Oleh: Prof. Dr. Noraini Talip, Farrah Melissa Moksin & C. Nirmala a/p K. Chelladurai
Fakulti Sains dan Teknologi, UKM Bangi
Durian belanda adalah nama tempatan bagi spesies Annona muricata L. Durian belanda adalah spesies pokok berbunga dan berbuah dalam famili Annonaceae dan berada dalam dalam genus yang sama dengan buah nona (Annona squamosa) L. Di Indonesia buah ini dikenali sebagai buah sirsak dan nama Inggerisnya ialah soursop kerana rasanya yang masam masam manis. Meskipun namanya ialah durian Belanda namun ia tidak mempunyai kaitan dengan buah durian raja segala buah. Durian belanda diambil sempena buahnya yang mempunyai duri yang lembut dan dikatakan antara buah yang terawal di sebarkan ketika penjajahan dahulu, dan kemungkinan di bawa masuk semasa penjajahan Belanda di Tanah Melayu (Gambarajah 1).
Durian belanda taburan asalnya adalah di selatan Mexico melalui kepulauan Caribbean hingga ke utara Amerika Selatan, dan merupakan antara spesies tumbuhan berbuah terawal disebarkan oleh pelayar Barat ke Asia Tenggara. Buah ini telah digunakan secara tradisional di tempat asalnya untuk tujuan perubatan kerana khasiatnya selain dimakan kerana keenakannya. Puak orang asli di Andes, menggunakan daun durian belanda sebagai minuman teh untuk merawat radang pada paru-paru disebabkan asthma dan selsema yang berlarutan. Biji benih buah ini digunakan untuk rawatan kulit. Di Peru, daun durian belanda digunakan untuk rawatan diabetes. Manakala puak Guyana di Brazil menggunakan daun durian belanda sebagai minuman teh tonik kesihatan. Mereka menggunakan campuran daun yang ditumbuk lumat dan dicampur dengan minyak zaitun untuk merawat sakit sendi dan arthritis. Sesetengah masyarakat di Jamaica dan Haiti memakan buah durian belanda untuk merawat demam panas, rawatan diarrhea dan untuk memperbanyakkan susu ibu yang menyusukan anak. Secara umumnya di Malaysia, pokok durian belanda ditanam secara individu namun begitu untuk negeri-negeri seperti Perlis, Pahang, Perak, Johor dan Sabah buah ini telah ditanam secara besar-besaran untuk tujuan komersial.
Meskipun kedua-dua buah durian belanda dan durian mempunyai duri tetapi morfologi durinya berbeza kerana durian belanda mempunyai duri yang lebih pendek, tumpul dan lebih lembut. Pokok durian belanda boleh tumbuh dan mencapai ketinggian 9.1 meter tinggi (Gambarajah 2). Batangnya mempunyai bulu atau trikom halus semasa muda tetapi mulai menghilang apabila pokok semakin tua.
Bunga durian belanda tumbuh setentang dengan daun atau muncul dari ketiak daun. Lamina daunnya berbentuk bujur atau oval dengan panjang 8-16 cm dan 3-7 cm lebar, permukaan epidermis adaksial daun licin dan mempunyai panjang petiol atau tangkai daun di antara 4-13 mm Panjang (Gambarajah 3).
Memiliki dua atau tiga kuntum bunga pada satu tangkai pembungaan, berukuran antara 2-5 mm panjang, kelopak-kelopak bunganya tebal berbentuk bujur meruncing di pangkal dan berwarna kekuningan (Gambarajah 4). Buah durian belanda yang terhasil daripada persenyawaan boleh membesar sehingga 30 cm panjang. Isi buahnya bewarna keputihan dan apabila ranum akan mengeluarkan bau yang tersendiri dan setiap buah mempunyai banyak biji. Isi buah ini mempunyai rasa manis dengan kandungan gula semulajadi setinggi 68% tetapi mempunyai sedikit rasa masam. Keadaan ini menyebabkan rasa buah durian belanda agak unik dan istimewa yang menjadikannya digemari ramai orang.
Durian belanda mempunyai banyak kebaikan dan khasiat, dan berdasarkan beberapa kajian saintifik yang pernah dilakukan, durian belanda mengandungi pelbagai nutrien penting seperti vitamin C, vitamin B6, kalium, serat, dan sejumlah kecil vitamin A. Buah ini juga mengandungi bahan antioksida seperti karotenoid dan sebatian fitokimia lain yang boleh membantu untuk melindungi sel-sel badan daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. Kandungan kalium dalam durian belanda baik untuk kesihatan jantung dengan membantu mengawal tekanan darah.
Durian belanda juga baik untuk membantu dalam proses pencernaan kerana mengandungi serat yang membantu melancarkan penghadaman dan mengurangkan risiko sembelit. Sesetengah masyarakat di Malaysia terutama masyarakat orang Melayu menggunakan kulit durian belanda untuk merawat bisul dan masalah kulit. Dalam perubatan tradisional, masyarakat tempatan menggunakan pelbagai bahagian tumbuhan ini untuk merawat cirit-birit, demam dan gangguan perut. Bahagian yang sering digunakan ialah buah, kulit buah dan daunnya. Pokok durian belanda juga boleh ditanam dan dijadikan sebagai tanaman hiasan di kawasan rumah kerana daunnya yang rimbun dan mempunyai bunga yang cantik, malahan bentuk buahnya juga agak menarik. Walaupun durian belanda mempunyai banyak kegunaan, seperti khasiat dalam makanan dan perubatan, penting untuk kita mengambilnya dalam kadar yang sederhana. Disyorkan juga merujuk kepada pakar kesihatan sebelum mengamalkannya dalam diet pemakanan atau tujuan perubatan.
Durian belanda juga mempunyai nilai ekonomi dan kegunaan yang tersendiri. Kebiasaannya buah durian belanda dijual segar di pasar tani dan di pasar raya. Manakala dalam industri minuman dan makanan, buahnya digunakan secara meluas untuk membuat jus (Gambarajah 5), kordial, ais krim, jem, gula-gula, halwa dan lain-lain. Durian belanda juga boleh diimport dan dieksport sebagai produk buah segar atau produk yang telah proses.
Pokok durian belanda juga ditanam sebagai tanaman hiasan di taman-taman herba dan di rumah-rumah selain daripada untuk tujuan perubatan dan makanan. Beberapa negara telah membangunkan agro-industri durian belanda, seperti pengeluaran buahan segar dan pemprosesan buah-buah tersebut. Dari segi penyelidikan dan pembangunan pula, tumbuhan ini boleh diperluaskan dalam sektor pertanian dengan meningkatkan pengeluarannya, kualiti dan ketahanan tanaman. Penanaman durian belanda juga dapat memperkasakan ekonomi tempatan dan memberi sumber pendapatan kepada petani sekiranya ditanam dalam skala besar.
Dalam sektor eko-pelancongan, durian belanda boleh dijadikan sebagai salah satu tarikan kepada pelancong yang ingin mengenali tumbuhan herba ini dengan lebih dekat serta mempelajari potensi dalam nilai ubatan dan makanan. Walau bagaimanapun potensi ekonomi dan kegunaan durian belanda turut bergantung kepada faktor seperti iklim, permintaan pasaran, dan inisiatif tempatan atau nasional dalam pembangunan industri pertanian.
Antara kegunaan durian belanda dalam perubatan tradisional di Malaysia ialah daunnya biasanya dijadikan sebagai the minuman. Caranya ialah daun durian belanda diracik halus dan dijemur sehingga betul-betul kering. Daun yang telah kering dimasukkan ke dalam cawan bersama air panas. Minum tiga kali dalam seminggu bagi tujuan kesihatan. Ekstrak daun juga telah dibuktikan secara saintifik boleh membunuh bakteria dan baik untuk merawat keradangan pada gusi.
Sesetengah masyarakat di Malaysia menggunakan durian belanda sebagai cara tradisional untuk merawat masalah cirit-birit. Caranya ialah dengan mengambil ekstrak buah durian belanda untuk mengurangkan gejala cirit-birit. Kulit durian belanda pula digunakan dalam perubatan tradisional untuk membantu menyembuhkan luka. Caranya ialah dengan kulit durian belanda dicincang atau dihancurkan, kemudian diletakkan pada luka atau bisul sebagai pupur atau demahan.
Bagi kegunaan merawat penyakit kulit pula, ekstrak daun durian belanda telah digunakan untuk membantu merawat masalah kulit seperti jerawat, ekzema, atau kerengsaan kulit. Daun durian belanda dan buahnya juga boleh digunakan sebagai ubat tradisional untuk membantu merawat jangkitan saluran kencing kerana durian belanda telah dibuktikan mempunyai sifat anti-jangkitan.
Sesetengah masyarakat di Malaysia menggunakan durian belanda sebagai ramuan dalam minuman untuk melegakan simptom awal selesema dan batuk. Durian belanda juga boleh digunakan untuk merawat demam secara tradisional, melalui meminum air atau jus daripada buah durian belanda tersebut. Durian belanda juga dianggap mempunyai sifat penyembuhan dalam beberapa amalan perubatan tradisional, kerana telah lama digunakan sebagai tonik untuk meningkatkan kesihatan umum. Biji durian belanda pula jika dimakan berkesan menghalang tumbesaran parasit kerana buahnya bersifat anti parasit. Bijinya telah diformulasikan oleh syarikat pengeluar ubatan dengan menjadikannya dalam bentuk serbuk. Isi buah durian belanda juga bersifat antikanser, yang mana lebih baik daripada rawatan kimoterapi. Isinya juga bagus untuk merawat osteoporosis, mencegah kencing tidak lawas dan dapat mengurangkan migrain. Buah durian belanda yang muda juga boleh digoreng dan dijadikan kerepek seperti buah sukun.
Walaupun durian belanda mempunyai pelbagai manfaat kesihatan, adalah penting untuk mengambilnya dalam kuantiti yang sesuai dengan keperluan individu. Selain itu, khasiat daripada tumbuhan yang digunakan perlu diseimbangkan dengan gaya hidup sihat dan diet yang seimbang. Kemampanan pertanian penanaman pokok durian belanda dan pemerkasaan ekonomi tempatan adalah aspek yang penting untuk mengkomersialkan penanaman pokok durian belanda, agar ia boleh dikembangkan ke peringkat global.
Rujukan:
Hsuan Keng. 2003. Orders and Families of Malayan Seed Plants. Singapore University Press, Singapore
https://ms.wikipedia.org/wiki/Durian_belanda
https://www.nurserykebunbandar.com/products/pokok-durian-belanda
http://psasir.upm.edu.my/18800/1/0019.pdf
https://www.facebook.com/groups/474074939711604/