Oleh: Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim, Ahli YSN-ASM
Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia
Finland dikenali sebagai ‘Land of Thousand Lakes’, yakni bumi dihiasi dengan ribuan tasik indah. Namun, Finland bukanlah satu negara yang sering meniti di bibir rakyat Malaysia. Inikan pula hendak menyambung pengajian di sana; tidak pernah terlintas difikiran saya ketika itu. Oleh kerana keutamaan saya lebih kepada bidang penyelidikan berbanding faktor-faktor lain seperti keselesaan, kemewahan, yuran pengajian dan populariti tempat, saya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian kedoktoran falsafah (PhD) di Helsinki University of Technology (HUT), atau dalam Bahasa Finland dikenali sebagai ‘TKK’ – Teknillinen korkeakoulu. Pengajian PhD saya adalah di bawah penyeliaan Prof. Markku Hurme dalam bidang kejuruteraan kimia.
Kami sekeluarga bertolak ke Finland pada Ogos 2005 setelah habis berpantang, ketika anak pertama saya berumur 5 bulan. Teringat kembali detik apabila pesawat sudah hampir mendarat di bumi Finland. Pemandangan yang kami nampak dari udara hanyalah ‘hijau’ semata-mata; iaitu hamparan pokok-pokok terbentang luas. Jauh meleset dari jangkaan awal kami yang menggambarkan Helsinki ini merupakan sebuah kota metropolitan seperti Tokyo atau New York!
Finland tidak mempunyai sumber asli, hanya dipenuhi dengan beribu-ribu tasik dan rizab hutan yang luas. Makanya, mereka bergantung kepada pembangunan teknologi untuk memacu ekonomi negara. Antara produk dan teknologi yang menjadi kebangaan Finland ialah Linux, Nokia, penderia pemantauan denyutan jantung, IRC Chat Protocol, Kone (sistem lif bangunan), dan aplikasi Angry Birds yang pernah popular beberapa tahun lepas. Selain daripada itu, teknologi maklumat dan pengkalan data juga sudah lama mendapat tempat di Finland. Sebagai contoh, pembelian tanpa tunai untuk pelbagai urusniaga di kedai runcit, mesin runcit dan pengangkutan awam sudah berleluasa semenjak tahun 2005!
Antara topik yang hangat dibincangkan apabila bercakap tentang Finland ialah cuaca sejuk yang ekstrim. Suhu pada musim sejuk boleh mencecah sehingga -35 darjah Celcius. Ditambah dengan ‘chill factor’ (disebabkan aliran angin kuat), suhu sebenar dirasai oleh kita boleh turun kepada -38 hingga -39 darjah Celcius. Sejuk amat tidak terkata!
Kami mengambil kesempatan ‘berjalan’ di atas laut di Pantai Matinkyla tidak jauh daripada bandar Espoo, Finland. Kesemua sumber air, seperti laut, sungai dan tasik akan membeku sepanjang musim sejuk. Bukan sahaja boleh berdiri, malahan kereta juga boleh merentasi tasik beku oleh kerana bongkahan ais terbentuk amatlah tebal. Ketebalan bongkah ais boleh mencecah sehingga 90 cm!
Tasik beku dijadikan sebagai pusat bermain luncur ais (ice skating) sementara sepanjang musim sejuk. Pada waktu itu juga banyak kelihatan warga tempatan pergi memancing. Mereka menebuk lubang-lubang kecil pada lapisan ais tebal dan duduk menunggu di situ bersama batang joran masing-masing dalam keadaan sejuk melampau. Aktiviti ini dikenali sebagai ‘ice fishing’ dan ia memerlukan lesen daripada pihak berkuasa tempatan Finland.
Adam dan rakan-rakannya berluncur salji di Paloheina. Adam bersama kanak-kanak di Finland telah didedahkan kepada kemahiran hidup semenjak di peringkat pra-sekolah. Adam telah dididik untuk menyarung pakaian sendiri. Walaupun bunyinya remeh, namun tidak semudah yang disangka! Bayangkan baju musim sejuk yang cukup tebal, berat dan begitu rumit, dengan stoking musim sejuk, sarung tangan hingga ke paras siku, penutup muka dan kepala, kasut tahan salji dan kalis air; semua ini perlu dipakai sendiri. Mereka juga sudah diajar untuk membersihkan diri selepas ke tandas sejak usia kecil. Dan dari segi makan pula, sudah pasti perlu suap secara sendiri walaupun terkial-kial kerana kanak-kanak tidak disuap untuk makan di sana. Guru tidak membantu; cuma memantau.
Bersama dengan rakan-rakan Malaysia lain bermain luncur salji. Kanak-kanak dibiasakan untuk terus bermain dan melakukan pelbagai aktiviti riadah dalam suhu dingin beku. Orang Finland percaya, untuk badan menjadi kuat, kanak-kanak di sana perlu tidur di luar rumah (dalam sleeping bag) sewaktu musim sejuk. Ini untuk menserasikan badan mereka dengan cuaca musim sejuk yang lasak dan agar tubuh badan mampu disesuaikan dengan cuaca sehingga dewasa.
Di sekolah dan pusat jagaan harian, aktiviti luaran tetap berjalan seperti biasa walaupun salji menebal. Kanak-kanak perlu mengambil Vitamin D tambahan oleh kerana vitamin tersebut tidak boleh diperolehi secara semulajadi menerusi sinaran cahaya matahari kerana waktu malam yang panjang.
Timbunan salji tebal di atas bumbung kediaman merupakan permandangan yang indah. Namun, pada masa yang sama mendatangkan masalah kerana banyak kes bumbung runtuh disebabkan berat timbunan lapisan salji menimpa bumbung. Finland sangat mengutamakan aspek penyelenggaran. Oleh itu, kerja-kerja penyelenggaran sering dibuat dari masa ke semasa untuk membuang lapisan salji dari bumbung bangunan. Contoh lain ialah sistem penebatan pada pintu dan tingkap bangunan akan diganti setiap tahun sebelum tiba musim sejuk walaupun masih dalam keadaan baik.
Memandangkan suhu sentiasa di bawah 0 darjah Celcius, lapisan salji ini tidak mencair tetapi kekal bertimbun dan membentuk lapisan tebal. Walaupun Finland adalah negara empat musim, namun musim sejuknya panjang sekali, sekitar lapan bulan setahun.
Tesis di Finland merupakan ringkasan hasil penyelidikan, dikepilkan bersama manuskrip jurnal yang telah diterbitkan sepanjang pengajian PhD. Tesis ini perlu dicetak dalam 100 salinan untuk diedarkan kepada kesemua perpustakaan di seluruh Finland dan luar Finland, juga kepada para hadirin pada sesi pembentangan PhD yang dijalankan secara terbuka.
Sesi soal jawab semasa proses viva PhD (dikenali di sana sebagai ‘PhD defense’) berlangsung. Tiada had masa ditetapkan untuk proses ini, namun selalunya tidak mengambil masa terlalu lama oleh kerana terdahulu, tesis pelajar telah disemak oleh dua orang penilai luar, dipulangkan kepada pelajar untuk diperbaiki dan melalui semakan semula sebelum diputuskan samada tesis tersebut layak untuk dibentangkan di hadapan umum.
Dihujani dengan ucapan tahniah daripada hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada rakan-rakan penyelidikan dan teman-teman daripada Malaysia selepas selesai sesi pembentangan. Ini diikuti dengan jamuan ringan bagi meraikan pembentang yang tamat pengajian PhD selain daripada menjamu tetamu yang hadir ke sesi pembentangan tersebut. Sebagai rakyat Malaysia, saya mengambil peluang menjamu hadirin dengan juadah-juadah tempatan seperti karipap dan teh tarik untuk para profesor dan tetamu yang hadir.
Sesi ‘karonkka’ iaitu majlis makan malam anjuran graduan PhD pada malam selepas sesi pembentangan sebagai tanda berterima kasih kepada pemeriksa. Dalam majlis tersebut, kami turut meraikan sahabat handai, ahli keluarga serta rakan-rakan dari jabatan dan makmal yang sama. Saya memilih makanan bertemakan India untuk menjamu tetamu bagi memberikan kelainan citarasa terutamanya tetamu tempatan. Saya tidak berpeluang menjamu tetamu dengan juadah daripada Malaysia oleh kerana restoran Malaysia di Helsinki begitu kecil sekali.
Memori terakhir kami di Finland. Adam bersama guru-guru pusat jagaan (ataupun ‘paivakoti’) di Lintukorventie, Espoo. Nisbah tenaga pengajar kepada bilangan murid bagi pusat jagaan ditetapkan pada kadar 1:4 di Finland. Sepanjang di Finland, guru begitu rapat dengan kami walaupun terdapat masalah komunikasi di antara kami. Kebanyakan rakyat Finland tidak berapa fasih berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris. Bahasa Finland juga teramat susah untuk dimahiri; maka tidak hairanlah ia merupakan salah satu daripada lima bahasa paling susah di dunia!
Sepastinya saya amat menghargai peluang diberikan sepanjang menetap di Finland selama 5 tahun (2005-2010). Negara kecil yang dihiasi dengan beribu-ribu tasik yang indah dan tenang serta budaya yang unik telah memberikan saya pengalaman tidak ternilai dan tidak mampu saya perolehi di tempat lain. Susah payah, pahit getir serta pengalaman manis dan bahagia di sana telah mematangkan saya secara positif, bukan sahaja dari aspek lahiriyah tetapi juga kematangan fikiran, emosi dan kerjaya sebagai penyelidik.
Di harap perkongsian ini dapat membuka mata rakyat Malaysia mengenai budaya dan aspek kehidupan dari perspektif berbeza berdasarkan pengalaman kami di Finland.