Oleh : Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Dr. Bokhary Zainal, Syed Alif Imran Syed Khairil Akbar, Nurul Ramziah Olly Mohamadhu, Nur Aqilah Aziz, Sarah Nabilah Hamdan & Fakriah Mutiyah Binti Omar
Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia
Sebagai usaha untuk mempekasakan ilmu Sains secara menyeluruh dalam kalangan pelajar, maka program ini akan dilaksanakan oleh FaSSA. Program ini bertujuan untuk menerapkan keseluruhan ilmu Sains meliputi subjek Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik dalam diri pelajar melalui kuiz mingguan. Selain itu, pelajar dapat mengaplikasikan ilmu yang diperolehi untuk meningkatkan pemahaman subjek masing-masing. Oleh itu, program FaSSA Colosseum diadakan buat kali pertama untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk keluar dari zon selesa masing-masing serta menguji pemahaman mereka terhadap ilmu Sains secara menyeluruh di dalam norma baharu, serta menerapkan sifat ingin tahu yang perlu ada pada saintis
Buat julung-julung kalinya, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains (FaSSA), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjayakan FaSSA Colosseum melalui platform maya iaitu Quizizz dan bersiaran secara langsung di Youtube. Pertandingan kuiz mingguan di atas talian ini merupakan suatu inisiatif untuk kekal berhubung dengan pelajar Fakulti Sains semasa penularan pandemik Covid-19, selain dapat menerapkan keseluruhan ilmu Sains meliputi subjek Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik dalam diri pelajar.
Pertandingan yang dianjurkan secara dalam talian itu dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan apabila menerima 212 penyertaan, melibatkan peserta yang terdiri dari Jabatan Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik dalam tempoh 3 hari pertandingan iaitu 19, 26 Disember 2020 dan 2 Januari 2021. Soalan merangkumi empat cabang utama Sains: Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik dan meliputi aspek pengetahuan am sains, sejarah saintis, pengetahuan am amali serta perkembangan sains di peringkat antarabangsa. Pengarah program, Syed Alif Imran berkata, hadiah wang tunai RM100 telah diberikan sebagai ganjaran kepada tiga pemenang utama hasil sumbangan Fakulti Sains, malah setiap peserta telah diberikan e-Sijil sebagai bukti penyertaan.
FaSSA Colosseum, nama program yang telah diinspirasikan dari Colosseum, seni bina terbesar dalam sejarah Rom untuk perlawanan hebat ahli pedang, yang mana ianya juga merupakan medium untuk orang ramai menyaksikan pertandingan tersebut secara terbuka. Selaras dengan nama program, ramai pelajar berpeluang untuk menyaksikan pertandingan tersebut dan kira-kira 4000 tontonan telah dicapai sepanjang pertandingan berlangsung dengan penggunaan medium Youtube FaSSA Studio.
“Kami tidak sangka mendapat sebegitu banyak penyertaan kerana pertandingan ini kali pertama dianjurkan secara dalam talian. Pelajar bukan sahaja menyaksikan pertandingan semata-mata, malah mereka juga aktif berkongsi pandangan mereka di ruangan komen sewaktu perbincangan antara panel. Saya yakin bahawa, melalui pertandingan sebegini, proses perpindahan maklumat dan demonstrasi pembelajaran STEM berlaku secara tidak langsung,” ulas Syed.
Persaingan sengit antara 212 peserta secara individu dapat dilihat secara langsung dalam pusingan pertama FaSSA Colosseum bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya yang dijalankan secara berkumpulan. Pembahagian kumpulan telah disusun secara rawak yang mana terdiri daripada keempat-empat jabatan Fakulti Sains. “Melihat peserta berganding bahu untuk mencapai matlamat mereka walaupun terdiri dari setiap jabatan yang berbeza, saya percaya objektif utama program ini iaitu pembentukan kemahiran insaniah asas dalam diri pelajar seperti berdaya saing secara sihat telah tercapai.” Syed berkata dalam ucapan majlis penutupannya.
Penasihat program, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir dan Dr. Bokhary Zainal telah memuji penganjuran pertandingan itu, kerana para pelajar diberi peluang untuk keluar dari zon selesa masing-masing dan pemahaman mereka terhadap ilmu Sains dapat diuji secara menyeluruh di dalam norma baharu.
Dr. Mohd Noor Hisham berkata, pertandingan itu bukan sahaja berjaya menyatupadukan semua pelajar Fakulti Sains, malah hampir keseluruhan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ia dapat dilihat sejak pertandingan itu dilancarkan pada Disember lalu.
“Banyak kelebihan yang diperoleh apabila pelaksanaannya dilakukan secara maya. Kita dapat penyertaan dari seluruh pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) berbanding sebelum normal baharu yang lebih tertumpu kepada sesebuah tempat. Malah, menerusi pertandingan ini, para peserta dilihat bijak mengendalikan teknologi sedia ada,” ulas Dr. Bokhary Zainal.
Mereka juga bersependapat bahawa Quizizz adalah salah satu aplikasi web 2.0 yang menarik untuk diguna pakai dalam pendidikan. Quizizz adalah percuma dan tidak memerlukan apa-apa bayaran dan mereka percaya ianya mampu menggantikan cara lama kuiz yang hanya melibatkan kertas dan pen, yang dilihat sebagai membosankan.
Dr. Hisham dan Dr. Bokhary berharap agar FaSSA Colosseum dapat diadakan lagi pada masa hadapan dengan penyertaan daripada pelajar fakulti lain memandangkan program ini mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada pelajar. Skop spesifik yang meliputi ilmu sains akan diperluas kepada skop yang lebih luas dan bertunjangkan pengintegrasian empat bidang iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada sesi berikutnya. Mereka percaya bahawa STEM merupakan inisiatif bagi melahirkan pelajar yang berkebolehan mereka cipta, berfikiran secara logik, bijak menggunakan teknologi, menyelesaikan masalah dan mencipta idea atau sesuatu yang baharu melalui pembelajaran bersepadu yang merangkumi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik yang mengaplikasikan konteks dunia sebenar.
Kredit Foto : Penulis