Oleh : Prof Madya Dr Haslinda Ramli, Prof Madya Dr Tuti Ningseh Mohd Dom & Dr Shahida Mohd Said
Kayu sugi adalah alat yang digunakan untuk membersihkan gigi dan bahagian lain mulut daripada sisa makanan dan lain-lain kekotoran. Ia dikenali dengan nama lain seperti “siwak” atau “miswak” dalam bahasa Arab yang bermaksud kayu memberus gigi. Sementara dalam bahasa Urdu ianya dipanggil “peelu” dan “ugaai” dalam bahasa Tamil. Kebanyakan kayu sugi dipetik daripada pokok Arak atau nama saintifiknya Salvadora persica. Pokok in boleh tumbuh di kawasan berpasir dan bercuaca panas, terutamanya di negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Iraq, Iran, Mesir, Syria danYaman. Kayu sugi juga boleh didapati daripada pokok spesies lain bergantung kepada keadaan geografi sesebuah negara – di Afrika kayu sugi dipetik daripada pokok limau nipis (Citrusaurantafolla) dan pokok oren (Citrussinensis), dan di India ianya diperolehi daripada pokok neem (Azadirachta indica). Kayu sugi dipetik daripada ranting, dahan dan akar pokok. Ianya sesuai digunakan untuk memberus gigi, apabila disediakan dalam saiz pen atau pensil. Kayu sugi bersifat seperti span dan mudah dikunyah pada bahagian hujung bagi membentuk keadaan seperti berus, sebelum digunakan untuk memberus.
Kayu sugi telah digunakan oleh manusia semenjak zaman pemerintahan Babylon iaitu lebih 2000 tahun dahulu lagi. Penggunaannya diteruskan sehingga kedatangan Islam, ia menjadi popular kerana Rasulullah SAW sangat gemar menggunakan kayu sugi. Sehingga diriwayatkan daripada hadis Al-Bukhari (1422, 6:10), Aisyah berkata:
‘Abdur Rahman bin Abu Bakar As-Siddiq menemui Nabi SAW dan Nabi SAW bersandar di dadaku. ‘Abdur Rahman membawa siwak yang basah yang dia gunakan untuk bersiwak. Dan Rasulullah SAW memandang siwak tersebut (dengan pandangan yang lama). Maka aku pun mengambil siwak itu, lalu aku menggigitnya, melembutkannya serta membersihkannya.
Kemudian aku berikan siwak tersebut kepada Rasulullah SAW, maka beliau pun bersiwak dengannya. Dan tidaklah pernah aku melihat Rasulullah SAW bersiwak yang lebih baik dari itu. Dan setelah Rasulullah SAW selesai dari bersiwak dia pun mengangkat tangannya atau jarinya lalu berkata :فِي الرَّفِيْقِ الأَعْلَى. Beliau mengatakannya tiga kali. Kemudian beliau wafat.
Dalam petikan hadis lain menekankan kepentingan bersugi dalam penjagaan kebersihan mulut. Antaranya, hadis riwayat Al-Bukhari (1422, 3:31), Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:
“Kalau bukan kerana akan memberatkan umatku maka aku akan perintahkan mereka untuk bersugi setiap kali wuduk”
Pada hari ini, kayu sugi masih menjadi pilihan sesetengah individu walaupun begitu banyak jenis berus gigi di pasaran. Apakah sebabnya?
Kayu sugi masih menjadi pilihan penduduk di negara-negara yang sedang membangun. Menurut kajian, sebahagian kecil kanak-kanak sekolah di beberapa daerah di negara Sudan, Arab Saudi, Yaman, Tanzania, Kenya, Afrika dan India, telahpun menggunakan kayu sugi. Lebih ramai pengguna kayu sugi adalah di kalangan orang dewasa dan tua yang dilaporkan di kebanyakkan negara berkenaan, termasuk di Iran, Pakistan, Libya, Vietnam dan Malaysia.
Kayu sugi masih menjadi pilihan kerana keyakinan pengguna kepada agama Islam yang dianuti. Mereka mempamerkan ketaatan kepada ajaran agama Islam dengan melakukan amalan sunnah Rasulullah SAW, antaranya adalah bersugi. Di samping itu, dalam beberapa laporan kajian menyatakan pengguna mendapat manfaat daripada bersugi. Mereka mendapati gigi jarang rosak, gusi kurang berdarah, gigi lebih kukuh dan kurang keperluan mendapatkan rawatan pergigian. Mereka juga merasakan gigi mereka lebih bersih, putih dan berkilat, selepas bersugi.
Bagi mereka yang tinggal di negara yang mempunyai cuaca yang sesuai untuk sumber pokok kayu sugi tumbuh, sangat beruntung kerana mereka boleh mendapatkan kayu sugi dengan lebih mudah dan hanya memetik terus daripada ranting, dahan dan akar pokok berkenaan. Tambahan pula, harga pasaran kayu sugi juga lebih murah kerana kos penghasilan kayu sugi daripada bahan semula jadi adalah lebih rendah berbanding dengan pembikinan berus gigi moden dan ubat gigi.
Artikel Berkaitan – Siwak Bukan Sekadar Sunnah
Kayu sugi masih menjadi pilihan kerana keberkesanannya dalam menjaga kebersihan dan kesihatan mulut. Kajian saintifik membandingkan penggunaan berus gigi moden bersama ubat gigi dengan kumpulan pengguna kayu sugi. Keputusan kajian mendapati kayu sugi berupaya menghilangkan bakteria plak gigi dan mengurangkan kejadian gusi berdarah. Penggunaan kayu sugi oleh pesakit yang mengidap penyakit gusi juga mendapati keadaan mulut mereka lebih bersih dan keadaan gusi mereka lebih sihat. Kadar kejadian gigi berlubang juga berkurangan. Keupayaan kayu sugi dalam membersihkan gigi, mencegah kerosakan gigi dan mengembalikan kesihatan gusi, adalah setanding atau lebih baik daripada menggunakan berus gigi moden bersama ubat gigi.
Selain kesan mekanikal, kayu sugi juga mengandungi bahan kimia yang bermanfaat kepada kesihatan mulut. Antaranya adalah bahan antibakteria yang terbukti berkesan membunuh bakteria plak gigi dan mencegah pembentukan plak gigi. Kandungan vitamin C membantu dalam penyembuhan luka pada mukosa mulut. Bahan resin membentuk lapisan perlindungan pada permukaan paling luar gigi dan mencegah kerosakan gigi. Bahan tannin pula berupaya mengecutkan saluran darah dan mengurangkan keradangan. Bahan-bahan mineral seperti kalsium dan fluorida menguatkan gigi dan merencat pembentukkan gigi berlubang. Manakala mineral seperti klorida dapat merencat pembentukan karang gigi. Klorida beserta silika dan natrium bikarbonat bersifat kesat dan berkesan menghilangkan kotoran yang melekat pada permukaan gigi.
Kayu sugi masih menjadi pilihan pengusaha-pengusaha produk kesihatan mulut. Kayu sugi dijadikan bahan inovasi dengan memasarkannya dalam bekas yang lebih praktikal untuk digunakan. Sama ada dalam bekas sahaja atau dibuat bersekali dengan bahagian yang boleh memotong kayu sugi. Pengeluar juga menggunakan pati kayu siwak yang mengandungi bahan-bahan kimia yang bermanfaat kepada kesihatan gigi dan gusi, untuk menghasilkan produk ubat gigi dan ubat kumur. Mereka juga mencampurkan pati kayu sugi kedalam berus pada berus gigi moden.
Secara rumusannya, kayu sugi masih menjadi pilihan pengguna kerana pengaruh agama yang dianuti serta mengambil kira keberkesanan dan manfaatnya kepada kesihatan mulut. Untuk memilikinya adalah tidak sukar kerana pembekal dan pengusaha menyedari permintaan produk kayu sugi. Pengguna mempunyai pilihan pelbagai produk kayu sugi yang berada di pasaran.
Penulis
Prof Madya Dr Haslinda Ramli
Profesor Madya Pergigian dan Pakar Periodontik, Jabatan Periodontologi dan Pergigian Masyarakat, Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Email: drhaslinda@usim.edu.my
Prof Madya Dr Tuti Ningseh Mohd Dom
Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Jabatan Kesihatan Pergigian Keluarga
Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Presiden, Persatuan Pakar Kesihatan Awam Pergigian Malaysia
Email: tutinin@ukm.edu.my
Dr Shahida Mohd Said
Pakar Periodontik, Jabatan Pergigian Restoratif
Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Email: shahidams@ukm.edu.my