Oleh: Dr. Tan Li Peng, Dr Ruhil Hayati Hamdan & Cik Hasimah Hassan
Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan
PARASIT didefinisikan sebagai organisma yang hidup pada tumbuhan atau haiwan (manusia) lain untuk mendapatkan makanan dan perlindungan. Parasit dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu ektoparasit dan endoparasit. Pembahagian kumpulan ini adalah berdasarkan bahagian badan perumah yang dihuninya. Ekto- bermaksud luaran, iaitu parasit yang hidup di bahagian luar seperti kulit atau rambut organisma lain (perumah), manakala Endo- bermaksud dalaman itu merujuk kepada parasit yang hidup dalam badan perumah seperti di dalam usus atau saluran darah.
Ektoparasit yang biasa dijumpai pada haiwan kesayangan adalah hama, sengkenit, kutu dan pinjal. Kebanyakan ektoparasit menjadi pembawa patogen yang menyebabkan penyakit kepada haiwan dan manusia. Kita sering menggelarkan ektoparasit sebagai KUTU. Sebenarnya, ektoparasit ini berasal dari kelas dan spesies yang berbeza, dan ia akan diperkenalkan lebih lanjut di dalam artikel ini.
Hama/Tungau (Mites)
Hama merupakan ektoparasit yang sangat halus dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Biasanya, kehadiran hama tidak disedari oleh perumah. Ia dikelaskan bersama sengkenit, labah-labah dan kala-jengking dalam kumpulan Arachnida, iaitu mempunyai empat pasang kaki. Hama habuk tidak dianggap sebagai ektoparasit sekiranya ia tidak bergantung pada perumah. Hama habuk merupakan alergen bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap habuk yang mengandungi bahan kumuhan hama dan badan hama yang telah mereput. Alahan berlaku akibat daripada tindak balas terhadap protein bahan kumuhan dan badan reput hama ini. Terdapat hama yang memakan kulit dan eksudat daripada haiwan dan menggali bawah kulit yang menyebabkan gatal yang berterusan. Sarcoptes scabiei merupakan salah satu spesies hama/tungau gatal yang berkait rapat dengan haiwan domestik dan manusia. Sarcoptes scabiei bersembunyi di bawah kulit dan menyebabkan penyakit skabies atau kudis. Selain daripada manusia, anjing, kucing dan khinzir juga boleh dijangkiti. Gejala skabies adalah gatal yang teruk dan ruam kulit yang menyerupai jerawat. Skabies adalah penyakit berjangkit yang terjadi apabila berlaku sentuhan dengan haiwan yang telah dijangkiti dan terdedah kepada persekitaran (hamparan dan fomit) yang terdapat hama hidup.
Sengkenit/Kutu Babi/Pirah (Ticks)
Sengkenit merupakan ektoparasit yang berkaki lapan di bawah kelas Arachnida. Saiz ektoparasit ini lebih besar daripada hama/tungau dan boleh dilihat dengan mata kasar. Sengkenit yang biasa dijumpai adalah Rhipicephalus spp. yang merupakan spesies kosmopolitan dan sering menyerang anjing dan lembu. Sengkenit adalah vektor bawaan penyakit yang kedua terpenting selepas nyamuk. Namun, ia merupakan vektor utama bagi kes-kes penyakit haiwan domestik dan liar. Sengkenit boleh dibahagikan kepada sengkenit lembut dan keras. Sengkenit keras di bawah famili Ixodidae adalah lebih dikenali dan sering dijumpai kerana sifatnya yang menghisap darah perumah dalam jangka masa yang panjang sekiranya ia tidak diganggu. Larva akan kekal melekat dan menghisap darah perumahnya selama 3 hari, manakala nimfa selama 3 hingga 4 hari. Betina dewasa pula mengambil masa yang lama iaitu selama 7 hingga 10 hari. Sengkenit merupakan ektoparasit pada mamalia, burung, sebahagian reptilia dan amfibia pada peringkat juvenil dan dewasa. Proses menghisap darah ini menyebabkan penyebaran patogen seperti bakteria, virus, dan protozoa yang mengundang pelbagai penyakit. Demam sengkenit pada anjing, kucing, lembu dan manusia disebabkan oleh patogen berbeza yang dibawa oleh sengkenit.
Kutu (Lice)
Kutu adalah ektoparasit yang paling dikenali. Kutu kepala (di bawah kelas Hexapoda dan order Phthiraptera) sering menyebabkan masalah kepada kanak-kanak, dan kadang-kadang pada orang dewasa. Selain daripada kutu kepala, dua lagi spesies yang dikelaskan sebagai pembawa penyakit kepada manusia adalah kutu badan dan kutu keketam. Kutu merupakan serangga berkaki enam yang tidak bersayap dan mempunyai badan dorsoventral termampat. Selain daripada manusia, kutu juga menjadi parasit kepada kebanyakan burung dan mamalia. Kutu yang menghisap darah (sucking lice) dikelaskan sebagai Anoplura manakala kutu yang memakan serpihan kulit dan rambut dikelaskan sebagai Mallophaga (chewing lice). Kedua-dua kelas kutu ini mampu menyebarkan penyakit. Contohnya, penyakit tifus bawaan kutu yang disebarkan oleh kutu penghisap semasa menghisap darah dan cacing pita (Dipylidium caninum) yang dibawa oleh kutu pengunyah apabila perumah (anjing, kucing atau manusia) termakan kutu yang membawa cacing pita tersebut.
Pinjal (Fleas)
Pinjal juga merupakan ektoparasit berkaki enam di bawah kelas serangga. Pinjal dewasa boleh dilihat dengan mata kasar dan mempunyai badan yang leper pada bahagian sisinya. Pinjal mempunyai sepasang kaki belakang yang kuat dan mampu untuk melompat pada perumah serta mengelakkan diri daripada pemangsa walaupun ia tidak mempunyai sayap. Pinjal dewasa adalah haemophagous (penghisap darah sahaja) manakala peringkat juvenilnya (larva) memakan bahan-bahan organik di kawasan sekitarnya. Pinjal terkenal sebagai pembawa penyakit hawar bubon (Bubonic plague) yang dikenali sebagai pandemik Maut Hitam di seluruh dunia pada pertengahan abad ke-14. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Yersinia pestis dan disebarkan oleh pinjal-pinjal melalui tikus hitam (Rattus rattus). Pinjal yang sering ditemui adalah Ctenocephalides spp. yang dijumpai pada kucing dan anjing, manakala Xenopsylla cheopis adalah parasit pada tikus. Patogen bawaan pinjal ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti hawar, tifus bawaan pinjal (murin), penyakit cakar kucing dan cacing pita (Dipylidium caninum). Gigitan pinjal ini selalunya akan menyebabkan kegatalan yang teruk dan sebahagian haiwan atau manusia akan mengalami alahan kesan daripada gigitan pinjal.
Rujukan:
Centers for Diseases Control and Prevention (CDC). Global Health, Division of Parasitic Diseases and Malaria: Parasites – Scabies. 2010. — https://www.cdc.gov/parasites/scabies/index.html
Centers for Diseases Control and Prevention (CDC). Global Health, Division of Parasitic Diseases and Malaria: Ticks. 2017. — https://www.cdc.gov/dpdx/ticks/index.html
Centers for Diseases Control and Prevention (CDC). Global Health, Division of Parasitic Diseases and Malaria: Parasites – Lice. 2019. — https://www.cdc.gov/parasites/lice/
Centers for Diseases Control and Prevention (CDC). Centers for Disease Control and Prevention, National Center for Emerging and Zoonotic Infectious Diseases (NCEZID), Division of Vector-Borne Diseases: Fleas. 2020. — https://www.cdc.gov/fleas/
Centers for Diseases Control and Prevention (CDC). Global Health, Division of Parasitic Diseases and Malaria: Dipylidium caninum. 2019. — https://www.cdc.gov/dpdx/dipylidium/index.html