakala, BSc. dan MSc. dari UKM (Zoologi-Entomologi). Beliau juga aktif menjalankan penyelidikan ke atas serangga perosak stok simpanan, serta perosak, pendebunga, pemangsa, pengurai dan parasitoid tanaman dagangan. Banyak penerbitan jurnal, buku dan bab dalam buku berkaitan bidang telah diterbitkan khususnya bagi tujuan pemuliharaan.
Mohd Fuat Salbi
mohdfuatsalbi@yahoo.com
Mohd Fuat merupakan pelajar PhD (Ijazah Doktor Falsafah) di Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan penerima biasiswa Tenaga Akademik Muda (TAM) dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Kajian yang sedang dijalankan adalah berkaitan diversiti dan ekologi parasitoid di dalam ekosistem sawit berbeza bagi mengawal populasi ulat bungkus, Metisa plana.