Oleh : Nor Syahaiza bt Ahmad Zamri & Ts Dr Suganthi Appalasamy
Fakulti Sains Bumi & Institut Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari
Universiti Malaysia Kelantan
Kebanyakan tumbuh-tumbuhan yang tergolong dalam keluarga halia cukup terkenal dengan khasiatnya untuk kesihatan. Pada kebiasaannya, tumbuhan-tumbuhan tersebut ditanam untuk digunakan sebagai bahan campuran dalam masakan tetapi ia juga ditanam secara ‘home farming’ (pertanian di rumah) untuk tujuan perubatan. Terdapat juga pelbagai aneka masakan di negeri Kelantan yang menggunakan sama ada daun atau rizom tumbuhan keluarga halia sebagai asas masakan dan khasiat tumbuhan keluarga halia dalam perubatan juga telah terbukti dengan kajian secara saintifik.
Antara tumbuhan keluarga halia yang terkenal dalam masyarakat negeri Kelantan ialah cekur. Cekur atau nama saintifiknya Kaempferia galanga seringkali dimakan sebagai ulam-ulaman bersama budu dalam sajian harian masyarakat negeri Kelantan. Cekur merupakan tumbuhan herba yang berukuran 10 cm dan tumbuh secara mendatar di atas permukaan tanah. Secara morfologinya, cekur mempunyai daun lebar yang berwarna hijau tua dan bunga yang berwarna putih dan ungu. Daun dan rizomnya mempunyai aroma dan bau yang menarik manakala batangnya lembut dan berair. Kajian saintifik juga membuktikan seluruh tumbuhan cekur mempunyai minyak pati (essential oil) yang berguna seperti borneol, camphor dan cineol. Cekur banyak digunakan secara tradisional untuk tujuan perubatan. Sebagai contoh, rizomnya boleh direbus bersama akar-akar tumbuhan lain untuk rawatan kepada wanita yang baru bersalin. Ia dipercayai dapat memanaskan badan dan air daripada rebusan rizom itu juga digunakan sebagai tonik. Daun cekur yang telah ditumbuk dapat digunakan untuk surutkan bengkak dan gatal di dalam tekak dapat dihilangkan dengan mengunyah sedikit daun cekur bersama sedikit garam.
Selain itu, halia atau nama saintifiknya Zingiber officinale juga didapati amat berkesan dalam membantu masalah penghadaman. Oleh itu kebanyakan golongan dewasa di Kelantan sudah terbiasa minum air yang mengandungi halia yang ditumbuk tanpa tambahan gula selepas waktu makan. Secara morfologinya, pokok halia tumbuh di atas tanah dengan ketinggian 30 cm hingga 100 cm dan ia dapat ditanam di kawasan yang menerima sedikit cahaya matahari. Pucuk dan daun tumbuh berdekatan antara satu sama lain dan rizom yang terbentuk bersifat keras dan tebal.
Halia secara umumnya banyak digunakan dalam pemakanan disebabkan oleh khasiatnya. Minuman halia bersama madu dipercayai dapat melegakan loya, sakit dada akibat selsema, ketidakselesaan dalam perut dan masalah penghadaman. Hal ini kerana halia boleh bertindak balas dengan sistem penghadaman tubuh badan dengan meneutralkan asid dan mengurangkan kesan radang perut. Halia juga dapat digunakan untuk rawatan sakit otot dengan menyapu minyak halia pada bahagian yang tertentu. Hal ini kerana rizom halia mengandungi 0.8 hingga 3.3% pati minyak dan hampir 3% oleoresin. Saban tahun para penyelidik telah membuktikan halia kaya dengan bahan aktif yang mempunyai sifat antibakteria, antimikrob, antiradang, antiseptik, anti kekejangan dan antioksidan. Bau rizom setelah dikupas disebabkan oleh oleoresin yang mana oleoresin ialah cecair berminyak terdiri daripada shagoal, zingerone dan gingerol bersifat antioksidan.
Kunyit atau nama saintifiknya Curcuma longa tidak ketinggalan juga dijadikan ulam-ulaman oleh masyarakat Kelantan selain digunakan sebagai pewarna dalam masakan seperti gulai kuning atau lemak cili padi. Daun kunyit yang dihiris nipis juga digunakan dalam masakan rendang pada hari raya. Daripada pemerhatian saya, masyarakat negeri Kelantan tidak meletakkan kunyit dalam lauk singgang ikan. Hal ini berbeza dengan masyarakat negeri Terengganu yang menggunakan kunyit sebagai pewarna dalam lauk tersebut. Dari segi morfologi, tumbuhan herba ini mempunyai daun lebar, berbatang pendek dan dapat mencapai ketinggian satu meter. Daunnya juga mengeluarkan bau yang wangi apabila ditumbuk dan rizomnya berwarna oren.
Kunyit memainkan peranan penting dalam bidang perubatan sejak bertahun lamanya. Sebagai contoh, kunyit menjadi asas dalam pembuatan minuman jamu kepada kaum ibu selepas bersalin dalam masyarakat melayu untuk tujuan pengecutan rahim dan mencuci darah. Masyarakat melayu Sarawak pula, menggunakan bunga kunyit sebagai ulam-ulaman untuk kaum ibu yang berpantang. Para penyelidik membuktikan berdasarkan keputusan analisis makmal, terdapat bahan kimia dalam kunyit yang terdiri daripada minyak pati, siklosererina, metilkarbinol, berkamfor dan kurkumin. Kurkumin merupakan pigmen kunyit yang bertanggungjawab untuk khasiat dalam perubatan. Terdapat beberapa kajian membuktikan bahawa kunyit dapat menguatkan pundi hempedu, menyekat pembekuan darah yang bahaya, mengurangkan toksin hati, membantu metabolisma badan dan menjadi bahan antikeradangan. Kunyit juga digunakan secara meluas untuk kecantikan, yang mana ia akan dicampurkan dengan bedak sejuk setelah diparut dan dijemur. Ramuan ini dipercayai dapat menghaluskan dan membersihkan kulit.
Tumbuhan keluarga halia yang terkenal dalam masyarakat negeri Kelantan ialah pokok pepijat atau nama saintifiknya Elettariopsis curtisii. Masyarakat negeri Kelantan memberi nama pokok kesing kerana pokok ini menghasilkan bau busuk seperti kesing yang juga dikenali sebagai pepijat apabila daun atau rizomnya ditumbuk. Namun begitu, sambal pijat yang diperbuat daripada batang atau akar pokok pijat ini sangat terkenal di daerah Bachok, Machang dan Jeli, Kelantan. Tumbuhan herba ini terdiri daripada beberapa daun lebar yang tumbuh dari satu rumpun. Pokok ini dapat tumbuh sehingga mencapai ketinggian satu meter dari tanah dan mempunyai bunga yang berwarna putih kekuningan. Pokok pijat mempunyai khasiat tersendiri dalam bidang perubatan. Pokok pijat juga sesuai digunakan untuk rawatan wanita berpantang sepertimana pokok halia dan pokok kunyit.
Tumbuhan keluarga halia yang seterusnya ialah lempoyang atau nama saintifiknya Zingiber zerumbet. Lempoyang mempunyai daun yang besar dan lebar serta mempunyai pelepah yang melekap pada batang. Batangnya yang hijau akan bertukar menjadi warna ungu apabila sudah tua dan rizom yang terhasil berwarna kuning dengan rasa pahit dan mempunyai bau tengik. Lempoyang banyak digunakan dalam penyediaan jamu segar untuk rawatan ibu yang baru bersalin. Lempoyang juga dapat digunakan sebagai rawatan alternatif untuk penyakit anemia iaitu penyakit kekurangan darah merah. Caranya adalah dengan merebus lempoyang bersama asam jawa dengan sedikit garam dan air rebusan itu boleh diminum sebelum tidur.
Lengkuas atau nama saintifiknya Alpinia galangal juga seringkali digunakan dalam masakan di Kelantan seperti masakan singgang ikan. Tumbuhan lengkuas mempunyai daun yang lebar dan membiak secara rizom. Tumbuhan itu juga boleh tumbuh sehingga mencapai ketinggian 2.5 meter. Terdapat dua jenis lengkuas di Malaysia iaitu lengkuas rizom putih dan lengkuas rizom merah. Lengkuas rizom putih digunakan secara meluas dalam masakan manakala lengkuas rizom merah digunakan dalam perubatan. Kajian membuktikan lengkuas berfungsi sebagai anti keradangan dan anti radang.
Rujukan
- Jajuli, N. (2013). Herba Berpotensi di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Mbaeyi Nwaoha, I, E., Okafor, Gabriel, I., Apochi, & O, V. (2013). Production of oleoresin from ginger (Zingiber officinale) peels and evaluation of its antimicrobial and antioxidative properties. African Journal of Microbiology Research, 7(42), 4981-4989. doi: 10.5897/ajmr2013.6125
Kredit Foto : asianflora