Penulis: Profesor Madya, Ts. Dr. Saiful Irwan Zubairi
Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Saban hari kita dijamukan di dalam media sosial utama dengan kepelbagaian aneka makanan yang dijual secara dalam talian mahupun secara konvensional di warung dan restoran. Kaedah penyediaan makanan yang dipamerkan melalui tontonan secara video pendek dan gambar dapat memberikan gambaran secara kasar bagaimana penyediaan makanan dilakukan samada dengan menggunakan kaedah yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau tidak.
Ada para peniaga yang begitu menjaga tatacara asas penyediaan makanan yang bersih, berkualiti dan terhindar daripada pencemaran silang yang boleh menyebabkan keracunan makanan yang serius. Penggunaan sarung tangan getah atau plastik, membasuh tangan dengan sabun antibakteria setiap kali bertukar stesen penyediaan makanan serta pemakaian penutup rambut yang sempurna merupakan kaedah paling mudah, murah dan patut dijadikan rutin utama kepada semua pengusaha dan penyedia makanan tersebut. Tiada alasan yang sepatutnya diberikan dalam penyediaan makanan yang terhindar daripada sebarang kekotoran dan bendasing dan sudah pastinya pengguna mengharapkan kualiti makanan yang dibeli adalah setimpal dengan aspek keselamatan dan juga penyediaan yang bersih.
Media sosial
Lebih diburukkan lagi teguran di media sosial (contoh: Facebook dan Instagram) terhadap pengusaha dan penyediaan makanan pada video atau gambar promosi makanan yang diselitkan dengan kaedah penyediaan dibalas dengan komen-komen yang dangkal dan tidak munasabah di dalam konteks penyediaan makanan yang bersih. Komen-komen yang biasa dilemparkan seperti,
“kamu makan juga kedai mamak buat roti canai, kedai mamak pakai tangan saje tebar roti canai, mak kamu masak kat rumah pakai sarung tangan tak?”,
“dia pakai sarung tangan tapi nanti pegang macam-macam apa bezanya baik tak payah pakai”
merupakan penyataan normalisasi yang boleh memburukkan lagi keadaan dan merosakkan minda pengguna yang lain yang. Selepas pandemik COVID-19, masyarakat Malaysia kini dilihat lebih cerewat dalam membuat pembelian makanan dengan melihat sendiri keadaan kedai (tampalan gred kebersihan KKM), penyedia makanan, tandas dan pemakaian asas bagi pengusaha makanan.
Oleh yang demikian, cukup dengan DUA perkara asas utama yang boleh dititikberatkan oleh pengusaha dan penyedia makanan dalam memastikan tiada sebarang keracunan boleh berlaku kepada pembeli iaitu 1) penggunaan sarung tangan getah yang kebanyakannya mempunyai partikel antibakteria dan 2) pembasuhan tangan setiap kali keluar daripada stesen penyediaan makanan tetap. Dua aspek tersebut merupakan kaedah paling murah dan mudah untuk digunapakai dan ianya bukanlah perkara baru dalam memastikan makanan yang disediakan berkualti dan selamat dimakan. Soal kos pembelian sarung tangan dan sabun cuci antibakteria memang tidak perlu lagi dipertikaikan kerana harga bahan tersebut jauh lebih murah dan senang diperolehi di mana-mana kedai alatan, serbaneka dan secara atas talian (shopee/lazada). Cetusan wabak COVID-19 telah memberikan gelombang kesedaran yang tinggi kepada masyarakat Malaysia tentang aspek kontaminasi silang yang boleh membawa maut sekiranya berlakunya keracunan makanan yang serius.
Penyebaran bakteria
Penggunaan sarung tangan getah yang bercirikan antibakteria merupakan pemakaian terbaik dalam penyediaan makanan yang selamat. Tidak dinafikan banyak warung-warung, kedai kecil mahupun pengusaha makan dalam talian dilihat mula menggunakannya dan menyedari penggunaan sarung tangan ini memberikan banyak kelebihan dan keyakinan yang tinggi kepada para pembeli yang melihat penyediaannya. Pelaburan yang murah ini pada sekitar RM35 ke RM40/kotak mampu memberikan lonjakan pulangan yang lumayan akibat daripada kepercayaan yang tinggi oleh pembeli oleh kuasa tular media sosial. Dengan ciri-ciri penambahan partikel nano perak pada kepekatan yang berbeza-beza di antara 20 hingga 100 part per million (ppm) di dalam larutan lateks getah semulajadi atau sintetik nitril, ianya menjadikan sarung tangan getah tersebut bersifat antibakteria dengan % kematian bagi aktiviti bakteria kepada 99.93% bagi kedua-dua bakteria yang memberikan keracunan makanan kepada manusia yang boleh membawa maut iaitu E. Coli dan Staphylococcus aureus. Dengan penggunaan sarung tangan ini, sekiranya terdapat penukaran stesen penyediaan makanan dan penggunaan utensil memasak yang lain, kebarangkalian kontaminasi silang berlaku amatlah rendah jika dibandingkan dengan hanya memegang tangan sahaja.
Amalan kebersihan
Kebersihan tubuh badan terutama sekali di bahagian tangan tidak perlu lagi diperkatakan kerana anggota ini merupakan anggota yang paling kerap digunakan dalam apa jua pekerjaan. Dalam konteks penyediaan makanan, kekerapan membasuh tangan dengan menggunakan sabun antibakteria sudah pastinya peluang kontaminasi silang berlaku dapat dikurangkan berbanding dengan pemakaian sarung tangan antibakteria. Jika pengguna berhasrat untuk menjamu selera di kedai makan yang telah dilabelkan dengan gred kebersihan KKM, ini juga memberikan indikator jelas tahap kebersihan kedai tersebut. Kedai mamak yang menyediakan makanan seperti roti canai kebanyakannya berada pada gred B dan C dan sudah pastinya pengguna boleh menilai sendiri tahap kebersihan kedai tersebut kerana tatacara pemakaian dan keberadaan pekerja pada stesen-stesen penyediaan makanan tertentu memberikan penilaian yang jelas kepada penilai KKM dalam memberikan pengredan. Tidak dinafikan para pekerja kedai mamak mahupun keluarga sendiri dilihat tidak perlu memakai sebarang sarung tangan tetapi ada yang mulai sedar yang membasuh tangan sebelum memegang sebarang bahan makanan adalah kaedah asas yang telah lama dipelajari di sekolah atau ajaran kitab agama dalam aspek kebersihan diri.
Perkara asas dalam aspek penjagaan diri dan anggota tubuh badan amat jelas dan pemupukan aspek kebersihan ini boleh dijadikan kayu ukur sejauhmana kita diajar semasa kecil oleh keluarga akan kepentingan kebersihan sebelum menjamah sebarang makanan maupun menyediakan makanan kepada orang lain. Untuk mereka yang suka makan di kedai makan seperti mamak dan restoran yang mempunya label bergred, pilihan di tangan anda untuk memilih kedai mana yang bersih. Dengan sikap menormalisasikan kepada orang lain bahawa tahap kebersihan yang kita telah biasa menjamu selera (kedai makan bergred B dan C) tidak akan mendatangkan sebarang kemudaratan, ini merupakan tahap kesedaran yang paling pendek akal dan membimbangkan. Di samping itu, adalah tidak masuk akal sekiranya ada ahli keluarga seperti kaum ibu yang kerap menyediakan juadah makanan kepada keluarga untuk tidak membersihkan diri dan anggota tangan mahupun segala utensil dan tempat penyediaan makanan tersebut kerana makanan tersebut akhirnya akan dihidangkan kepada ahli keluarga tersayang. Kebersihan adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan yang ada pada diri kita. Ianya berkadar terus dengan kehidupan harian semasa kita. Bersih tatacaranya, bersihlah iman dan kemaslahatan hidup semasa kita.