Penulis: Syazwani Azeman & Norzielawati Salleh
Unit Herbarium, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur
Apabila menyebut perkataan herbarium kebanyakan orang awam akan mengaitkannya dengan tumbuhan herba. Perkataan herbarium pada asalnya digunakan untuk merujuk kepada buku tentang tumbuhan ubatan. Pakar perubatan dan ahli botani Perancis Joseph Pitton de Tournefort (1656-1708) pertama kali menggunakan istilah herbarium pada koleksi tumbuhan kering dan ditekan. Mengikut kepada definisi di dalam buku ‘The Herbarium Handbook’ pula, Herbarium adalah satu koleksi berkembang tumbuh-tumbuhan kering yang disimpan di dalam kabinet, dikurasi dan boleh diakses kepada orang ramai. Dengan kata mudah, herbarium adalah koleksi spesimen tumbuhan yang dipelihara, dilabel dan disimpan dengan cara yang teratur yang memudahkan akses. Pada umumnya istilah ini merujuk kepada suatu koleksi sampel tumbuhan untuk kajian jangka panjang mengenai kepelbagaian tumbuhan.
Spesimen Herbarium
Spesimen herbarium dikutip dari lapangan dan kemudian dikeringkan di dalam oven khas (suhu oven 55˚C-60˚C) selama 4 hari atau sehingga kering. Lazimnya, tumbuhan diratakan, dikeringkan dan dilekapkan ke atas helaian herbarium bersaiz seragam, tetapi sesetengah koleksi herbarium seperti lumut, alga, kulat atau lichen diletakkan di dalam sampul herbarium manakala ada bahagian bunga dan/atau buah yang diletakkan di dalam balang dan diawet dalam alkohol atau campuran Compenhagen (alcohol, air suling, gliserol). Spesimen ini kemudiannya melalui proses gam dan jahit yang kemudiannya disimpan ke dalam kompaktor mengikut susunan secara sistematik bagi memastikan ketahanannya untuk tempoh yang lama.
Spesimen herbarium sentiasa disertakan dengan label yang menunjukkan lokasi di mana tumbuhan itu dikutip, nama pengumpul kutipan, nama spesies dan famili serta tarikh spesimen diambil. Selalunya label juga mengandungi maklumat tentang ciri-ciri tumbuhan dan habitat tempat ia ditemui. Setiap spesimen herbarium diberikan nombor identifikasi yang berfungsi seperti nombor katalog buku di perpustakaan.
Secara asasnya koleksi herbarium boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu spesimen herbarium, koleksi spesimen berspirit dan juga koleksi karpologi. Ketiga-tiga jenis koleksi ini amat berguna sebagai rujukan dalam pengecaman tumbuhan serta digunakan dalam kajian penyelidikan yang mana perbezaan di antara spesies-spesies tumbuhan dikenalpasti.
Fungsi Herbarium
Pada zaman dahulu, bangunan herbarium dibina dan diselenggara oleh pakar perubatan, yang kebanyakannya juga ahli botani kerana mereka mengkaji dan bergantung pada tumbuhan sebagai cara merawat penyakit. Hari ini terdapat lebih daripada 3,000 herbaria di seluruh dunia, dan kebanyakannya berkait dengan universiti, taman botani, institusi penyelidikan dan juga muzium. Herbarium berfungsi sebagai gudang maklumat yang boleh juga dikatakan sebagai satu muzium bagi tumbuh-tumbuhan. Selain menjadi pusat rujukan dan penyelidikan tumbuhan, herbarium turut memainkan peranan sebagai tempat untuk menjalankan kajian asas botani dan mendokumenkan hasil kajian yang dilaksanakan melalui penerbitan. Selain itu, herbarium turut berfungsi sebagai makmal atau pusat yang menyediakan keperluan kajian berkaitan sains seperti silvikultur, ekologi dan penilaian alam sekitar. Herbarium turut berperanan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan secara amnya seperti kursus-kursus yang berkaitan dengan pengecaman pokok dan tumbuhan.
Kepentingan Herbarium
Herbarium adalah penting untuk kerja ahli botani khususnya. Spesimen herbarium adalah sebagai alat pengajaran untuk mengkaji tumbuhan. Pelajaran tentang anatomi atau bahagian tumbuhan akan lebih mudah difahami jika anda melihat secara langsung pada tumbuhan yang sedang dikaji dan koleksi herbarium boleh membantu untuk pembelajaran.
Dalam bidang sains dan penyelidikan, ahli taksonomi sering menggunakan spesimen herbarium sebagai bahan rujukan dalam menerangkan taksa tumbuhan. Hal ini kerana spesimen herbarium mengandungi data yang boleh digunapakai dalam kajian mereka seperti habitat di mana ia berlaku, apabila ia berbunga dan bahan kimia yang terkandung di dalamnya. Data adalah sangat penting untuk menyokong teori mereka. Selain itu, herbarium digunakan untuk menyokong kajian saintifik lain seperti tinjauan ekologi, pengiraan kromosom, kajian fitokimia, memainkan peranan dalam mendedahkan kajian evolusi, dan menjalankan analisis perbandingan biologi.
Dunia yang semakin berevolusi membolehkan penemuan pelbagai jenis tumbuhan baru yang pastinya akan muncul. Herbarium boleh membantu ahli taksonomi menentukan klasifikasi tumbuhan yang baru ditemui dengan memerhatikan tumbuhan baru sebagai pengesahan atau dokumentasi pemerhatian saintifik serta membuat perbandingan DNA yang memudahkan pemahaman tentang evolusi tumbuhan dan proses di mana spesies tumbuhan baharu timbul.
ARTIKEL BERKAITAN- Taman Botani Perdana, Bukan Sekadar Taman Rekreasi
Rujukan:
- Forman, L. and Bridson, D. eds., 1989. The herbarium handbook (3rd ed.). Kew: Royal Botanic Gardens. pp. 334
- De Vogel, E.F., 1987. Manual of herbarium taxonomy. Unesco.
- https://www.floridamuseum.ufl.edu/science/what-is-a-herbarium/
- Foto – Malaysia Traveller https://www.malaysia-traveller.com/herbarium-gallery-kuala-lumpur.html