Oleh : Dr Shahrul Kadri Ayob
Bilangan pelajar yang ramai, mencecah 100 orang atau lebih dalam satu dewan kuliah di peringkat universiti bukanlah suatu fenomena asing. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di institusi pendidikan tinggi (IPT) di dalam negara, malah berlaku juga di luar negara. Corak pengajaran juga adalah hampir sama, chalk-and-talk atau terkini click-and-talk (merujuk kepada penggunaan Power Point). Pensyarah menyampaikan ilmu di hadapan dewan, dan pelajar hanya perlu mendengar.
Terlalu banyak kajian pendidikan telah menunjukkan bahawa pembelajaran berkesan berlaku sekiranya pelajar terlibat secara aktif di dalam kelas. Jadi bagaimana untuk mengaktifkan pelajar di dalam sebuah dewan kuliah dengan bilangan pelajar yang ramai?
Penulis mula diberikan tugas mengajar kursus fizik peringkat ijazah pertama di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2005. Di UPSI, pelbagai kaedah dan inovasi pengajaran di dedahkan kepada bakal guru untuk dilaksanakan di sekolah. Tetapi bagaimana penulis sebagai pensyarah fizik boleh melaksanakan teknik pengajaran yang berkesan dalam ruang dewan kuliah, yang sedikit berbeza dari ruang kelas di sekolah? Pencarian penulis membawa kepada inovasi pengajaran Instruksi Sebaya atau di kenali sebagai Peer Instruction (PI) [1].
Instruksi Sebaya mula diperkenalkan oleh Profesor Eric Mazur, seorang pakar bidang fizik optik dari Universiti Harvard pada sekitar awal 90-an. Ia lahir dari inisiatif beliau memperbaiki mutu pengajaran hasil daripada dapatan kajian Inventori Konsep Daya (Force Concept Inventory, FCI) yang mendapati walaupun pelajar Universiti Harvard mencapai markah yang tinggi dalam kursus fizik, namun penguasaan konsep mereka masih lemah. Instruksi Sebaya dibangunkan berdasarkan kepada prinsip “tiada cara untuk menjelaskan suatu idea selain dari menjelaskannya sendiri kepada orang lain”.
Instruksi Sebaya boleh dilaksanakan melalui 7 langkah berikut:
1) Pelajar di berikan kertas A,B, C dan D (Di awal kursus, pelajar diingatkan untuk membawa kertas ini ke kuliah).
2) Apabila kuliah sampai pada suatu konsep yang ingin diuji, pelajar akan didedahkan kepada soalan konsep. Mereka dikehendaki berfikir secara individu selama 1 minit.
3) Pelajar akan menunjukkan jawapan masing-masing.
4) Pensyarah melihat jawapan pelajar secara kesuluruhan dan memberi komen ringkas.
5) Pelajar diberi masa 1 minit untuk meyakinkan rakan bersebelahan atau persekitarannya (Sesi Instruksi Sebaya)
6) Pelajar akan menunjukkan jawapan masing-masing.
7) Pensyarah melihat jawapan pelajar secara keseluruhan dan mengambil tindakan selanjutnya bergantung kepada maklumbalas pelajar.
Pelajar menunjukkan jawapan masing-masing sebelum sesi Instruksi Sebaya (Langkah 3)
Pelajar menunjukkan jawapan masing-masing selepas sesi Instruksi Sebaya. (Langkah 6)
Gambar-gambar di atas merupakan senario bilik kuliah yang penulis kendalikan dengan 82 pelajar tahun 2 kursus Getaran, Gelombang dan Optik di UPSI. Sebelum sesi Instruksi Sebaya, pelajar biasanya ragu-ragu dengan jawapan masing-masing. Tetapi selepas Instruksi Sebaya, mereka lebih berkeyakinan. Jika majoriti pelajar masih memberikan jawapan yang salah, pensyarah hendaklah mengulang semula pengajaran konsep fizik yang diajarkan agar pelajar tidak terus terperangkap dalam salah faham sehingga ke akhir semester, dan seterusnya selepas bergraduat.
Antara kelebihan Instruksi Sebaya ialah:
1) Pelajar menjelaskan dan mempertahankan idea masing-masing dengan cara tersendiri mengenai konsep yang diajar dalam kuliah kepada rakan-rakan mereka
2) Pensyarah mendapat maklum balas pantas mengenai kefahaman pelajar dalam bilik kuliah dan segera membetulkan atau menjelaskan konsep yang sukar dengan lebih mendalam
Proses pembelajaran Instruksi Sebaya ini mengambil masa sekitar 5 minit sahaja dari masa pengajaran dan boleh dilakukan setiap kali kuliah berlangsung. Keberkesanannya juga telah terbukti meningkatkan kefahaman konsep pelajar-pelajar kursus fizik di Universiti Harvard [3]. Ia juga bukan sahaja terhad kepada kursus fizik, malah boleh diperluaskan kepada kursus-kursus yang lain. Diharapkan pembelajaran sains menjadi lebih seronok dengan penerapan inovasi pengajaran terkini dalam bilik darjah dan juga dewan kuliah.
Rujukan :
[1] Eric Mazur (1997), PEER INSTRUCTION: A User's Manual”, Prentice Hall Series in Educational Innovation Upper Saddle River, NJ
[2] Catherine H. Crouch and Eric Mazur (2001), Peer Instruction: Ten years of experience and results.Am. J. Phys., Vol. 69, No. 9, September 2001
Tentang penulis:
Shahrul Kadri Bin Ayop merupakan pensyarah bidang fizik optik di Universiti Pendidikan Sultan Idris sejak 2005. Kepakaran beliau adalah dalam penyelidikan manipulasi optik pada skala mikro dan nano. Beliau juga berminat dalam penyelidikan inovasi pendidikan dalam bidang fizik, seperti Active Learning in Optics (ALOP), Interactive Lecture Demonstrations (ILD), Microcomputer-based Laboratory (MBL) dan Peer Instruction (PI) .
Gambar dari : http://ariellalisan.com
Berikan Komen Anda Di Sini