Oleh : Prof. Madya. Dr. Mohd Bakri Bin Adam
Institut Penyelidikan Matematik & Jabatan Matematik, Universiti Putra Malaysia
Masa sangat berkait rapat dengan aktiviti dan kemaslahatan manusia. Sebagai contoh terbaru adalah berkaitan dengan penyakit yang sedang melanda dunia pada tahun lepas 2020 sehingga sekarang, yang mana tempoh 14 hari adalah julat masa yang kritikal bagi menentusahkan sekiranya seseorang yang telah terdedah kepada koronavirus akan menghasilkan gejala ataupun tidak. Kemudian diturunkan kepada 10 hari dan sehingga kini 7 hari telah dikenal pasti oleh pakar-pakar penyelidikan berkaitan. Masa sangat penting, kesilapan dalam mengira masa akan mengakibatkan usaha untuk memutuskan penyebaran virus ini akan gagal.
Selain daripada masa berkaitan rapat secara umum dengan penyakit-penyakit yang lain. Kalau demam yang berpanjangan, batuk berdarah yang berterusan ataupun mengalami cirit-birit dalam jangka masa yang berterusan amat berbahaya. Tambahan pula mengalami luka berdarah yang mengalir tanpa henti juga melibatkan masa yang akhirnya boleh merbahayakan nyawa! Masa sangat penting untuk kes sebegini dalam situasi pemberian dan diagnosis perubatan oleh doktor.
Selain daripada itu, masa juga banyak menjadi penentu prestasi seseorang atlit. Kebanyakan ahli sukan, persembahan cemerlang mereka juga dibataskan oleh umur mereka. Sesetengah sukan memerlukan kudrat dan stamina. Banyak kali kita lihat, lagenda-lagenda sukan tersungkur ditangan atlit yang lebih muda, ketika mereka berusia, petanda akhirnya penguasaan dan dominasi kejaguhan mereka.
Masa juga penting dalam penentuan pemenang kebanyakan sukan. Di antaranya ialah acara balapan seperti 100m, 200m, 400m, 800m, 1500m dan 3000m tetapi skop jenis sukan yang menentukan pemenang berdasarkan masa ini sebenarnya lebih luas. Sebagai contoh lain ialah sukan renang juga memerlukan khidmat masa untuk menentukan juara, pada masa sekarang ini, oleh kerana kesukaran untuk mengisytiharkan pemenang dengan mata kasar, alatan mencatat masa digunakan dan mempunyai ketepatan sehingga tiga atau empat titik perpuluhan. Pemenang emas, perak dan gangsa ditentukan oleh catatan masa yang kebiasaannya melibatkan masa yang terpantas atau tercepat menggunakan teknologi rakaman terkini yang serba canggih. Atlet juga berlumba-lumba untuk memecahkan rekod pencapaian atlet sebelumnya. Rekod juga merupakan pencapaian gemilang dan terbaik atlet terakhir pada masa yang lampau yang masih kekal dan dicatatkan.
Ahli politik juga dipengaruhi oleh masa, ada sesetengah negara, presiden atau perdana menterinya cuma boleh berkhidmat hanya dua penggal atau dalam jangka masa yang terhad. Manakala, setiap ahli politik dipilih dalam selang masa lima tahun, yang mana pilihan raya semula wajib dijalankan. Kebiasaannya tiada had umur untuk menjadi seorang ahli parlimen ataupun ahli dewan undangan negeri (adun). Ada juga ahli politik ini, hayatnya pendek, pilihan raya mungkin perlu dilakukan sekali lagi untuk memilih wakil yang baharu. Sebenarnya tempoh lima tahun adalah sekejap sahaja, rakyat sentiasa berpeluang untuk memilih ahli politik yang akan mewakili kawasan mereka, yang akan membawa suara dan keluhan mereka untuk dibela. Ingat pengundi yang mencapai usia tertentu sahaja yang dibenarkan untuk mengundi walaupun ada yang terpaksa dipapah ke tempat pengundian.
Kupasan seterusnya adalah berkaitan dengan kenderaan. Hayat kenderaan juga dipengaruhi oleh corak penggunaan, semakin lama ianya digunakan sudah tentu semakin uzur keadaannya, ada yang menjadi kenderaan klasik kerana usianya yang agak panjang, tetapi sudah tentu disebabkan penyelanggaraan yang teliti dan konsisten bagi memastikan kenderaan tua tersebut boleh diguna sepanjang zaman menjadi lagenda. Setiap tempoh setahun, pemilik kenderaan perlu memperbaharu cukai jalan selain memperbaharui lesen memandu. Insuran atau takaful juga perlu dibayar, sekiranya dalam tempoh penggunaan tiada kemalangan yang berlaku sudah tentu kadar nilainya akan lebih murah dan rendah. Tayar kenderaan juga merupakan antara komponen yang paling penting, tanpanya kenderaan tidak boleh bergerak. Setiap tayar, terdapat tarikh bila ianya telah dihasilkan di kilang. Sekiranya tempoh penghasilan dengan tempoh pembelian tayar sudah melangkaui dua atau tiga tahun, sepatutnya harga tayar tersebut lebih murah dijual. Tetapi barang diingat tidak semua kenderaan yang bergerak mempunyai tayar ada juga yang belayar di lautan dan ada yang terbang di udara.
Antara perkara yang cuba dicipta oleh manusia bila dikaitkan antara kenderaan dan masa sesuai dengan natijah asal penciptaan kenderaan sebagai medium pengangkutan, pergerakan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Walhasil dari itulah kenderaan yang boleh memecut laju sama ada di darat, lautan ataupun udara, sentiasa menjadi tumpuan dan impian pencipta kenderaan. Kelajuan bila digandingkan dengan jarak akan menghasilkan pecutan. Pencapaian kereta yang paling laju di dunia setakat 2019 ialah kereta berjenama Bugatti Chiron Sport dengan kelajuan 261 batu sejam, tempat kedua ialah kereta Mercedes-AMG Project One dengan kelajuan sekurang-kurangnya 217 batu sejam dan tempat yang ketiga pula ialah Lamborghini Aventador SVJ dengan juga maksimum 217 batu sejam. Manakala kereta api pula boleh mencecah sehingga melebihi 500 kilometer sejam. Kapal di lautan juga, berlumba lumba dicipta agar boleh belayar dengan laju dan pantas. Antara model yang boleh belayar dengan laju di atas air ialah Nor-Tech 5200 Roadster yang boleh mencapai kelajuan sehinggan 240 kilometer sejam. Sementara itu di langit pula, ada jet seperti North American X-15 yang boleh terbang dengan kelajuan melebihi 7000 kilometer sejam. Mungkin ada lagi ciptaan luar biasa boleh mencabar masa yang masih di dalam pembinaan semasa artikel ini ditulis. Mungkin kelajuannya ialah sekelip mata dan sepantas kilat.
Bersambung – Istimewanya Masa Kepada Dunia : Bahagian I
Bersambung – Istimewanya Masa Kepada Dunia : Bahagian III
Penulis :
Prof Madya Dr Mohd Bakri Adam,
Penyelidik Bersekutu & Pensyarah Kanan,
Institut Penyelidikan Matematik,
Universiti Putra Malaysia.
bakri@upm.edu.my
019-9352337
Kredit Foto : ionos