Oleh : Dr. Mohd Rujhan Hadfi bin Mat Daud & Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
Aflatoksin adalah sejenis toksin yang kurang diberi perhatian oleh rakyat Malaysia. Toksin ini dihasilkan oleh kulat Aspergillus seperti Aspergillus flavus dan Aspergillus parasiticus. Ia terjadi apabila kulat Aspergillus tumbuh dan membiak pada makanan. Pencemaran ini boleh berlaku seawal proses penuaian bahan mentah makanan sehingga ke proses penyimpanan bahan makanan yang mentah atau siap dimasak. Terdapat empat jenis aflatoksin yang telah dikenal pasti berbahaya kepada manusia iaitu aflatoksin B1, aflatoksin B2, aflatoksin G1 dan aflatoksin G2. Kajian menunjukkan bahawa Aflatoksin B1 akan menghasilkan aflatoksin M1 di dalam hati dan kemudiannya aflatoksin M1 tersebut mampu dirembeskan melalui susu. Seterusnya, manusia terdedah kepada toksin ini melalui pengambilan susu yang telah dicemari dengan aflatoksin M1. Aflatoksin M1 adalah stabil pada suhu yang tinggi dan tidak boleh dinyahkan melalui proses pemanasan. Justeru, toksin ini boleh kekal dalam susu dan produk tenusu seperti susu tepung, keju dan juga yogurt.
Aflatoksin boleh menyebabkan aflatoksikosis iaitu sejenis penyakit bawaan makanan yang berlaku akibat dari pengambilan makanan yang tercemar dengan toksin ini. Aflatoksikosis selanjutnya boleh dibahagikan kepada aflatoksikosis akut dan kronik. Pesakit aflatoksikosis akut mungkin menunjukkan tanda dan gejala yang tidak spesifik seperti kelesuan, mual dan muntah-muntah, Tanda dan gejala ini mungkin juga berlaku pada jenis keracunan makanan yang lain. Namun, aflatoksikosis akut yang teruk boleh mengakibatkan keadaan seperti bengkak hati, salur hempedu bocor dan juga kematian. Sementara itu, aflatoksikosis kronik akibat dari pendedahan berterusan terhadap aflatoksin boleh menyebabkan penyakit kanser hati. Agensi Penyelidik Kanser Antarabangsa (IARC) telah mengklasifikasikan aflatoksin sebagai karsinogen dalam kumpulan 2B kerana mempunyai tahap karsinogen yang tinggi. Selain itu, aflatoksin M1 juga boleh menyebabkan pertumbuhan terbantut dalam kalangan kanak-kanak.
Beberapa buah negara telah melaporkan tahap aflatoksin M1 yang melebihi had maksimum yang dibenarkan di dalam susu dan produk tenusu. Sebagai contoh, satu kajian yang dijalankan di Turki mendapati bahawa aflatoksin M1 ditemui pada 79 daripada 90 sampel makanan yang diambil, dan lebih serius adalah 44.3% dari sampel positif tersebut melebihi had maksimum yang ditetapkan. Kajian tahap pencemaran aflatoksin juga dibuat di Malaysia pada tahun 2017, tetapi hanya 4% daripada 102 sampel susu lembu yang dilaporkan positif aflatoksin M1. Walaupun tahap pencemaran dengan aflatoksin M1 adalah rendah, ia tetap perlu diberi perhatian serius kerana susu adalah sumber nutrien utama, terutama bagi kanak-kanak dan bayi.
Artikel Berkaitan – Jika Ingin Memesan Makanan Secara Dalam Talian, Tentukan Dahulu Tahap Kebersihan & Status Halal
Artikel Berkaitan – Minum Madu Tapi Penyakit Yang Dapat
Artikel Berkaitan – Dadah Merbahaya di dalam Produk Melangsingkan Badan
Pelbagai kaedah baru dicadangkan untuk mengurangkan kehadiran aflatoksin M1 dalam susu atau produk tenusu. Antaranya adalah menggunakan kaedah biologi seperti bakteria dan ragi. Agen biologi ini akan merencat pertumbuhan kulat terutamanya kulat yang menghasilkan aflatoksin. Sebagai contoh adalah penggunaan ragi probiotik seperti Sacchromyces cerevisae dan bakteria asid laktik seperti Lactobacillus rhamnosus. Bakteria asid laktik boleh menghalang pertumbuhan kulat dan juga boleh mengikat aflatoksin yang telah dihasilkan oleh kulat.
Selain itu, pelbagai mineral telah digunakan dalam makanan ternakan untuk mengurangkan tahap aflatoksin. Mineral seperti bentonit, karbon aktif, zeolit, dan kalsium aluminosilikat natrium terhidrat dapat mengikat aflatoksin seterusnya mengurangkan penyerapan aflatoksin di saluran usus dan mengurangkan metabolisma aflatoksin di hati. Kajian mendapati tahap aflatoksin M1 pada susu yang diperah daripada lembu yang diberi makanan bermineral kalsium aluminosilikat natrium terhidrat adalah 50% lebih rendah berbanding dengan lembu yang makan makanan biasa.
Kebanyakan negara telah menetapkan had maksimum yang dibenarkan untuk aflatoksin M1 dalam susu. Namun, had maksimum tersebut berbeza-beza mengikut negara. Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat menetapkan tahap maksimum aflatoksin M1 dalam susu adalah 0.5 μg/L manakala Kesatuan Eropah menetapkan tahap yang lebih ketat iaitu pada 0.05 μg/L. Mengikut Peraturan Makanan 1985 di Malaysia, had maksimum yang ditetapkan adalah pada 0.5 μg/kg untuk susu dan 0.25 μg/kg untuk susu formula bayi. Selain itu, pengiktirafan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) di bawah penyeliaaan Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan salah satu kriteria bagi pengilang susu di Malaysia yang mengeksport produk ke negara-negara Kesatuan Eropah dan ke Amerika Syarikat. Sijil HACCP adalah pengiktirafan rasmi elemen amalan industri yang memenuhi syarat keselamatan makanan dan pengguna. Standard yang digunakan dalam HACCP adalah mengikut Codex Alimentarius iaitu had maksimum aflatoksin M1 yang dibenarkan untuk susu di Malaysia ialah 0.5 μg/kg.
elain pengeluar, pengguna juga memainkan peranan dalam mengelakkan terjadinya pencemaran aflatoksin. Pengguna haruslah menggunakan susu dan produk tenusu daripada ladang-ladang dan kilang-kilang pengeluar yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan mempunyai sijil pengiktirafan HACCP. Susu dan keju yang rosak dan berkulat hendaklah dibuang dan jangan sesekali digunakan sebagai bahan masakan atau makanan. Selain itu, kacang, bijirin, dan rempah mesti disimpan di tempat kering seperti di dalam kabinet dan laci tertutup. Ini bertujuan untuk mengawal kelembapan, suhu dan pengudaraan yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan kulat.
Sebagai kesimpulan, aflatoxin M1 adalah berbahaya untuk kesihatan manusia. Pelbagai kaedah dan langkah kawalan harus diterapkan untuk memastikan susu bebas dari aflatoksin. Walaupun menggunakan mineral yang disyorkan untuk mengurangkan kehadiran aflatoksin dalam susu, namun mineral ini boleh mempengaruhi tekstur dan warna susu. Selain itu, penggunaan mineral ini adalah tidak spesifik, tidak mesra alam, dan bahkan beracun pada tahap kepekatan yang tinggi. Jadi, pendekatan yang berkesan adalah pelaksanaan HACCP dalam industri makanan dan pemantauan tahap aflatoksin agar tidak melebihi had maksimum. Walau bagaimanapun, proses mendapatkan dan pembaharuan sijil HACCP serta pemantauan tahap aflatoksin ini memerlukan kos yang agak tinggi terutamanya bagi pengilang susu skala kecil. Selain itu, pihak terbabit seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia harus melaksanakan program kesedaran mengenai aflatoksin kepada orang ramai. Akhir sekali, kajian lanjut harus dilakukan dengan kerjasama penyelidik dan ahli akademik dari universiti untuk mencari kaedah yang paling optimum untuk memahami mekanisma dan menguji keberkesanan proses kawalan aflatoksin sekaligus mengurangkan toksin tersebut dalam susu dan produk tenusu. Wallahu a’lam.
Kredit Foto : dietdoctor