Oleh : Dr Siti Suriani Othman
Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
Ledakan harapan setiap daripada kita semua, terutama dalam era Malaysia Baharu ini bukan sedikit dan pastinya tidak terhad kepada perkembangan politik semata-mata. Antara yang jelas, dalam konteks Malaysia sekurang-kurangnya, kita menyasarkan saintis Muslim lebih menyerlah dan limpahannya dirasai segenap ummah. Mungkin juga ini bukan harapan dari seluruh Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya bagi Muslim yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Kita tetap meyakini bahawa peluang untuk Islam kembali ke zaman kegemilangannya bukanlah impian kosong tanpa pengharapan.
Dalam perbincangan ini, saintis Muslim ditakrifkan sebagai akademia, sarjana atau pemikir beragama Islam yang berkhidmat sebagai pensyarah atau pakar bidang tertentu termasuk sains sosial. Dalam konteks ini, saintis Muslim dilihat sebagai agen utama yang mampu menyerlahkan impian umat Islam di konteks Malaysia khususnya dan dunia amnya. Antara impian yang dimaksudkan ialah meningkatkan prestasi saintis Muslim, menyebar-luaskan peranan saintis dan universiti untuk kemaslahatan ummah serta meningkatkan darjat negara Islam dari segenap aspek.
Harapan ini memang menggunung tinggi, tetapi pasti tidak mustahil sama sekali. Zaman kegemilangan Islam telah menampakkan bukti betapa utuhnya ilmu sains dan pelbagai bidang lain dikuasai oleh intelek Muslim. Nama-nama seperti Al-Farabi (972-951 AD), Al-Ghazzali (1058-1111 AD), Ibn Rushd (1126-1198 AD), Ibn Arabi (1165-1240 AD) dan Ibn Khaldun (1332-1406 AD) meniti di bibir masyarakat bukan hanya pada zamannya atau terhad dalam kalangan pemikir Islam, namun menjadi asas ilmu di Barat serta dihayati sehingga kini. Pelbagai limpahan kebaikan dikongsikan berkat kepakaran mereka, misalnya menyelamatkan nyawa pesakit, menenangkan jiwa dengan musik, mengkaji waktu solat melalui ilmu astronomi dan pelbagai lagi. Ibn Rushd misalnya menyasar kemaslahatan ummah dengan mengusahakan hospital yang membolehkan pesakit mendapat rawatan, dan dilihat sebagai fardhu kifayah yang mendekatkan hati ummah kepada Allah. Hal ini disebutkan oleh Prof. Datuk Mohd Yusof Othman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam Forum Advokasi Ilmuan yang kemudian dibukukan dalam kompilasi Membitara Transformasi dan Kesejahteraan Malaysia terbitan Majlis Profesor Negara.
Maka perlu kita hayati pula situasi dan prestasi umat Islam hari ini. Memetik dari buku pemenang Anugerah Nobel Muslim Mohammad Abdul Salam dalam bukunya Ideals and Realities dan Renaissance of Sciences in Islamic Countries, katanya: Pertama, jumlah saintis aktif di negara Islam berada dalam keadaan kritikal. Kedua, hampir semua hasil kajian penyelidikan dalam bidang perubatan tidak menerima input daripada dunia Islam. Ketiga, jumlah pemenang Anugerah Nobel yang dilahirkan dalam kalangan Muslim hanya seramai 12 orang daripada sejumlah 1.4 bilion orang Islam, berbanding 167 penerima anugerah dari 14 juta Yahudi seluruh dunia. Daripada 12, hanya tiga dimenangi dalam bidang sains iaitu Mohammad Abdul Salam (bidang fizik) pada tahun 1979, Ahmed Zewail (bidang kimia) pada 1999 dan Aziz Sancar (bidang kimia) pada 2015. Apabila meniti realiti ini, kita seharusnya terfikir ke manakah perginya warisan kehebatan saintis Muslim yang merintis pelbagai ilmu suatu masa dahulu?
Maka, pembicaraan ini berkisar kepada persoalan praktikal bagaimanakah kita boleh menggapai semula kegemilangan yang sudah teragut itu. Beberapa cadangan dibawakan termasuklah menginovasi hati dan jiwa, memahami fungsi saintis atau intelek dan mengembalikan sifat ilmu pengetahuan supaya dalam dikaji seadanya mengikut cirinya yang tersendiri. Walaupun cadangan ini belum boleh dikatakan sebagai menyeluruh, tetapi ia boleh dihujahkan sebagai antara elemen asas yang perlu dibangunkan oleh setiap umat Islam disulami dengan kekuatan usaha dan doa yang istiqamah.
Berbalik kepada cadangan-cadangan yang disarankan. Kekuatan sebuah pasukan bermula dari kekuatan setiap individu yang menyokongnya. Maka, mengapa konotasi berusaha itu sangat penting dalam Islam dijelaskan dalam Surah An-Najm ayat 39-41 yang bermaksud, “Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya, dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya), kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna.” Dijelaskan di sini betapa besarnya kepentingan untuk manusia berusaha kerana ia akan diberi balasan setimpal dengan usahanya. Dalam tempoh berusaha yang pastinya penuh ranjau, umat Islam dinasihati untuk tekun dan bersabar, “Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas” (Az-Zumar 10) kerana percaya bahawa sebarang kesukaran akan berakhir dengan kebaikan setelah dikabulkan doa, “Bukankah Dia (Allah) yang Mengabulkan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya, dan Menghilangkan kesusahan” (An-Naml 62). Maka, hanya mereka yang istiqamah kepada usaha dan berdoa untuk hasil yang baik akan merasakan nikmat dikabulkan permintaan, seperti firman Allah, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan untukmu” (Al-Ghofir 60).
Maka persoalan seterusnya adalah apakah sebenarnya usaha yang boleh kita lakukan untuk menggerakkan gagasan memajukan semula umat Islam? Pertama ialah inovasi jiwa dan hati. Jiwa merangkumi personaliti, semangat dan karakter seseorang yang terserlah dalam diri seseorang. Hati pula disebut qalb dalam bahasa Arab, yang merujuk kepada seketul daging yang diletakkan arasy yang sangat tinggi dalam Islam. Malah, hadis menyebut bahawa daging inilah yang menentukan baik atau buruknya seseorang.
Jiwa dan hati perlu diinovasi agar tidak berterusan kosong dan lemah tanpa iman dan tanpa kekuatan untuk melaksanakan sesuatu dengan terbaik dan memanfaatkan ummah. Siapa yang perlu melakukan ini pastinya umat Islam sendiri, kerana jelas dikatakan dalam al-Quran, “Barangsiapa yang harinya sekarang lebih baik daripada kemarin maka dia termasuk orang yang beruntung. Barangsiapa yang harinya sama dengan kemarin maka dia adalah orang yang merugi. Barangsiapa yang harinya sekarang lebih jelek daripada harinya kemarin maka dia terlaknat.”
Saranan ini sebenarnya sudah jelas dalam Islam. Menjadi insan yang lebih baik daripada semalam adalah intipati inovasi. Inovasi tidak perlu difahami secara terhad, yakni perlu menghasilkan pembaruan dalam dalam bentuk material semata-mata. Beribadah secara yang lebih baik dari semalam adalah inovasi, belajar dengan lebih berkesan dari semalam juga adalah inovasi. Jelas, inovasi itu adalah tuntutan Islam, cuma cara kita memahaminya perlulah lebih luwes dari segi kaedah dan pendekatannya, serta memerlukan kesungguhan dan ketabahan untuk melakukannya dengan istiqamah.
Maka jika ini asasnya inovasi dalam Islam, “amarannya” juga seakan-akan tersirat. Jangan sesekali memikirkan untuk menginovasi teknologi tetapi jiwa sendiri tidak diinovasi. Rugilah manusia jika hanya terfikir untuk menginovasi ‘yang nampak’ tetapi menafikan keperluan membangun ‘yang tidak nampak’ iaitu dalaman dirinya sendiri. Seharusnya keseimbangan inovasi ini wujud dalam diri kita, sentiasa ingin menambah baik diri di samping mengikut dan memajukan teknologi selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Dalam konteks ini, teknologi seharusnya dilihat sebagai alat utama yang mendekatkan manusia dengan agama. Landasannya, jika teknologi itu menjauhkan kita denganNya, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan teknologi dan inovasi itu. Hanya apabila agama diinovasi secara lestari dalam jiwa, maka ia akan mengesani tindakan. Tindakan kitalah yang menjadi penentu kecekapan dan penggunaan teknologi tersebut, sama ada akan membawa kebaikan atau keburukan. Dalam konteks beragama, pastinya teknologi diharapkan membawa kebaikan kepada manusia sejagat.
Begitu juga dengan hati. Hati perlu sentiasa dibajai dengan iman dan segala macam kebaikan agar tidak menjadi ‘keras’ yang akhirnya tidak mahu berubah ke arah kebaikan. Hati yang berbudi menurut Hamka dalam bukunya Lembaga Budi, ialah hati yang patriotik iaitu hati yang sentiasa ingin memajukan bangsa, iaitu kolektif sifatnya dan tidak pernah mementingkan kejayaan diri semata-mata. Jelas konsep budi ini, apabila digandingkan dengan qalb (hati) yang baik, melahirkan insan yang berjiwa besar dan berjasa kepada bangsa dan negara.
Kedua, setelah mentadbir hati dan jiwa dengan istiqamah, saintis tidak kira dalam bidang sains atau sains sosial perlulah memahami fungsi mereka yang sebenar. Fungsi saintis tidak terhad kepada makmal atau mengajar di universiti semata-mata, tetapi mereka perlu meletakkan diri sebaris dengan sarjana intelek yang menjadi rujukan umum. Golongan intelek adalah golongan tertinggi dalam golongan pendidik, yang merupakan golongan ilmuan yang bukan hanya mempunyai pengetahuan dalam bidang kepakaran, tetapi mempunyai ilmu yang luas dalam pelbagai bidang dan berkeupayaan berfikir dengan kritis apabila diperlukan oleh masyarakat. Malah, golongan ini juga berupaya mencadangkan penyelesaian masalah kepada bangsa dan negaranya apabila diperlukan. Mereka ini adalah golongan yang memegang tanggungjawab intelek yang tinggi dan dihargai masyarakat.
Soal tanggungjawab intelek pernah dibincangkan oleh ahli falsafah seperti Frederick Schmitt (1993) dan Noam Chomsky. Chomsky misalnya meletakkan tanggungjawab para intelek ialah mencari kebenaran dan membongkar pembohongan. Membongkar pembohongan ini merangkumi semua aspek iaitu politik, ekonomi dan sosial. Namun hal ini nampak mudah dikatakan daripada dilaksanakan. Misalnya, Peter Mathieson bekas Naib Canselor dan Presiden Universiti Hong Kong, universiti tertua di Hong Kong, secara terbuka pada awal tahun ini tidak menafikan wujud pengaruh politik yang kuat dalam pentadbiran universiti berkenaan seperti yang dilaporkan akhbar South China Morning Post. Hal ini pernah saya utarakan dalam rencana terbitan sebuah akhbar tempatan pada tahun ini bertajuk Ahli Akademik Perlu Berani Nyata Kebenaran terbitan Berita Harian pada 10 May 2018.
Berkaitan ini, golongan intelek, yang pastinya dalam praktis dan amalannya perlu memenuhi apa yang dikenali sebagai intellectual rigour dan intellectual honesty. Mereka golongan yang cemerlang dalam menyatakan pendapat dengan jelas dan berguna kepada masyarakat, serta membuatkan masyarakat juga cemerlang berfikir, dan ini membawa kejujuran dalam amalan intelektual mereka.
Ketiga ialah mengembalikan sifat ilmu pengetahuan itu sendiri. Ilmu hari ini dikaji dan pelajari dengan mengasingkannya mengikut bidang. Hal ini dikritik sesetengah sarjana termasuk yang paling ternama Profesor E.O. Wilson dalam bukunya Consilience: The Unity of Knowledge dan pengasas Actor-Network Theory, Profesor Bruno Latour dalam bukunya Re-assembling the Social. Pengasingan ilmu dikritik kerana tidak berupaya menyelidik realiti yang kompleks, malah dikaji dengan mengagregat kompleksiti itu dan menghasilkan ilmu yang kurang tepat berbanding realiti. Integrasi ilmu perlu dilakukan sebagai satu usaha penting dalam membawa pendidikan ke arah yang selari dengan kompleksiti ilmu. Masalah ilmu yang diajar di sekolah mahupun universiti hari ini ialah pengasingan ilmu dalam cabang disiplin yang awalnya dilihat sebagai usaha pengkhususan ilmu. Hari ini, sarjana-sarjana mula sedar bahawa ilmu tidak boleh dipisah-pisahkan lagi. Misalnya, untuk memahami bagaimana hujan terhasil, ia tidak boleh dipelajari di bawah kursus Sains semata-mata. Namun, ia perlu diajar secara ilmu bersama iaitu melibatkan ilmu Sains, Geografi dan Fizik.
Di peringkat pengajian tinggi, kita dapat melihat betapa pentingnya kajian dilaksanakan dalam bentuk rentas disiplin dan tidak lagi secara berasingan mengikut bidang kepakaran masing-masing. Profesor E. O. Wilson adalah seorang ahli biologi serta pakar kaji semut, ahli teori, naturalis dan penulis, meletakkan keperluan untuk menyatukan pengetahuan misalnya antara sains dan agama. Dalam konteks ini, hujah beliau selari dengan hujah sarjana Islam tentang kepentingan manusia mentadbir alam sebagai khalifah iaitu untuk menjelaskan tentang alam dan memahami peranan kita di alam ini.
Kepentingan ini dilihat dalam konteks yang luas. USIM misalnya keperluan mengintegrasi ilmu naqli dan aqli sebagai usaha melahirkan insan yang seimbang. Integrasi bentuk lain yang ialah integrasi ilmu sains tulen dan sains sosial, integrasi pelbagai bidang ilmu dengan bidang-bidang lain dan pelbagai bentuk integrasi lagi yang giat dilakukan. Maka tidak hairan, hari ini begitu hebat gerakan penyelidikan berbentuk rentas disiplin yang dijalankan di Barat bagi melahirkan penyelidikan yang berupaya menyelesaikan permasalah yang jauh lebih kompleks dari yang sebelumnya. Jika ini tidak dilakukan, kita akan ketinggalan kerana terus-menerus menjalankan penyelidikan yang begitu terhad kepada sesuatu bidang sehingga tidak berupaya mengkaji kompleksiti realiti alam pada hari ini. Inilah yang dilakukan pada zaman kegemilangan Islam iaitu seseorang pemikir Islam mahir dalam pelbagai bidang ilmu dan mengkaji dalam konteks yang jauh lebih universal.
Kesimpulannya, perbincangan ini telah membawa tiga cadangan yang saling berkaitan dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam melalui saintis Muslim. Pengharapan ini boleh dimulakan dengan mentadbir hati dan jiwa dengan konsisten, mengembalikan fungsi universiti dan akademia sebagai sarjana berdaya intelek tinggi dan melihat ilmu dalam bentuk integrasi dan bukan secara berasingan supaya ilmu itu benar-benar dapat mengkaji apa yang patut dikaji. Semua ini perlu dilakukan dalam semangat kegemilangan Islam pada masa lampau serta asas ketekunan berusaha dan berdoa untuk menggapai kejayaan. Menariknya, hampir kesemua usaha ini dalam perhatian dan tindakan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berhasrat menjadi pemimpin dalam integrasi ilmu, serta bermatlamat ke arah sebuah Kampus Barakah. Meskipun ada yang melihat kita seperti bermimpi besar, kita telah diingatkan supaya tidak takut bermimpi besar, kerana “Kenyataan hari ini adalah mimpi hari kelmarin, dan kenyataan esok hari adalah mimpi hari ini, pesan Imam Syahid Hasan Al Banna.
Penafian : Karya ini adalah adaptasi esei sempena Pertandingan Esei Hari Kualiti dan Inovasi (HKI 2018) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memenangi tempat pertama.
Kredit Foto :
Famousscientist
Muslimvibe
Images
Covers
Utusan
Unc
PTS
Samaa
SCMP
Amazon
Biblio
etsy
Islamcity
Muslimheritage