Oleh: Dr. Kenny Voon Gah Leong, Ahli YSN-ASM
Pensyarah Kanan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU)
Susulan daripada penularan virus korona, bukan sahaja manusia, malahan haiwan peliharaan juga terkesan teruk oleh wabak pandemik COVID-19 ini. Haiwan peliharaan dibuang, sehinggakan ada haiwan kesayangan dibunuh dengan dicampakkan dari rumah berbangunan tinggi. Pihak berkuasa Hong Kong telah melaporkan kes pertama anjing peliharaan yang positif SARS-CoV-2 virus. Mereka turut menyimpulkan bahawa kes tersebut merupakan kes pertama penyebaran virus daripada manusia ke haiwan [1]. Seterusnya, terdapat kes kedua anjing peliharaan yang positif SARS-CoV-2, namun ia tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala [2]. Kes-kes di Hong Kong merupakan antara kejadian terawal yang melaporkan mengenai jangkitan COVID-19 pada anjing. Walau bagaimanapun, kebanyakan pakar berpendapat bahawa anjing tersebut tidak dijangkiti oleh SARS-CoV-2 disebabkan kurangnya penghasilan antibodi yang berkaitan.
Rata-rata saintis juga percaya keputusan ujian yang positif tersebut mungkin disebabkan oleh kontaminasi persekitaran – dengan kata lain, anjing tersebut mungkin mendapat jangkitan virus daripada sentuhan pada permukaan yang terkena titisan yang membawa SARS-CoV-2 virus. Ini menimbulkan persoalan sama ada haiwan juga boleh dijangkiti oleh virus korona atau pun tidak?
Selain manusia, adakah virus korona juga boleh menjangkiti haiwan?
Ya, sebenarnya virus daripada keluarga korona biasa didapati di kalangan haiwan. Ianya akan menjangkiti sistem saluran pernafasan dan sistem penghadaman mamalia dan burung. Jangkitan ini boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit kepada haiwan ternakan dan binatang peliharaan domestik. Sesetengah jangkitan boleh menjadi serius dan mampu mengancam industri penternakan. Namun begitu, virus korona tersebut adalah berbeza daripada virus korona terbaru, dikenali sebagai SARS-CoV-2 yang boleh menyebabkan penyakit COVID-19.
Virus korona yang biasa menjangkiti kucing mempunyai dua strain yang tidak mendatangkan mudarat yang besar. Namun, virus yang bermutasi boleh mengakibatkan keradangan pada selaput peritoneum (peritonitis) dalam abdomen, iaitu sejenis penyakit yang dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi dikalangan kucing [3]. Untuk anjing pula, terdapat dua jenis virus korona yang boleh menjangkitinya: pertama yang menyebabkan jangkitan ringan pada saluran penghadaman, dan yang kedua dikaitkan dengan jangkitan pada saluran pernafasan [4].
Di samping itu, virus korona juga boleh menjangkiti haiwan ternakan seperti ayam (termasuk ayam Belanda), khinzir, lembu dan arnab. Haiwan yang berlainan akan berhadapan dengan kesan jangkitan virus korona yang berbeza. Dalam ayam, ianya bukan sahaja menyebabkan keradangan kepada paru-paru, malah boleh juga merebak ke organ lain dengan menjangkiti sistem perkumuhan dan peranakan (urogenital system) ayam [5]. Virus corona yang meradangkan paru-paru ayam dikenali sebagai virus jangkitan bronkitis (infectious bronchitis virus; IBV) dan menyebabakan kematian yang tinggi dalam kumpulan ayam ternakan. Oleh sebab demikian, ayam ternakan diwajibkan menerima vaksin IBV semasa ayam masih kecil lagi. Vaksin IBV sekarang sedang dikaji sebagai vaksin COVID-19 kerana IBV mempunyai komposisi genetik yang hampir serupa dengan virus korona manusia [6].
Berlainan dengan ayam, kesan jangkitan virus korona terhadap ayam belanda boleh menyebabkan keradangan usus dan mengakibatkan cirit-birit. Jangkitan virus korona pada khinzir, lembu dan arnab turut menyebabkan cirit-birit dan lebih memberikan kesan kepada haiwan yang masih muda [4,7]. Tambahan pula, arnab yang muda juga mengalami jangkitan pada sistem penghadaman atas (gastrousus). Keadaan ini boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi, dan seterusnya akan mengakibatkan kerugian besar kepada penternak.
Selain jangkitan kepada haiwan ternakan dan peliharaan, haiwan makmal seperti tikus juga tidak terkecuali daripada terkena jangkitan virus korona. Antara yang telah didokumenkan ialah virus korona (mouse hepatitis virus) yang menjangkiti hati, dan merupakan punca kepada wabak murin yang telah menyebabkan kadar kematian yang tinggi di kalangan koloni tikus makmal [8] (Gambarajah 1). Selain daripada virus korona yang menyebabkan jangkitan hati (hepatitis), terdapat juga virus korona sialodakrioadenitis yang menyebabkan masalah pernafasan, sensitif kepada cahaya dan masalah bengkak pada kelenjar submandibel (terletak di bawah rahang). Virus ini boleh tersebar di kalangan tikus makmal secara sentuhan langsung dan tidak langsung, melalui titisan aerosol [9].
Virus korona juga boleh menjangkiti kelawar. Menariknya, antara semua virus korona, jenis yang menjangkiti kelawar ini mempunyai persamaan genetik yang paling tinggi dengan virus yang menjangkiti manusia dan khinzir [7]. Kebanyakan kelawar jenis insektivora, terutamanya kelawar ladam (horseshoe bats) (Gambarajah 2) membawa virus korona seperti SARS tanpa menunjukkan sebarang tanda dan gejala, namun pada masa yang sama kelawar mampu menghasilkan antibodi terhadap virus tersebut [10]. Ini bermakna bahawa kelawar telah dijangkiti virus tetapi tidak jatuh sakit.
Bolehkah virus korona dijangkiti dari haiwan kepada manusia dan sebaliknya?
Selain daripada dua kes jangkitan virus korona pada anjing yang dilaporkan di Hong Kong, terdapat juga kes-kes positif COVID-19 dalam kumpulan kucing peliharaan. Kes-kes tersebut dilaporkan di Belgium dan Amerika Syarikat [11]. Selain itu, harimau, yang juga merupakan spesis keluarga kucing, turut dijangkiti COVID-19 di zoo di Amerika Syarikat (Gambarajah 3) [12]. Pakar-pakar haiwan mengesyaki bahawa jangkitan SARS-CoV-2 pada kucing-kucing dan harimau ini adalah berasal daripada manusia dan menjangkiti haiwan-haiwan tersebut.
Namun, belum ada jangkitan virus korona kepada manusia daripada haiwan ternakan dan haiwan makmal, dan sebaliknya. Walau bagaimanapun, virus korona khinzir dilaporkan telah menjangkiti embrio ayam dan sel tunggal manusia seperti Huh-7 (sel hati kanser manusia), A549 (sel paru-paru kanser manusia), dan H293 (sel embronik buah pinggang manusia), seterusnya menunjukkan bahawa virus korona khinzir mampu merentas spesis menjangkiti ayam dan manusia [13]. Disebabkan persamaan genetik yang tinggi antara virus korona kelawar dengan virus korona yang ada pada manusia dan khinzir, maka virus ini mungkin boleh menyebabkan jangkitan zoonosis kepada manusia dan khinzir.
Jangkitan zoonosis ini telah dikaitkan dengan beberapa penularan wabak penyakit di kalangan manusia. Pada tahun 2003, wabak SARS telah menjangkiti lebih daripada 8,000 orang di China. Virus SARS-CoV penyebab kepada penyakit SARS ini telah mengorbankan 800 nyawa pada ketika itu. Sumber virus ini dikaitkan dengan musang kerana didapati ianya berkongsi 99.8% daripada genomnya dengan virus korona yang biasa menjangkiti musang. Sehingga kini, masih belum ada lagi vaksin berkesan untuk menghalang jangkitan SARS and MERS walaupun banyak kajian untuk menghasilkan vaksin tersebut telah dijalankan.
Kini, dunia dikejutkan dengan virus terbaru SARS-CoV-2 yang menyebabkan wabak COVID-19. Virus terbaru ini pula dikatakan berasal daripada virus korona kelawar kerana didapati ianya berkongsi 96% daripada unsur genetiknya dengan virus korona kelawar [10]. Namun, ini hanyalah hipotesis dan masih perlu dibuktikan dengan mencari virus korona haiwan dikalangan kumpulan haiwan-haiwan liar yang mempunyai persamaan komposisi genetik lebih daripada 99.5% dengan virus korona manusia. Oleh itu, saintis dan pakar pemuliharaan masih tidak dapat memastikan sama ada SARS-COV-2 berasal dari kelawar sahaja ataupun tidak. Apa yang pasti adalah, virus SARS-CoV-2 ini berasal daripada hutan. COVID-19 adalah jangkitan zoonosis yang telah menempuh kehidupan manusia. Sekarang, manusia adalah pembawa virus SARS-COV-2 dan COVID-19 sedang menular melalui jangkitan dari manusia ke manusia.
Setakat 5hb Mei 2020, wabak COVID-19 telah menjangkiti seramai 3,671,812 individu dengan 253,241 kematian di seluruh dunia [14]. Seperti wabak SARS and MERS, para saintis sedang berusaha keras mengkaji virus SARS-CoV-2. Penyelidik seluruh dunia masih lagi menggembleng tenaga berusaha ke arah penemuan rawatan spesifik dan mencipta vaksin yang mampu mencegah wabak COVID-19 ini daripada terus menular dan meragut lebih banyak nyawa lagi.
Apa yang kita telah pelajari?
Selain COVID-19, manusia boleh dijangkiti oleh jenis virus korona lain yang menyebabkan gejala penyakit yang lebih ringan berbanding dengan MERS dan SARS. Virus korona adalah penyebab jangkitan biasa pada manusia dan kebanyakan haiwan peliharaan. Oleh itu, vaksin adalah penting. Sementara menunggu vaksin untuk COVID-19 sedia, kita haruslah mengamalkan penjarakkan sosial dan mempraktikkan etika batuk serta bersin yang betul agar penularan virus daripada satu individu ke individu lain dapat dikurangkan. Hal ini sangat penting sebagai sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengurangkan kebanjiran jumlah jangkitan yang mana boleh melumpuhkan operasinya.
Di samping itu, pemilik haiwan perlu memvaksinkan haiwan kesayangan mereka sebagai langkah bertanggungjawab. Penternak juga perlu memvaksinkan haiwan ternakan mereka untuk mengurangkan kerugian. Najis haiwan ternakan harus diuruskan dengan baik agar tidak mengotorkan alam sekitar terutamanya, hutan-hutan sekunder di sekeliling ladang penternakan. Penerokaan hutan berleluasa tanpa perancangan yang mantap bakal memudaratkan kita pada kemudian hari. Industri pertanian perlu dipergiatkan dan diseimbangkan dengan pemuliharaan kawasan hutan primer dan hutan sekundar kerana haiwan memerlukan hutan untuk hidup dan membiak. Manakala, manusia memerlukan hutan untuk mendapatkan udara segar dan sumber air bersih. Kemunculan COVID-19 sebenarnya merupakan satu peringatan kepada manusia agar prihatin terhadap alam sekitar.
Rujukan
- https://www.thestar.com.my/news/regional/2020/03/18/first-dog-found-with-coronavirus-has-died-after-returning-home-virus-free-from-quarantine-hong-kong-authorities-reveal
- https://www.scmp.com/news/hong-kong/health-environment/article/3075993/coronavirus-hong-kong-confirms-second-dog
- Tekes G et al. Feline Coronaviruses: Pathogenesis of Feline Infectious Peritonitis. Adv Virus Res. (2016)
- Szczepanski A et al. Canine Respiratory Coronavirus, Bovine Coronavirus, and Human Coronavirus OC43: Receptors and Attachment Factors. Viruses. (2019)
- Lin SY et al. Infectious Bronchitis Virus Variants: Molecular Analysis and Pathogenicity Investigation. Int J Mol Sci. (2017)
- https://www.nst.com.my/news/nation/2020/03/578079/imr-begins-testing-develop-vaccines-covid-19
- Corman VM et al. Hosts and Sources of Endemic Human Coronaviruses. Adv Virus Res. (2018)
- Ploss A et al. Animal Models of Hepatitis C Virus Infection. Cold Spring Harb Perspect Med. (2019)
- Doi K et al. Experimental encephalomyocarditis virus infection in small laboratory rodents. J Comp Pathol. (2011)
- Fan Y et al. Bat Coronaviruses in China. Viruses. (2019)
- https://www.nst.com.my/news/nation/2020/04/582666/pets-found-positive-covid-19-must-be-quarantined
- https://www.nationalgeographic.com/animals/2020/04/tiger-coronavirus-covid19-positive-test-bronx-zoo/
- Liang Q et al. Susceptibility of Chickens to Porcine Deltacoronavirus Infection. Viruses. (2019)
- https://www.worldometers.info/coronavirus/