Oleh : Dr. Basripuzi Nurul Hayyan binti Hassan Basri
Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan
Apakah itu parasit?
Sudahkah anda menonton filem Korea berjudul ‘Parasite’? Filem tersebut telah memenangi Anugerah Golden Globe yang sangat berprestij baru-baru. Tahukah anda apakah kaitan filem tersebut dengan topik perbincangan artikel ini?
Seperti yang ditonjolkan dalam filem tersebut, parasit adalah sejenis organisma yang mendiami organisma lain dan mengeksploitasi organisma yang didiaminya itu. Organisma yang didiami oleh parasit dikenali sebagai perumah. Parasit akan mendapat kebaikan seperti keperluan nutrien, perlindungan serta tempat untuk membiak dan membesar daripada perumahnya manakala perumahnya pula akan mengalami kecelakaan seperti kekurangan nutrien dan kesakitan
Parasit yang menjangkiti haiwan terdapat dalam pelbagai bentuk seperti cacing gelang, cacing cangkuk, cacing pita, cacing pipih dan arthropod; serta dalam pelbagai keadaan iaitu endoparasit yang mendiami bahagian dalam badan haiwan, ektoparasit yang tinggal di luar badan haiwan ataupun hemoparasit yang menjangkiti darah perumah.
Jangkitan parasit pada haiwan kesayangan dengan risiko jangkitan terhadap manusia
Kebiasaannya, haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing mendapat jangkitan parasit secara tidak sengaja kerana tertelan telur parasit yang terdapat di dalam air, makanan atau tanah yang telah tercemar oleh najis haiwan yang telah dijangkiti. Kanak-kanak yang suka bermain dengan tanah dan pemilik haiwan kesayangan berisiko untuk mendapat jangkitan parasit seperti cacing cangkuk melalui cara ini.
Manusia, kucing dan anjing juga boleh dijangkiti apabila memakan daging haiwan lain yang mengandungi larva parasit. Haiwan yang dikenali sebagai perumah paratenik ini terdiri daripada haiwan ternakan bersaiz kecil seperti arnab, ayam dan itik ataupun burung liar. Di dalam kes jangkitan cacing pita seperti Dipylidium caninum, manusia atau haiwan kesayangan boleh dijangkiti apabila tertelan kutu anjing atau kutu kucing yang mengandungi larva parasit. Kes seperti ini biasa berlaku pada bayi yang dibesarkan di dalam kediaman yang memiliki haiwan kesayangan yang telah dijangkiti.
Parasit juga boleh dipindahkan daripada ibu kucing dan ibu anjing yang telah dijangkiti kepada anak-anak mereka melalui plasenta semasa di dalam kandungan ataupun melalui ambing susu semasa sedang menyusu. Haiwan yang dijangkiti akan terbantut tumbesarannya, mempunyai bulu yang kusam, perut yang buncit dan cirit-birit. Cacing yang terkeluar dari badan melalui muntah ataupun tinja adalah petanda jelas bahawa haiwan tersebut telah dijangkiti oleh parasit.
Gejala jangkitan jarang kelihatan pada manusia. Namun, gejala klinikal yang parah boleh berlaku pada bahagian mata disebabkan migrasi parasit Toxocara spp. seperti kehilangan penglihatan, inflamasi pada mata atau kerosakan pada retina. Keadaan ini dikenali sebagai toxocariasis okular dan kebiasaannya hanya berlaku pada sebelah mata saja. Parasit ini juga boleh bermigrasi ke bahagian organ dalaman manusia seperti hati dan sistem saraf tunjang dengan gejala demam, kepenatan, batuk dan sakit pada bahagian abdomen. Keadaan ini pula dikenali sebagai toxocariasis visera.

Serangga yang menggigit seperti nyamuk boleh memindahkan mikrofilaria parasit ke dalam darah perumah. Mikrofilaria ini akan membesar menjadi cacing dewasa yang boleh menyebabkan masalah jantung pada haiwan yang dijangkiti. Parasit ini dikenali sebagai cacing jantung atau nama saintifiknya Dirofilaria immitis. Perumah yang biasa mengalami masalah parasit ini adalah anjing tetapi ia juga boleh menjangkiti kucing dan manusia.
Anjing yang dijangkiti akan mengalami batuk ringan yang berpanjangan, mudah berasa penat, kurang selera makan, penurunan berat badan dan termengah-mengah terutamanya semasa menjalani aktiviti fizikal. Dalam kes yang parah, anjing yang dijangkiti juga boleh rebah secara tiba-tiba kerana saluran jantungnya telah tersumbat oleh parasit ini. Kucing akan mengalami gejala yang lebih teruk daripada anjing sekiranya dijangkiti. Manusia yang dijangkiti pula mengalami lesi pada saluran darah paru-paru yang boleh mengganggu kelancaran sistem pernafasan.

Selain itu, terdapat juga parasit pada haiwan kesayangan yang boleh menjangkiti manusia sebagai perumah sampingan dengan menembusi kulit kaki yang tidak berkasut. Kes ini disebabkan oleh jangkitan parasit cacing cangkuk yang dikenali dengan nama Ancylostoma spp. Migrasi larva akan terlihat melalui birat-birat kemerahan pada permukaan kulit manusia. Haiwan kesayangan sebagai perumah utama mendapat jangkitan kerana tertelan makanan atau tanah yang telah tercemar dengan larva parasit ini. Gejala yang biasa dialami oleh haiwan yang dijangkiti ialah tinja berdarah, anoreksia, dehidrasi, muntah dan juga kekurangan berat badan.

Faktor risiko yang menyebabkan jangkitan parasit pada haiwan kesayangan
Anak haiwan kesayangan adalah lebih mudah dijangkiti oleh parasit berbanding haiwan dewasa kerana sistem imunisasi terhadap penyakit masih lemah. Kucing dan anjing yang tidak diberikan ubat cacing juga mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti oleh parasit berbanding haiwan kesayangan yang diberikan ubat cacing.
Kucing dan anjing yang dibiarkan bebas keluar dari kediaman pemiliknya juga lebih mudah mendapat jangkitan parasit berbanding haiwan kesayangan yang dipelihara sepenuhnya di dalam rumah. Hal ini berlaku sekiranya terdapat kontak dengan telur atau larva parasit dalam persekitaran luar yang telah dicemari oleh najis haiwan yang telah dijangkiti. Walaubagaimanapun, haiwan kesayangan yang dipelihara sepenuhnya di dalam rumah masih berisiko untuk dijangkiti jika kebersihan tidak dijaga oleh pemiliknya.
Langkah pencegahan jangkitan parasit pada haiwan kesayangan
Haiwan kesayangan perlu diberi air yang bersih serta makanan komersil atau makanan yang telah dimasak. Pemberian makanan mentah boleh mendedahkan haiwan kesayangan dengan risiko jangkitan parasit. Tutup bekas pasir apabila tidak digunakan dan pastikan kawasan persekitaran rumah bebas daripada pencemaran najis kucing dan anjing liar.
Elakkan daripada mengendalikan tinja atau air kencing haiwan kesayangan anda tanpa menggunakan sarung tangan. Basuh tangan dengan segera apabila terpegang najis haiwan. Hal ini penting terutamanya pada kanak-kanak dan orang tua kerana mereka mudah dijangkiti disebabkan sistem imunisasi yang lemah.
Pemilik anjing perlulah mengutip najis haiwan kesayangan mereka apabila membawa anjing keluar berjalan di tempat awam. Seboleh-bolehnya, kekalkan kucing anda berada di dalam rumah dan pakaikan anjing dengan tali di leher semasa di luar rumah untuk mengelakkan mereka bebas berjalan dan menjadi pemangsa kepada haiwan paratenik seperti burung yang mungkin mempunyai larva parasit di dalam dagingnya. Haiwan kesayangan yang dibiarkan keluar dari rumah juga berkemungkinan akan mempunyai kontak dengan anjing dan kucing liar yang telah dijangkiti.
Haiwan kesayangan perlulah diberikan ubat cacing secara berkala mengikut nasihat doktor veterinar. Sebaik-baiknya, ubat cacing diberikan apabila anak kucing atau anak anjing mencapai umur dua minggu dan diulang setiap dua minggu sekali sehingga berumur 2 bulan. Seterusnya ubat cacing diberikan sebulan sekali sehingga berumur enam bulan dan kemudian secara berkala setiap tiga bulan sekali khususnya untuk parasit yang menjangkiti usus. Mandikan juga haiwan kesayangan anda dengan syampu antikutu untuk mencegah jangkitan ektoparasit.
Pemilik adalah digalakkan untuk membawa haiwan kesayangan mereka ke klinik veterinar untuk mengesan dan mencegah kehadiran cacing jantung. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati kerana keadaan haiwan kesayangan berpotensi menjadi sangat parah apabila telah dijangkiti oleh parasit ini. Ubatan pencegahan untuk cacing jantung terdapat dalam pelbagai bentuk seperti pil, ‘spot-on’ pada bulu haiwan dan juga secara suntikan setiap enam bulan atau setahun sekali. Pastikan anda mendapat preskripsi ubatan ini daripada doktor veterinar berdaftar sahaja.
Kredit Foto :
CDC
SOUTHBOSTON