Oleh: Dr. Khayriyyah Mohd Hanafiah
Sekolah Sains Biologikal, Universiti Sains Malaysia (USM)
Artikel ini terjemahan daripada artikel asal diterbitkan oleh The Star pada 12hb Februari, 2020.
Sebagai seorang ibu, ditimpa kesakitan bukanlah perkara yang saya gemari. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak sendiri. Mahu demam panas, selsema, sakit tekak, batuk berkahak, sengal seluruh badan, rasa lemah atau terdampar di atas katil, jatuh sakit bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan kepada si pesakit dan penjaga, malah pada waktu itu kita mula sedari sesungguhnya kita hanyalah seorang insan yang lemah. Maut boleh datang menjemput pada bila-bila masa sahaja.
Walau bagaimanapun, semua ketakutan terus lenyap apabila tubuh kembali sihat, membawa bersama selera makan dan semangat untuk meneruskan rutin harian seperti sedia kala. Seolah-olah ia tidak pernah pernah berlaku.
Perkara sama juga boleh dikatakan untuk penyakit berjangkit secara umum.
Terima kasih kepada kemajuan saintifik, kita mampu menikmati perubatan moden dan peningkatan kualiti kehidupan secara menyeluruh. Sebelum ini, virus, bakteria, dan kulat yang jarang dijumpai telah mengorbankan banyak nyawa. Hari ini, ianya boleh ditangani dengan rehat mencukupi serta pengambilan bendalir. Bergantung kepada tahap keseriusan, pesakit juga mungkin memerlukan rawatan antivirus, antibiotik atau antikulat.
Terdahulu, penyakit berjangkit seperti cacar dan polio amat menakutkan kerana ia berisiko menyebabkan lumpuh atau kematian. Namun, kita tidak perlu risau kerana ia kini tinggal selembar daripada lipatan sejarah, selepas dihapuskan dari seluruh dunia (kecuali di beberapa kawasan) berikutan kempen agresif dijalankan oleh agensi kesihatan awam seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sesetengah kuman berbahaya masih wujud pada hari ini, seperti rotavirus atau demam campak, yang menyebabkan cirit-birit, radang paru-paru dan sering mengorbankan golongan kanak-kanak dan dewasa. Masyarakat menjadi mangsa mikobakterium tuberkulosis, sejenis bakteria yang menyebabkan tuberkulosis (TB) hingga membunuh berjuta-juta orang dewasa, terutamanya banduan atau mereka menghidap virus kurang daya tahan manusia (HIV). Oleh kerana ia lebih mudah dijumpai di kawasan yang daif dan mempunyai capaian terhad kepada penjagaan kesihatan, maka kita cenderung menganggap penyakit berjangkit hanya mensasarkan golongan miskin dan terpinggir.
Namun begitu, kemajuan dalam mengatasi wabak ini meletakkan sesetengah pihak berada dalam zon selesa. Mereka mengambil sikap sambil lewa dan tidak acuh terhadap ancaman hidupan mikro berbahaya yang pernah mengorbankan ribuan nyawa.
Mengeruhkan keadaan, penggunaan antibiotik secara berleluasa dan tidak rasional telah menghasilkan bakteria kebal yang dapat bertahan dan menyebabkan jangkitan berterusan, walaupun selepas rawatan selesai. Jangkitan ini sepastinya boleh mengundang maut.
Kepentingan vaksin
Demam campak, rotavirus dan TB adalah penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin (VPD) yang memberikan perlindungan secukupnya daripada penyakit-penyakit tersebut.
Vaksin diberikan melalui pelbagai cara, iaitu suntikan di lengan atau paha, suntikan di bawah kulit, melalui titisan ke dalam mulut dan semburan ke dalam hidung.
Ini menyebabkan suntikan vaksin menimbulkan ketidakselesaan kepada penerima. Kadangkala, orang yang divaksin mungkin mengalami beberapa gejala serupa dengan penyakit yang sepatutnya dilindungi oleh vaksin tersebut.
Ini kerana vaksin pada dasarnya mengandungi antigen, yang diperolehi daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Ia disuntik masuk dalam tubuh kita untuk merangsang sistem imun dan mempersiapkan sistem pertahanan badan untuk melawan serangan virus atau bakteria sebelum ia benar-benar berlaku.
Walaupun jarang berlaku, sesetengah vaksin boleh menimbulkan masalah serius, bahkan kematian oleh kerana kecuaian manusia, pencemaran ataupun komplikasi daripada penyakit sedia ada pada penerima vaksin.
Tetapi risiko ini sangat rendah. Pada tahun 2018, Malaysia mencatatkan sebanyak 983 kes kesan buruk daripada vaksin yang dilaporkan, berbanding 26,000 tindak balas mudarat daripada ubat.
Dakwaan yang mengatakan vaksin menyebabkan autisme berpunca daripada satu kajian palsu yang telah diperbetulkan oleh kajian-kajian seterusnya. Pihak berkuasa agama juga sudah menangkis dakwaan palsu yang menuduh bahawa vaksin mengandungi bahan haram atau terlarang.
Namun, dakwaan palsu ini masih berkeliaran hingga menyebabkan banyak penyakit yang dilindungi oleh vaksin kembali menjadi ancaman kepada kesihatan manusia pada masa kini.
Sebagai seseorang yang terlatih dalam bidang epidemiologi VPD (kajian penyakit dalam populasi) dan penyelidikan bioperubatan, teringat kenangan membawa anak sulung saya untuk suntikan vaksin.
Walaupun tahu risiko kecil bakal berlaku selepas suntikan vaksin, ternyata naluri seorang ibu lebih mendominasi dan mengatakan ianya suatu risiko besar kerana melibatkan anak saya. Perasaan takut dan risiko tersebut perlu diketepikan kerana sebagai ibu, saya bertanggungjawab melindungi anak saya daripada penyakit pada masa akan datang.
Selepas suntikan vaksin, kami memandu pulang ke rumah mengharungi ribut petir yang dahsyat. Terdetik di hati saya, kalaulah boleh memvaksinkan anak daripada kemalangan jalan raya, sepastinya saya akan melakukannya, walaupun saya tahu “vaksin” tersebut sudah lama wujud dalam bentuk “kerusi keselamatan kanak-kanak”.
Anak-anak saya membesar dengan sihat selepas mengambil suntikan wajib dan vaksin pilihan di samping dikelilingi persekitaran hidup sihat. Saya yakin dengan perlindungan oleh vaksin yang bermanfaat dan selamat kerana kanak-kanak berhak untuk hidup dengan sihat.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini saya dihantui dengan perasaan bersalah. Oleh kerana anak-anak saya sudah besar dan jarang jatuh sakit, saya menjadi kurang tegas dalam mengikuti perkembangan vaksin selesema bermusim.
Wabak selesema baru-baru ini, dan kini novel koronavirus 2019 atau Covid-19, mencetus kebimbangan dalam diri saya. Apa bakal terjadi jika kita dijangkiti virus ini dan jatuh sakit?
Walaupun koronavirus terdahulu, seperti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) meragut lebih banyak nyawa, Covid-19 menimbulkan keresahan kerana cara jangkitannya di kalangan manusia masih belum difahami oleh saintis sepenuhnya. Pergerakan manusia tanpa sempadan menularkan Covid-19 ke pelusuk dunia, termasuk Malaysia dan negara-negara jiran.
Kita bernasib baik kerana Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi kesihatan awam begitu tangkas dan bersiap siaga dalam menetapkan langkah pemantauan dan kuarantin sewajarnya. Jika mereka alpa dengan pengalaman lalu, penyebaran virus mungkin menjadi lebih teruk lagi.
Walau bagaimanapun, kita gagal mengambil iktibar; dijangkiti penyakit berjangkit bukan jenayah dan pesakit tidak boleh dilayan atau diperlakukan sebagai suspek atau penjenayah.
Walaupun sistem imun kita mempunyai “memori” yang baik dan sudah cukup untuk melawan jangkitan selepas kita memberikannya “latihan” melalui vaksinasi, kita tidak boleh bergantung kepada “memori” ini apabila hidup bermasyarakat.
Covid-19 hanyalah suatu kejutan daripada lena yang panjang dan ia akan terus berlaku. Kita mudah berpuas hati dalam usaha mengawal penyakit berjangkit. Barisan tentera pernah tewas di medan perang, namun bukan disebabkan serangan musuh tetapi oleh wabak selesema, taun atau demam kepialu. Sedekad yang lalu, dunia moden dikejutkan oleh wabak flu H1N1 yang mengorbankan 284,500 nyawa.
Sesetengah daripada kita masih menolak vaksin, menyalahgunakan antibiotik dan mengamalkan gaya hidup yang boleh menyebabkan penularan penyakit daripada haiwan kepada manusia. Masih ada segelintir pihak yang mensia-siakan kejayaan dan kemajuan dalam dunia moden yang dikecapi sejak berabad lalu, walaupun pelbagai penyelidikan dan pelaburan sudah dilakukan bagi membangunkan penyelesaian saintifik untuk mengatasi masalah dan keperluan zaman moden.
Kita kurang membuat pelaburan dalam penyelidikan asas, ubat-ubatan, diagnostik dan vaksin untuk penyakit berjangkit kerana kita menyangka ia cuma masalah silam yang melibatkan golongan miskin. Covid-19 mengingatkan kita sebaliknya. Selagi kita masih berpeluk tubuh dalam zon selesa, ia akan menjadi masalah dunia yang berterusan.
Penulis merupakan seorang pensyarah kanan dalam bidang Mikrobiologi Perubatan di Universiti Sains Malaysia, dan aktif dalam komunikasi sains dan penyelidikan bioperubatan penyakit berjangkit. Beliau adalah pemenang wanita Asia pertama FameLab pada tahun 2018. FameLab merupakan pertandingan komunikasi sains berprestij yang tertua di dunia.