Penulis: Nur Syakirah Baharudin, Pelajar Siswazah
Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia
Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah
Pusat Asasi Sains Pertanian, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia
Pengenalan
Perubahan persekitaran seperti fasa bulan, suhu, musim hujan dan bunga mampu mempengaruhi corak aktiviti sesuatu spesies haiwan. Interaksi haiwan terhadap perubahan persekitarannya amat penting bagi menyambung kemandirian sesuatu spesies. Faktor lain yang mempengaruhi aktiviti haiwan ialah cuaca dan keadaan cahaya, yang boleh dinilai pada skala masa setiap jam, bulanan, dan juga kitaran bulan. Tindak balas haiwan tropika terhadap suhu, hujan dan keamatan cahaya bulan harus dinilai dan strategi yang digunakan oleh setiap spesies untuk terus hidup dan membiak. Beberapa corak perbezaan alam sekitar yang paling luas timbul daripada cara bumi kita mengorbit matahari dan pengedaran cahaya matahari global yang terhasil (Chapin et al. 2002). Di kawasan tropika, di mana sinaran matahari yang banyak sepanjang tahun, suhu menjadi hangat, dan tumbuhan boleh berfotosintesis secara berterusan selagi air dan nutrien tersedia.
Fasa bulan dan aktiviti haiwan
Bulan adalah objek angkasa di langit yang paling jelas kelihatan pada waktu malam (Rajah 1). Sewaktu fasa bulan purnama, tahap pencahayaan adalah 25 kali lebih terang daripada fasa bulan sabit, dan 250 kali ganda lebih terang daripada fasa malam tanpa bulan atau bulan baru.
Tindak balas tingkah laku terhadap cahaya bulan pada haiwan ialah selalunya berkaitan dengan interaksi pencarian makanan bagi haiwan pemangsa dan mangsa yang aktif pada waktu malam, kerana faktor peningkatan penglihatan pada waktu malam. Contohnya, harimau bintang menjadi lebih aktif semasa malam bulan purnama, tetapi kurang aktif semasa anak bulan muncul yang mungkin berkaitan dengan tingkah laku memburu mereka. Cahaya bulan purnama juga membantu haiwan pemangsa seperti serigala untuk memburu pada waktu malam. Namun, cahaya ini turut mendedahkan kehadiran haiwan pemangsa ini kepada haiwan mangsa. Bulan baru bagaimanapun memberi peluang kepada pemangsa seperti harimau. Harimau boleh melihat lapan kali lebih baik pada waktu malam berbanding manusia sekaligus menggunakan kegelapan sebagai kunci utama untuk memulakan pemburuan.
Selain itu, tingkah laku haiwan yang berkaitan dengan perubahan fasa bulan juga telah ditemui pada pemangsa lain seperti ikan, burung dan mamalia. Kajian Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah dari Universiti Putra Malaysia mendapati landak Borneo menunjukkan aktiviti lebih aktif pada fasa bulan sabit berbanding fasa bulan purnama. Ini menunjukkan spesies mangsa juga boleh menyesuaikan corak aktiviti mereka sebagai tindak balas kepada peningkatan risiko pemangsa. Pada tahap yang lebih praktikal, haiwan malam boleh memburu atau mencari makanan dengan lebih mudah di bawah cahaya bulan, walaupun menerokai waktu malam yang diterangi cahaya bulan juga membawa risiko untuk diburu.
Bagi kebanyakan haiwan, terutamanya burung, bulan adalah penting untuk penghijrahan dan navigasi; tempoh pembiakan juga bertepatan dengan fasa tertentu kitaran bulan. Terdapat interaksi tiga hala antara fasa bulan, jarak bulan dan litupan awan sebagai peramal suhu badan purata waktu malam untuk burung. Suhu badan burung adalah tertinggi pada malam cerah sewaktu bulan purnama. Dengan berhijrah pada waktu malam, burung dapat mengurangkan bahaya pemangsa, dan mengelakkan terlalu panas yang boleh disebabkan oleh tenaga yang digunakan sepanjang penerbangan dalam jarak yang begitu jauh. Ini juga membolehkan mereka mencari makan pada waktu siang untuk memulihkan tenaga pada waktu malam.
Fenomena lain yang berkaitan dengan kitaran bulan termasuk perubahan dalam komunikasi, pergerakan dan aktiviti berkaitan pembiakan. Dalam sistem marin, kitaran bulan juga mempengaruhi kitaran pasang surut (kenaikan dan penurunan paras air) dan amplitude. Fenomena pasang surut memainkan peranan penting sebagai petunjuk untuk peraturan aktiviti dan pembiakan, terutamanya untuk organisma yang hidup di lautan dan zon pasang surut. Semasa bulan purnama, air pasang besar akan berlaku kerana tarikan graviti bulan yang kuat berlaku ketika ini. Fenomena ini menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa, dan air surut juga lebih rendah daripada biasa. Sebaliknya, ketika bulan sabit (fasa bulan 1/4 dan 3/4), graviti bulan ketika ini mempunyai kuasa tarikan yang paling lemah. Pada ketika inilah air pasang kecil wujud, iaitu di mana keadaan air pasang lebih rendah dari paras normal, dan paras air surut lebih tinggi dari paras surut biasa. Malaysia selalunya mengalami pasang-surut lautan sebanyak dua kali dalam sehari. Kebanyakan ikan kecil akan berkumpul semasa air pasang dan surut, oleh itu akan menarik perhatian ikan yang lebih besar. Semasa air sedang surut, ia juga menghasilkan ekosistem yang dikenali sebagai “mudflats” ataupun pantai yang berlumpur. Terdapat pelbagai jenis hidupan marin yang akan keluar daripada tempat tinggal mereka seperti ikan belacak, ketam, beratus jenis siput marin dan lain-lain.
Musim hujan dan aktiviti pembiakan haiwan
Hujan dan aktiviti pembiakan menunjukkan hubungan yang positif kepada haiwan terutama bagi katak dan kodok. Hujan menyediakan kawasan berair seperti lopak dan kolam sementara yang menjadi tempat pembiakan katak. Sesetengah spesies katak bertelur di kolam hujan yang kecil, yang lain di dalam kolam besar dan juga di anak sungai. Kolam sementara, kolam hujan dan lopak menyediakan tapak pembiakan yang sesuai untuk beberapa spesies katak seperti katak lopak hijau, Occydozyga lima dan katak pokok jalur empat, Polypedates leucomystax (Rajah 2).
Tiga parameter pembiakan katak iaitu aktiviti memanggil, kelakuan ampleksus dan bertelur menunjukkan korelasi yang positif dengan hujan yang menunjukkan bahawa hujan memainkan peranan penting dalam merangsang aktiviti pembiakan katak. Kajian survei kepelbagaian spesies katak yang dijalankan di Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong, Selangor oleh sekumpulan penyelidik dari UPM mendapati aktiviti memanggil bagi katak menunjukkan peningkatan sewaktu musim hujan.
Musim panas pengaruhi spesies serangga
Belalang adalah sejenis serangga dari Sub-Order Caelifera dan Order Orthroptera yang mudah didapati di sekeliling kita terutama apabila suhu telah mulai panas. Kira-kira terdapat 11,000 spesies belalang yang wujud dan terdapat banyak jenis belalang yang kita boleh jumpai di sekeliling kita dengan pelbagai saiz, warna, bentuk dan juga tabiatnya. Belalang lazimnya aktif dalam cuaca panas kerana ia berdarah sejuk.
Biasanya belalang membiak selepas musim hujan, kerana ia memerlukan tanah lembap untuk bertelur. Di Semenanjung Malaysia, musim bertelur berlaku antara bulan Disember/Januari dan Jun/Julai. Belalang betina akan mencari lokasi bertelur yang sesuai di tanah lembut, memacu abdomen yang memanjang ke dalam tanah untuk bertelur. Seekor betina mampu bertelur sebanyak 300 biji telur berbentuk bujur dalam satu musim. Belalang biasanya aktif pada suhu di antara 27°C hingga 30°C dan kurang aktif pada suhu sejuk atau malam hari.
Musim Bunga dan Kelawar
Kelawar merupakan sejenis mamalia yang boleh terbang dan aktif pada malam hari. Pelbagai jenis kelawar berinteraksi dalam pelbagai cara terhadap persekitarannya. Di kawasan tropika, terdapat jenis kelawar pemakan buah, nektar dan serangga.
Pada musim bunga durian, buah naga dan petai, bunga berwarna putih atau kekuningan akan berkembang pada waktu malam hingga subuh. Di kala ini, kelawar Cecadu Gua, Eonycteris spelea akan hadir melawati bunga yang berkembang untuk meminum atau menjilat nektar (Rajah 4).
Kesan Perubahan Cuaca Dan Penentuan Jantina
Isu perubahan iklim menjadi masalah nombor satu di dunia. Haiwan amat terkesan dengan kejadian cuaca ekstrem lebih kerap, perubahan iklim monsun tidak menentu, pencairan ais dan paras air laut naik. Perubahan ini terus berlaku secara negatif dan mempengaruhi ekosistem sesuatu habitat haiwan liar. Secara tidak langsung akan berlakunya ketidakseimbangan jantina kepada sesetengah spesies hidupan liar kumpulan reptilia seperti penyu dan buaya. Hal ini dapat dijelaskan dengan spesies penyu dan buaya yang tidak mempunyai jantina yang khusus ketika masih di dalam telur. Kumpulan haiwan ini bergantung kepada suhu persekitaran sarang mereka untuk menentukan jantina mereka. Sebagai contoh jika suhu sarang penyu laut adalah sekitar 27.7°C maka anak penyu adalah jantan manakala suhu sarang sekitar 31°C adalah betina. Justeru itu, dengan cuaca yang semakin panas ini menyebabkan lebih banyak betina yang lahir berbanding jantan.
Kesimpulan
Memahami interaksi haiwan terhadap persekitarannya adalah amat penting. Pemahaman dan input maklumat seperti ini akan dapat menjangkakan impak yang akan memberi kesan kepada aktiviti dan juga kesinambungan generasi sesuatu spesies haiwan itu. Justeru itu, maklumat ini akan dapat menyokong usaha dalam pengurusan dan konservasi haiwan terutama spesies hidupan liar yang lebih baik dan terancang.
ARTIKEL LAIN BERKAITAN
[1] Kenali Spesis Mamalia Tupai Muncung Besar
[2] Interaksi Alam; Serangga, Kulat dan manusia
[3] Umpan; Kepelbagaian dan Keberkesanan Terhadap Mamalia Kecil
[4] Hutan Simpan Ayer Hitam & Geronggang
[5] Kediaman anda dan Katak
Rujukan
- De Oliveira, F.V. (2020). Microchiroptera Life History. In Vonk, J., & Shackelford, T. (Eds.), Encyclopedia of Animal Cognition and Behavior (pp. 1–15). Cham: Springer International Publishing. https://doi.org/10.1007/978-3-319-47829-6_1158-1
- Latham, K. (2021). Life Cycle and Reproduction of Grasshoppers. Insect Cop. Retrived from https://insectcop.net/grasshopper-life-cycle-reproduction/
- Marina, M. T., Chubo, J.K., Senawi, J., Nur Farrazuin, J. & Ahmad, B. A. (2021). Current Status of Bat Diversity and Conservation in Universiti Putra Malaysia and Its Forest Reserves. Journal of Sustainability Science and Management, 16(7), 237-259.
- Shahriza, S., Jaafar, I. & Anuar, S. (2010). The Correlation Between Total Rainfall and Breeding Parameters of White-Lipped Frog, Rana labialis (Anura: Ranidae) in Kedah, Malaysia. Tropical Natural History, 10 (2), 131-139.
- Vaughan, T. A., Ryan, J. M., & Czaplewski, N. J. (2000). Mammalogy (4th ed.). Singapore: Thomson Learning, Inc.
- Yamamoto, T. & Trathan, P. (2015). Evidences of Moon-Related Effects on Animal Behaviour: Moon-Related Effects on Animal Behaviour. Clinical Obesity, 5 (2). http://dx.doi.org/10.1111/cob.12098
- Yusti, E., Maryanto, I., & Suryobroto, B. (2015). The Fruit Bats (Megachiroptera, Pteropodidae) from Bawakaraeng Mountain, South Sulawesi. Borneo Science, 36(1), 33–43.
- Zimecki, M. (2006). The Lunar Cycle: Effects on Human and Animal Behavior and Physiology. Advances in Hygiene and Experimental Medicine (Online), 60, 1-7.