Oleh : Dzulhelmi Nasir, Wan Nurul ‘Ain Wan Mohd Nor & Farah Nadiah Rosli
Pegawai Penyelidik, Biological Research Division, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
Filum artropoda merangkumi pelbagai kumpulan invertebrata. Pada masa kini, artropoda merangkumi lebih 80% daripada semua spesies yang telah dikenalpasti. Terdapat empat kumpulan utama artropoda iaitu insekta, myriapoda, araknida dan krustasea. Mereka ini mempunyai ciri-ciri asas yang sama iaitu mempunyai eksorangka, badan bersegmen, apendaj sendi, bersimetri dwisisi dan sistem peredaran darah terbuka. Secara amnya, artropoda mempunyai perbezaan antaranya dari sudut deria penglihatan (contoh: mata majmuk), ciri-ciri pemodifikasian fungsi mekanikal setae dan deria kimia untuk memperolehi maklumat pada persekitarannya. Kaedah penjagaan anak yang terhasil juga adalah pelbagai, dari membiarkan anaknya berdikari sejak keluar dari telur, sehingga penjagaan yang lama dari kecil sehingga dewasa.
Di Malaysia, terdapat lebih 25% kajian adalah mengenai kepelbagaian artropoda, dan hanya 4% kajian tertumpu kepada kajian taksonomi dan sistematik artropoda. Pada masa sama, kumpulan Lepidoptera (kupu-kupu dan rama-rama), Isoptera (anai-anai) dan Phasmida (stick insect) merupakan kumpulan utama yang diberi tumpuan, manakala sedikit sangat informasi mengenai kumpulan lain seperti Coleoptera (kumbang), Hymenoptera (lebah, penyengat dan semut), Diptera (lalat), Homoptera (riang-riang), dan Hemiptera (kepinding). Artropoda memainkan peranan yang sangat penting di dalam keseimbangan ekosistem, antaranya berfungsi sebagai penyeimbang dalam kitaran rantaian makanan, pengurai dan dekomposisi, agen pendebunga dan penyebaran biji benih, kitar semula nutrisi dan bertindak sebagai penunjuk ekologi dalam sesebuah ekosistem.
Taburan dan kepelbagaian spesies artropoda adalah sangat menarik. Sebagai contoh, spesies artropoda seperti Cyclommatus (Coleoptera) adalah endemik kepada kawasan pergunungan di Taman Kinabalu di Borneo. Manakala, spesies artropoda seperti Pantala flavescens (Odonata) pula merupakan artropoda yang boleh dijumpai di kebanyakan kawasan di seluruh dunia.
Di negara ini, lebah Trigonid dan Aphid telah dikenalpasti membantu dalam pendebungaan bagi lebih 65 spesies pokok balak dan 13 spesies pokok bukan balak. Manakala, trip pula telah dikenalpasti menjadi agen pendebunga kepada 23 spesies pokok dan 13 spesies bukan pokok. Tambahan pula, kumbang juga telah dikenalpasti membantu dalam pendebungaan kepada lebih 35 spesies pokok dan 3 spesies bukan balak. Lain-lain artropoda yang juga menjadi agen pendebunga termasuklah kupu-kupu dan rama-rama (Lepidoptera), belalang (Orthoptera), lipas (Blattodea), kepinding true (Hemiptera). Selain sebagai agen pendebunga, artropoda juga penting dalam proses penguraian bahan organik pada kayu yang mereput dan kitaran nutrien dalam hutan hujan tropika. Artropoda ini dikenali sebagai “saproxylic”. Organisma Saproxylic adalah terdiri daripada pemakan kayu (“xylophages”), pemangsa, detritivor dan parasit yang berkongsi habitat kayu matang. Antara yang dikenalpasti sebagai artropoda “Saproxylic” adalah dari Kelas Arachnida, Chilopoda dan Insekta yang terdiri daripada Order Coleoptera, Hymenoptera dan Isoptera.
Di kawasan air seperti tasik dan sungai, artropoda yang hidup di kawasan air telah digunakan sebagai penunjuk bioindikasi kepada kualiti air tersebut. Bilangan dan jenis artropoda yang dijumpai pada air tersebut dapat menentukan kualiti air. Hal ini adalah kerana artropoda yang bergantung kepada kehidupan air sangat sensitif kepada perubahan air. Antaranya, artropoda air daripada Mayflies (Ephemeroptera), Stoneflies (Plecoptera) dan Caddisflies (Trichoptera) adalah bioindikasi kepada kualiti air yang bagus, sebaliknya midges (Diptera) dapat menentukan kualiti air yang tidak bagus.
Artropoda juga telah digunapakai dalam menentukan tempoh kematian manusia. Artropoda ini lebih dikenali sebagai Necrophagous yang termasuk daripada kumpulan serangga Calliphoridae, Dermestidae dan Silphidae. Teknik pengenalpastian tempoh kematian manusia melalui kitar hidup serangga ini mengisi kekurangan teknik pengenalpastian patologi yang terhad kepada tempoh masa 72 jam sahaja selepas kematian. Ahli pakar forensik entomologi mempunyai kelebihan dalam menentukan masa kematian manusia melalui pemahaman terhadap kitar hidup serangga tertentu. Seperti contoh, Blowfly dari Chrysomya megacephala (Calliphoridae) merupakan yang paling penting dalam menentukan sela bedah siasat. Blowfly adalah serangga pertama yang akan mengerumuni mayat dalam linkungan masa 15 minit sehingga 2 hari. Deria baunya yang sangat peka menyebabkan ia tertarik kepada bau gas metana yang dibebaskan melalui proses pereputan mayat dan seterusnya bertelur pada kawasan tisu lembut dan lembap mayat seperti mulut, mata, dan bahagian kemaluan. Apabila sumber tisu lembut sudah kehabisan, larva Blowfly yang sudah kekenyangan akan berlalu pergi dari mayat bagi mengelak dimakan oleh artropoda lain seperti kumbang yang datang bagi menghabiskan sisa-sisa tisu keras mayat yang tertinggal. Justeru, pakar forensik entomologi boleh mengetahui tempoh masa kematian melalui data semasa fasa kehidupan Blowfly pada mayat, data rujukan kitar hidup lengkap Blowfly dan serangga lain yang berkaitan serta data fisiologi keadaan sekitar mayat.
Walau bagaimanapun, terdapat juga spesies artropoda yang dikenalpasti sebagai serangga perosak. Sebagai contoh, lebih 28 spesies artropoda telah dikenalpasti sebagai serangga perosak kepada pokok-pokok hiasan di bandar. Antaranya, anai-anai spesies Coptotermes curvignathus dan Captotermes gestroi (Isoptera) yang memakan pada pangkal pokok, dan menyebabkan kerosakan dalaman pada batang pokok. Begitu juga di kawasan pertanian, di mana serangga perosak seperti ulat bungkus, kumbang badak dan kumbang palma merah telah dikenalpasti sebagai serangga perosak utama. Namun, terdapat spesies artropoda seperti cengkerik (Orthoptera) dan kumbang ladybird (Coleoptera) yang bertindak dalam mengawal populasi serangga perosak dengan memakan telur-telur serangga perosak pengorek batang padi Chilo polychrysus di sawah padi. Pepatung damselfly Agriocnemis (Odonata) pula memakan rama-rama perosak yang terdapat di sawah padi.
Jika dilihat pada konteks masa hadapan pula, artropoda seperti kumpulan insekta berpotensi tinggi dijadikan sebagai sumber makanan bagi manusia. Walaupun aktiviti memakan serangga (entomophagy) dilihat sebagai perkara tabu yang melanggar tradisi sesetengah kaum dan tidak kurang juga dipandang jijik, ia tidak dinafikan mempunyai protein yang tinggi, kos yang murah dan sesuai dijadikan sebagai sumber makanan bantuan yang berkhasiat kepada negara-negara yang mengalami masalah kebuluran. Penambahan sumber pemakanan daripada serangga akan menyebabkan pengurangan sumber pemakanan daripada industri ternakan yang seterusnya menyumbang kepada pengurangan masalah pemanasan global. Tambahan lagi, salah satu kumpulan dalam filum artropoda iaitu krustasea telah pun menjadi sumber makanan laut bagi manusia. Justeru, ia tidak mustahil jika serangga mula mendapat tempat di antara hidangan lauk kita pada masa hadapan.
Kredit Foto : Wikimedia