Dr. Aspalilah Alias, PhD
Universiti Sains Islam Malaysia
Dr. Jannatul Madihah Abu Bakar,
Setiausaha WARAK, PAPISMA (Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia)
Manusia dilahirkan sebagai makhluk Allah SWT yang sangat unik. Manusia diberikan akal fikiran untuk mentadbir alam ini. Allah SWT mencipta manusia dengan struktur yang kompleks bermula dari sel kemudian membentuk tisu. Daripada tisu manusia akan dibentuk menjadi organ dan akhirnya struktur badan manusia mempunyai beberapa sistem yang tertentu sehingga boleh hidup dan berfungsi secara normal.
Gigi merupakan anggota badan manusia yang berfungsi untuk mengunyah, menggigit dan penting untuk proses awal penghadaman. Gigi mempunyai dua set iaitu gigi susu dan juga gigi kekal. Gigi susu mempunyai 20 batang manakala gigi kekal mempunyai 32 batang gigi. Gigi manusia melalui 3 fasa iaitu fasa gigi susu, fasa gigi bercampur (gigi susu dan kekal) dan fasa gigi kekal. Fasa gigi susu bermula seawal 6 bulan manakala fasa gigi bercampur bermula pada umur 6 tahun yang mana gigi kekal pertama iaitu geraham besar pertama tumbuh. Fasa gigi bercampur adalah dari umur 6 hingga 12 tahun. Fasa gigi kekal pula pada umur 12 tahun ke atas yang mana semua gigi susu telah gugur dan telah digantikan dengan gigi kekal. Gigi pula terdiri daripada 4 jenis gigi iaitu gigi kacip, gigi taring, gigi geraham kecil dan gigi geraham besar. Gigi kacip berfungsi untuk menggigit manakala gigi taring berfungsi untuk mengoyak makanan. Gigi geraham pula berfungsi untuk mengunyah. Gigi kacip dan taring berada di bahagian hadapan dan mempunyai satu akar. Manakala gigi geraham terletak di bahagian belakang dan mempunyai satu, dua atau tiga akar.
Odontologi forensik merupakan salah satu cabang dalam ilmu forensik dengan menggunakan kemahiran doktor gigi dalam mengetahui identiti manusia semasa bencana, serangan seksual, penderaan kanak-kanak, penentuan umur melalui gigi dan kes kematian yang mana identiti mayat tidak diketahui. Gigi dapat menjadi salah satu bahan bukti yang mampu menentukan umur seseorang sewaktu bukti yang lain telah lenyap kerana gigi merupakan salah satu struktur badan yang kuat.
Odontologi forensik mengendalikan pemeriksaan dan penilaian yang sangat teliti terhadap struktur gigi bukti pergigian dalam kes pengadilan. Struktur gigi sangat unik dan berbeza antara satu sama lain yang membolehkan ia menjadi bukti pengenalan bagi manusia. Umur seseorang juga dapat diketahui dengan melihat gigi. Pengetahuan tentang doktor gigi forensik merangkumi pelbagai disiplin. Rekod pergigian yang diperolehi boleh mengenal pasti seseorang individu atau memberikan maklumat yang diperlukan oleh pihak berkuasa untuk mengenal pasti kes. Morfologi atau bentuk gigi, kedudukan susunan gigi, jenis rawatan dan tampalan yang dibuat pada gigi, serta keabnomalan pada struktur gigi juga menunjukkan kelainan dan perbezaan antara satu individu dengan individu yang lain. Keadaan ini boleh membantu mengenal pasti identiti seseorang individu.
Identiti pada gigi pada mayat sangat penting terutamanya berhadapan dengan kes kematian yang melibatkan mayat yang telah reput, terbakar dan hanya tinggal tulang. Pada ketika ini, kaedah penglihatan dan cap jari tidak dapat digunakan. Identiti mayat boleh diperolehi daripada pengecaman mayat melalui bukti pergigian dalam keadaan mayat terbakar kerana tisu keras gigi mempunyai daya tahan sehingga 1600℃ apabila dipanaskan tanpa kehilangan struktur mikro yang ketara.
Pengenalpastian mayat melalui gigi boleh diperolehi dengan menggunakan teknik perbandingan sistemik ciri-ciri pergigian pra- dan post- mortem individu berdasarkan rekod pergigian dan bahan radiograf. Terdapat empat kemungkinan keputusan yang akan diperolehi daripada teknik ini.
- Positive identification: Data ante-mortem dan postmortem adalah sama apabila disuaikan melaluinya maka ditetapkan bahawa individu yang sama.
- Possible identification: Data ante-mortem dan postmortem mempunyai beberapa ciri yang sama tetapi disebabkan oleh bahan rekod yang kurang berkualiti menyebabkan identiti mayat sukar ditetapkan.
- Insufficient evidence: Data tidak cukup untuk dijadikan konklusi identiti mayat.
- Exclusion: Data ante-mortem dan postmortem jelas tidak sama apabila melalui perbandingan.
Dalam kebanyakan kes forensik, gabungan identiti melalui pergigian, bukti cap jari dan pemeriksaan DNA adalah yang selalunya digunakan dan sudah cukup untuk membantu mengenal pasti identiti mayat. Keperluan menggunakan bukti pergigian meningkat saban hari apabila terdapat peningkatan kes mayat yang dijumpai tetapi tidak diketahui identitinya serta untuk mengetahui anggaran umur sebagai bahan bukti bukti usia seseorang. Teknik untuk mengetahui umur seseorang melalui pergigian terbahagi kepada dua iaitu melalui perubahan perkembangan atau perubahan degeneratif. Perubahan perkembangan adalah perubahan yang berlaku kepada gigi manusia semasa gigi tumbuh dan muncul ke dalam rongga mulut. Manakala perubahan degeneratif berlaku apabila gigi telah tumbuh dan mula haus.
Pembentukan gigi bermula pada peringkat awal kehidupan dengan enam bulan. Urutan pembentukan dan letusan gigi mampu memberikan kaedah anggaran umur yang tepat. Dalam kaedah ini, setiap gigi mempunyai peringkat perkembangannya dan skor dibandingkan dengan nilai yang sepadan dengan umur tertentu. Umur individu yang tidak diketahui identitinya boleh diperolehi dengan membandingkan radiograf postmortem individu dengan piawaian letusan yang dihasilkan oleh Schour dan Massler. Kehadiran molar ketiga menandakan individu berumur sekitar 17-19 tahun. Gigi ini mempunyai variasi yang tinggi. Hanya pemeriksaan radiograf boleh memberikan dokumen tepat pada gigi ini.
Perubahan degeneratif berlaku apabila gigi telah tumbuh dan mula haus. Mereka yang lebih berusia lebih cenderung untuk haus. Rongga pulpa juga boleh dijadikan tanda aras umur individu. Bagi orang lebih berusia atau tua isipadu rongga pulpa berkurangan akibat pemendapan dentin sekunder seiring dengan peningkatan usia.
Kesimpulannya, gigi merupakan anggota badan yang sangat unik dan istimewa. Ciri-ciri yang ada pada gigi dapat membantu dalam mengenalpasti identiti seseorang terutamanya dalam keadaan mayat yang tidak diketahui identitinya.
Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi orang yang mengetahui.” Ayat ini juga membuktikan bahawa kejadian manusia yang unik dan berbeza ini merupakan tanda kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan manusia dan seharusnya teknologi yang telah dihasilkan berdasarkan pengetahuan sains dan teknologi ini dimanfaatkan sebaiknya dalam kehidupan.
Dr Aspalilah Alias, (PhD)
Pensyarah Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia.
Dr Jannatul Madihah Abu Bakar,
Pegawai Perubatan
Setiausaha WARAK, PAPISMA (Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia)