Oleh : Dr. Noradilah Samseh binti Abdullah
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM
Kanta sentuh merupakan alternatif bagi merawat masalah rabun selain menggunakan cermin mata. Ia digunakan untuk menambah baik tahap penglihatan sesorang individu dan membantu mereka untuk bebas bergerak, bersukan dan menjalankan pelbagai aktiviti harian. Dengan kewujudan kanta sentuh berwarna, pemakaian kanta sentuh menjadi lebih popular sebagai alat kosmetik atau aksesori kecantikan. Wanita dan kanta sentuh adalah ibarat irama dan lagu. Bak kata Allahyarham Tan Sri P Ramlee, “ibarat irama dan lagu, tak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan, pincanglah lagu, rosaklah seni.” Pemakaian kanta sentuh di kalangan wanita pada hari ini bukanlah suatu fenomena yang baharu.
Namun, pada masa kini, bukan wanita sahaja yang gemar memakai kanta sentuh tetapi semakin ramai lelaki selesa dengannya apatah lagi bagi yang gemar bergaya dan tidak mahu aktiviti harian terbatas kerana pemakaian cermin mata. Ramai yang memilih memakainya atas faktor memudahkan tugasan harian dan mengurangkan keterbatasan aktiviti, namun tidak terkecuali ada juga yang memakai kanta sentuh sekadar suka-suka untuk mengikuti fesyen dan perkembangan semasa. Apatah lagi kini dengan adanya lambakan pelbagai jenama kanta sentuh di pasaran memberi lebih banyak pilihan kepada penggunanya selain ia turut disediakan dalam beraneka warna yang sering menarik minat pengguna untuk menggayakannya atas tujuan kecantikan.
Permintaan yang meningkat terhadap kanta sentuh bagi tujuan kosmetik mendorong penjualan kanta sentuh dengan harga yang murah oleh individu atau syarikat yang tidak berdaftar. Kanta sentuh yang dibeli bukan daripada pengamal optometris berdaftar seperti di kiosk jualan di pasar raya, pasar malam, jualan oleh peniaga atas talian dan sebagainya mengundang risiko bahaya kerana berkemungkinan kanta sentuh yang dijual tidak menepati ciri keselamatan yang ditetapkan.
Pada masa kini, adakah pemakaian kanta sentuh merupakan suatu keperluan atau kehendak? Sedar atau tidak, pemakaian kanta sentuh bukanlah sesuatu yang boleh dianggap ringan. Hakikatnya, pemilihan, pemakaian dan penjagaan kanta sentuh memerlukan penelitian yang jauh lebih rapi berbanding cermin mata bagi memastikan mata tidak rosak atau mendapat pelbagai jangkitan yang berbahaya. Jika tidak dikendalikan dan dipakai mengikut tatacara yang betul, risiko untuk mendapat jangkitan oleh bakteria, virus dan parasit adalah sangat tinggi. Jangkitan pada mata akibat pemakaian kanta sentuh boleh mengakibatkan sakit pada mata yang berpanjangan dan yang paling ditakuti, kebutaan boleh terjadi jika tidak dikesan awal dan dirawat dengan betul.
Antara banyak penyebab jangkitan pada mata akibat pemakaian kanta sentuh, jangkitan oleh sejenis parasit amat menarik untuk dikupas di sini. Ini adalah kerana, ia merupakan jangkitan yang agak jarang didengari berbanding jangkitan mata oleh bakteria, virus dan kulat. Oleh kerana jarang berlaku, jangkitan oleh parasit ini kurang dilaporkan menyebabkan kelewatan dalam diagnosis dan rawatan, kesudahannya mengakibatkan pesakit menjadi buta! Parasit yang berbahaya ini sebenarnya hidup bebas di alam sekitar. Acanthamoeba sp., sejenis parasit yang boleh hidup secara bebas dalam tanah, sungai, tasik, kolam dan pernah dijumpai dalam air paip, unit penghawa dingin, pasu bunga dan sebagainya. Parasit ini juga dapat hidup dalam air kolam renang yang diklorin. Oleh yang demikian, risiko mendapat jangkitan oleh parasit ini adalah sangat tinggi bagi mereka yang berenang sambil memakai kanta sentuh. Antara faktor risiko lain untuk mendapat jangkitan oleh Acanthamoeba adalah pengendalian dan penyimpanan kanta sentuh yang tidak betul, melakukan disinfeksi atau pembersihan kanta sentuh menggunakan air paip, air garam yang dibuat sendiri di rumah atau larutan disinfektan kanta sentuh yang sudah luput tarikh atau tercemar. Penggunaan air paip untuk membersihkan dan menyimpan kanta sentuh merupakan amalan yang sangat berisiko untuk mendapat jangkitan Acanthamoeba kerana klorin dalam air paip tidak mampu membunuh parasit ini. Walaupun mungkin pemakai kanta sentuh menggunakan larutan disinfeksi kanta sentuh yang bersih dan tidak tercemar, namun jika tidak mencuci tangan dengan bersih sebelum mengendalikan kanta sentuh dan memakainya, maka risiko mendapat jangkitan oleh Acanthamoeba juga adalah tinggi. Bekas penyimpanan kanta sentuh merupakan tempat yang paling mudah tercemar dengan Acanthamoeba.
Selain pemakaian kanta sentuh, risiko juga tinggi bagi individu yang mempunyai luka pada mata akibat tercucuk sebarang alat seperti ranting pokok semasa berkebun atau alatan tajam lain ketika kemalangan kecil. Pemakai kanta sentuh mungkin merasakan mereka tidak berisiko mendapat jangkitan Acanthamoeba kerana tidak mengalami sebarang trauma atau luka pada mata. Namun begitu, pemakaian kanta sentuh boleh menyebabkan luka kecil yang tidak kelihatan oleh mata kasar disebabkan mata kering akibat pemakaian kanta sentuh dalam jangka masa yang lama, menggosok mata atau tatkala membuang kanta sentuh daripada mata. Amalan tersebut secara tidak langsung dapat mengakibatkan kecederaan kecil kepada mata tanpa disedari. Acanthamoeba dapat memasuki mata melalui kecederaan kecil daripada pemakaian kanta sentuh dan menyebabkan penyakit yang dinamakan keratitis Acanthamoeba.
Kes pertama di dunia terjadi di Texas, Amerika pada tahun 1973, pada seorang petani yang mempunyai trauma pada mata kanan, yang mana pesakit telah memercikkan air paip yang berasal daripada sumber air sungai tercemar ke dalam matanya. Ekoran kes tersebut, semakin banyak kes keratitis Acanthamoeba dilaporkan di seluruh dunia. Kes keratitis Acanthamoeba yang pertama di Malaysia berlaku pada tahun 1995. Pesakit merupakan seorang wanita berusia 40 tahun, pemakai kanta sentuh selama 15 tahun. Beliau menggunakan kanta sentuh lama sebelum mendapat gejala keratitis Acanthamoeba. Doktor yang menangani kes beliau mendiagnosis penyakit tersebut sebagai alergi atau jangkitan virus pada mata. Beberapa hari kemudian, mata pesakit tersebut menjadi semakin teruk dengan ulser mata yang semakin membesar oleh kerana ketiadaan rawatan yang berkesan terhadap keratitis Acanthamoeba pada ketika itu. Selepas kes tersebut, terdapat lebih banyak kes keratitis Acanthamoeba dilaporkan di Malaysia, terutamanya di kalangan pemakai kanta sentuh.
Pada tahun 2007, wabak keratitis Acanthamoeba pernah dilaporkan di Amerika yang mana kes meningkat sejak tahun 2004. Kaji selidik dan tinjauan telah dijalankan oleh beberapa badan kesihatan utama, pakar kesihatan, pakar perunding dan pakar mata daripada Universiti Baylor dan Universiti Illinois, Chicago. Hasil kajian menunjukkan suatu larutan disinfektan yang dinamakan sebagai Advanced Medical Optics Complete Moisture Plus sebagai larutan yang berhubung kait dengan wabak tersebut. Pesakit yang menggunakan larutan disinfektan tersebut pada ketika itu mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat keratitis Acanthamoeba berbanding mereka yang tidak menggunakan jenama tersebut. Oleh yang demikian, larutan disinfektan tersebut telah diarahkan untuk ditarik semula daripada dijual di pasaran sehingga kajian terperinci dilakukan. Hasil pemerhatian oleh beberapa kajian menunjukkan bahawa disinfektan tersebut tidak mempunyai bahan aktif yang dapat membunuh Acanthamoeba. Oleh yang demikian, pemakai kanta sentuh disarankan agar berhati-hati dan sentiasa mengambil tahu maklumat terkini dalam risiko penyakit dan penggunaan larutan disinfektan kanta sentuh.
Artikel Berkaitan : Penyebaran Parasit Usus Manusia : Peranan Kebersihan & Hubungan antara Manusia, Haiwan dan Air
Kitar hidup Acanthamoeba melibatkan dua peringkat; peringkat hidup yang aktif mencari makanan serta bergerak dalam alam sekitar dan dalam mata manusia, dinamakan sebagai trofozoit dan peringkat dorman yang tidak bergerak, namun sangat kebal terhadap persekitaran yang boleh membunuhnya, dipanggil sebagai sista. Peringkat sista merupakan peringkat yang dapat meneruskan kelangsungan hidup Acanthamoeba apabila ia terdedah kepada suhu yang terlalu panas atau sejuk, kekeringan, pendedahan kepada pencemaran, larutan disinfektan, antibiotik dan sebagainya. Peringkat sista inilah yang sukar dibunuh oleh sebab tahap kekebalannya yang tinggi terhadap pelbagai persekitaran yang ekstrim. Apabila terdedah kepada pelbagai keadaan persekitaran yang berbahaya ini, trofozoit samada di alam persekitaran atau dalam mata manusia akan berubah menjadi sista demi kelangsungan hidupnya. Apabila keadaan di persekitarannya adalah optimum dan baik, maka sista akan berubah semula menjadi trofozoit yang kemudiannya akan menyebabkan kerosakan pada kornea mata.
Apabila pesakit hadir ke klinik atau hospital mata, doktor selalunya tidak akan terus mendiagnosis penyakit tersebut sebagai keratitis Acanthamoeba, malahan akan memberikan samada ubat anti-bakteria, anti-virus atau anti-kulat untuk merawat pesakit tersebut kerana bakteria, virus atau kulat lebih kerap menyebabkan jangkitan mata berbanding parasit. Apa yang terjadi kemudiannya adalah, parasit tersebut akan berubah bentuk menjadi dorman dalam mata pesakit dan semakin lama pesakit menggunakan ubat titisan mata tersebut, peringkat dorman Acanthamoeba akan menjadi semakin kebal terhadap rawatan. Apabila pesakit berhenti menggunakan ubat titisan mata yang diberikan, Acanthamoeba akan kembali aktif menyerang tisu mata dan mengakibatkan kerosakan pada mata. Akibatnya, keadaan mata pesakit akan menjadi bertambah teruk. Pesakit selalunya sering mengadu sakit mata yang teruk, mata merah dan sakit, peka terhadap cahaya, sensasi seperti mata terkoyak dan ada sesuatu dalam mata serta penglihatan kabur.
Apabila pesakit tidak sembuh dengan penggunaan pelbagai ubat titisan mata, maka pada ketika ini, doktor boleh mengenepikan segala punca penyakit yang lain dan boleh memikirkan kemungkinan jangkitan oleh Acanthamoeba. Doktor boleh mengambil sampel kikisan mata yang dijangkiti dan membuat pemerhatian makmal. Jika Acanthamoeba dijumpai dalam kikisan mata tersebut, rawatan yang betul harus diberikan termasuklah beberapa ubat titisan mata seperti ejen antiseptik poliheksametilin biguanide (0.02%) atau chlorhexidine (0.02%) dengan atau tanpa propamidine (0.1%) atau heksamidin (0.1%). Ubat ini perlu dititiskan ke dalam mata selama enam bulan ke setahun, bergantung kepada tahap pembunuhan parasit tersebut. Untuk pesakit yang mengalami kesakitan mata yang teruk, doktor turut perlu memberi ubat penahan sakit. Namun begitu, bagi sesetengah kes, terdapat jangkitan yang didiagnosis lambat, yang mana Acanthamoeba telah menembusi kornea mata dan tahap jangkitan adalah sangat teruk serta parasit tersebut sangat kebal terhadap rawatan yang diberikan. Oleh itu, pesakit tersebut terpaksa menjalani proses pembuangan bola mata oleh kerana tidak tahan dengan kesakitan mata melampau yang dialami berulang kali.
Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Bertitik tolak daripada itu, pencegahan keratitis Acanthamoeba dapat dilakukan dengan mengikuti saranan yang diberikan. Semua pemakai kanta sentuh harus memakai dan menggantikan kanta sentuh mengikut masa yang ditetapkan, tidak memakai kanta sentuh ketika melakukan aktiviti melibatkan air seperti mandi dan berenang, membasuh tangan menggunakan sabun dan air yang bersih dan mengeringkan tangan sebelum mengendalikan kanta sentuh. Selain itu, pemakai kanta sentuh juga perlu membersihkan kanta sentuh mengikut arahan yang ditetapkan oleh doktor, pakar mata atau optometris bertauliah, tidak menggunakan larutan disinfektan lama dan tercemar, sentiasa menggunakan larutan disinfektan yang baru dan bersih dan tidak menggunakan larutan air garam buatan sendiri dan air paip untuk membersihkan dan menyimpan kanta sentuh. Kanta sentuh perlu dibersihkan, digosok dan dibilas setiap kali selepas penggunaannya. Bekas penyimpanan kanta sentuh perlulah bersih sebelum digunakan dan perlu dikeringkan selepas digunakan. Ia perlu diganti sekurang-kurangnya sekali dalam setiap tiga bulan. Kesimpulannya, kebersihan merupakan faktor utama yang dapat memelihara kesihatan mata daripada risiko jangkitan penyakit. Jauhi risiko menjadi buta, jadilah pengguna kanta sentuh yang bijak dan selamat.
Kredit Foto :
veteransnewsreport
healthjade