Oleh : Profesor Madya Dr. Aweng A/L Eh Rak
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan
Kekeruhan menggambarkan sifat fizikal air yang ditentukan berdasarkan kuantiti cahaya yang diserap dan dipancarkan oleh bahan-bahan yang terdapat di dalam air. Mekanisma pengukurannya ialah dengan membandingkan jumlah cahaya yang melalui sampel air yang diukur dengan jumlah cahaya yang melalui sampel piawai. Kekeruhan air disebabkan oleh bahan-bahan yang terdapat di dalam air samada bahan organik atau bukan organik seperti mikroorganisma, silika, dan juga bahan pasir lain termasuk zink, besi, mangan, tanah liat atau kelodak. Bahan-bahan ini terhasil samada secara semulajadi iaitu melalui proses hakisan atau melalui aktiviti manusia seperti perlombongan, korekan pasir, pembalakan dan sebagainya. Kekeruhan air merupakan salah satu parameter yang digunakan untuk mewakili kualiti sesuatu badan air. Air menjadi keruh adalah kerana terdapat pepejal di dalam badan air samada pepejal terlarut atau pepejal terampai. Secara mudahnya pepejal terampai boleh diterangkan sebagai apa-apa bendasing yang masuk dalam badan air yang tidak terlarut oleh air dan terampai dalam badan air dan ianya adalah berlawanan dengan pepejal terlarut dan saiznya adalah lebih besar berbanding pepejal terlarut. Sementara, pepejal terlarut pula merupakan pepejal yang boleh dilarutkan oleh air kerana saiznya yang kecil. Apabila kedua-dua elemen ini dicampurkan, dalam bahasa sainsnya dipanggil jumlah pepejal dan elemen inilah yang menyebabkan air menjadi keruh.
Bagaimana air yang mempunyai kekeruhan yang tinggi memberi kesan kepada ikan serta hidupan akuatik yang lain. Kesan ini bermula dengan pengubahsuaian suhu di dalam kolam. Ini kerana kolam yang mempunyai kekeruhan yang tinggi kebiasaanya mempunyai suhu dasar kolam yang rendah berbanding kolam yang mempunyai air yang jernih. Suhu yang rendah bermaksud kurangnya produktiviti. Disamping itu, kekeruhan juga mengganggu atau menghadkan kadar penembusan cahaya ke dasar kolam dan ini boleh mengurangkan proses fotosintesis tumbuhan aquatik yang berada di dasar kolam yang merupakan makanan kepada hidupan akuatik dan ini sudah tentu merencatkan produktiviti hidupan akuatik yang akhirnya mengurangkan hasil. Dengan kurangnya proses fotosintesis, ianya bukan sahaja menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana tidak ada makanan tetapi proses pereputan tumbuhan akuatik tersebut juga akan menyebabkan penurunan kandungan oksigen terlarut dalam air yang boleh menjejaskan pernafasan hidupan akuatik. Disamping itu, tumbuhan akuatik ini juga boleh bertindak sebagai agen pencuci kolam dengan cara menyerapkan nutrien dalam air sebagai makanan. Kita tahu bahawa nutrien yang banyak dalam badan air akan menyebabkan kandungan oksiden terlarut dalam air menjadi rendah yang akhirnya menyebabkan hidupan akuatik mati serta meningkatkan pertumbuhan alga yang dinamakan sebagai proses eutrofikasi, lama kelamaan kolam tersebut tidak sesuai lagi digunakan untuk tujuan penternakan udang atau lain-lain produk akuakultur.
Pada masa dahulu masyarakat kita di Malaysia mengukur kualiti air melalui keadaan fizikalnya iaitu tahap kekeruhan dan bau. Tetapi pada masa tersebut masyakat di Barat telah menggunakan teknik yang lebih saintifik iaitu dengan menggunakan cahaya lilin. Kekeruhan ditentukan dengan mengukur kedalaman air yang mana api lilin dapat dibezakan dengan jelas. Air yang keruh dikatakan kotor, air yang berbau juga dikatakan kotor dan tidak sesuai digunakan untuk kegunaan harian seperti minum, masak, mandi dan mencuci kecuali untuk siraman pokok sahaja. Walau bagaimana pun, tahap kekeruhan ini adalah subjektif iaitu ia bergantung kepada siapa yang melihat kekeruhan tersebut, lain orang akan menyatakan tahap kekeruhan yang berbeza. Ekoran daripada itu, dunia sains telah berkembang dan mencipta beberapa alat untuk mengukur kekeruhan air yang boleh memberi tahap kekeruhan dalam bentuk ukuran yang akan memberi nilai yang sama walau siapa pun yang mengukur. Salah satu daripada alat tersebut ialah Secchi disk. Secchi disk telah dicipta oleh seorang penyelidik yang bernama Angelo Secchi pada tahun 1865 lagi. Secchi merupakan satu kepingan bulat logam berwarna putih berdiameter 20 atau 30 cm yang digunakan untuk mengukur kekeruhan badan air. Kepingan logam ini diikat dengan tali yang mempunyai ukuran dan dimasukkan dalam air secara perlahan-lahan. Kedalaman dimana kepingan logam tidak lagi kelihatan dicatatkan dan ianya merupakan nilai atau tahap bagi mewakili kekeruhan air. Walau bagaimana pun, harga alat ini agak mahal dan bagi pengusaha kolam udang secara kecil-kecilan tidak mampu untuk membelanjakan sejumlah wang untuk tujuan pembelian Secchi disk kerana keperluan adalah lebih kepada untuk membeli makanan udang serta kapur dan alat pengudaraan kolam udang. Tetapi kualiti air juga merupakan salah satu elemen yang amat penting dalam penternakan udang, selain daripada penjagaan kolam dan sebagainya untuk memastikan kesihatan udang. Air yang kotor akan menyebabkan kematian udang samada disebabkan oleh ketoksikan air atau disebabkan oleh penyakit yang datang bersama air.
Dalam aktiviti penternakan udang, kolam perlu dijaga supaya kadar kekeruhannya tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Ini adalah bertujuan mengekalkan sejumlah alga atau rumpai air sebagai makanan udang tetapi tidak terlalu banyak sehingga boleh menjejaskan kualiti air dari segi penurunan jumlah oksigen terlarut dalam air yang boleh menjejaskan udang.
Bagi menjimatkan kos operasi dan komponen kualiti air merupakan komponen yang mesti ada dalam aktiviti penternakan udang, maka, pengusaha tidak ada pilihan lain, mereka perlu ada alat mengukur kekeruhan untuk memastikan mereka tidak mengalami kerugian. Apa yang dibuat oleh seorang pengusaha kolam udang di Perak ialah menggunakan bahan buangan yang boleh didapati di sekitar kawasan kolam untuk membuat alat pengukur kekeruhan yang seakan-akan Secchi disk. Bahan buangan yang dimaksudkan ialah tong pvc serta kayu yang biasa digunakan untuk tujuan pemasangan bumbung rumah. Tong pvc terpakai dipotong dalam bentuk bulat berdiameter 20 sentimeter seakan-akan disk dalam Secchi disk. Sisa kayu bersaiz lebih kurang 1 inci x 1 inci dengan panjang lebih kurang 1.5 meter ditandakan skala pengukur dengan menggunakan “marker pen”. Kayu berskala tadi dipaku ke kepingan tong pvc. Kayu berskala bertindak sebagai pemegang dan juga pengukur, sementara kepingan tong pvc bertindak sebagai cakera bagi penunjuk penembusan cahaya.
Kebiasaanya pengusaha kolam udang akan mengambil bacaan kekeruhan air dalam kolam sebelum benih udang dimasukkan dan semasa udang menghampiri tempoh penuaian. Kekeruhan air dalam kolam udang akan dikawal supaya tidak kurang dari 30 sentimeter kedalaman alat pengukur kekeruhan. Kedalaman cakera kurang dari 30 sentimeter bermaksud air kolam keruh dan tidak sesuai untuk penternakan udang, kedalaman yang lebih pula menunjukkan air kolam lebih jernih dan pada dasarnya sesuai untuk penternakan udang tetapi perlu dikawal supaya ianya tidak terlalu rendah. Kolam yang terlalu jernih menunjukkan kurang atau tidak ada langsung plankton di dalam kolam dan ini boleh merencatkan tumbesaran udang kerana kekurangan makanan. Justeru, tahap kekeruhan yang betul merupakan elemen yang sanghat penting dan perlu diberi perhatian oleh penternak, selain pH dan kandungan oksigen terlarut.
ARTIKEL LAIN DARI PENULIS;
Rumput Napier Bukan Sekadar Makanan Ternakan
Kredit foto artikel: Koleksi penulis
Foto hiasan: Myagri.com.my