Oleh :
SUPT. Mohd Hakim Bin Hashom
Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman.
Pelajar Peringkat Kedoktoran, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Japareng Lalung
Pensyarah, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
SAC Dato’ Hussein Omar Khan
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Databank DNA (D13), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman
Hisham Atan Edinur
Pensyarah, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
Fellow Penyelidik, Institut Biodiversiti Tropika dan PembangunanLestari (BIO-D TROPIKA), Universiti Malaysia Terengganu dan Environmental Futures Research Institute, Griffith University, Nathan, Queensland, Australia
Hambatan teknologi arus perdana telah mencetuskan satu bentuk revolusi yang memacu kepada perubahan ke atas kehidupan masyarakat. Perkembangan ini telah membawa perubahan yang signifikan kepada masyarakat termasuk aplikasi teknologi terkini dalam siasatan sains forensik untuk merungkai serta menjejaki pelaku ke atas sesuatu kes jenayah. Siasatan sains forensik termasuklah identifikasi individu berdasarkan keterangan surihan (contact trace evidence) termasuklah pemprofilan DNA (DNA typing), penimbulan cap jari (latent fingerprint), pengecaman wajah (face recognition), kriminalistik dan sebagainya.
Penemuan dan keupayaan DNA di dalam menentukan identiti seseorang individu telah banyak membantu menambah baik proses perundangan serta menjadi bukti keterangan dalam sistem keadilan jenayah bagi mensabitkan atau mengecualikan seseorang daripada sabitan jenayah. Para saintis seluruh dunia mengiktiraf kebolehpecayaan pemprofilan DNA sebagai teknik forensik sehinggakan ianya mencapai “gold standard” di dalam bidang sains forensik. Pemprofilan DNA dengan menggunakan beberapa lokus penanda genetik (genetic marker) yang dikenali sebagai penjujukan pendek berulang (STR) di dalam genom manusia telah lama membantu dalam proses penyiasatan kes-kes jenayah di Malaysia. Pemprofilan STR ini dilakukan dengan menjalankan analisis ke atas spesimen biologi yang diperolehi di tempat kejadian jenayah dan dibandingkan dengan profil STR yang diperolehi daripada suspek.
Kajian populasi genetik juga menunjukkan bahawa tiada individu yg berkongsi profil STR yang sama (Gambar 1). Ini termasuklah dengan individu-individu yang mempunyai pertalian darah seperti ibu dan bapa serta adik-beradik. Pengecualian adalah kepada saudara kandung kembar seiras kerana mereka berkongsi komposisi genom yang serupa.
Aplikasi pemprofilan DNA telah banyak digunakan di dalam perbicaraan mahkamah termasuk kes-kes yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu seperti kes pembunuhan kejam ke atas Canny Ong, Norita Samsudin dan Datuk Sosilawati Lawiya. Namun demikian, penggunaan pemprofilan STR dalam siasatan kes-kes jenayah akan menjadi lebih cekap dan bermanfaat dengan kewujudan sistem pangkalan data DNA. Pengkalan data DNA ini berfungsi menyimpan profil STR daripada bahan-bahan bukti biologi di tempat kejadian jenayah dan suspek kes jenayah. Ini adalah kerana seseorang penjenayah itu berkemungkinan melakukan lebih daripada satu jenayah atau berpotensi mengulangi pelakuan jenayah selepas tamat menjalani hukuman (recidivism). Pandangan ini disokong oleh statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Databank DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Oleh itu, kewujudan pangkalan data DNA dapat membantu dalam meningkatkan kadar penyelesaian kes jenayah serta pertuduhan di mahkamah termasuklah kes-kes jenayah lampau (cold cases) secara serentak sekiranya kesalahan jenayah dilakukan berulang kali oleh individu yang sama.
Pangkalan data DNA juga merupakan alat pencegahan jenayah (crime prevention tool) yang dapat menjimatkan masa dan kos siasatan jika profil STR daripada bahan bukti sepadan dengan profil STR yang telah sedia ada tersimpan di dalam pangkalan data DNA. Menyedari kepentingan dan kelebihan tersebut, kebanyakan negara-negara maju telah membangunkan pangkalan data DNA masing-masing termasuklah Amerika, United Kingdom dan New Zealand pada sekitar tahun 1994 hingga 1996.
Di Malaysia, pangkalan data DNA telah dibangunkan oleh PDRM dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia (JKM) selaras dengan kehendak peruntukan undang-undang Akta Identifikasi DNA 2009 yang telah dikuatkuasakan pada tahun 2012. Peruntukan akta ini menggariskan individu-individu yang layak mengumpul serta hak mengakses kepada data STR, selain melindungi hak individu dan isu etika berkaitan penggunaan bahan biologi dan genetik. Sejajar dengan itu, Bahagian Databank DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah telah ditubuhkan pada tahun 2012 dan telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mengawal selia Sistem Forensik DNA Databank Malaysia (FDDM) di Makmal DNA PDRM, Cheras Selangor (Gambar 2) dan telah memperolehi pengiktirafan sistem pengurusan kualiti makmal DNA daripada Jabatan Standard Malaysia menerusi sijil MS ISO/IEC 17025:2005.
Proses pembangunan pangkalan data DNA ini mengambil sedikit masa bagi tujuan menyediakan segala kemudahan makmal serta kepakaran bagi pemprofilan DNA dan kemudahan prasarana Sistem FDDM. Sebelum kewujudan FDDM ini, perbandingan profil DNA hanya dibuat secara langsung (one to one comparison). Walaubagaimanapun, had kekangan ini dapat diatasi dengan kewujudan FDDM yang terbukti dapat meningkatkan keberkesanan dalam mempercepatkan penyelesaian sesuatu kes jenayah serta kes-kes jenayah lampau secara serentak. Ini adalah kerana aplikasi Sistem FDDM turut dapat mencari padanan (hit match) kepada kes-kes jenayah lampau yang pernah dilakukan oleh seseorang suspek. Sebanyak 74,750 profil DNA iaitu lebih kurang 0.24 peratus daripada jumlah populasi penduduk di Malaysia telah berjaya disimpan di dalam Sistem FDDM sehingga tahun 2018 dan 0.03% daripada profil ini berjaya dipadankan dengan profil-profil DNA yang diperolehi dari kes jenayah keganasan seperti kes rogol, pecah rumah dan samun.
Maklumat yang lebih terperinci berkaitan pengkalan data DNA di Malaysia juga telah diterbitkan pada Februari 2019 di dalam Journal of Sustainability Science and Management (http://jssm.umt.edu.my/wp-content/uploads/sites/51/2019/07/bab-12-14.2.pdf) Dengan kejayaan serta pengalaman yang dimiliki, Bahagian Databank DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, PDRM terus mengorak langkah memindahkan kepakaran kepada institusi penguatkuasaan negara asing serta menjalankan pelbagai projek penyelidikan bersama institusi pengajian tinggi, termasuk dengan para penyelidik dari Universiti Sains Malaysia.
Rujukan:
- Ahmad Najib Aris v. PP [2007] 2 CLJ 229.
- Deoxyribonucleic Acid (DNA) Identification Act 2009 [Act 699]. (as at 1 August 2015). Kuala Lumpur: Laws of Malaysia.
- Deoxyribonucleic Acid (DNA) Identification Regulations 2012 [P.U. (A) 274/2012]. Laws of Malaysia.
- Fazel, S. & Yu, R. (2011). Psychotic disorders and repeat offending: systematic review and meta-analysis. Schizophrenia Bulletin, 37(4):800–810
- Hakim, H.M., Lalung, J., Khan, H.O., Khaw, N.R., Narayanen, S., Chambers, G.K., Edinur, H.A. (2019). Experiences, challenges and the future direction of forensic DNA databanking in Malaysia. Journal of Sustainability Science and Management, 14(2): 125-129.
- Harbison, S.A., Hamilton, J.F., Walsh, S.J. (2001). The New Zealand DNA databank: its development and significance as a crime solving tool. Science & Justice 41(1) , 33-37.
- Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) [1 November 2012]. Percetakan Nasional Malaysia Berhad Kuala Lumpur, Malaysia.
- Kobilinsky, L., Liotti, T.F., Oeser-Sweat, J. (2005). Forensic DNA analysis methods. DNA Forensic and Legal Applications. 45-132. New Jersey: John Wiley & Son Inc.
- Abban Edward Kofi, Hashom Mohd Hakim, Hussein Omar Khan, Siti Afifah Ismail, Anita Ghansah, Agyemang Adjem David, Nor Fazila Che Mat, Geoffrey Keith Chambers & Hisham Atan Edinur (2019). Population data of 23 Y chromosome STR loci for the five major human subpopulations of Ghana. International Journal of Legal Medicine, in-press
- Laporan Tahunan 2018 Bahagian Databak DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
- McEwen, J.E. (1995). Forensic DNA data banking by state crime laboratories. American Journal of Human Genetics 56 , 1487-1492.
- Perlin, M.W. (2011). Investigative DNA database that preserve identification information. Forensic Science International: Genetics Supplement Series 3 , e484-e485.
- PP v. Hanif Basree Abdul Rahman [2004] 3 CLJ 700.
- PP v. Pathmanabhan Nalliannen & Ors. [2013] 5 CLJ 1025.
- Werret, D.J. (1997). The National DNA Database. Forensic Science International 88 , 33-42.
Kredit Foto:
Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
Shutterstock