Oleh Dr. Rosdiadee Nordin
Di dalam filem sains fiskyen, penonton akan di bawa ke dimensi baru, ataupun dunia imaginasi berkisarkan pengembaraan manusia ke persekitaran yang serba canggih dan moden. Terdapat di kalangan kita yang membesar dengan filem sains fiksyen, terutamanya dari Hollywood dan menyaksikan pengaruh filem tersebut, malahan mewujudkan fenomena budaya baru di kalangan masyarakat. Sebagai contoh ketaksuban pendokong agama Jediism yang dipopularkan oleh siri-siri filem Star Wars. Namun, disebalik imaginasi dan khayalan yang cuba dipaparkan di atas layar wayang, sedarkah kita mengenai sumbangan filem fiksyen tersebut kepada kemajuan teknologi? Tahukah anda terdapat beberapa idea yang digunakan dalam filem sains fiksyen sudah lama diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita?
Sejarah asal filem fiksyen bermula daripada idea penjelajahan angkasa, yang dipelopori oleh filem Star Trek pada tahun 1966. Dalam filem tersebut, Kapten Kirk, Mr. Spock serta krew-krew kapal angkasa USS Enterprise menjelajah planet-planet baru dengan kelajuan melebihi halaju cahaya. Tanpa kita sedari, idea-idea yang digunakan di dalam set filem Star Trek, di mana pada ketika itu masih lagi menggunakan paparan warna hitam putih, telah pun dikomersialkan secara meluas. Antaranya ialah penggunaan telefon bergerak, Pembantu Peribadi Digital (PDA), tablet PC dan mesin Magnetic Resonance Imaging ( MRI ) yang digunakan untuk tujuan diagnosis perubatan. Turut menarik perhatian penonton ialah idea teleportasi (teleport) yang membenarkan krew-krew kapal bergerak daripada satu tempat ke tempat lain melalui proses pemecahan/pencantuman zarah. Walaupun jauh dari realiti, usaha ke arah itu telah lama dimulakan dan yang terbaru saintis dari Universiti of Copenhagen, Profesor Eugene Polzik telah berjaya membuktikan teori tersebut melalui eksperimennya yang melibatkan pemindahan ion dari satu tempat ke tempat lain menggunakan teori kuantum teleportasi. Selain daripada teleportasi, Kapten Kirk juga memerlukan penterjemahan sejagat (universal translator) untuk berkomunikasi dengan makhluk asing. Sebuah syarikat komunikasi terkenal ViA Technologies. Inc, telah merealisasikan peranti tersebut di peringkat pengilangan, dipasarkan dalam bentuk komputer boleh pakai (wearable computer) dan berfungsi sebagai penterjemah bahasa Inggeris kepada pelbagai bahasa asing. Pada masa ini, peranti tersebut mampu menterjemah 12 bahasa asing namun dengan penyelidikan yang berterusan, tidak mustahil peranti tersebut dapat memudahkan komunikasi antara manusia dan makhluk asing pada masa akan datang!
Tidak lama selepas kemunculan Star Trek, penonton dihiburkan pula dengan idea baru penjelajahan angkasa melalui filem 2001: Space Odyssey yang ditayangkan pada tahun 1968. Sumbangan terbesar filem tersebut datangnya daripada idea meletakkan satelit pada orbit geosynchronous, di mana putaran satelit diselaraskan dengan putaran bumi. Selain daripada itu, beberapa teknologi angkasa yang ditonjolkan dalam filem tersebut telah pun dikomersialkan, seperti televisyen paparan rata (flat screen TV) dan juga konsep hiburan peribadi di atas kapal. Bagaimana pula dengan idea melancong ke bulan yang cuba diketengahkan dalam filem tersebut? Mungkin tidak terlintas di benak fikiran masyarakat pada ketika itu, tapi pada hari ini, golongan mewah sudah berkemampuan untuk melawati ruang angkasa. Jadi tidak mustahil suatu masa nanti, perlancongan ruang angkasa akan dapat direalisasikan di mana manusia boleh melancong dan menginap di hotel mewah di permukaan bulan!
Di dalam filem Minority Report (1999), terdapat satu adegan di mana watak utama, dilakonkan oleh Tom Cruise menggunakan sistem simulasi komputer berasakan gerak balas tangan untuk mengakses pengkalan data, dikenali sebagai perantara manusia-mesin. Selepas kejayaan filem tersebut, pengasas idea asal membawa teknologi tersebut dari Massachuset Institute of Technologies ke sebuah syarikat bernama Oblong Industries. Inc dengan tujuan pengkomersialan sistem simulasi komputer tersebut, dikenali sebagai g-speak. Pada peringkat awal, sistem operasi g-speak disasarkan kepada simulasi masa sebenar (real time) yang memerlukan komputer berkelajuan dan memori tinggi, sebagai contoh analisis forensik seperti digunakan dalam rancangan penyiasatan popular, CSI: Miami, pengukuran dan pemetaan, sistem perancangan bandar dan juga penghasilan animasi. Secara umumnya, potensi aplikasi yang bakal menggunakan platform sebegini begitu luas sekali, seolah-olah tiada batasannya! Gergasi perisian terkemuka, Microsoft. Inc juga tidak ketinggalan dengan memajukan sistem simulasi yang sama, diberi nama Microsoft Surface, sebuah peranti dalam bentuk meja yang berasaskan sistem pengoperasian terbaru mereka, Windows 7. Selain daripada itu, kereta mewah Lexus di dalam filem Minority Report, meluncur laju tanpa memerlukan kawalan pemandu hampir menjadi kenyataan. Lexus, bersama pesaing-pesaing terdekat seperti BMW dan Mercedes-Benz sedang giat berlumba-lumba memasarkan teknologi bantuan pemanduan di dalam model kenderaan keluaran mereka, antaranya sistem parkir automatik, brek ubah suai (adaptive braking), pengesan pelanggaran dan juga pemanduan separa automatik. Dengan teknologi otomotif secanggih begini, kadar kemalangan dapat dikurangkan serta masalah kesesakan di jalan raya bakal di atasi. Malahan saintis daripada Stanford University meramalkan jalan raya bakal dipenuhi oleh kenderaan-kenderaan automatik pada tahun 2030 kelak!
Sedekad yang lepas, penyelidikan di dalam bidang nanoteknologi begitu aktif dijalankan. Teknologi nano ialah pembuatan bahan atau peranti pada saiz 100 nanometer (atau kurang). Antara salah satu spekulasi mengenai masa depan bidang nano teknologi ialah penghasilan nanorobot, ataupun nanobot. Nanobot ialah mesin atau robot dalam bentuk saiz mikroskopik, contohnya seperti virus ataupun kuman. Walaupun teknologi nanobot masih belum ada buat masa kini, namun kerja penyelidikan ke arah itu sedang giat dijalankan. Sebagai contoh, ubat kapsul yang mengandungi kamera dan pemancar boleh ‘mengembara’ melalui sistem pendarahan manusia untuk diagnosis perubatan. Pada tahun 1966, sebuah filem bertajuk Fantastic Voyage menceritakan kisah pengembaraan yang sama, cuma dalam filem tersebut kapsul tersebut membawa sekumpulan saintis di dalam misi untuk menyelamatkan nyawa seorang pesakit yang menghidapi pendarahan otak.
Pada tahun 1998, dunia digemparkan dengan kemunculan Dolly, seekor kambing biri-biri yang dihasilkan melalui teknik pencantuman benih, iaitu pengklonan di mana ianya dikatakan menentang hukum kejadian Tuhan. Sebelum kewujudan Dolly, dunia digemparkan dengan kewujudan dinasour di dalam filem Jurassic Park (1993), hasil daripada pengarah fenomenal, Steven Spielberg yang diadaptasi dari novel yang sama judulnya karya Michael Crichton yang diterbitkan pada tahun 1990. Di dalam filem tersebut, beberapa spesis dinosaur yang pernah menjejaki bumi pada 160 juta tahun yang lampau telah dihidupkan semula melalui proses pengklonan DNA yang ditemui dari fosil nyamuk pada Era Jurasik tersebut.
Realiti maya ataupun virtual reality ialah teknologi yang membenarkan pengguna berinteraksi di dalam suasana maya yang disimulasikan oleh komputer, dengan kata lain, pengguna berada di dalam ‘dunia sendiri’ dan bebas melakukan apa sahaja di mana batasannya ditentukan oleh simulasi komputer tersebut (yang boleh diubah suai pengguna). Dunia maya ini menjadi latar belakang kepada filem Tron (1982) di mana watak utama terperangkap di dalam sistem komputer serta perlu melepasi beberapa halangan dengan bersenjatakan kemahiran menulis kod program komputer sahaja. Siri trilogi filem The Matrix mencetuskan idea simulasi alam maya yang agak kontroversi- di mana dunia sebenar digambarkan sebagai khayalan dalam bentuk simulasi semata-mata, manakala dunia sebenar dikawal oleh mesin kepintaran asli, dikenali sebagai The Matrix yang mempergunakan manusia sebagai sumber bekalan kuasa.
Lumrah kejadian manusia memang tidak dilahirkan untuk terbang di awangan seperti burung. Antara eksperimen awal membuktikan hipotesis tersebut dilakukan oleh Leonardo da Vinci, seorang pelukis dan juga saintis yang memulakan tamadun Renaissance di Eropah pada kurun ke-14. Berdasarkan pemerhatian dan penyelidikan terperinci beliau terhadap burung, sepasang sayap burung direka dengan menggunakan konsep mekanikal yang agak mudah, namun tiada bukti kukuh menunjukkan bahawa eksperimen beliau menemui kejayaan atau sebaliknya. Pada tahun 2004, seorang juruterbang dari Switzerland, Yves Rossy telah berjaya merentas Selat Inggeris dengan menggunakan sayap berkuasa jet. Jika sistem sayap tersebut digabungkan dengan teknologi exoskeleton yang diketengahkan dalam filem Terminator dan sistem kepintaran buatan dalam filem A.I (Artificial Intelligence), gabungan teknologi-teknologi tersebut mampu menghidupkan watak superhero Iron Man (2008), seorang pejuang keamanan yang diadaptasi daripada komik!
Dalam kealpaan kita bersaing memajukan bidang sains dan teknologi, kadangkala kita terlupa kepada kesan buruk yang timbul di sebalik perkembangan teknologi: ibarat kawan menjadi lawan. Mesej ini cuba disampaikan di dalam siri-siri filem Terminator, lakonan Arnold Schwarzenegger, di mana SkyNet, perisian komputer untuk tujuan pertahanan, bertindak balas dengan menentang kembali penciptanya (manusia) dengan melancarkan segala senjata perang dan juga melumpuhkan sistem tentera sedunia melalui rangkaian komputer lalu mengakibatkan runtuhnya tamadun manusia dan seluruh komputer bermaharajelela! Anehnya, situasi yang hampir sama diramalkan berlaku pada penghujung tahun 1999, di mana pertukaran daripada 23:59 kepada 0:00 di dalam sistem digital ataupun komputer akan menimbulkan kekeliruan dan ketika itu diramalkan rangkaian komputer serata dunia menjadi lumpuh. Fenomena ini dikenali sebagai millenium bug. Manusia juga diingatkan di dalam filem The Day After Tomorrow (2004) agar jangan sesekali mencabar kuasa alam semula jadi.
Begitu pentingnya teknologi kepada manusia sejagat, banyak kebaikan tidak kurang keburukkan. Sebagai kesimpulan, batasan pemikiran manusia tiada terhadnya- setiap kali kemunculan filem sains fiskyen terbaru, penonton pasti dihidangkan dengan idea sains dan teknologi yang masih segar: ada antaranya berlandaskan realiti, tidak kurang khayalan semata-mata. Namun, tidak mustahil suatu hari nanti ia akan menjadi realitii! Satu ungkapan daripada saintis fizik terkenal, Albert Einstein menyatakan: “Once we accept our limits, we go beyond them”.
Catatan Editor //: Penulis merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Kejuruteraan Komunikasi