Penulis: Isma Rosila Ismail
Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu
Tahukah anda, lautan meliputi 70 peratus permukaan bumi dan mengandungi kira-kira 1.35 bilion kilometer padu air, iaitu kira-kira 97 peratus daripada semua air di bumi ini. Bumi adalah satu-satunya planet dalam sistem suria yang tinggi kandungan cecairnya. Ahli oseanografi telah membahagikan lautan kepada lima kawasan utama utama iaitu Lautan Pasifik, Atlantik, India, Artik dan Selatan. Manakala Lautan Atlantik, India dan Lautan Pasifik bergabung menjadi perairan berais di sekitar Antartika.
Manusia dan lautan tidak dapat dipisahkan kerana kehidupan manusia bergantung kepada lautan sebagai sumber makanan, sebagai laluan perdagangan dan penerokaan dan sebagai sumber ekonomi. Selama berabad lamanya, manusia telah melayari lautan untuk aktiviti perdagangan. Lautan juga berperanan penting dalam kepercayaan dan kebudayaan manusia. Manusia menggambarkan laut sebagai simbol kekuatan dan ketenangan, sebagai simbol keindahan dan adakalanya berbahaya.
Kepercayaan Masyarakat Dunia
Kepercayaan manusia terhadap laut adalah pelbagai, bergantung kepada latar etnik, kewarganegaraan, bahasa dan agama. Disetiap negara dan budaya yang berbeza, laut digambarkan dengan pelbagai kepercayaan, persepsi dan mitologi. Dalam sesetengah negara dan budaya, laut dianggap sebagai persekitaran yang berbahaya dan dihuni oleh makhluk yang misteri.
Dalam mitos masyarakat Yunani, laut dihuni oleh dewa dewi dan makhluk ghaib lain. Dewa laut, yang dikenali sebagai Poseidon merupakan raja di lautan dan memerintah negara di bawah laut. Masyarakat Yunani percaya, Poseidon mengawal pelbagai jenis ikan dan kuda laut serta berkuasa juga menyebabkan gempa bumi dan ribut. Mereka juga percaya laut dihuni oleh raksasa laut berbahaya yang digelar sebagai Scylla. Mereka juga percaya tuhan laut Yunani, Proteus, secara khusus berkuasa dan mampu untuk berubah dalam pelbagai bentuk.
Masyarakat Arab pula percaya wujudnya makhluk mistik yang dinamakan dandan atau dendan, berupa seekor ikan besar di lautan dan merupakan musuh kepada ikan duyung. Makhluk ini dikatakan boleh menelan bahtera di lautan dengan sekali telan sahaja. Cerita berkenaan makhluk ini muncul di dalam jilid ke-9 buku Seribu Satu Malam.
Di Eropah Utara, raja-raja kadangkala diberi penghormatan dengan pengebumian di laut dan mayat mereka diletakkan di dalam sebuah bahtera dan dikelilingi oleh harta karun dan dihanyutkan di laut. Manakala di Amerika Utara, pelbagai cerita berkenaan penciptaan daratan yang mengambil itik sebagai simbol atau makhluk lain yang menyelam ke dasar laut dan mengeluarkan lumpur sehingga terciptanya daratan.
Dalam mitos masyarakat Inuit pula, dewi yang berupa ikan duyung dan haiwan laut mendominasi kepercayaan mereka terhadap dunia laut. Manakala masyarakat di Scandanavia percaya laut mempunyai tuhan bernama Egir, dan isterinya dewi laut bernama Ran dan Njörðr sebagai tuhan kepada pengembara di lautan. Mereka percaya adalah menjadi satu keperluan untuk mendamaikan para dewa sebelum memulakan sebarang pelayaran.
Di Asia Tenggara, kepentingan laut dan kehidupan banyak menimbulkan kepercayaan terhadap perkara mitos seperti puteri di pulau yang jauh, raksasa dan ikan ajaib di lautan. Di Indonesia seperti di tanah Jawa, upacara Sedekah Laut diamalkan bertujuan untuk bebas dari pengaruh buruk dan mendapatkan keselamatan sepanjang berada di laut.
Laut bagi masyarakat yang tinggal di pesisiran pantai merupakan punca rezeki utama mereka. Justeru, wujud beberapa kepercayaan berhubung dengan laut sehingga masyarakat ini mempercayai bahawa laut adalah dunia lain yang perlu dipatuhi adat dan peraturannya. Laut dipercayai mempunyai semangatnya yang tersendiri. Laut juga dikatakan mempunyai penghuni seperti hantu laut, penunggu dan jin. Beberapa adat dan kepercayaan diwujudkan untuk mengharmonikan laut dengan kehidupan dan aktiviti mereka yang sering melibatkan laut.
Adat Turun Ke Laut diwujudkan semata-mata untuk menjamin kesejahteran dan keselamatan para pelaut semasa berada di tengah lautan atau semasa menangkap ikan di laut. Beberapa adat-adat lain juga diamalkan pada satu ketika dahulu seperti Adat dan Persiapan Diri Semasa Turun Ke Laut, Adat Menurunkan Perahu Baharu, Adat Menurunkan Pukat, Upacara Penyemahan, Adat Semasa Berada Di Tengah Lautan dan Pesta Pemujaan pantai.
Pesta Puja Pantai, Menjamu Hantu Laut, atau Menyemah Pantai pada satu ketika dahulu merupakan satu upacara popular yang dilakukan oleh golongan nelayan pesisir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, terutamanya di Kelantan dan Terengganu sebelum musim menangkap ikan. Ia juga dikenali sebagi temasya mandi Safar di negeri lain, terutamanya di Melaka.
Manakala di Sarawak, masyarakat pesisir pantai mengamalkan adat semah dan kaul iaitu upacara pemujaan laut yang diamalkan oleh suku Melayu dan Melanau kerana kebergantungan mereka kepada laut. Di Sabah, etnik-etnik tertentu di pantai timur Sabah mengamalkan acara yang dinamakan ‘melabuh anjung’. Amalan ini merupakan amalan sembahan dan jamuan yang diberikan kepada semangat, penjaga dan roh nenek moyang.
Ada beberapa upacara atau pesta seperti ini dilakukan apabila berlakunya sesuatu masalah seperti pawang atau bomoh mendapat mimpi yang penunggu, hantu laut dan sebagainya meminta supaya diadakan pesta memberi jamuan barulah acara diadakan. Upacara ini dilakukan kerana mempercayai bahawa ada kuasa atau keupayaan penunggu atau jin-jin yang menghuni sesuatu tempat itu menguasai kehidupan manusia, boleh mendatangkan penyakit, mendatangkan kecelakaan, ribut taufan, menghalau ikan jauh daripada rezeki nelayan, boleh dipujuk dengan memberi makan dan sebagainya. Maka masyarakat Melayu ketika itu merasakan sajian seperti itu perlu diberi. Ada beberapa adat pula bertujuan untuk menyembah semangat laut dan wajib diadakan oleh para pelaut. Sekiranya tidak dipatuhi maka dijangkakan bencana akan menimpa mereka. Selain itu adat atau pesta seperti ini dilakukan bertujuan untuk merawat penyakit yang dipercayai berpunca daripada iblis dan syaitan.
Apabila ia melibatkan upacara di laut, ia dilakukan selalunya kerana berlakunya kemalangan yang berturut-turut seperti kematian, kemalangan, tangkapan yang kurang, penyakit berjangkit dan sebagainya. Selain itu ianya bertujuan untuk menenangkan semangat laut atau hantu air agar tidak membahayakan para nelayan ketika mereka menangkap ikan. Upacara yang dianjurkan juga bertujuan untuk meminta perlindungan daripada kuasa atau semangat laut agar jauh dari wabak penyakit, malapetaka dan murah rezeki. Manakala amalan ‘melabuh anjung’ yang diamalkan oleh beberapa etnik di Sabah kebiasaannya dilakukan sebagai ritual pengubatan bagi memastikan penyakit dan musibah yang dihadapi dapat disembuhkan. Namun, seiring peredaran zaman, ada beberapa adat dahulu yang dihapuskan kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Ada juga adat yang dikekalkan dan disesuaikan dengan ajaran Islam serta dipermudahkan cara dan amalannya.
Di Sabah, masyarakat Kunak dan etnik Bajau percaya terhadap makhluk yang dinamakan ‘kangkang laut’ yang dikatakan memakan mayat yang baru ditanam. Mereka percaya ‘Kangkang Laut’ ini boleh bertukar rupa menjadi seperti kuda dan biawak yang sangat panjang. Keadaan ini menyebabkan adanya upacara menjaga kubur selama beberapa hari berikutan ada kes jenazah yang baru dikebumikan hilang dari liang lahad dan kubur berlubang di bahagian atas. Berikutan kuburan masyarakat Kunak dan etnik Bajau ini sangat dekat dengan pantai. Namun begitu hal ini disiasat oleh seorang Imam dan mendapati makhluk yang mereka percaya sebagai ‘kangkang laut’ tersebut adalah sejenis anjing laut yang boleh mengesan dan memakan daging jenazah baru melalui bawah tanah.
Tahukah anda lautan juga dijadikan sebagai tempat pengebumian bagi sesetengah masyarakat dan budaya? Tamadun purba seperti Mesir, Greece, dan Rom mengamalkan pengebumian atau mayat dibakar di lautan. Amerika Syarikat juga membenarkan jenazah manusia dikebumikan di laut sekurang-kurangnya 3 batu nautika dari darat dan diturunkan sedalam 600 kaki dari permukaan jika tidak dibakar. Manakala dalam Islam, pengebumian mayat boleh dilakukan jika kematian berlaku ditengah lautan atau meninggal di atas kapal. Mayat boleh diturunkan ke dalam laut bersama dengan pasu yang berisi tanah liat atau besi sebagai pemberat untuk menenggelamkan mayat. Pada zaman bahari, orang Islam mengerjakan haji dengan menaiki kapal laut. Kematian ditengah lautan atau dikebumikan di dalam laut adalah satu perkara biasa kerana perjalanan yang panjang menempuh pelbagai cabaran dan sakit demam semasa tempoh tersebut.
Laut dan manusia tidak dapat dipisahkan, kita adalah satu simbiosis alam yang saling berkait. Kepercayaan dan amalan manusia terhadap lautan itu sendiri adalah sesuatu yang sangat abstrak dan hanya difahami oleh masyarakat itu sendiri. Laut dan isinya sememangnya penuh dengan misteri, mitos dan penuh dengan kerahsiaan yang tersendiri, tidak hanya pada saintis tetapi juga kepada pengkaji-pengkaji sains sosial.
Hanya Tuhan Pencipta Alam memahami lautan dan tahu segala rahsia-rahsia lautnya. Laut juga sering dijadikan sebagai perlambangan dalam karya sastera seperti sajak, puisi dan pantun. Puisi Cinta Yang Lain karya Sasterawan Negara Zurinah Hassan dibawah sesuai untuk dijadikan renungan.
Seorang pelaut bercinta dengan ombak
dan akhirnya seperti ombak itu
dia menjadi pemuja yang buntu.
Seorang penyair bercinta
dengan kata-kata
dan akhirnya jaringan kata-kata
menyesatkan dia dari makna
Laut adalah hamparan
yang mengasyikkan
penyair adalah penutur yang ghairah
tapi laut tidak akan membuka rahsianya
kata-kata pun tidak akan cukup berupaya
dan diri sendiri pun menjadi
puncak misteri
Ciptaan itulah perantaraan
untuk mengenali Pencipta
namun bagaimana
akan ku tulis puisi cinta
agar perantaraan itu sendiri
tidak terlindung matlamatnya
(Zurinah Hassan)
Tentang Penulis:
Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu. Beliau juga merupakan Timbalan Pengarah di Pusat Antarabangsa, UMT. Beliau terlibat aktif sebagai ahli geran yang melibatkan konservasi penyu, alam sekitar, ahli WWF dan merupakan pencinta lautan dan alam semulajadi. Tinggal berhampiran dengan laut memberikan beliau kesedaran betapa laut dan manusia adalah satu simbiosis & ekosistem penting pada kehidupan manusia. Penulis boleh dihubungi melalui email: ismarosila@umt.edu.my
#LiterasiLautanUntukSemua
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan aras literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang diraikan pada 8 Jun setiap tahun. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.
Rujukan:
[1]NOAA: An Oceanographer Studies the Ocean. (n.d). National Geographic. Retrieved: 15 August 2022
[2]https://education.nationalgeographic.org/resource/all-about-the-ocean/
[3]Al-Rawi, A. (2009). The mythical ghoul in Arabic culture. Cultural Analysis, 8, 45-69.
[4]Nunn, P.D., (August 19, 2021). Friday essay: How Ancient Beliefs In Underwater Worlds Can Shed Light In A Time Of Rising Sea Levels, The Conversation.
[5]https://theconversation.com/friday-essay-how-ancient-beliefs-in-underwater-worlds-can-shed-light-in-a-time-of-rising-sea-levels-164154
[6]harakahdaily.net, Haji: Naik kapal laut, ombak besar, lihat kematian jadi kenangan, muat turun pada 6 June 2023, https://harakahdaily.net/index.php/2022/07/16/haji-naik-kapal-laut-ombak-besar-lihat-kematian-jadi-kenangan/
[7]Hui, P., Shin, C., & Gedat, R. (2017). Menyoroti dua tradisi pemujaan laut di Sarawak: Semah dan Kaul. International Journal of the Malay World and Civilisation, 5(1), 29-36.
[8]Heo, N.C., Lee, H.J. (2018). Sea Deity Beliefs Of The Kuroshio Oceanic Cultural Sphere: Maritime Traditions and Cultural Interaction Among Jeju Island, Zhoushan Archipelago, and The Ryukyu Islands. Island Studies Journal. 13(1), pp. 171-184.
[9]https://islandstudiesjournal.org/files/ISJHeoLeeSeaDeityJejuKuroshio.pdf
[10]Hole, C. (1967). Superstitions and Beliefs of the Sea. 78(3), 184-189. Taylor and Francis
[11]https://www.jstor.org/stable/1258183
[12]Clary, J. (June 1, 1994). Superstitions of the Sea: A Digest of Beliefs, Customs, and Mystery Hardcover.
[13]https://www.amazon.com/Superstitions-Sea-Beliefs-Customs-Mystery/dp/091663700X (May 16, 2023). The Sea and the Abyss
[14]https://www.thattheworldmayknow.com/the-sea-and-the-abyss
[15]Zainal, S., Rahman, M. K. A., & Ibrahim, M. A. (2018). ‘Melabuh Ajung’: Signifikasi Kepercayaan Kosmologi Dalam Pembentukan Identiti Teater Tradisional Etnik Pantai Timur Sabah:’Melabuh Ajung’: Signification Of Cosmological Belief In Developing Traditional Theatre Identity Of Sabah Eastcoast. Jurnal Gendang Alam (Ga), 8, 47-47.