Data digital
Di zaman teknologi serba canggih dan maju ini, ada pelbagai bentuk data digital yang sering digunakan, antaranya adalah gambar, video, audio, dokumen, program aplikasi dan sebagainya. Saiz bagi data digital ini juga sering berkembang dan membesar seiring dengan perkembangan teknologi. Dengan meningkatkan kualiti data digital, saiznya juga akan meningkat.
Antara cabaran dalam teknologi data digital ini adalah bagaimana untuk berkongsi dan memindahkan data tersebut dari satu tempat ke tempat yang lain. Berikut adalah evolusi teknologi perkongsian data digital dan beberapa cara bagaimana kita melakukan pemindahan data dari dahulu sehingga kini.
Kad Tebuk (Punched Tape)
Kad tebuk merupakan antara cara terawal untuk menyimpan dan memindahkan data digital. Mungkin ramai di antara kita, malah generasi lama yang tidak pernah melihat dan tidak sempat menggunakannya, melainkan mereka yang pernah bekerja dan belajar dalam bidang komputer suatu ketika dahulu.
Pita Magnetik (Magnetic Tape)
Pada tahun 70-an, pita magnetik telah mencetuskan perubahan dan revolusi pada teknologi penyimpanan dan pemindahan data di seluruh dunia. Pita magnetik adalah sejenis kaedah penyimpanan yang berasaskan teknologi rakaman wayar magnet tradisional. Dibuat daripada bahan utama iaitu magnet, pita magnet boleh digunakan untuk menyimpan sejumlah yang data besar. Teknologi pita magnet bukan sekadar digunakan secara meluas dalam industri komputer, malah turut digunakan dalam pita video VHS, kaset dan sebagainya.
Cakera Liut (Floppy Disk)
Cakera liut adalah peranti storan mudah alih yang paling awal muncul untuk pasaran terbuka. Antara ciri-cirinya adalah nipis dan ringan, membuatkan ia digunakan secara meluas pada zaman 80-an dan 90-an. Fungsi cakera liut ini disokong oleh pelbagai jenis komputer seperti IBM PC, Apple II dan Windows PC. Bermula dengan saiz yang besar sebesar 8 inci dan semakin mengecil dengan saiz 5.25 dan 3.5 inci, namun ia mempunyai saiz storan yang sama iaitu 1.44MB sahaja sehingga cakera zip (zip disk) diperkenalkan yang boleh memuatkan sehingga 250MB data.
Cakera Padat (Compact Disk – CD)
Teknologi cakera liut mula menjadi sejarah dengan kemunculan cakera padat. Cakera padat menggunakan teknologi laser dengan memancarkan cahaya ke liang-liang cakera di mana data boleh dibaca dan ditranskod menjadi isyarat digital. Dengan sifatnya yang nipis, ringan, keras, dan boleh menyimpan lebih banyak data digital sehingga 650MB -700MB, ia menjadi pilihan utama bagi medium storan mudah alih pada masa itu. Ia digunakan untuk menyimpan filem, lagu, game, dokumen, dan sebagainya.
Evolusi CD ini diikuti dengan kemunculan DVD (4.7GB – 8.7GB), Blue-ray Disc (BD) (25GB – 50GB) dan lain-lain medium yang berbentuk cakera. Namun masalah utama bagi cakera padat ini adalah ia memerlukan pemacu cakera optikal khas yang sesuai untuk membaca dan menulis data ke dalamnya.
Cakera Keras (Hard Disk)
Cakera keras merupakan perkakasan komputer yang menggunakan konsep piring magnetik berputar dan digunakan untuk menyimpan data digital yang lebih besar dari storan mudah alih lain seperti pita magnetik, cakera liut, cakera padat, dan sebagainya. Antara kelebihan cakera keras adalah ia dapat menyimpan data yang lebih besar serta keupayaannya untuk membaca dan menulis data dengan laju.
Walaupun ia telah mula wujud sejak tahun 50-an, namun ia digunakan sebagai storan mudah alih hanya pada akhir zaman 90-an dan awal era 2000-an apabila pemacu cakera keras luaran (external hard disk drive) diperkenalkan. Pengguna kini boleh menyimpan data yang lebih besar sehingga mencecah 4TB dan menggunakannya pada mana-mana komputer melalui sambungan USB. Evolusi Hard Disk Drive (HDD) ini diikuti dengan Solid State Drive (SSD) di mana ia tidak lagi menggunakan teknologi piring magnetik, sebaliknya memori kilat (flash memory) dengan prestasi yang lebih laju, lasak, dan senyap.
Aplikasi dan Perisian Perkongsian Data
Sejak Internet mula digunakan dengan meluas pada era 90-an, muncul banyak aplikasi dan perisian yang membolehkan pengguna berkongsi dan memindahkan data melalui rangkaian dan internet. Antaranya adalah email, FTP, peer-to-peer (P2P), mIRC, torrent, perisian mesej, laman web, media sosial, dan sebagainya. Namun kelemahan memindahkan data menggunakan aplikasi ini adalah ia memerlukan talian internet dan juga bergantung kepada kelajuan internet yang ada, di mana pada zaman itu kelajuan internet tidaklah selaju hari ini. Kini pelbagai aplikasi dan perisian digunakan untuk berkongsi fail dan ia dapat dicapai dengan begitu mudah dari PC, smartphone, tablet, dan sebagainya.
Pemacu Kilat USB (USB Flash Drive)
Pemacu kilat USB atau nama lainnya USB drive, USB stick, thumb drive, pen drive, flash-disk, USB memory dan sebagainya adalah peranti storan yang menggunakan ingatan kilat dengan antaramuka USB. Dengan saiznya yang kecil, ringan, pantas, bersaiz besar, tahan lasak, murah, mempunyai pelbagai rekaan, menggunakan konsep plug and play, disokong oleh banyak sistem pengoperasian dan komputer yang mempunyai port USB serta mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja, menjadikan ia antara media perkongsian dan pemindahan data yang sangat popular di dunia. Bermula dengan storan sekecil 8MB, kini ia banyak dijual dalam saiz 16GB, 32GB, 64GB dan 128GB, malah ada yang sebesar 1TB.
Trivia: Pencipta asal pemacu kilat USB adalah warganegara Malaysia iaitu Pua Khein-Seng yang juga dikenali sebagai “Bapa Pen Drive”.
Kad ingatan kilat (Flash Memory Card)
Selain pemacu kilat USB, satu lagi media storan mudah alih yang juga menggunakan teknologi ingatan kilat adalah kad ingatan kilat yang juga dipanggil kad memori, memory card, flash card, memory cartridge, dan sebagainya. Ia banyak digunakan untuk menyimpan data pada peranti elektronik mudah alih seperti kamera digital, telefon mudah alih, komputer riba, tablet, PDA, alat pemain media mudah alih, alat pemain audio digital, konsol permainan video, piano digital, dan sebagainya.
Terdapat pelbagai format bagi kad memori ini seperti MMC, SDCard, Memory Stick, miniSD Card, microSD Card dan sebagainya, bergantung kepada pengeluar. Ia juga mempunyai pelbagai pilihan saiz storan, sekecil 8MB pada awal keluarannya sehingga 32GB pada masa kini, malah sudah ada kad ingatan yang berkeupayaan sehingga 2TB. Namun kelemahannya adalah ia perlukan pemacu yang bersesuaian dengan jenis kad ingatan, tidak seperti pen drive yang hanya memerlukan port USB untuk membaca kesemua jenis pen drive.
Ruang simpanan awan (Cloud Storage)
Ruang simpanan awan atau clud storage kini menjadi pilihan utama bagi pengguna teknologi zaman sekarang. Ini kerana pengguna tidak memerlukan medium storan tambahan untuk menyimpan, berkongsi, dan memindahkan data dari satu peranti ke peranti yang lain. Pengguna cuma perlu memuat naik data ke dalam perkhidmatan cloud storage di satu peranti, kemudian memuat turun data tersebut daripada peranti yang lain.
Antara penyedia perkhidmatan ruang simpanan awan yang popular pada waktu ini adalah seperti Dropbox, iCloud, Google Drive, Microsoft OneDrive dan sebagainya. Pengguna yang mahu menggunakan perkhidmatan ini perlu mendaftar dan akan diberikan beberapa jumlah ruang storan secara percuma antara 5GB hingga 15GB, bergantung kepada penyedia perkhidmatan tersebut. Anda juga boleh melanggan pakej tertentu untuk mendapatkan saiz storan yang lebih besar.
Namun, ia memerlukan talian internet untuk berfungsi dan prestasi kelajuan pemindahan data adalah bergantung kepada kelajuan internet pengguna. Anda tidak boleh menggunakan perkhidmatan ini pada peranti yang tidak menyokong rangkaian internet.
Artikel asal: Evolusi teknologi pemindahan dan perkongsian data
Sumber rujukan:
Past to future – the evolution of digital storage
A Look into the Evolution of Storage Devices [1956-2013]
History of Data Storage Technology
Evolution of Backup Devices
Berikan Komen Anda Di Sini