Oleh : Prof Dr Haji Baba Md Deros1, Dr Nor Kamaliana Khamis1 & Nor Kamaliah Khamis2
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia1 & Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan (FISE), Management and Science University2
KELESUAN MATA DALAM PENGGUNAAN PERANTI BERSKRIN
Pengunaan peranti berskrin sering digunakan oleh kebanyakan orang dewasa bukan sahaja untuk tujuan kerja tetapi juga untuk tujuan berkomunikasi seharian. Di kala negara masih dilanda pandemik COVID19, hampir setiap hari peranti berskrin seperti telefon bimbit pintar dan komputer riba digunakan untuk tujuan bermesyuarat atau perjumpaan secara atas talian. Bagi kanak-kanak pula, jika dahulunya peranti berskrin ini dianggap suatu peralatan yang tidak sesuai kerana ia boleh menyebabkan mereka ketagihan. Namun begitu, situasi pandemik semasa telah merubah status peranti berskrin menjadi satu keperluan penting untuk kebanyakan keluarga sebagai persediaan menghadapi sesi pembelajaran di atas talian dengan guru. Pada hari ini, situasi pandemik kes jangkitan COVID19 masih belum lagi menampakkan sebarang tanda penurunan. Oleh itu, ramai ibu bapa telah berusaha mencari peranti berskrin tambahan untuk kegunaan pembelajaran atas talian untuk anak-anak mereka di rumah. Kini, peralatan berskrin dan capaian internet telah dianggap sebagai keperluan asas dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR). Walau bagaimanapun, penggunaan gajet secara berterusan untuk tempoh yang lama, boleh memberi kesan negatif kepada mata pengguna, terutamanya menyebabkan keselesuan atau dikenali juga sebagai ketegangan mata.
Bagaimana kelesuan mata boleh berlaku?
Berbanding bahan bercetak, setiap peranti berskrin terutamanya komputer selalunya mempunyai sinaran cahaya tertentu daripada skrin. Selain itu, ketidakselesaan pada mata juga wujud apabila kecerahan daripada skrin tidak sesuai dengan pengguna. Kebiasaannya, mata manusia akan berkelip sekitar 15 kali bagi setiap minit ketika menatap skrin. Walaubagaimanapun, penatapan skrin untuk tempoh yang lama akan menyebabkan kekerapan kerlipan akan berkurang, lalu ia akan mengakibatkan mata menjadi kering dan lesu.
Berapa lamakah tempoh maksimum penggunaan peranti berskrin?
Sememangnya, peruntukan tempoh maksimum dalam penggunaan peranti berskrin perlu dipantau. Untuk anak-anak sekolah, Manual PdPR yang dikongsikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan pelaksaanaan PdPR di dalam talian atau di luar talian yang melibatkan peranti berskrin telah menyarankan pertimbangan tempoh melayari internet mengikut tahap persekolahan anak-anak. Sebagai contoh, anak-anak di peringkat prasekolah hanya disarankan untuk menggunakan peranti berskrin selama satu (1) jam; tempoh maksimum untuk anak-anak di sekolah rendah ialah dua (2) jam; dan anak-anak di sekolah menengah atas selama tiga (3) jam. Manakala, tiada kenyataan tempoh maksimum yang selamat diperuntukkan bagi golongan orang dewasa.
Bagaimana mengelakkan kelesuan mata?
Pengguna peranti berskrin perlu memperuntukkan masa untuk merehatkan mata antara penggunaan dan melakukan aktiviti lain selain peranti berskrin boleh mengelakkan berlaku kelesuan mata. Disarankan pengguna peranti berskrin mengamalkan peraturan seperti berikut 20-20-20. Apakah yang dimaksudkan dengan peraturan ini? Bagi setiap 20 minit mata digunakan untuk menghadap skrin, seseorang individu perlu melihat ke arah lain yang mempunyai jarak sejauh sekitar 20 kaki selama 20 saat. Kenapa 20 saat? Dinyatakan 20 saat ini, adalah masa untuk mata berehat sekejap daripada sebarang aktiviti. Masa 20 saat ini, boleh juga digunakan untuk mengambil minuman bagi memberikan tenaga pada diri anda. Selain itu, disarankan juga untuk menggunakan masa 20 saat ini untuk menstabilkan kerlipan mata agar mata tidak terlalu kering dan mengurangkan tegangan pada mata akibat terlalu fokus ketika melihat peranti berskrin.
Bagaimana kesedaran semasa pengguna berkaitan penggunaan peranti berskrin?
Berdasarkan kajian semasa yang telah dilakukan melibatkan sampel rawak dalam kumpulan yang kecil, setiap golongan pengguna mempunyai tujuan pengunaan dan kaedah pengunaan peranti berskrin yang tersendiri. Bagi golongan berusia, mereka lebih cenderung menggunakan telefon pintar berbanding komputer riba terutama untuk membaca berita daripada portal atas talian. Dari segi jarak melihat skrin, rata-rata melihat skrin pada jarak 0.5 hingga 1 meter. Kebiasaannya, golongan ini tidak akan menggunakan peranti berskrin dalam posisi baring, meniarap dan berdiri. Golongan ini juga mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kesan negatif dari peranti berskrin terhadap keadaan mata diakibatkan pencahayaan tinggi, jarak mata dan skrin yang tidak sesuai.
Bagi golongan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi pula, disebabkan kesemua kelas diadakan secara atas talian, maka tempoh masa yang banyak diperlukan iaitu dengan purata lima jam sehari untuk menatap dan menggunakan peranti berskrin. Ia bukan sahaja digunakan untuk mengikuti kelas, tetapi juga digunakan menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Bagi mengikuti kelas secara atas talian, kebanyakan pelajar lebih cenderung menggunakan telefon pintar kerana saiznya yang lebih kecil dan ringan untuk dibawa ke mana-mana berbanding komputer riba. Golongan ini juga lebih menggemari untuk membaca melalui buku elektronik (E-book) kerana boleh disimpan dalam satu lokasi tertentu dan lebih kemas. Dari segi jarak antara mata dan skrin pula, seperti golongan berusia, jarak yang sesuai diperuntukkan ketika penggunaan peranti. Majoriti golongan ini cenderung menggunakan peranti sambil duduk dan diikuti dengan berbaring. Golongan ini juga mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kesan negatif dari peranti berskrin seperti golongan berusia. Golongan pelajar sekolah pula secara puratanya, mengikuti kelas atas talian menggunakan telefon pintar dan juga komputer riba. Selain itu, ada pelajar sekolah yang mengakui bermain permainan video selama berjam-jam menggunakan peranti berskrin.
Teknologi perlindungan mata untuk penggunaan peranti berskrin
Di pasaran, terdapat banyak perisian yang boleh digunakan untuk perlindungan mata. Perisian ini ada yang disediakan secara percuma dan juga ada yang sudah terdapat dalam peranti. Sebagai contoh, teknologi dalam telefon mudah alih pada masa sekarang telah menyediakan pilihan paparan penapis cahaya biru dalam bahagian aturan telefon mudah alih. Bagi penggunaan komputer pula, kebanyakan perisian yang dipasang akan mempunyai fungsi peringatan untuk pengguna berehat seketika dan memaparkan nasihat untuk penggunaan komputer dengan cara yang sihat. Umumnya, perisian ini menggunakan kaedah untuk mengelakkan kelesuan mata seperti yang telah diterangkan dalam kaedah 20-20, yang mana skrin akan dipudarkan untuk merehatkan mata pengguna selama 20 saat, selepas 20 minit pengunaan. Perisian ini juga boleh diselaraskan mengikut kehendak pengguna. Perisian seperti ini dapat membantu menjaga mata pengguna dan dapat meningkatkan produktiviti kerja kerana ia dapat mengurangkan keletihan mata. Selain daripada perisian bagi peranti berskrin, di pasaran terdapat banyak kaca mata untuk perlindungan mata seperti ‘Anti-Blue Light’.
Kredit Foto : invisioncare